Nama lain | Anjing Pergunungan Estrela Anjing gunung Estrela | ||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Nama ringkas | Estrela | ||||||||||||||||||||||||
Negara asal | Portugal | ||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing Serra da Estrela, anjing Pergunungan Estrela,[a] atau anjing gunung Estrela[b] ialah satu baka anjing dari Pergunungan Estrela di Portugal. Ia merupakan anjing penjaga haiwan ternakan yang dibiakbakakan untuk menjaga kawanan ternakan dan rumah ladang dan juga dibela sebagai haiwan peliharaan keluarga.[1] Ia merupakan "salah satu baka tertua di Semenanjung Iberia".[2]
Perihal
Bulu
Anjing gunung Estrela terdapat dengan dua jenis lapis bulu. Kedua-dua jenis patut mempunyai lapis bulu yang menyerupai tekstur bulu kambing.
Lapis bulu panjang: Lapis bulu luar tebal dan sedikit kasar terletak rapat-rapat di atas tubuh dan mungkin rata atau sedikit beralun, tetapi langsung tidak kerinting. Lapis bulu bawah sangat padat dan biasanya berwarna lebih cerah daripada lapis bulu luar. Helaian bulu di bahagian hadapan tungkai dan di kepala adalah pendek dan licin. Bulu di telinga kurang panjang dari pangkal telinga hingga ke hujung. Bulu di leher, di punggung, di ekor, dan di bahagian belakang tungkai adalah lebih panjang yang menghasilkan lingkaran leher, rumbai di punggung dan di belakang tungkai, dan jumbai pada ekor. Jantan dapat mempunyai "surai singa".
Lapis bulu pendek: Lapis bulu luar adalah pendek, tebal, dan sedikit kasar dengan lapis bulu bawah padat lebih pendek. Mana-mana jumbai patut mengikut perkadaran.
Warna
Perang kekuning-kuningan, serigala kelabu, dan kuning, dengan brindle atau tanpa brindle, tanda-tanda putih atau lorekan hitam di serata lapis bulu. Semua warna mempunyai topeng muka gelap, lebih baik hitam. Pewarnaan biru sangat tidak diingini.
Saiz
Ketinggian yang diingini untuk jantan matang ialah 25.5–28.5 inci (65–72 cm) dan untuk betina matang ialah 24.5–27 inci (62–69 cm). Jantan matang dalam keadaan baik untuk kerja mempunyai berat 88–110 paun (40–50 kg). Betina matang dalam keadaan baik untuk kerja pula mempunyai berat 66–88 paun (30–40 kg).
Perangai
Sebagai anjing besar dan atletik, anjing gunung Estrela ialah lawan hebat untuk mana-mana pemangsa. Ia tenang tetapi tidak takut dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas terhadap bahaya, menjadikannya anjing pengawas luar biasa serta anjing penjaga cemerlang. Ia cerdas, setia, yakin, dan penyayang kepada yang dikenali tetapi curiga terhadap yang tidak dikenali. Ia secara naluri melindungi mana-mana kanak-kanak dalam keluarganya. Ia memerlukan sosialisasi awal dan berterusan supaya dapat dipercayai di sekeliling haiwan peliharaan kecil dan anjing lain.
Ada kepentingan untuk memulakan pelatihan dan sosialisasi anjing Serra da Estrela sejak kecil untuk memupuk penerimaannya terhadap situasi berlainan. Ini merupakan baka kuat dan berfikiran bebas yang memerlukan pelatihan berterusan dan kepemimpinan tekal. Ia mempunyai kecenderungan untuk menyalak, terutamanya apabila melindungi wilayahnya. Seperti kebanyakan anjing penjaga haiwan ternakan, anjing Pergunungan Estrela bukan haiwan peliharaan untuk semua orang. Pemilikan kukuh adalah mustahak.
Sejarah
Baka ini telah dikembangkan di pergunungan Serra da Estrela, kini di Portugal.[2][3] Anjing gunung Estrela ialah salah satu baka tertua di Portugal.[4] Leluhur anjing Serra da Estrela terawal merupakan anjing penjaga kawanan ternakan di Serra da Estrela. Tiada catatan bertulis tentang sejarahnya.
Kehidupan berubah sedikit untuk orang dan anjing di rantau ini, walaupun setelah memasuki abad ke-20. Keterpencilan rantau ini bermakna bahawa baka ini agak kurang terkenal di luarnya sehingga awal tahun 1900-an, dan pada masa itu, kebanyakannya diabaikan dalam pertunjukan anjing awal. Orang Portugis mengagumi baka-baka asing lebih daripada baka mereka sendiri. Gembala kerap mengembiri anjing mereka untuk menghalang anjing mereka daripada meninggalkan kawanan ternakan untuk mengawan. Faktor-faktor ini memberikan kesan negatif terhadap anjing Serra da Estrela. Jadi, dari tahun 1908 hingga tahun 1919, pertunjukan khas yang dipanggil concurso ("pertandingan") diadakan untuk mempromosikan dan memulihara baka Estrela ini di rantau ini. Semasa tempoh ini, terdapat beberapa percubaan untuk pendaftaran (tiada catatan terselamat). Ujian kerja penjaga haiwan ternakan khas disertakan dalam pertunjukan ini. Ujian tersebut terdiri daripada seorang pemilik/gembala yang membawa anjingnya ke padang luas dengan banyak kawanan biri-biri. Anjing tersebut diperhatikan oleh para hakim untuk tindak balasnya apabila datang ke padang dan ketika si gembala diarahkan untuk menggerakkan kawanan ternakan yang sudah pasti menghasilkan pelente. Anjing tersebut dijangkakan untuk bergerak dari tempat penjagaannya untuk pelente itu kembali dan kemudian mengambil alih kedudukan kepemimpinan sebagai ketua kawanan ternakan.
Piawaian baka pertama, tentatif, dan bercatat diterbitkan pada tahun 1922. Piawaian ini hanya mencerminkan ciri-ciri fungsional yang secara semula jadi terdapat pada anjing-anjing terbaik pada masa itu, walaupun ada sebutan tentang kehadiran kuku embun sebagai cerminan anjing "sempurna". Ciri ekor cangkuk dan telinga berpaling ke belakang (mawar), yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada piawaian rasmi, tidak disebut dalam piawaian awal ini.
Piawaian baka rasmi pertama ditulis pada tahun 1933. Piawaian ini mencuba membezakan anjing Serra da Estrela sebagai baka tersendiri. Ini membawa kepada ekor cangkuk dan kuku embun ganda yang menjadi syarat. Semua warna diizinkan. Piawaian itu telah melalui penghalusan kecil sejak itu. Contohnya, kuku embun tidak lagi wajib pada tahun 1955 dan warna-warna yang diizinkan telah dibataskan beberapa kali untuk mencapai set semasa kini.
Sebelum Perang Dunia Kedua, pembiak baka anjing Serra da Estrela kebanyakannya masih gembala dan peladang dari rantau ini. Memandangkan kebanyakan mereka buta huruf, mereka tidak membuat sebarang percubaan untuk mengikuti piawaian baka rasmi, jika mereka mengetahui kewujudan piawaian pun. Tetapi menjelang awal tahun 1950-an, minat terhadap baka ini kembali dan concurso tahunan dikembalikan semula. Sekali lagi niatnya adalah untuk merangsang minat dalam kalangan penduduk Serra dan menggalakkan mereka mematuhi piawaian rasmi. Semasa tempoh ini, keragaman berbulu panjang merupakan yang paling popular dalam pertunjukan tetapi "anjing pertunjukan" yang mewakili (sehingga kini juga) hanya sebahagian kecil daripada populasi anjing Serra da Estrela di Portugal. Kebanyakan anjing pekerja (pada masa itu dan kini) berbulu pendek.
Pada awal tahun 1970-an, minat menjunam. Terdapat sedikit kebimbangan tentang kemerosotan malah juga kemungkinan kepupusan baka. Walau bagaimanapun, revolusi Portugis tahun 1974 membantu untuk menyelamatkan anjing Serra da Estrela. Revolusi ini membawa kepada perubahan dalam pertunjukan anjing di Portugal dan pada baka-baka anjing Portugis. Sebelum revolusi, pertunjukan anjing sebahagian besarnya merupakan hobi orang kaya, dengan keutamaan mereka terhadap baka-baka bukan Portugis sebagai lambang status. Kini, kelas buruh dapat menunjukkan anjing-anjing asli yang digemari. Selain itu, dengan revolusi itu berlaku peningkatan angka jenayah dan, dengan itu, lebih banyak minat terhadap anjing pengawal.
Tiada catatan anjing Serra da Estrela di luar Portugal sebelum tahun 1972. Walaupun sesetengah anjing sudah pasti meninggalkan negara itu, anjing-anjing tersebut barang kali dibiakbakakan secara bersilang, tanpa usaha untuk mengekalkan baka. Pada tahun 1972 dan tahun 1973, pasangan-pasangan diimport ke Amerika Syarikat. Anjing-anjing lain mungkin diimport ke Amerika Syarikat sejak itu, tetapi hanya pada tahun 1998, anjing berdokumen pertama diimport ke Amerika Syarikat. United Kingdom ialah negara pertama yang mengasaskan baka ini di luar Portugal pada tahun 1972. Pada tahun 2004, sebuah kelab baka diasaskan secara rasmi di Amerika Syarikat yang bernama Estrela Mountain Dog Association of America ("Persatuan Anjing Gunung Estrela Amerika"). Kini, anjing Serra da Estrela terdapat di banyak negara.
Kini, anjing gunung Estrela kekal setia dengan warisannya sebagai anjing penjaga. Ia masih anjing pekerja yang menjaga kawanan ternakan di tanah airnya Portugal dan di tempat lain (malah Kor Marin Portugis telah menggunakannya sebagai anjing peronda). Ia juga merupakan haiwan peliharaan keluarga unggul kerana kewaspadaan, kesetiaan, kecerdasan, dan nalurinya untuk memelihara anak muda; kesemua ciri yang diperlukan pada zaman terawalnya.
Lihat juga
Catatan
Rujukan
- ^ Mora, J. R. (2007). The Estrela Mountain Dog: A Flock-guardian [Anjing Gunung Estrela: Penjaga Kawanan Ternakan] (dalam bahasa Inggeris). J. R. Mora. ISBN 9780955087011. OCLC 190966708.
- ^ a b Pugnetti, Gino (15 November 1980). Schuler, Elizabeth Meriwether (penyunting). Simon & Schuster's Guide to Dogs [Panduan Simon & Schuster untuk Anjing] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Simon & Schuster. m/s. 90. ISBN 9780671255275. OCLC 778984341.
- ^ "Fiches et standards-de race" [Rekod and piawaian baka] (dalam bahasa Perancis). Société Central Canine. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Mac 2016. Dicapai pada 13 Januari 2024.
- ^ "Portugal brings back rare guard dogs to tackle wolves" [Portugal bawa kembali anjing penjaga jarang untuk menghadap serigala]. BBC News (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 14 November 2022.
Pautan luar
- Tapak web komuniti anjing Serra da Estrela (dalam bahasa Portugis)
- Estrela Mountain Dog Association of America (EMDAA) (dalam bahasa Inggeris)