Koordinat: 5°20′09″N 103°08′07″E / 5.33578°N 103.13527°E
Bukit Puteri بوكيت ڤوتري | |
---|---|
Titik tertinggi | |
Ketinggian | 200[1] m (660 ka) |
Geografi | |
Negara | Malaysia |
Negeri | Terengganu |
Daerah | Kuala Terengganu |
Induk banjaran | Tiada |
Geologi | |
Jenis gunung | Bukit |
Bukit Puteri ialah sebuah bukit kecil setinggi 250m yang terletak di dalam bandar Kuala Terengganu iaitu di belakang dalam kota istana maziah berdekatan di pantai besar terengganu Sungai Terengganu. Bukit Puteri dianggap strategik berikutan kedudukannya yang berhampiran dengan Masjid Abidin. Bukit puteri ini mempunyai kubu pertahanan, 40 meriam diraja senjata-senjata peperangan jika berlaku serangan dari pihak luar ke atas istana serta sekitar bandar kuala terengganu.
Sejarah
Menurut catatan sejarah, penempatan Bukit Puteri dibuka oleh seorang ketua suku dari Johor yang bernama Tuk Raja Menteri kerana bertujuan untuk melantik Sultan Zainal Abidin I sebagai Sultan Terengganu yang pertama[2]. Sewaktu zaman pemerintahan baginda sekitar 1708-an, Bukit Puteri dikenali sebagai kawasan rujukan bagi aktiviti perdagangan yang semakin pesat dengan kedatangan pedagang luar dari China, India, Arab dan Siam di sekitar Sungai Terengganu[3].
Memasuki abad ke-18, Bukit Puteri dijadikan sebagai kubu pertahanan dan memantau kehadiran musuh dari laut[4] pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah II (1831-1836), Sultan Muhamad Shah I (1836-1839) and Sultan Omar II (1839-1876) kerana lokasinya yang strategik. Namun begitu, terdapat perbalahan di antara ketiga-tiga sultan ini dalam merebut kawasan Bukit Puteri untuk dijadikan sebagai kawasan pentadbiran dan kubu pertahanan masing-masing[3], yang membawa kepada tercetusnya perang saudara[5].
Semasa di awal pemerintahan Sultan Omar, baginda tinggal di dalam kubu yang dibinanya sendiri di puncak Bukit Puteri[6]. Kemudian, baginda membina sebuah istana yang dikenali sebagai Istana Hijau di atas bukit itu, namun ianya musnah dalam kebakaran besar pada tahun 1882[6]. Selain itu, baginda juga telah membangunkan beberapa infrastruktur di Bukit Puteri seperti rumah api dan rumah genta[7].
Pada bulan Jun 1923, bendera Terengganu yang berwarna hitam dan putih dinaikkan di atas Bukit Puteri, manakala bendera sultan yang berwarna putih dikibarkan di istana susulan kedatangan kapal "Sea Belle" yang membawa Gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu, Sir Laurence Guillemard[8][9]. Sir Laurence hadir di Kuala Terengganu bagi mempersembahkan pingat kebesaran Most Distinguished Order of Saint Michael and Saint George yang dianugerahkan kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah[8][9].
Pada tahun 1937, Gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu, Sir Shenton Thomas mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Kuala Terengganu[10]. Semasa berada di sana, beliau meluangkan masa mendaki Bukit Puteri bagi melihat sendiri panorama di sekitar Kuala Terengganu. Dari puncak bukit itu, beliau dapat melihat pemandangan pada ketika itu di mana terdapat bot-bot nelayan keluar masuk melalui kawasan kuala, suasana kampung di tepi sungai serta ladang kelapa sawit seluas mata memandang dari bahagian utara mengunjur ke selatan[10].
Bukit Puteri pernah dijadikan sebagai lokasi bedilan meriam bagi beberapa upacara. Pada bulan Jun 1930, Sir Cecil Clementi melakukan lawatan kerja di Kuala Terengganu atas kapasitinya sebagai Gabenor Negeri-negeri Selat dan disambut dengan 17 bedilan meriam yang ditembak dari Bukit Puteri semasa beliau melakukan kawalan kehormat[11]. Pada bulan Jun 1949, sebanyak 17 bedilan meriam ditembak dari Bukit Puteri bagi menandakan bermulanya upacara tradisi selama seminggu sempena pertabalan Sultan Ismail ibni Sultan Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu[12].
Mitos
Orang tempatan percaya nama Bukit Puteri ini diambil sempena kisah tujuh beradik puteri bunian yang dipercayai menjadi penjaga bukit ini[13]. Kisah tujuh beradik ini diceritakan melalui lagu tradisional "Ulek Mayang", di mana salah seorang daripadanya, Puteri Mayang Mengurai dikatakan tinggal di Bukit Puteri, selepas tujuh beradik itu dihalau ayahandanya kerana membantu adinda mereka turun ke Bumi untuk bertemu dengan seorang pemuda[14].
Baik pulih
Pada tahun 2017, kerajaan Terengganu memulakan projek pengubahsuaian di Bukit Puteri dan kawasan sekitarnya. Projek itu menelan kos sebanyak RM15 juta dengan beberapa fasiliti baru dibina seperti kompleks beli belah yang juga meliputi pusat peranginan tiga bintang, manakala tapak warisan sedia ada di puncak bukit dikekalkan[4].
Pada bulan Oktober 2022, Bukit Puteri ditutup bagi membolehkan kerja-kerja naiktaraf dan membaiki kerosakan yang disebabkan oleh hakisan bukit[1]. Kerja-kerja itu merangkumi pembinaan tangga baharu, kaunter tiket dan naiktaraf landskap yang menelan belanja sebanyak RM230,660 dan ia siap pada bulan Januari 2023[15].
Tapak sejarah
Di atas Bukit Puteri terdapat beberapa tinggalan sejarah oleh kerana bukit ini pernah dijadikan sebagai kubu semasa berlakunya perang saudara yang tercetus pada zaman pergolakan Kesultanan Terengganu di antara tahun 1931 hingga 1939[15].
Singgahsana
Singgahsana ini dibina oleh Baginda Sultan Tengku Umar untuk dijadikan tempat bersemayam dan tempat perbincangan mengenai strategi dengan para pembesar sebelum dalam kota istana maziah didirikan.
Kubu pertahanan
Kubu pertahanan ini dibina oleh Sultan Tengku Umar pada tahun 1831 dengan menggunakan batu bata dan diperkukuhkan dengan pasir, putih telur, kapur, kulit kerang dan madu lebah.[16] Baginda Sultan Umar menjadikan kubu ini sebagai benteng pertahanan ketika tercetusnya perang saudara menentang Sultan Mansur II (Tengku Mansur) pada tahun 1831 dan Sultan Muhammad I pada tahun 1839. Perang saudara berlaku akibat perebutan takhta Kerajaan Negeri Terengganu pada ketika itu.
Pada perang saudara yang pertama, Tengku Umar yang berkubu di Bukit Puteri telah diserang oleh Tengku Mansur yang berkubu di kawasan Balik Bukit. Bukit Puteri berjaya ditawan Tengku Mansur lalu Tengku Umar mengundurkan diri ke Besut dan kemudiannya ke Daik.
Pada tahun 1836, Putera Baginda Tengku Muhammad dilantik menggantikan Sultan Mansur II yang mangkat dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad I. Pada tahun 1839 pula, Sultan Muhammad I yang bersemayam di Bukit Puteri telah diserang oleh Tengku Umar yang kembali ke Terengganu namun cubaannya gagal.
Pada zaman dahulu, terdapat beberapa buah meriam di dalam kubu tersebut namun telah dirosakkan 1941-1945.[17]
Genta
Genta ialah sebuah loceng tembaga besar yang terdapat di atas Bukit Puteri. Ianya diperbuat semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III pada tahun 1908 oleh seorang tukang tembaga yang bernama Wan Ali Wan Awang serta dibantu oleh beberapa tukang lain sekitar Kampung Tanjung dan Kampung Paya yang terletak berdekatan dengan Istana Maziah[18]. Ianya diperbuat daripada bahan tembaga kuning, dengan saiz ukur lilit sebanyak 228 cm, ketinggian sebanyak 70 kg dan berat mencecah 175 kg[19].
Pada masa lalu, genta dibunyikan sebagai memberi amaran kepada penduduk sekitar jika terdapat kejadian buruk seperti kebakaran atau serangan musuh[19]. Kemudian ianya digunakan pada bulan Ramadan untuk memberi peringatan apabila menghampiri waktu berbuka, sahur dan imsak[20]. Kebiasaannya, tujuh pukulan genta akan dibunyikan 30 minit sebelum masuknya waktu berbuka puasa, 36 pukulan pada pukul 1 pagi menandakan waktu sahur, manakala empat pukulan selepas itu dibunyikan 30 minit sebelum imsak[20].
Tugas memukul genta pada bulan Ramadan kini diwarisi oleh generasi ketiga, Muizzuddin Mansor dan Muhammad Hamidi Aminuddin. Sejak tahun 1960-an, ayah Muizzuddin iaitu Mansor Awang dipertanggungjawabkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk memukul genta[21]. Bunyi genta dikatakan boleh didengari sejauh dua kilometer dari Bukit Puteri[18].
Meriam Beranak
Meriam ini diberi nama Meriam Beranak kerana kedudukan meriam besar dan meriam kecil yang terletak berhampiran di antara sesama meriam. Setiap meriam mempunyai ukuran yang berlainan. Meriam yang besar dianggap sebagai ibu kepada meriam yang kecil.[22]
Lubang Ubat Bedil
Lubang ini terletak di bahagian belakang singgahsana. Ianya digunakan sebagai tempat untuk menyimpan ubat bedil atau peluru meriam yang digunakan ketika tercetusnya Perang Saudara yang berlaku pada tahun 1831 dan 1839.[23]
Rumah Api
Rumah Api ini diberi nama Bikon Bukit Puteri. Ianya terletak di dalam daerah Kuala Terengganu iaitu pada kedudukan 05o 20' 12.00" utara dan 103o 08' 18.00" timur. Lampu berwarna putih yang digunakan adalah jenis FL.W.3s. Jarak kelihatan dari laut adalah 15 batu nautika. Ketinggiannya pula ialah 35 meter dari aras laut. Struktur rumah api pula berasaskan konkrit dan besi.[24]
Rumah Api ini berfungsi sebagai panduan atau petunjuk bagi para nelayan dan para pelaut yang memasuki kawasan pelabuhan Kuala Terengganu. Tinggi rumah api ini lebih kurang 10 meter. Ia juga dikenali sebagai "Tanda Kuala Negeri" kerana fungsinya yang begitu penting kepada para pelaut dan para nelayan pada zaman dahulu.[25]
Tiang Bendera
Tiang bendera diraja ini telah didirikan ketika zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah untuk menggantikan tiang bendera yang telah dibina oleh Sultan Zainal Abidin III. Tiang bendera setinggi 18 meter yang ditanam sedalam 2 meter ini telah didirikan pada 22 April 1899 (12 Zulhijjah 1316 Hijrah) sewaktu zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Istiadat menanam tiang ini dilakukan dengan penuh istiadat dan diikuti dengan 16 das tembakan meriam.[26]
Kubur Syed Yasin
Syed Yasin bin Akil bin Ahmad dilahirkan di Sumatera, Indonesia dan keluarganya berasal dari Hadramaut, Yaman. Syed Yasin telah berhijrah ke Negeri Terengganu dan berkahwin dengan puteri Sultan Zainal I iaitu YM Tengku Siti. Sewaktu zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin I, beliau telah dilantik menjadi seorang pembesar Negeri Terengganu.[27]
Rujukan
- ^ a b Baharom Bakar (5 Februari 2023). "Kerajaan lulus peruntukan RM240,000 baik pulih kerosakan Bukit Puteri". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Mac 2023. Dicapai pada 19 Julai 2024.
- ^ Farahi Kamaruddin (30 Januari 2019). "Bukit Puteri: Antara Kubu Dan Bunian". The Patriots. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Februari 2024. Dicapai pada 19 Julai 2024.
- ^ a b Harun, Mohd Nur Shafiq; Samsudin, Mohd (24 Disember 2019). "SEJARAH BUKIT PUTERI SEBAGAI TAPAK WARISAN KEBUDAYAAN SEMULAJADI DI NEGERI TERENGGANU". Jurnal Peradaban. 12 (1 (2019)): 103–118. doi:10.22452/PERADABAN.vol12no1.5. ISSN 2636-9257. Dicapai pada 19 Julai 2024.
- ^ a b Adrian David (19 Mei 2017). "K. T'ganu's famed Bukit Puteri closes doors for 2-year renovation". New Straits Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Mei 2017. Dicapai pada 19 Julai 2024.
- ^ "PERSIMA, KLT Kembalikan Kegemilangan Bukit Puteri". TRDI. 19 Oktober 2016. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 November 2021. Dicapai pada 19 Julai 2024.
- ^ a b Sheppard, Mubin. "Baginda OMAR : THE CONQUEROR". Malaysia Dari Segi Sejarah (Malaysia In History). 12 (1 (1968)): 34–37. ISSN 0377-7529. Dicapai pada 19 Julai 2024.
- ^ Azmi, Riswadi; Abdullah, Mustaffa; Awang, Zulkeefli; Puteh, Mohd Nurudin; Izham, Siti Sarah; Md Ariffin, Mohd Farhan (30 Jun 2022). "Sumbangan Sultan Omar (m. 1876) dalam Penulisan Manuskrip Quran Terengganu Pada Abad ke 19". Journal of Al-Tamaddun. 17 (1 (2022)): 127–140. doi:10.22452/JAT.vol17no1.10. ISSN 2289-2672. Dicapai pada 19 Julai 2024.
- ^ a b " AN INTERESTING CEREMONY. ". The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser. 27 Jun 1923. m/s. 411. Dicapai pada 19 Julai 2024.
- ^ a b " H. E. THE HIGH COMMISSIONER. ". Pinang Gazette and Straits Chronicle. 25 Jun 1923. m/s. 5. Dicapai pada 19 Julai 2024.
- ^ a b "NOTES Of The DAY". The Straits Times. 28 Mei 1937. m/s. 10. Dicapai pada 19 Julai 2024.
- ^ "SIR CECIL CLEMENTI IN TRENGGANU.". The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser. 2 Julai 1930. m/s. 8. Dicapai pada 19 Julai 2024.
- ^ " Salute From "Hill Of The Fairies" ". The Straits Times. 3 Jun 1949. m/s. 6. Dicapai pada 19 Julai 2024.
- ^ Mohd Azli Adlan (16 Ogos 2020). "7 puteri bunian Ulek Mayang". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Mac 2022. Dicapai pada 19 Julai 2024.
- ^ "Legenda Puteri Umbuk Mayang, mitos termahsyur dari Terengganu". UtusanTV. 23 Jun 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Jun 2022. Dicapai pada 19 Julai 2024.
- ^ a b Mastura Jamal Din. "Bukit Puteri Dibuka Kembali Akhir Januari Ini". TRDI. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Februari 2023. Dicapai pada 18 Julai 2024.
- ^ Bukit Puteri
- ^ Sejarah Bukit Puteri
- ^ a b Baharom Bakar (22 Mac 2024). "'Genta'-ringing tradition lives on for Ramadan in T'ganu". The Star. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Mac 2024. Dicapai pada 18 Julai 2024.
- ^ a b Nur Fazlizai Ali (22 Mac 2024). "Tradisi goncang genta jadi 'alarm' kejut sahur". Astro Awani. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 April 2024. Dicapai pada 18 Julai 2024.
- ^ a b "Genta tetap bergema". Harian Metro. 24 Mac 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 April 2024. Dicapai pada 18 Julai 2024.
- ^ Baharom Bakar (22 Mac 2024). "In Terengganu, 2 cousins keep 116-year-old Ramadan tradition alive". New Straits Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Mac 2024. Dicapai pada 18 Julai 2024.
- ^ Plak Meriam Beranak
- ^ Info Lubang Ubat Bedil
- ^ Info Bikon Bukit Puteri
- ^ Plak Rumah Api
- ^ Plak Tiang Bendera
- ^ Plak Kubur Syed Yasin
Pautan luar
- Arkib Negara Malaysia Diarkibkan 2017-11-22 di Wayback Machine