Byōbu (屏風 , dinding angin) ialah pengadang lipat Jepun yang dibuat daripada beberapa panel bersambung, yang mengandungi lukisan hiasan dan kaligrafi, yang digunakan untuk memisahkan bahagian dalaman dan melindungi ruangan persendirian.
Sejarah
Seperti banyak seni dan kraftangan Jepun, pengadang lipat berasal daripada China; prototaip bertarikh zaman Dinasti Han telah ditemui. Istilah "byōbu" secara kiasnya bermaksud "perlindungan daripada angin", yang menyarankan bahawa tujuan asal byobu adalah lukisan penyekat. Byobu diperkenalkan di Jepun pada kurun ke-8, apabila tukang-tukang Jepun mula membuat byobu mereka sendiri, yang sangat dipengaruhi oleh corak Cina. Menerusi era-era Jepun yang berbeza, byobu berkembang dari segi struktur dan rekabentuk, beserta dengan teknik dan bahan yang digunakan:
- Zaman Nara (646-794): Bentuk asal byobu adalah sebuah panel berdiri tunggal dan berkaki. Pada kurun ke-8, byobu banyak panel muncul, dan digunakan sebagai kelengkapan di istana maharaja, sebahagian besarnya dalam upacara-upacara penting. Byobu enam panel adalah yang paling biasa pada zaman Nara, dan ditutupi dengan sutera dan disambungkan dengan tali pintal kulit atau sutera. Lukisan pada setiap panel dibingkaikan dengan kain broked sutera, dan panel itu dibataskan dengan bingkai kayu.
- Zaman Heian (794-1185): Sehingga kurun ke-9, byobu amat diperlukan sebagai perabot di kediaman daimyo, kuil Buddha dan tokong Shinto. Sejenis Zenigata(銭形 ) engsel logam berbentuk duit syiling, diperkenalkan dan digunakan secara meluas untuk menyambungkan panel-panel sebagai ganti tali pintal sutera.
- Zaman Muromachi (1392-1568): Pengadang lipat menjadi lebih popular dan ditemui di dalam banyak kediaman, dojo dan kedai. Byobu dua panel adalah yang paling lazim, dan engsel kertas bertindih menggantikan Zenigata, yang menjadikannya lebih ringan untuk dibawa, lebih mudah untuk dilipat dan lebih kuat pada sambungan-sambungan. Teknik ini membolehkan penggambaran pada byobu itu tidak terganggu oleh sempadan menegak panel, yang membuatkan artis melukis pemandangan dan landskap tempat peristiwa terkenal Jepun yang mewah, sering monokromatik, dan bertemakan alam semulajadi. Engsel kertas, meskipun cukup kuat, menghendaki agar infrastruktur panel seringan yang mungkin. Kekisi kayu lembut dibina dengan menggunakan paku buluh khas yang membolehkan kekisi itu diratakan sepanjang hujungnya menjadi lurus, segiempat, dan sama saiz sebagaimana panel lain byobu itu. Kekisi itu dibalut dengan satu atau lebih lapisan kertas yang terentang serata permukaan kekisi seperti gegendang hulu untuk menyediakan sokongan yang rata dan kuat bagi lukisan yang kemudiannya akan dilekatkan pada byobu itu. Struktur yang terhasil adalah ringan dan tahan lama, namun masih agak lemah. Jika permukaan panel itu dirodok dengan jari dan terlepas anggota kekisi, kemungkinan jari akan menembusi dengan mudah ke sisi satu lagi. Setelah lukisan dan kain broked dilekatkan, sebuah bingkai kayu yang disampang (lazimnya hitam atau merah gelap) dipasang untuk melindungi perimeter luaran byobu, dan perkakasan logam yang dihias rumit (jalur, sudut tepat dan tatah) dipasang pada bingkai itu untuk melindungi sampang itu.
- Zaman Azuchi-Momoyama (1568-1600) dan Zaman Edo awal (1600-1868): Populariti byobu meningkat, dengan minat orang ramai terhadap kesenian dan pertukangan berkembang dengan signifikan semasa zaman ini. Byōbu menghiasi kediaman samurai yang memperlihatkan ketinggian pangkat dan memaparkan kekayaan dan kekuasaan. Ini membawa kepada perubahan radikal dalam pertukangan byobu, seperti latar belakang yang dibuat daripada kerajang emas (金箔 , kinpaku) dan lukisan yang amat berwarna-warni yang menggambarkan alam semulajadi dan babak-babak daripada kehidupan seharian, sejenis gaya yang dipelopori oleh aliran Kanō.
- Zaman moden: Hari ini kebanyakan byobu dihasilkan oleh mesin, bagaimana pun, byobu buatan tangan masih lagi boleh didapati, sebahagian besarnya dihasilkan oleh keluarga-keluarga yang mempertahankan tradisi pertukangan itu.
Japonisme
Pengadang itu antara item import Japonisme yang popular di Eropah dan Amerika bermula pada lewat kurun ke-19. Pelukis Perancis Odilon Redon mencipta satu siri panel bagi Château de Domecy-sur-le-Vault di Burgundy, yang dipengaruhi oleh seni byōbu.[1]
Nota kaki
Pautan luar
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Byōbu |
- Entri byobu sistem pengguna jaringan senibina dan kesenian Jepun
- Momoyama, Japanese Art in the Age of Grandeur, an exhibition catalog from The Metropolitan Museum of Art (fully available online as PDF), which contains material on Byōbu
- Byobu: The Grandeur of Japanese Screens, a companion Web site to an exhibition at the Yale University Art Gallery, which contains images and descriptions of noteworthy byoubu.