![]() Anjing gembala Afghan (anjing Kuchi) di Kabul | |
Nama lain | Anjing gembala Afghan Mastif Afghan Anjing Powindah |
---|---|
Negara asal | Afghanistan |
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing Kuchi,[a] yang juga dikenali sebagai anjing gembala Afghan, ialah satu baka anjing penjaga haiwan ternakan Afghanistan, yang mendapat namanya daripada orang Kuchi di Afghanistan.[1] Ia merupakan anjing pekerja yang mengiringi orang nomad, melindungi karavan, dan kawanan biri-biri, kambing, unta, dan haiwan ternakan lain[2] daripada serigala, beruang, dubuk, kucing besar, dan pencuri.
Nama bahasa Pashto ialah de kochyano spai atau jangi spai, yang memaksudkan "anjing para nomad" dan "anjing pejuang". Ia terdapat di sekitar bahagian tengah dan utara Afghanistan. Sebagai anjing penjaga haiwan ternakan jenis molossoid, anjing Kuchi mengongsi latar belakang genetik serupa dengan alabai.[perlu rujukan] Ia juga dipanggil anjing Powindah, dengan Powindah sebagai istilah seerti untuk Kuchi yang digunakan di Afghanistan selatan.[2][3]
Oleh sebab ia dikaitkan dengan kehidupan nomad di rantau terpencil dan berceranggah tanpa penggunaan teknik pembiakbakaan Barat, ada kesukaran untuk mengenal pasti anjing jenis Kuchi "benar". Peperangan dan pergolakan umum di rantau ini juga telah menjejaskan orang Kuchi, yang ramai daripadanya telah bertempat di sekeliling bandar raya, lalu mewujudkan banyak peluang untuk anjing Kuchi saling membiak dengan anjing lain. Tiada badan pengatur untuk anjing di Afghanistan atau sesetengah anjing Kuchi telah dieksport ke Eropah.
Perihal
Baka anjing Kuchi mempunyai takungan gen sangat kaya dan anjing ini menyesuaikan diri dengan baik terhadap persekitaran berlainan. Ini juga bermaksud bahawa ekspresi gen dapat berbeza-beza daripada satu individu kepada individu lain. Atas sebab itu, kerap ada kesukaran untuk pemerhati tidak terbiasa untuk menentukan hal yang menjadikan anjing tertentu sebagai anjing Kuchi benar, atau jenis anjing Kuchi tersebut.
Pada umumnya, anjing Kuchi adalah besar, kerap anjing gergasi, dengan lapis bulu yang mungkin pendek, sederhana, atau panjang, yang disokong oleh lapis wul bawah tebal. Ketinggiannya berbeza-beza, mencapai setinggi 23–26 inci (58–66 cm) pada paras kelasa untuk betina dan setinggi 24–29 inci (61–74 cm) dan lebih tinggi untuk jantan. Beratnya berkisar dalam lingkungan 84–120 paun (38–54 kg) untuk anjing betina dan lingkungan 88–176 paun (40–80 kg) dan lebih berat untuk anjing jantan. Kelihatannya terdapat kebarangkalian bahawa "anjing Ghor" patut dimasukkan dalam kalangan "anjing Kuchi" ini:
Terjemahan: "Anjing di Ghor disebut dalam keterangan terawal tentang wilayah itu dan sentiasa dipandang sebagai mastif yang khususnya istimewa. Menurut babad Saljuk dari abad kesebelas, terdapat: 'Satu baka anjing yang sangat indah di Ghor yang sedemikian berkuasa sehinggakan dari segi kerangka dan kekuatan setiap anjing ini adalah sepadan dengan singa.' Raja Firozkoh mempunyai dua ekor anjing Ghor, salah seekor dinamai sempena baginda dan seekor lagi sempena penguasa Ghazni. Baginda melagakan kedua-duanya. Ada bahaya untuk berada di sekeliling baginda pada hari-hari apabila anjing dengan nama baginda kalah. Anjing ini membentuk sebahagian daripada ufti daripada Dinasti Ghur kepada Kerajaan Seljuk dan menjadi bahagian pepatah dalam budaya Islam sehinggakan seorang cendekiawan zaman pertengahan dicatatkan berkata bahawa 'Ibnu Sina tidak mampu bertarung dengan anjing dari Ghor'.[4]
Rupa bentuk kepala anjing Kuchi dapat berbeza-beza daripada kepala jenis baji kepada jenis bata atau tengkorak jenis beruang, yang terakhir dikaitkan terutamanya dengan anjing keragaman gunung. Ekornya biasanya dipotong sebanyak kira-kira sepertiga panjangnya dan biasanya menuding tegak ke atas atau pada sudut sedikit. Secara tradisional, telinganya dipotong, hampir ke pangkalnya.
Anjing Kuchi ialah anjing tinggi, dengan garis belakang lurus, yang biasanya membentuk profil segi empat sama dengan tungkai hadapan dan tungkai belakang. Lehernya biasanya panjang dan tebal, dengan banyak kulit berlebihan yang tergantung dari pangkal rahang ke dada. Kepalanya dibawa secara mendatar, atau pada sedikit sudut bawah, dengan mata yang merenung lurus ke hadapan. Muncungnya kering dan berotot.
Tubuhnya kerap dilitupi oleh tompok-tompok gelap yang tidak terlihat melalui lapis bulu. Tompok-tompok ini juga dapat melitupi bahagian dalam mulut, batang hidung, dan abdomen. Warna lapis bulu terdapat dengan banyak keragaman dan tidak penting untuk menentukan baka atau jenis anjing Kuchi. Begitu juga dengan panjang atau struktur bulu. Yang paling kerap, jalur bulu lebih panjang dan lebih kekar melitupi seluruh panjang garis belakang, sementara kawasan leher dipenuhi dengan lapisan wul bawah tebal dan licin, serta helaian bulu yang lebih panjang sedikit daripada bulu pada selebih tubuh.
Saiz gigi berkisar daripada kecil pada sesetengah betina hingga sangat besar pada jantan, dengan taring yang kerap melebihi 1.25 in (3.2 cm). Rupa bentuk taring dapat membentuk cangkuk dengan pangkal lebih tebal dan titiknya terarah ke bahagian dalam mulut atau dapat menjadi lebih lurus dan mirip gading, sama seperti taring serigala.
Terdapat tiga jenis rantauan utama yang diiktiraf, kepunyaan salah satu daripada dua jenis tubuh anjing – jenis singa dan jenis harimau belang. Yang demikian ditentukan bergantung pada binaan dan ciri motor.
Subvarian dan jenis
Anjing Kuchi secara kasar dapat dibahagikan kepada tiga jenis: jenis gunung, jenis steppe, dan jenis gurun.
- Anjing jenis gunung membentuk keragaman bertulang sangat besar dan berlapis bulu berat yang sangat sesuai untuk tinggal di rantau pergunungan banjaran Pamir. Ia biasanya terdapat pada ketinggian lebih tinggi, dengan kelembapan lebih tinggi dan suhu dingin lebih ekstrem.
- Anjing jenis steppe mempunyai binaan jauh lebih ringan, dengan bulu sederhana hingga panjang. Ia lebih pantas dan lebih tangkas di tanah rata meluas berbanding dengan keragaman gunung. Ia dapat bercirikan binaan mirip mastif yang digabungkan dengan penampilan anjing pemburu penglihatan.
- Anjing jenis gurun mewakili varian yang paling kerap terdapat di tanah rata gurun besar, dengan sedikit tumbuh-tumbuhan dan iklim lebih panas. Ia berketinggian sederhana, dengan lapis bulu pendek hingga sederhana panjang yang berasaskan lapisan wul bawah sangat tebal semasa musim sejuk. Ia dapat memiliki ciri kedua-dua jenis lain, terutamanya struktur kepala.
Satu lagi cara untuk mengelaskan anjing Kuchi dapat menurut jenis singa (djence sheri), atau jenis harimau beliau (djence palangi). Pembahagian ini terpakai kebanyakannya untuk anjing jenis gurun, tetapi ada kepentingan untuk beringat bahawa setiap varian rantauan dapat memaparkan ciri yang terdapat pada jenis lain juga.
- Anjing jenis singa mempunyai binaan lebih berat, dengan kepala lebih besar dan dada lebih dalam. Lapis bulunya biasanya lebih tebal dan ia berketinggian sederhana dengan kepala jenis beruang lebih besar.
- Anjing jenis harimau belang adalah lebih kelihatan atletik, dengan habitus panjang dan dalam, kepala berbentuk bata atau baji dan lapis bulu lebih pendek. Ia lebih kerap dikaitkan dengan anjing jenis padang rumput.
Perbezaan antara kedua-duanya juga dapat dilihat daripada cara pergerakan. Anjing jenis singa lebih megah dari segi pergerakan dan kelihatan sangat bangga kerana mengekalkan kepala terangkat semasa berjalan.
Anjing jenis harimau belang pula mempamerkan lebih gerakan mengiring mirip kucing, dengan kepala yang biasanya separas dengan badan, dan kaki hadapan yang berayun ke dalam apabila berjalan, berlari, atau melompat. Kedua-dua jenis adalah amat tangkas dan mempunyai kelajuan dan ketabahan luar biasa apabila berlari atau menyerang.
Sejarah
Lokasi geografi memihak kepada perkembangan pelbagai jenis anjing Kuchi. Sebagai contoh, di kawasan pergunungan, anjing berlapis bulu lebih berat dan bertulang besar lebih diutamakan, sementara di persekitaran gurun, binaan lebih ringan dan lebih tangkas lebih diingini. Pemilihan semula jadi berlaku kerana keadaan persekitaran, serta pilihan manusia. Selama berabad-abad, baka yang 'menetap' dikaitkan dengan rantau masing-masing dan sesetengah baka malah telah menerima nama dan status baka kenel antarabangsa. Anjing Kangal dari Turki, anjing gembala Kaukasus di rantau Kaukasus, dan banyak baka lain, seperti baka gembala besar dari Eropah, kesemuanya tergolong dalam kumpulan anjing ini.
Anjing gembala Asia Tengah ialah salah satu varian yang diwujudkan oleh para pembiak baka Rusia yang ingin mengelaskan kumpulan anjing sangat beragam-ragam di Asia Tengah ke dalam 'piawaian baka' yang membolehkan anjing berkenaan dinilai apabila dihakimi dalam pertandingan dalam pertunjukan anjing popular. Varian ini kerap berpenampilan berbadan besar dan berkepala lebih berat, dengan jenis lebih seragam; dari segi warna (kerap putih), tekstur lapis bulu (lebih pendek—kurang keragaman), dan jenis badan. Terdapat pencapahan ketara bagi jenis daripada anjing Kuchi asli kepada anjing gembala Asia Tengah yang memenangi pertunjukan.
Anjing Kuchi tidak mengubah fenotip asasi sepanjang tempoh sama; kerap berpenampilan beragam-ragam dari segi warna, jenis kepala, jisim badan, dan jenis lapis bulu. Anjing Kuchi perlu bekerja dengan pemiliknya dan melaksanakan tugas. Jika tidak, ia mungkin meluahkan kekecewaan dan kekurangan tujuan dengan cara yang tidak dapat diterima oleh pemiliknya dan selebih masyarakat. Ia masih merupakan baka sangat primitif; anjing Kuchi mempunyai naluri penjagaan semula jadi yang bukan untuk gelanggang pertunjukan sebagai susur galur pekerja semata-mata.
Lihat juga
Catatan
- ^ Jawi: انجيڠ کوچي; bahasa Inggeris: Kuchi dog
Rujukan
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Anjing Kuchi |
- ^ "Afghan Shepherd" [Anjing Gembala Afghan] (dalam bahasa Inggeris). DogInfo411.com. Dicapai pada 17 Mei 2025.
- ^ a b Morris, Desmond (2002). Dogs: The Ultimate Dictionary of Over 1,000 Dog Breeds [Anjing: Kamus Muktamad Lebih daripada 1,000 Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 621. ISBN 9781570762192. OCLC 859060407.
- ^ Tapper, Richard Lionel (5 Februari 2008). "Who are the Kuchi? Nomad self-identities in Afghanistan" [Siapakah orang Kuchi? Pengenalan diri nomad di Afghanistan]. Journal of the Royal Anthropological Institute (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 14 (1): 97–116. doi:10.1111/j.1467-9655.2007.00480.x. ISSN 1467-9655. JSTOR 20203586. S2CID 161713394.
- ^ Stewart, Roderick James Nugent (2004). The Places in Between [Tempat-tempat di Perantaraan] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). London, United Kingdom: Picador. m/s. 202–203. ISBN 9780330486330. OCLC 56116995.