Kategori | Pelajar Menengah & Remaja |
---|---|
Kekerapan | Bulanan |
Penerbit | Blue-T Publication Sdn. Bhd. |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Bahasa Melayu |
Laman web | www |
Majalah Ana Muslim merupakan sebuah majalah berbahasa Melayu yang diterbitkan di Malaysia. Ia diterbitkan secara bulanan.
Majalah Ana Muslim mengkhusus dalam pembentukan akhlak dikalangan remaja muslim. Majalah Ana Muslim diterbitkan oleh Blue-T Publication Sdn. Bhd. dan diterbitkan sebulan sekali khusus untuk pelajar berusia 14 tahun ke bawah dengan edaran sebanyak 40,000 naskah sebulan. Melalui perancangan dan sasaran pasaran, Blue-T Publication Sdn. Bhd. yakin akan dapat meningkatkan pengedaran sebanyak 50,000 naskah menjelang tahun 2008 untuk pasaran terbuka. Majalah ini diedarkan di seluruh Malaysia dan juga ke sekolah-sekolah.
Majalah Ana Muslim juga menerapkan unsur kemasyarakatan dan nilai-nilai murni yang ditonjolkan melalui siri dramanya iaitu Siri Ana Solehah, Siri Rajawali F.C dan Siri Satria Bulan Bintang serta topik yang menarik seperti ruangan Adab & Doa, Kisah dari Al-Quran, Tokoh Islam, Inggeris, Sains, Bahasa Arab dan banyak lagi. Majalah yang berslogan membentuk peribadi mulia ini juga mengandungi bahan sokongan program j-QAF dalam konsep kartun yang ceria dan ini mampu menarik minat kanak-kanak.
Konsep Majalah
Ana Muslim mula diterbitkan pada Mei 1998. Logo Ana Muslim telah di ubah dan menerima konsep baru pada bulan Mac 2007 untuk edisi yang baru majalah Ana Muslim. Penggunaan logo baru adalah untuk menyuntik pembaharuan dari semasa ke semasa bagi memenuhi selera pembaca dan menghadapi cabaran era baru. Terdapat perubahan yang menyeluruh terhadap logo Ana Muslim. Perkataan “Ana” menggunakan huruf kecil tetapi dibesarkan saiznya. Ini sebagai penegasan yang menggambarkan Ana (saya) hebat. Melalui saiz yang besar ini dapat menunjukkan keyakinan diri. Perkataan Ana Muslim itu juga adalah satu doa. Di belakang tulisan Ana Muslim terdapat “kotak dialog” yang berwarna. “Kotak dialog” ini menggambarkan bahawa majalah Ana Muslim adalah untuk pembaca kanak-kanak. Elemen kanak-kanak dapat dilihat melalui “kotak dialog” dan juga font Ana Muslim yang menggunakan huruf kecil.
Majalah Ana Muslim merupakan majalah yang berkonsepkan Komik Pendidikan. Melalui lukisan kartun, penyampaian ilmu dan pendidikan dapat disampaikan dalam bentuk yang lebih santai di mana ia lebih mudah diterima oleh kanak-kanak.
Majalah ini juga menyokong dan menjadi bahan sokongan program j-QAF (Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab & Fardu Ain) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sejajar dengan pendekatan konsep Islam Hadhari yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Selain daripada kandungan bahan j-QAF, kandungan lain yang sama penting yang diterapkan di dalam Majalah Ana Muslim ini ialah seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan juga Sains.
Majalah Ana Muslim juga memuatkan latihan, kuiz dan permainan yang menguji kekuatan minda kanak-kanak seterusnya merangsang penjanaan minda mereka ini. Tidak ketinggalan juga, pertandingan dan peraduan turut dimuatkan di dalam Majalah Ana Muslim bagi mewujudkan satu persaingan yang positif di kalangan kanak-kanak ini.