| Sabah | |
|---|---|
| Taburan geografi: | Sabah, Borneo |
| Klasifikasi bahasa: | Austronesia
|
|
| |
Bahasa-bahasa Sabah merupakan bahasa penduduk di Sabah yang tidak terbatas kepada mereka yang sudah beratus tahun tinggal di Sabah dan di Kepulauan Melayu, tetapi juga termasuk mereka yang datang dari luar untuk bermastautin di situ. Namun begitu, dalam fikiran orang awam, ungkapan 'bahasa-bahasa Sabah' menggambarkan bahasa yang dapat dikenal pasti dengan kaum bumiputera negeri tersebut. Dengan demikian, bahasa-bahasa Sabah bolehlah dikatakan bahasa yang termasuk dalam keluarga Indonesia daripada rumpun Austronesia. Sungguhpun ada bahasa-bahasa Sabah yang baru menetap di bumi Sabah antara 70 hingga 100 tahun yang lalu, seperti bahasa Iranun (yang berasal dari Pulau Maranao di Filipina) dan bahasa Lun Dayeh (yang berasal dari Sarawak), bahasa-bahasa ini bolehlah juga dianggap sebagai bahasa bumiputera Sabah.
Bagaimanapun, bahasa Bugis dan bahasa Jawa masih baru lagi dari segi sejarah pemastautinnya di Sabah. Oleh itu, kedua-dua bahasa ini tidak dapat digolong sebagai bahasa-bahasa Sabah. Turut tidak termasuk dalam golongan bahasa Sabah ialah bahasa Cina yang terdiri daripada berbagai-bagai dialek, dan juga bahasa Inggeris. Di samping itu, terdapat bahasa Chabacano yang pada hakikatnya tidak termasuk dalam mana-mana rumpun, kerana bahasa yang dibawa oleh pendatang dari Filipina ini merupakan bahasa Kreol, hasil campuran bahasa Filipina, Sepanyol dan Inggeris.
Senarai Bahasa-bahasa Sabah
Terdapat lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik yang dituturkan oleh 33 kumpulan Bumiputera Sabah. Gambaran tentang kebanyakan bahasa di Sabah dapat diperoleh dengan melihat kepada subkeluarga yang dianggotainya. Di samping itu, terdapat juga bahasa yang subkeluarganya meliputi bahasa-bahasa di Sarawak, Kalimantan dan Filipina. Kebanyakan nama yang diberi kepada bahasa-bahasa di Sabah adalah mengikut nama tempat atau nama etnik.
Berikut ini disenaraikan bahasa-bahasa Sabah, sama ada dalam subkeluarga atau sebagai satu bahasa:
- Subkeluarga Dusun Subkeluarga Dusun terdiri daripada berbagai-bagai bahasa/dialek Dusun-Kadazan antaranya termasuklah bahasa-bahasa:
Papar
Dampas
Bisayah
Lotud
Tatana
Kadazan-Tambunan
Kwijau
Rungus
Dusun-Kadazan Timur
Dusun-Kadazan Tengah (termasuk Ranau, Bundu Tuhan, Penampang/Tenggara, Tambunan)
Dusun Keningau
Dusun Tempasu
Kadazan Sugut
- Subkeluarga Murut Subkeluarga Murut terdiri daripada berbagai-bagai bahasa/dialek Murut antaranya ialah:
Murut Tagal
Tiulon
Beaufort
Timugon
Rundum
Takapan
Sook
Nabay
Baukan
Bagaimanapun bahasa/dialek yang dikenal sebagai 'Murut Sarawak' tidak termasuk dalam subkeluarga ini kerana lebih dikenali sebagai bahasa Lun Dayeh.
- Subkeluarga Paitan Subkeluarga Paitan termasuklah bahasa:
Lingkabau
Lobu
Abai Sungai
Tambanua
Ulu Kinabatangan
- Subkeluarga Bajau Subkeluarga Bajau terdiri daripada bahasa:
Bajau Darat
Bajau Laut
Bajau Darat terdapat di Papar, Kota Belud, Kudat dan Mengkabung, manakala Bajau Laut terdapat di Tanu.
- Subkeluarga Ida'an atau Begahak Subkeluarga Ida'an antara anggotanya ialah bahasa Ida'an, yang juga dikenali sebagai bahasa Orang Sungai. Bahasa ini didapati di Lahad Datu, Sandakan dan Kinabatangan.
- Bahasa Suluk Dituturkan di Semporna dan Kinabatangan.
- Bahasa Banggi Terdapat di Pulau Banggi.
- Bahasa Iranun Kebanyakan penuturnya di Kota Belud.
- Bahasa Lun Dayeh Terdapat di kawasan barat daya Sabah, bersempadan dengan Sarawak.
- Bahasa Melayu Bahasa Melayu di Sabah mempunyai berbagai-bagai dialek, dan antara dialek yang memberi ciri khusus kepada bahasa Melayu Sabah ialah bahasa Melayu Brunei dan bahasa Kedayan. Di samping itu terdapat bahasa Melayu Cocos, dialek yang dibawa oleh orang-orang dari Pulau Cocos yang menetap di Sabah.
- Bahasa Tidong Terdapat di Labuk Sugut, Sandakan dan Tawau.
Rujukan
- Asmah Haji Omar. Bahasa-bahasa Sabah. Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Jilid 1. Dewan Bahasa dan Pustaka. 1999
- Karl Alexander Adelaar & Nikolaus Himmelmann. The Austronesian languages of Asia and Madagascar. Routledge, 2005.
- King, Julie K., and John Wayne King. 1984. Languages of Sabah: A survey report. C-78. Canberra: Pacific Linguistics, The Australian National University.
- Lobel, Jason William. 2013. Philippine and North Bornean languages: issues in description, subgrouping, and reconstruction. Ph.D. dissertation. Manoa: University of Hawai'i at Manoa.








