Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-25 adalah penganjuran majlis penganugerahan seniman tahunan kali ke-25 anjuran akhbar Berita Harian. Majlis ini diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands pada 8 April 2012. Majlis kali ini diacarakan oleh Sharifah Shahirah, Raja Azura, Didie Alias dan Zizan Razak.[1] Anugerah tertinggi, Bintang Paling Popular dirangkul oleh Aaron Aziz[2] yang meraih sebanyak 87,669 undian keseluruhan[3] di samping dua lagi kategori iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular dan Artis Lelaki Paling Popular Online.
ABPBH 2011 diperkenalkan di sebuah sidang media di di Holiday Villa Hotel and Suite, Subang Jaya pada 29 November 2011.[4] Sempena keraian majlis yang ke-25, satu anugerah istimewa iaitu Anugerah Seri Perak ditawarkan buat salah seorang pemenang Bintang Paling Popular dalam sejarah 24 tahun penganjuran ABPBH yang menerima undian terbanyak daripada peminat.[5]
Di samping kategori-kategori yang biasa dipertandingkan, juga dianjurkannya lima anugerah khas online sebagai salah satu peraduan bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket percuma untuk menyaksikan majlis ABPBH di Arena of Stars.[6] Tempoh undian bagi kategori-kategori khas ini adalah 13 Januari hingga 15 Mac, dan pemenang-pemenang anugerah ini diumumkan lebih awal daripada upacara.
Senarai calon muktamad ABPBH 2011 diumumkan di satu lagi sidang media di hotel yang sama pada 11 Januari 2012.[7]Juruhebah radio dan personaliti televisyen serta salah seorang pengacara majlis ini, Sharifah Shahirah mendapat bilangan pencalonan terbanyak dalam empat kategori iaitu Artis Komedi Wanita Popular, Penyampai TV Wanita Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular.[8] Tempoh mengundi adalah 13 Januari hingga 26 Mac 2012[9], dan para peminat boleh mengundi secara menghantar borang dari akhbar Berita Harian mahupun di Internet di tapak sesawang rasmi ABPBH.
Selepas majlis, ABPBH mengumumkan calon-calon lain yang berada di 4 kedudukan terakhir selepas Aaron iaitu Fizz Fairuz, Shaheizy Sam, Tasha Shilla dan Fasha Sandha.