Ayuni Safira | |
---|---|
Genre | Drama |
Ditulis oleh | Nor Shuhadatul Ain Zakaria |
Pengarah | Keoi Khalid |
Dibintangi oleh | |
Negara asal | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bilangan episod | 14 |
Penerbitan | |
Penerbit eksekutif | Zetty Alia Ramly |
Penerbit | Zaitun Mohd Jiwa |
Tempoh siaran | 42–43 minit |
Syarikat penerbitan | Global Station |
Penyiaran | |
Saluran asal | TV9 |
Format gambar | 480i (SDTV) 1080i (HDTV) |
Siaran asal | 9 April 2015 – 3 Julai 2015 |
Ayuni Safira ialah sebuah siri drama televisyen Malaysia 2015 arahan Keoi Haji Khalid, dibintangi oleh Aqasha dan Siti Saleha. Diadaptasi dari cerpen Hello My Slave karya Nor Shuhadatul Ain Zakaria,[1] siri ini memulakan tayangan perdana di Slot Ratu TV9 bermula 9 April 2015 hingga 3 Julai 2015.[2]
Siri ini boleh didapati melalui penstriman dalam talian di saluran YouTube rasmi TV9.[3]
Sinopsis
Ayuni Safira mengisahkan ketabahan hati seorang gadis memperjuangkan nasib dirinya selepas tidak dihargai oleh ibunya sendiri. Emelda (Maria Farida) membenci anak kandungnya iaitu Ayuni Safira (Siti Saleha). Ini kerana Ayuni Safira merupakan anak luar nikah! Walaupun tidak dipedulikan oleh ibunya, Ayuni Safira tetap menyayangi ibunya. Kehadiran ayah tiri Ayuni Safira di rumah itu membuatkan dirinya tidak senang duduk. Fakir (Afiq Muiz) seorang lelaki bermata keranjang! Pernah suatu hari, ketika ibunya tidak ada di rumah, Fakir menyusup secara sembunyi memasuki bilik Ayuni Safira. Kelibat ayah tirinya membuatkan Ayuni Safira terkejut lantas melarikan diri.
Namun, tanpa di duga ketika Ayuni Safira sampai di luar bilik, wajah ibunya terpampang di depan rumah. Fakir tergesa-gesa keluar dari bilik itu dan terkejut dengan kehadiran isterinya. Semenjak hari itu, Ayuni Safira membawa diri, menumpang di rumah sahabat baiknya. Siang Ayuni Safira menghadiri kuliah, malamnya pula Ayuni Safira membuat kerja part-time sebagai pelayan kafe. Mengetahui dirinya hanya menumpang di rumah orang, Ayuni Safira tidak mahu menyusahkan sesiapa dan akan menyara yuran pengajiannya dengan bekerja separuh masa. Ibunya pula tidak pernah mengendahkan kehilangannya, semenjak dia keluar dari rumah.
Puan Sri Liana (Zarina Zainuddin) iaitu ibu kepada Zafran (Aqasha) ingin menjodohkan anaknya dengan Geena (Sasqia Dahuri). Puan Sri Liana orang yang mementingkan darjat dan kekayaan berusaha keras menyatukan Zafran bersama Geena. Geena telah lama menaruh hati terhadap Zafran, malangnya dia hanya bertepuk sebelah tangan. Berulang kali Zafran cuba menolak lembut pelawaan Geena, namun Geena tetap berdegil inginkan perhatian dari lelaki itu. Seolah-olah tidak faham, hati lelaki itu bukan untuk dirinya.
Lain yang dijodohkan, lain pula yang terjadi. Zafran nekad mengahwini Ayuni Safira. Apakah reaksi Puan Sri Liana bila anaknya Zafran mengatakan ingin mengahwini wanita pilihannya? Gadis yang mempunyai sejarah hitam. Ikhlaskah cinta Zafran pada Ayuni Safira? Adakah Ayuni Safira bakal menemui kebahagiaan bersama Zafran?
Pelakon
- Pelakon utama
- Aqasha sebagai Zafran
- Siti Saleha sebagai Ayuni Safira
- Pelakon pembantu
- Maria Farida sebagai Emelda
- Zarina Zainuddin sebagai Puan Sri Liana
- Afiq Muiz sebagai Fakri
- Sasqia Dahuri sebagai Geena
Penerbitan
Penggambaran dijalankan pada awal Februari 2015, Ayuni Safira mengambil masa sebulan untuk disiapkan.[1] Menurut Keoi dalam temuramah bersama Sinar Harian: "Saya tahu drama ini diadaptasi daripada cerpen, namun saya lebih banyak merujuk skrip dalam mengolah dan menggarap jalan cerita drama ini. "Dan Alhamdulillah setakat ini kebanyakan maklum balas saya terima, mereka suka dengan jalan cerita drama ini,".[1]
Rujukan
- ^ a b c Adaptasi cerpen: Ayuni Safira sarat konflik Sinar Harian (15 Mei 2015).. Dicapai pada 17 Mei 2015.
- ^ Zaidi Mohamad (13 April 2015). TV9 siar drama Ayuni Safira Berita Harian. Dicapai pada 15 Mei 2015.
- ^ Ayuni Safira (2015): Episod Penuh. YouTube. TV9. Dicapai pada 12 Oktober 2018.