Bahasa Melayu Malaysia بهاس ملايو مليسيا | |
---|---|
Bahasa Melayu Piawai بهاس ملايو ڤياواي | |
Sebutan | [ba.ˈha.sə mə.la.ju mə.'lej.sjə] |
Asli kepada | Malaysia, Singapura dan Brunei |
Penutur bahasa | B1: Sedikit B2: Merangkumi keseluruhan penduduk Malaysia.[1] Bentuk baku bahasa Melayu Malaysia (zsm) ini digunakan secara diglosia dengan bahasa Melayu tempatan (zlm). |
Austronesia
| |
Bentuk awal | Bahasa Melayu Kuno
|
Tulisan Rumi (rasmi) dan Tulisan Jawi (separa rasmi)[2] | |
Status rasmi | |
Bahasa rasmi di | Malaysia Singapura Brunei |
Dikawal selia oleh | Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Majlis Bahasa Melayu Singapura |
Kod bahasa | |
ISO 639-3 | zsm |
Glottolog | stan1306 |
Negara Anggota ASEAN |
Portal Malaysia |
Bahasa Melayu Malaysia juga dikenali sebagai Bahasa Melayu Piawai atau secara ringkasnya disebut sebagai Bahasa Melayu sahaja ialah suatu bahasa di Malaysia yang merupakan versi bahasa Melayu yang dikawal selia pemiawaiannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Ia diguna pakai sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, yang menyebut bahawa: "Bahasa kebangsaan (Malaysia) ialah bahasa Melayu".[3] Piawai bahasa ini juga digunakan di negara Singapura dan Brunei, dan turut berstatus rasmi di negara-negara tersebut.[4]
Bahasa Melayu Malaysia mempunyai lebih daripada 65-75% perbendaharaan katanya berkognat dengan perbendaharaan kata daripada Bahasa Indonesia dan dituturkan oleh lebih daripada 20-25 juta orang di Malaysia sebagai bahasa sehari-hari dan lingua franca.[perlu rujukan]
Sejarah
Pada era kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, bahasa Melayu telah dijadikan bahasa rasmi bagi persekutuan, di samping bahasa Inggeris boleh digunakan selama 10 tahun, menurut Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.[5] Pada 1 September 1967, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia.[6]
Petikan Perlembagaan menyatakan:
Perkara 152. Bahasa kebangsaan
(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:
Dengan syarat bahawa-
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.
Polemik istilah "Bahasa Malaysia"
istilah "Bahasa Malaysia" wujud sebagai kependekan bagi "bahasa kebangsaan dalam Malaysia" yang akan menjadi bahasa rasmi secara tunggal bermula 1967.[7] Pada 21 Oktober 1966, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman telah mengusulkan supaya "bahasa kebangsaan" ditukar sebutannya kepada "Bahasa Malaysia".[8] Usul pertukaran sebutan turut disokong beberapa pertubuhan penulis dan kesatuan guru.[9][10] Walau bagaimanapun, tiada sebarang usaha yang berlaku untuk pemindaan undang-undang terhadap pertukaran sebutan "bahasa kebangsaan" sebagai "Bahasa Malaysia".
Pada 2007, berlaku sedikit kesilapan peringkat kerajaan persekutuan mengenai penggunaan istilah bahasa bagi bahasa rasmi negara sama ada "Bahasa Melayu" atau "Bahasa Malaysia".[11] Ada usaha dilakukan oleh kabinet Malaysia pada 4 Jun 2007 bagi menukarkan penggunaan "Bahasa Melayu" kepada "Bahasa Malaysia" kerana ingin menanamkan semangat perpaduan antara kaum dalam kalangan rakyat walaupun usaha ini tidak membuahkan hasil ketara.[12][13][14] Kabinet mengarahkan semua kementerian, universiti dan pusat pengajian tinggi supaya memaklumkan jawatan serta agensi berkaitan bagi mengguna istilah "Bahasa Malaysia" dalam surat-menyurat, notis dan dokumen. Namun perkara itu sebenarnya sukar untuk dilaksanakan secara menyeluruh kerana perkara 152 perlembagaan Malaysia jelas mengatakan bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu bukannya bahasa Malaysia.
Pada tahun 2022, isu nama bahasa rasmi mendapat kritik keras daripada Indonesia sebab hasrat Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob yang bercita-cita hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua dan lingua franca ASEAN.[15][16] Cadangan ini mendapat cabaran keras daripada Menteri Pendidikan Indonesia, Nadiem Makarim yang menyatakan Bahasa Indonesia ialah lebih layak sebagai lingua franca ASEAN kerana mempunyai perbendaharaan kata yang lebih besar dan menyerap lebih banyak kata dari bahasa lain, baik bahasa-bahasa tempatan dan luar negara.[17][18][19][20]. Menurut Kamaruddin Mohd Said, "selagi Malaysia berkeras menamakan bahasa rasmi negara adalah bahasa Melayu dan bukannya bahasa Malaysia selagi itu Indonesia tidak akan henti-hentinya mencabar kita"[21][22]. Perbincangan ini sekaligus menjejaskan status nama bahasa rasmi Malaysia yang jelas menyebut bahasa Melayu.[23][24][25]
Kaedah menulis
Bahagian ini tidak memetik apa-apa sumber atau rujukan. |
Sebagai pewaris langsung daripada bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu kuno, penulisan aksara bahasa Melayu Malaysia telah mengalami beberapa perubahan dan mengguna beberapa jenis sistem tulisan yang saling berganti. Sistem yang pertama dipakai ialah tulisan Pallava yang berasal dari India Selatan. Berdasarkan bukti bertulis pada batu bersurat Terengganu dan penyebaran dakwah agama Islam, penggunaan sistem tulisan Jawi telah berkembang di negeri-negeri Melayu seawal abad ke-12. Pada penghujung abad ke-19, disebabkan penjajahan Inggeris sistem tulisan Rumi mula diguna dalam penulisan bahasa Melayu.
Dalam zaman pasca-moden, Bahasa Melayu Malaysia biasanya ditulis dalam tulisan Rumi dan tulisan Jawi. Tulisan Rumi merupakan sistem penulisan rasmi Bahasa Melayu Malaysia di pelbagai negeri Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Penggunaan Tulisan Jawi dirasmikan di negeri seperti Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu. Tulisan ini diguna bagi menunjukan pelbagai arah tempat, nama pejabat, papan pemasaran dan pelajaran yang wajib dikuasai bagi SPM.
Pada awal zaman kemerdekaan, bahasa Melayu Malaysia ditulis mengguna Ejaan Za'ba. Namun kemudian ejaan rumi bahasa Melayu beralih kepada sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu bermula 16 Ogos 1972 dengan pengisytiharannya oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak dan Presiden Indonesia Suharto secara bersama. Dengan persetujuan ini, bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Indonesia menggunakan sistem ejaan yang sama untuk sistem tulisan rumi bagi kedua-dua bahasa tersebut.
Skop penggunaan
Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi tunggal Persekutuan dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia pada 1967.[6] Manakala di Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa rasmi di samping bahasa Inggeris.[26]
Pengaruh bahasa asing dalam bahasa Melayu
Sejak zaman kuno, Bahasa Melayu Malaysia telah lama banyak menyerap pengaruh bahasa-bahasa asing seperti Sanskrit, Inggeris, Portugis, Tamil, Arab dan lain-lain.
Pengaruh Portugis
Terdapat 131 perkataan yang berasal daripada bahasa Portugis.[27] Beberapa contoh perkataan Portugis yang diserap dalam bahasa Melayu ialah:
Bahasa Portugis | Bahasa Melayu |
---|---|
Armário | Almari |
Bola | Bola |
Camisa | Kemeja |
Dado | Dadu |
Garfo | Garpu |
Igreja | Gereja |
Limão | Limau |
Manteiga | Mentega |
Domingo | Minggu |
Padre | Paderi |
Toalha | Tuala |
Janela | Jendela |
Escola | Sekolah |
Sabado | Sabtu |
Sabão | Sabun |
Sapato | Sepatu |
Ragam tidak formal di Malaysia
Zaman kontemporari telah memperlihatkan perkembangan perbendaharaan kata secara tidak formal dalam Bahasa Melayu Malaysia, terbentuk daripada pengubahsuaian terhadap perkataan-perkataan bersumber daripada Bahasa Melayu Piawai atau bahasa-bahasa lain, sering digunakan terutamanya di kalangan masyarakat bandar, yang mungkin sukar difahami di kalangan generasi terdahulu.
Ekoran hal tersebut, wujudnya tiga jenis ragam bahasa tidak formal pada bahasa Melayu Malaysia, iaitu: bahasa basahan, bahasa pasar dan bahasa rojak. Berikut merupakan perbandingan ragam-ragam bahasa tersebut:
Ragam bahasa | Contoh ayat |
---|---|
Bahasa standard | Tahukah encik biasanya berapa harga kain ini dijual? Empat belas ringgit untuk satu meter, memang mahal. Lebih baik encik beli kain ini dengan saya, harga pun baru sepuluh ringgit sahaja, lebih murah di kedai ini! |
Bahasa basahan (loghat umum Johor-Riau yang digunakan di Selangor, sebahagian daerah Pahang dan sebahagian daerah Perak) | Encik tahu tak biasenye harge kain ni berape? Empat belas semite, mahal tau... Baik beli dengan saye, harge pun baru sepuloh ringgit je, kat sini lagi murah! |
Bahasa pasar (loghat Cina Malaysia yang digunakan di Kuala Lumpur dan Georgetown, Pulau Pinang) | Lu tau biasa ini kain jual halga belapa? Ampat balas samite, manyak mahal oh... Mali sini beli sama gua, halga sapulu saja, sini punya manyak mulah! |
Bahasa rojak (loghat Inggeris-Melayu) | Sir you tahu tak kain ni original price dia berapa? Fourteen ringgit per meter, mahal tau... Baik beli dengan I, harge baru ten ringgits, kat sini lagi cheap! |
Bahasa basahan Melayu
Bahasa basahan Melayu, juga dikenali sebagai bahasa percakapan Melayu, adalah bahasa yang digunakan dalam percakapan seharian[28] antara penutur-penutur asli bahasa Melayu. Laras percakapan wujud dalam mana-mana bahasa di dunia, tetapi dalam konteks Bahasa Melayu Malaysia, padanan laras basahannya adalah berpaksi kepada pemendekan kosa kata baku, penggunaan kosa kata bersumber utama dari loghat Melayu Johor-Selangor moden dan bersumber sampingan dari pelbagai dialek atau bahasa kerabat Melayu. Bahasa ini berubah mengikut peredaran zaman, maka wujudnya keadaan mereka yang bergenerasi lama tidak memahami ragam percakapan dari generasi baharu. Antara perkataan-perkataan yang seringkali dianggap sebagai bahasa basahan adalah awek (kekasih perempuan); balak (kekasih lelaki); tak (tidak); usya/usha (tinjau); skodeng (intai); cun (cantik); poyo/slenge (berlagak, perangai teruk, mutu rendah) dan lain-lain. Kata ganti nama majmuk baharu telah dibentuk daripada kata ganti nama asal dan perkataan orang. Contohnya, kitorang (kita + orang, ganti kami); korang (kau + orang, "kamu semua"); diorang atau derang (dia + orang, "mereka").
Antara perkataan yang digunakan pada abad ke-21 ialah:
Perkataan
Tidak Rasmi |
Perkataan Rasmi |
---|---|
bleh/leh | boleh/dapat |
tak leh | tidak boleh/tidak dapat |
ni | ini |
tu | itu |
ko | engkau/kamu/awak |
korang, diorang, kitorang | kau orang (kamu semua), dia orang (mereka), kitorang (kita) |
nape | kenapa |
camne | macam mana/bagaimana |
camtu/cegitu | macam itu |
camni/canni/cegini | macam ini |
pi (ragam utara) /gi (ragam selatan)/pegi | pergi |
kat | dekat/di |
ne | mana |
tau | tahu |
je/aje | sahaja |
a'ah | ya |
makwe/awek | teman wanita |
pakwe/balak | teman lelaki |
minah | perempuan |
mamat | lelaki |
skodeng | mengintai |
cun | cantik/lawa |
jom | mari/ayuh |
poyo/selenge | teruk/buruk |
blah | beredar/berambus (bergantung kepada konteks dan nada) |
mai (ragam utara)/meh | mari |
apesal/sal/pehal | apa pasal/apa hal |
tak yah | tidak payah |
pastu | selepas itu/habis itu |
amik | ambil |
pekena | makan/minum |
jap (ragam selatan) / sat (ragam pantai timur dan utara) | sekejap |
pisyang/pishang | rasa bosan sampai tak tahu nak buat apa |
bai | lah/sangat (contoh: aku pisyang bai) |
beb | weh kawan |
ek (dialek Johor) | eh |
ke (bentuk tunggal) | -kah (kata penegas yang hanya boleh berbentuk imbuhan akhir) |
hampeh | tak guna |
kekwat | berlagak |
membawang | mengumpat |
kencing | menipu |
menganjing | memerli |
Bahasa pasar di Malaysia
Bahasa pasar didefinisikan sebagai salah satu ragam bahasa Melayu yang dituturkan oleh penutur bukan asli Melayu (biasanya orang Cina dan India dalam konteks Malaysia) yang tidak sepenuhnya menguasai penggunaan bahasa Melayu yang murni, atau seperti yang dituturkan antara penutur asli Melayu dengan penutur bukan asli Melayu.[29] Seperti namanya "bahasa pasar", ragam bahasa ini digunakan di tempat perdagangan terbuka seperti pasar pagi yang melibatkan kepelbagaian etnik, dan biasanya orang Melayu menggunakan ragam ini tanpa sedar dengan orang yang kurang mahir dalam bahasa Melayu supaya dapat mengurangkan kesalahfahaman dalam urusan harian.
Bahasa Melayu rojak
Sebilangan penutur bahasa Melayu, terutamanya di Kuala Lumpur serta kawasan-kawasan bandar lain di Malaysia, menggunakan perkataan dari bahasa Melayu dan bahasa Inggeris secara serentak, yang seterusnya membentuk bahasa rojak. Bahasa rojak ialah bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan oleh penuturnya,[30] terutamanya di kalangan penutur asli bahasa Melayu yang mempelajari dua atau lebih bahasa. Fenomena ini seringkali melibatkan peralihan kod antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Tetapi perlu diingatkan bahawa bahasa rojak yang dimaksudkan di sini berbeza dengan Manglish, walaupun kedua-dua bahasa ini dikategorikan sebagai bahasa kreol tetapi bahasa rojak yang dimaksudkan sini masih lagi mempunyai kerangka bahasa Melayu tetapi Manglish pula menggunakan bahasa Inggeris sebagai tunjang bahasanya.
Contoh pinjaman kata yang digunakan ialah: Bestlah tempat ni (Baguslah tempat ni); kau ni terror lah (Kau ni hebatlah). Fenomena ini melahirkan rasa kurang senang di kalangan pencinta bahasa di Malaysia, yang sering memperjuangkan penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul.
Lihat juga
Rujukan
- ^ "Malay, Standard | Ethnologue Free". Ethnologue (Free All) (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-11-05.
- ^ "Kedah MB defends use of Jawi on signboards". The Star. 2008-08-26. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-10-25. Dicapai pada 2010-11-19.
- ^ Teks PDF oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia-Perkara 152. Bahasa kebangsaan.
- ^ Steinhauer, Hein (2005). "Colonial History and Language Policy in Insular Southeast Asia and Madagascar". Dalam Adelaar, Alexander; Himmelamnn, Nikolaus (penyunting). The Austronesian languages of Asia and Madagascar. London: Routledge. m/s. 65–86. ISBN 9780700712861.
- ^ Deraman, Murni. "Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan: Satu perjuangan nasionalisme dari 1930 sehingga 1967". Cite journal requires
|journal=
(bantuan) - ^ a b PeKhabar (2015-09-01). "Perisytiharan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi Negara". PeKhabar. Dicapai pada 2024-09-02.
- ^ "MEREKA SA-PAKAT BAHASA MALAYSIA HARUS MELAYU". Berita Harian. 10 September 1962. m/s. 5. Dicapai pada 2 September 2024 – melalui NewspaperSG.
- ^ "English must continue —Tengku". The Straits Times. 22 Oktober 1966. m/s. 1. Dicapai pada 2 September 2024.
- ^ "Sasterawan2 Pahang sokong 'bahasa Malaysia'". Berita Harian. 4 November 1966. m/s. 6. Dicapai pada 2 September 2024.
- ^ "Bahasa Malaysia: KKGSK menyokong". Berita Harian. 31 Oktober 1966. m/s. 5. Dicapai pada 2 September 2024.
- ^ SAMY, FLORENCE A. (2007-11-05). "Bahasa Malaysia remains". The Star (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-09-02. Unknown parameter
|subscription=
ignored (bantuan) - ^ https://www.bharian.com.my/kolumnis/2015/12/109757/kaum-cina-wajib-kuasai-bahasa-melayu
- ^ https://www.utusan.com.my/rencana/2020/09/cakap-melayu-pun-masih-pelat/
- ^ https://www.kosmo.com.my/2020/11/28/tidak-fasih-bahasa-melayu-memalukan/
- ^ https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/04/443334/bahasa-melayu-boleh-jadi-bahasa-kedua-dalam-asean
- ^ https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/941497/sokongan-indonesia-tingkat-peluang-bahasa-melayu-sebagai-bahasa-rasmi
- ^ https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2022/04/942658/menteri-indonesia-tolak-bahasa-melayu-jadi-bahasa-rasmi-kedua-asean
- ^ https://www.sinarharian.com.my/article/196438/GLOBAL/Menteri-Indonesia-tolak-cadangan-bahasa-Melayu-bahasa-rasmi-kedua-ASEAN
- ^ https://www.utusan.com.my/luar-negara/2022/04/menteri-indonesia-bantah-bahasa-melayu-dijadikan-bahasa-asean/
- ^ https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/948112/bantah-bahasa-melayu-jadi-bahasa-kedua-asean-bersifat-politik
- ^ "Indonesia akan tolak selagi Malaysia guna istilah 'Bahasa Melayu'". www.astroawani.com. Dicapai pada 2024-09-02.
- ^ https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/948219/guna-bahasa-melayu-supra-untuk-bahasa-rasmi-kedua-asean
- ^ https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/05/958132/sejarah-bahasa-melayu-akan-lenyap-jika-diganti-nama-lain
- ^ https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/04/942682/pada-asasnya-bahasa-indonesia-adalah-bahasa-melayu
- ^ "Bukan bahasa Malaysia, tapi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ASEAN - PM". www.astroawani.com. Dicapai pada 2024-09-02.
- ^ "Sarawak boleh guna bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris". www.dailyexpress.com.my. 2021-12-02. Dicapai pada 2024-09-02.
- ^ guusebumps (2008-03-01), Indonesian Words From Portuguese Language, dicapai pada 2024-09-02
- ^ "Bahasa basahan". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2020.
- ^ "Bahasa pasar". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2020.
- ^ "Bahasa rojak". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2020.