Aurad Muhammadiyah adalah wirid-wirid yang disusunkan oleh Kiyai Sheikh Muhammad Abdullah As Suhaimi dan diamalkan oleh kumpulan tarekat Muhammadiyah. Di Malaysia, Kumpulan Al-Arqam yang mengamalkan Aurad ini tanpa sah telah menyeleweng pegangan tersebut sebelum diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1994. Sebelum itu, Aurad ini sendiri diharamkan kerajaan pada tahun 1986.
Thursday, May 2, 2013
Aurad Muhammadiah
Al-Arqam merupakan gerakan agama di Malaysia yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad, ia juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan telah mengembangkan pengaruhnya dikalangan berbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh Malaysia ini. Ajaran-ajaran Al-Arqam mendapat sambutan sebilangan masyarakat yang menganggapnya sebagai sebuah badan dakwah yang unggul sebelum ia dianggap sesat dan diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994. Kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakwah islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan,perniagaan, perubatan, dan pertanian.
Pengasasnya, Ashaari Muhammad meninggal dunia di Hospital Ipoh pada 13 Mei 2010 akibat jangkitan paru-paru. Jenazah beliau telah dibawa ke Rembau, Negeri Sembilan selepas solat jenazah di Ipoh.
Sejarah
Nama Al-Arqam diambil daripada nama sahabat Nabi, Arqam bin Abi Arqam. Bermula dengan 10 hingga 12 orang ahli Al-Arqam pada tahun 1968, kemudian bertambah kepada 40 orang ahli jemaah pada tahun 1976, keahlian jemaah ini, menurut Ann Wang Seng, kemudian bertambah secara mendadak pada tahun-tahun berikutnya sehingga pada tahun 1987 jemaah itu mencatat sekitar 5,000 hingga 6,000 keahlian. Namun menurut Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1994 dianggarkan seramai 6,000 pengikut yang fanatik dan 15,000 simpatisan. Utusan Melayu (4 Julai 1994) pula melaporkan seramai 10,000 pengikut.
Aktiviti Darul Al-Arqam bermula pada 1971-72 di Kampung Datuk Keramat dan beroleh perhatian dan penerimaan ramai setelah bertapak di Sungai Pencala pada 1973-75.
Pemimpin kanan
Berikut beberapa pemimpin kanan Al-Arqam yang menjadi tulang belakang kejayaan pertubuhan Al-Arqam selama 26 tahun dari 1968 - 1994.
1. Ustaz Ashaari Muhammad - pengasas pertubuhan Al-Arqam
2. Ustaz Haji Abdul Halim Abbas - Timbalan Syeikhul Arqam
3. Akhbar Anang - Bekas Timbalan Ustaz Ashaari
4. Ustaz Mohktar Yaakob - sarjana syariah
5. Zabidi Mohamed - Penasihat undang-undangAl-Arqam II
6. Haji Hassan Mokhtar - Setiusaha Majlis Syuyukh
7. Khairil Anuar Ujang - Penasihat Undang-undang Al-Arqam I
8. Shuib Sulaiman - Mudir Syukbah Dakwah Dan Perhubungan Antarabangsa Al-Arqam
9. Ibrahim Mohamad - Mudir Syukbah Mal (Kewangan) Al-Arqam
10. Jailani Kasmani - Setiausaha Akhbar Ustaz Ashaari
11. Khadijah Aam - Isteri Ustaz Ashaari
12. Khadijah Din
13. Pak Salleh
14. Ustaz Yusof Din - Timbalan Syukbah Dakwah Dan Perhubungan Antarabangsa Al-Arqam
Ajaran
Di antara kepercayaan mereka adalah kepercayaan bahawa Syeikh Muhammad As-Suhaimi yang telah meninggal pada tahun 1925 dinyatakan tidak mati, sebaliknya masih hidup. Menurut Ustaz Ashaari, Sheikh al-Suhaimi adalah Imam Mahdi yang ghaib buat seketika sebelum kembali untuk memimpin Umat Islam. Tindakan Ashaari yang mengqiyaskan (menganalogikan) Syeikh Muhammad As-Suhaimi dengan Ashab al-Kahfi dan Nabi Khidir.
Ciri-Ciri
Pegangan Al-Arqam adalah berpunca dari pengajaran Ashaari Muhammad dan pegangan pengikut-pengikutnya terhadap Aurad Muhammadiah yang diantara lain memberi ajaran dan fahaman seperti berikut:
*Syeikh Muhammad As-Suhaimi, pengasas Aurad Muhammadiah, berjumpa Rasulullah saw dalam jaga dan menerima Aurad Muhammadiah daripada Baginda Rasulullah saw di dalam Kaabah.
*Syeikh Muhammad As-Suhaimi tidak mati, tetapi ghaib dan akan muncul semula sebagai Imam Mahdi.
*Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah Khalifah Rasulullah saw dan meletakkan setaraf dengan Khulafa' Al-Rasyidin.
*Rasulullah saw, para sahabat dan para aulia didakwa boleh ditemui secara jaga (majlis yaqazah) selain melalui mimpi. Mereka datang k untuk mengesahkan sesuatu yang diperlukan oleh pengikut-pengikut Al-Arqam umpamanya mengenali siapa yang taat dan siapa yang tidak taat kepada Al-Arqam dan pemimpinnya.
*Syeikh Muhammad As-Suhaimi dipercayai kononnya boleh datang menolong apabila diseru namanya.
*Ashaari Muhammad dipercayai, selain seorang yang soleh, wali yang mempunyai karamah, adalah seorang Mujaddid akhir zaman .
*Ashaari mendakwa dirinya dari keturunan Bani Tamim, iaitu satu rumpun dengan keturunan Nabi Muhammad saw yang memegang panji-panji Al-Mahdi.
Meluaskan Pengaruh
Sememangnya pertumbuhan ekonomi dan luasnya pengaruh tidak harus dijadikan piawai yang mengukur keberhasilan dan kecemerlangan organisasi dakwah tertentu. Tidak dinafikan aspek kewangan sangat penting untuk keberlangsungan sesuatu gerakan, namun banyak lagi faktor lain yang perlu diambilkira seperti aspek kepimpinan, keagamaan, keilmuan dan keintelektualan, kepengikutan, pengurusan, pembinaan dan lainnya. Sebanyak 52 buah kedai runcit dibangunkan di seluruh perkampungan Al-Arqam, 20 buah pasar mini, 36 buah kedai buku dan alat ibadat dan 18 buah restoran di seluruh Malaysia. Al-Arqam juga memiliki 56 buah kilang perusahaan di seluruh Malaysia.
Pada tahun 1993, Al-Arqam mengambil langkah yang drastik dengan menumpukan perhatian kepada dunia antarabangsa. Langkah pertama adalah dengan menubuhkan Al-Arqam Group of Companies (AGC) yang menghimpunkan 22 buah anak syarikat milik jemaah Al-Arqam. Setelah membuka pusat hubungan antarabangsa di Islamabad, Pakistan dan diberi nama Al-Arqam International Centre (AIC). Pada tahun inilah Ashaari mengisytiharkan terbentuknya Daulah Islam di bumi Malaysia, Indonesia dan Khurasan.
Krisis Kepimpinan
Krisis kepimpinan Al-Arqam bermula setelah berlakunya penyingkiran Akbar Anang pada tahun 1979 yang merupakan Ketua Unit Perkhidmatan Ummah. Menurut Akbar Anang, penyingkirannya bersama adalah kerana beliau mempersoalkan ajaran Al-Arqam , namun menurut Ashaari, Akbar Anang disingkirkan kerana beliau cuba membentuk pakatan yang bertujuan menyingkirkan Ashaari daripada tampuk kepimpinan Al-Arqam. Akbar Anang memberontak dan mendedahkan keperihalan Aurad Muhammadiah sehingga dihadapkan ke Pusat Islam pada 1979. Ashaari dilapor menafikan Kiyai Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah Imam Mahadi dan berjaya membersihkan Darul Al-Arqam daripada kesangsian asas.
Diharamkan
JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) telah melihat adanya penyelewengan akidah dalam organisasi ini. Setelah bermuzakarah dengan pemimpinnya, Ashaari Muhammad, yang pertama sekali dilakukan oleh kerajaan adalah mengharamkan buku Aurad Muhammadiyah Pegangan Darul Arqam pada tahun 1986.
Kini kumpulan Al-Arqam tidak lagi wujud kerana telah diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1994, tetapi yang wujud ialah Kumpulan Rufaqa'. Kerajaan telah mengharamkan kumpulan Al-Arqam berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang dikeluarkan pada 5 Ogos 1994. Fatwa Majlis Kebangsaan itu memutuskan bahawa ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam bertentangan dengan akidah dan syariah Islam sekali gus mengakibatkan syirik.
Berikutan itu Ashaari yang ditahan bersama beberapa pemimpin kanan kumpulan itu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah membuat pengakuan terbuka mengenai penyelewengan Al-Arqam. Kemudian beliau dikenakan tahanan rumah di Rawang dan Labuan. Beliau dibebaskan pada 25 Oktober 2004.