Cakar ialah anggota seakan kuku tetapi melengkung dan tajam yang ditemui di hujung jari pada kebanyakan mamalia, burung, dan sesetengah reptilia. Cakar terhasil daripada sejenis protein keras yang dipanggil keratin. Cakar digunakan untuk menangkap dan memegang mangsa terutamanya mamalia-mamalia maging seperti kucing dan anjing, bahkan juga digunakan untuk mengorek tanah, memanjat tanah, dsb.
Tetrapod
Dalam haiwan berkaki empat, cakar terhasil daripada keratin dan terdiri daripada dua lapisan, iaitu: *unguis, lapisan luaran keras yang terdiri daripada gentian-gentian keratin yang disusun serenjang dengan arah pertumbuhan dan secara berlapis-lapis pada sudut yang miring; dan
- subunguis, lapisan dalaman lembut berkelupas yang iranya selari dengan arah pertumbuhan.
Cakar tumbuh ke luar dari matriks kuku di dasar unguis, sementara subunguis menebal sambil melalui dasar kuku. Unguis tumbuh ke luar lebih cepat berbanding subunguis untuk menghasilkan subunguis sehingga membentuk lengkung, sementara tepi cakar yang lebih nipis lebih cepat lusuh berbanding tengah yang lebih tebal, maka hujungnya tebal. Cakar ini ada banyak kegunaannya, terutama sekali untuk menangkap atau membunuh mangsa, mengorek, memanjat dan bergantung.
Amfibia
Satu-satunya jenis amfibia yang bercakar ialah katak bercakar Afrika (Xenopus laevis). Nampaknya cakar telah berevolusi secara berasingan antara titisan amfibia dan amniot.[1]
Reptilia
Kebanyakan reptilia mempunyai jari yang hujungnya bercakar gempal. Cakar-cakar ini terbentuk daripada sisik yang terakhir pada jari.[2] Kebanyakan reptilia ada cakar yang tumbuh dengan sebaiknya. Sesungguhnya ular tiada kaki maka tiada cakar, tetapi pada spesies Boa constrictor terdapat sisa-sisa kaki belakang yang teramat kecut, dengan sebatang cakar sebagai "susuh" di setiap sisi lubang dubur.
Cakar reptilia digunakan untuk memudahkan haiwan itu memanjat dan menahan mangsa (bagi yang maging).
Burung
Cakar merupakan anggota yang sangat penting buat burung pemangsa, selaku alat memburu yang utama. Tanpa cakar ini, susahlah burung pemangsa hendak menangkap mangsa. Sesetengah burung juga menggunakan cakar untuk tujuan pertahanan. Burung kasuari mengguakan cakar pada jari dalamannya (digit II) untuk mempertahankan diri, dan diketahui boleh mencederakan orang dengan parah. Walau apapun, semua burung ada cakar yang digunakan sebagai pemegang dan perlindungan di hujung setiap jari.
Burung hoatzin unik di kalangan semua burung yang maujud kerana anaknya ada cakar yang berfungsi pada ibu jari dan jari telunjuk (digit I dan II) pada "tangannya" supaya boleh memanjat pokok hinggalah bulu-bulu dewasa dengan kepak tumbuh.[3] Walaupun demikian, sesetengah burung ada anggota seakan-akan cakar atau kuku yang tersorok di bawah bulu-bulu di hujung jari tangan, khususnya itik, angsa dan burung kiwi.[4]
Mamalia
Kuku adalah homolog dengan cakar, tetapi lebih leper dan bermata lengkung, bukan tajam. Kuku yang cukup besar untuk menanggung beban dipanggil 'telapuk'.
Selalunya, cakar ini bersilih ganti, sama dengan bulu. Bulu yang lama gugur dan digantikan oleh bulu yang baru, sementara cakar membentuk lapisan luruh, dan akhirnya segmen lama patah. Proses ini mengambil beberapa bulan bagi kuku jari manusia. Kucing sering dilihat mematahkan lapisan unguis lama dengan kayu atau papan. Telapuk ungulat gugur sendiri dengan menyentuh tanah. Kuda, keldai dan baghal ternakan biasanya perlu dipotong telapuknya dengan selalu oleh tukang ladam kerana kurangnya aktiviti di atas tanah keras.
Kebanyakan mamalia pemangsa mempunyai cakar menjulur yang boleh disorokkan separa dalam kaki haiwan, khususnya keluarga kucing yang mana hampir semua ahlinya ada cakar yang boleh menjulur sepenuhnya.
Artropod
Istilah saintifik yang betul untuk "cakar" atau "canggai" artropod, seperti lobster atau ketam, ialah kela. Kaki yang bersambung dengan kela dipanggil keliped. Kela juga dipanggil sepit.
Lihat juga
Rujukan
- ^ Maddin & al. (2009): The anatomy and development of the claws ofXenopus laevis (Lissamphibia: Anura) reveal alternate pathways of structural evolution in the integument of tetrapods. Journal of Anatomy, no 214 (4): pp 607-19 Abstract
- ^ Alibardi, L. (2008): Microscopic analysis of lizard claw morphogenesis and hypothesis on its evolution. Acta Zoologica: Morphology and Evolution, vol 89 (2): pp 169–178. abstract
- ^ Parker, W. K. (1891). "On the Morphology of a Reptilian Bird, Opisthocomus hoazin". Transactions of the Zoological Society of London. 13: 43–89. doi:10.1111/j.1096-3642.1891.tb00045.x.
- ^ Sir Walter Lawry Buller (1888): A History of the Birds of New Zealand. London excerpt from Zealand Electronic Text Centre collection