Brahmanda Purana (Sanskrit: ब्रह्माण्डपुराण:, brahmāṇḍa-purāṇa) adalah sebuah teks Sanskrit dan salah satu daripada lapan belas Mahapurana, iaitu kumpulan teks Hindu klasik. Brahmanda Purana adalah yang terakhir daripada lapan belas Purana utama (Maha-Purana). Ia kemungkinan dinamakan sedemikian kerana ia terutama membincangkan Brahmanda, iaitu alam semesta dan penciptaannya.
Purana ini telah diajarkan oleh Brahma sendiri kepada para resi yang sedang melaksanakan upacara korban Sattrayaga di hutan Naimiṣa. Tradisi Hindu mengaitkan pengarangnya dengan maharishi Vyasa. Ia mungkin telah dikarang berhampiran sumber Sungai Godavari (berdekatan Nashik di Maharashtra). Secara amnya dianggap sebagai salah satu Purana tertua dalam kumpulan lapan belas, ia dianggarkan ditulis antara tahun 300-400 Masehi.
Teks ini juga dirujuk dalam kesusasteraan India zaman pertengahan sebagai Vayaviya Purana atau Vayaviya Brahmanda. Ia mungkin pada asalnya merupakan teks yang sama dengan Vayu Purana, sebelum kedua-duanya berkembang menjadi dua komposisi yang saling bertindih.
Teks ini dinamakan sempena salah satu teori kosmologi dalam agama Hindu, iaitu "Telur Kosmik" atau Brahma-Anda. Ia tergolong antara Purana tertua, dengan inti teks paling awal mungkin berasal dari abad ke-4 Masihi, dan telah disunting secara berterusan sepanjang masa sehingga wujud dalam pelbagai versi.
Brahmanda Purana terkenal kerana mengandungi Lalita Sahasranamam dan Shri Radha Stotram, iaitu nyanyian pujian kepada Dewi Lalita dan Radha sebagai makhluk tertinggi di alam semesta. Teks ini juga merupakan salah satu karya Hindu awal yang ditemui di Bali, Indonesia, dan dikenali sebagai Brahmanda Jawa.
Selain itu, karya ini menonjol kerana mengandungi Adhyatma Ramayana, satu set bab paling penting yang dimasukkan dalam teks tersebut. Ia merangkumi 65 bab dan 4,500 ayat yang secara falsafah berusaha mendamaikan Rama-Bhakti dengan ajaran Advaita Vedanta.
Memandangkan sebahagian besar isi kandungan Purana ini sepadan dengan Vayu Purana, beberapa sarjana berpendapat bahawa kedua-duanya pada asalnya adalah satu karya yang kemudian dibahagikan kepada dua akibat persaingan antara mazhab.[1]
Struktur
Teks yang tersedia dalam bentuk cetakan hari ini terdiri daripada empat bahagian (pada), iaitu:
- Prakriyā – 5 bab
- Anuṣaṅga – 33 bab
- Upodghāta – 74 bab
- Upasaṁhāra – 4 bab
Oleh itu, Purāṇa ini mengandungi sejumlah 12,000 ayat yang tersebar dalam 116 bab dalam empat bahagian ini. Selepas itu, terdapat Lalitopākhyāna, yang terdiri daripada 40 bab dan mengandungi Lalita Sahasranama (Seribu Nama Lalita), sebuah himpunan doa yang terkenal dengan kuasa mistiknya dan sangat popular di Selatan India.[2]
Rumusan Kandungan
Subjek-subjek yang dibincangkan dalam Purana ini boleh diringkaskan seperti berikut:
Dua bahagian pertama membincangkan tentang penciptaan (daripada brahmāṇḍa atau telur kosmik), geografi bumi dan Bharatavarsa, manvantara (era pemerintahan Manu), murid-murid Vyasa, serta pembahagian Vedasakha atau cabang-cabang Veda.
Bahagian ketiga pula merangkumi semua aspek sraddha (upacara selepas kematian), kisah kepahlawanan Parasurama, turunnya sungai Ganges hasil usaha raja Bhagiratha, kisah Dhanvantari menerima Ayurveda (ilmu kesihatan dan panjang umur), dan banyak lagi.
Bahagian keempat membincangkan tentang Manu-Manu yang akan datang, Kalpa-pralaya (kemusnahan akhir pada penghujung satu kitaran), penerangan mengenai empat belas dunia serta pelbagai jenis neraka. Terdapat juga perbincangan falsafah yang indah tentang Brahman atau Paramatman (Tuhan) yang melampaui segala logik dan pemikiran.