Bank Kebangsaan Melayu (bahasa Inggeris: Malay National Bank) ialah sebuah institusi perbankan yang ditubuhkan di Tanah Melayu pada era penjajahan British sebagai bank pertama yang menyediakan perkhidmatan kewangan khusus untuk orang Melayu. Bank ini diasaskan oleh Maarof Zakaria.[1]
Latar belakang
Penubuhan Bank Kebangsaan Melayu berlaku dalam konteks ekonomi kolonial di mana sektor perbankan di Tanah Melayu dikuasai oleh institusi kewangan asing. Antara bank-bank utama yang beroperasi ketika itu ialah The Hongkong and Shanghai Banking Corporation (HSBC), The Chartered Bank milik British dan Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC). Bank-bank tersebut tidak menyediakan kemudahan pinjaman kewangan kepada orang Melayu.
Akibat kekangan ini, orang Melayu yang memerlukan pinjaman terpaksa bergantung kepada ceti-ceti atau peminjam wang persendirian, yang lazimnya mengenakan kadar faedah yang tinggi. Keadaan tersebut mendorong usaha menubuhkan sebuah institusi perbankan tempatan bagi memenuhi keperluan kewangan masyarakat Melayu.
Penubuhan
Bank Kebangsaan Melayu diasaskan oleh peguam dan tokoh ekonomi Melayu, Maarof Haji Zakaria. Bank ini beroperasi di Klang Street, Kuala Lumpur.
Penubuhan bank ini bertujuan menyediakan kemudahan kewangan, khususnya pinjaman, kepada orang Melayu yang sebelum itu terpinggir daripada sistem perbankan formal. Bank Kebangsaan Melayu ditubuhkan dengan modal berupa 27 ekar tanah dan mempunyai dua juta saham yang hanya dibuka kepada orang Melayu.[2]
Kepentingan
Bank Kebangsaan Melayu dianggap sebagai antara usaha terawal ke arah pembinaan institusi ekonomi Melayu dalam sistem kewangan moden di Tanah Melayu. Penubuhannya mencerminkan kesedaran awal tentang keperluan mewujudkan alternatif kewangan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan orang Melayu terhadap peminjam wang persendirian.
Rujukan
- ^ Mohd Aziz Ngah; Zulhilmi Hat (9 April 2015). "BERSIRI: Malay National Bank sempat bantu Melayu". Berita Harian. Dicapai pada 13 Disember 2025.
- ^ "Mustapha Maarof Hilang Kasih Sayang Ayah, Isteri". mStar, 16 Disember 2014.








