
Bani Israel (Ibrani: שבטי ישראל Bahasa Arab: بني إسرائيل) merujuk kepada kaum atau keturunan Nabi Yaakub. Mereka inilah yang digelar Bani Israel (anak-anak Yaakub). Dari keturunan ini juga asalnya kaum Yahudi. Perkataan Israel, berasal dari gelaran yang diberikan kepada Yaakub. Perkataan Israel ini bermaksud "Hamba Tuhan yang taat" atau "Tentera Tuhan". Perkataan "Isra" bermaksud "Hamba atau Tentera" dan "El" membawa maksud "Tuhan". Tetapi ada juga yang mengatakan bahawa Israel bermaksud "Yang suka berjalan pada waktu malam". Gelaran "Israel" ini dikurniakan kepada Yaakub kerana baginda diberkati oleh Tuhan. Perkataan "Israel" berasal dari bahasa Ibrani.
Kaum Bani Israel berasal daripada anak-anak nabi Yaakub seramai 12 orang yang turut dikenali dengan gelaran 'Al-Asbaath' (Bahasa Arab: الأسباط) iaitu Rubin, Sham'un, Lawi, Yahuza, Zabulun, Yasakar, Dan, Jad, 'Ashir, Naftali, Yusuf, dan Bunyamin. Antara anak-anak baginda, ada antaranya yang diangkat menjadi Nabi seperti Yusuf yang meneruskan apa yang diajarkan oleh Nabi Ibrahim kepada datuk baginda, Nabi Ishak, bapa baginda, Nabi Yaakub dan akhirnya baginda sendiri yang dipilih Tuhan untuk meneruskan Syariat Tuhan dimuka bumi ini.