Umum | |||
---|---|---|---|
Pengarang | Lewis Carroll | ||
Negara | United Kingdom | ||
Bahasa | Inggeris | ||
Genre | Cereka | ||
Penerbitan | |||
Pengilustrasi | John Tenniel | ||
Penerbit | Macmillan | ||
Tarikh penerbitan | 26 November 1865 | ||
Kronologi | |||
|
Alice's Adventures in Wonderland (atau Alice in Wonderland, diterjemahkan sebagai "Alice di Alam Ajaib") ialah sebuah novel yang dikarang oleh seorang pengarang Inggeris, Charles Lutwidge Dodgson yang memakai nama samaran Lewis Carroll, dan mulai diterbitkan pada tahun 1865.[1] Kisahnya mengenai seorang gadis bernama Alice yang terjatuh ke dalam lubang arnab lalu memasuki sebuah alam fantasi bernama Wonderland, yang diduduki oleh beraneka makhluk bersifat manusia yang aneh-aneh belaka. Cereka ini digemari oleh golongan dewasa dan kanak-kanak sepanjang zaman kerana unsur-unsur penceritaan yang melawan logik.[2] Ia dianggap sebagai salah satu contoh terbaik dalam genre karut sastera,[2][3] apatah lagi aliran dan struktur naratifnya yang teramat berpengaruh,[3] khususnya dalam genre fantasi.
Sinopsis
Bab 1: Memasuki Lubang Arnab
Alice duduk kebosanan di tepi tebing sungai bersama kakaknya, apabila dia terlihat seekor Arnab Putih yang berpakaian dan bercakap seperti manusia, memecut di depan matanya. Alice mengekori arnab itu hingga ke dalam lubang arnab, tetapi tiba-tiba tersungkur jauh ke dalam sebuah bilik aneh dengan pintu-pintu terkunci yang beraneka besar kecilnya. Alice menemui sebatang kunci kecil untuk membuka pintu yang terlalu kecil untuk dilaluinya, tetapi menuju kepada sebuah kebun yang indah di depan matanya. Kemudian, dia menemui lalu meneguk sebotol air yang berlabel "DRINK ME" (minum saya), yang airnya mengecilkan peminumnya sehingga terlalu kecil untuk memegang kunci itu. Kemudian, dia memakan sebiji kek yang tertera "EAT ME" (makan saya) padanya, yang membesarkan dirinya menjadi gergasi sampai terhantuk kepalanya pada siling.
Bab 2: Kolam Air Mata
Alice berasa tidak senang dan menangis-nangis sehingga air matanya membanjiri bilik. Selepas mengecil semula kerana sehelai kipas yang dipungutnya, Alice merenangi air mata sendiri sehingga berjumpa dengan Sang Tikus yang turut berenang. Alice ingin bersembang dengan Sang Tikus tetapi dia asyik terfikir akan kucing belaannya yang menyinggung perasaan Sang Tikus.
Bab 3: Lumba Kokus dan Cerita Panjang
Banjir air mata dipenuhi dengan haiwan-haiwan lain yang turut terhanyut sekali. Alice dan haiwan-haiwan yang lain itu bersidang di tebing untuk membincangkan bagaimana untuk menjadi kering semula. Sang Tikus membuat syarahan yang bersahaja tentang William si Penakluk kepada mereka semua. Seekor burung dodo memutuskan bahawa penyelesaikan yang terbaik untuk mengeringkan mereka semua adalah mengadakan Lumba Kokus, yang mana mereka semua berlari-lari dalam bulatan tanpa apa-apa menang kalah. Alice tanpa sengaja menakutkan semua haiwan dengan bersembang tentang kucingnya.
Bab 4: Arnab Menghantar Bill si Kecil
Arnab Putih muncul semula untuk mencari sarung tangan dan kipas milik Duchess. Ia tersilap sangka Alice sebagai pembantu rumahnya, Mary Ann, lalu mengarahkan gadis itu supaya memasuki rumahnya untuk memungut barang-barang itu, tetapi sebaik sahaja melangkah masuk, Alice membesar semula. Dalam ketakutan, Arnab Putih mengarahkan tukang kebunnya, Bill si Biawak, untuk memanjat bumbung dan menuruni serombong. Alice mendengari suara haiwan-haiwan yang berkumpul di luar dan ternganga melihat lengan gergasinya. Mereka semua melontar batu kerakal ke arahnya, tetapi batu-batu itu bertukar menjadi kuih kecil. Alice memakan kek-kek itu untuk mengecil balik.
Bab 5: Nasihat Sang Beluncas
Alice bertembung dengan seekor Sang Beluncas yang menghisap gudu-gudu di atas sebatang cendawan. Sang Beluncas menyoal Alice dan dibalas dengan pengakuan krisis identiti yang dialami oleh gadis itu, diburukkan lagi oleh kesukarannya mengingati serangkap puisi pun. Sebelum merayap pergi, Sang Beluncas memesan Alice bahawa sebelah cendawan ini meninggikan badannya manakala sebelah yang lain memendekkannya. Maka dia membelah cendawan itu kepada dua keping. Sebelah cendawan itu mengecutkannya sehingga lebih kecil daripada dahulu, dan sebelah lagi menyebabkan lehernya tumbuh menjadi setinggi pokok, sehingga seekor merpati tersangkanya sebagai ular. Setelah bersusah-payah seketika, Alice berjaya memulihkan dirinya kepada ketinggian biasa. Dia bertemu dengan sebuah estet kecil lalu menggunakan cendawan sakti itu untuk mendapatkan ketinggian yang sesuai.
Bab 6: Babi dan Lada
Seorang Kundang Ikan menyampaikan surat undangan untuk Duchess kepada Kundang Katak. Alice memerhatikan urusan itu, kemudian bersembang dalam kebingungan dengan katak itu, dan akhirnya menjejak kaki ke dalam rumah Duchess. Selepas acap kali membuang hidangan, tukang masak Duchess memasak sup yang terlalu banyak lada, sehingga menyebabkan Alice, Duchess dan bayinya bersin kuat (tetapi tukang masak atau kucing Cheshire belaannya pula terlepas). Duchess menyerahkan bayi itu kepada Alice, tetapi Alice dikejutkan apabila bayi itu menjadi bentuk babi. Kucing Cheshire muncul di atas pokok dan mengarahkan Alice ke arah rumah March Hare. Kemudian, kucing itu terus lesap, tetapi mulutnya yang tersenyum lebar masih kelihatan terapung-apung di udara, memanggil Alice untuk mengomen bahawa dia pernah melihat kucing tanpa senyuman lebar, tetapi tidak pernah melihat senyuman lebar tanpa kucing.
Bab 7: Jamuan Teh yang Gila
Alice menjadi tetamu di sebuah jamuan teh yang "gila" bersama Hatter, March Hare, dan Dormouse yang asyik tidur sepanjang kebanyakan bab ini. Dalam jamuan itu, Alice dihujani oleh teka-teki dan cerita dari watak-watak lain, termasuklah soalan "Mengapakah burung raven umpama meja menulis?" yang tiada jawapan. Si Hatter itu menjelaskan bahawa mereka bertiga minum teh sepanjang hari kerana masa telah menghukumnya dengan terhenti begitu sahaja pada pukul enam petang (masa minum teh). Alice terasa terhina dan jemu melayan kebanjiran teka-teki lalu meninggalkan apa yang disifatkannya sebagai jamuan teh paling bodoh yang pernah dihadirinya.
Bab 8: Padang Kroket Ratu
Alice keluar dari jamuan teh itu lalu memasuki sebuah taman dan bertemu dengan tiga keping daun terup bernyawa yang tengah mengecat bunga mawar putih menjadi merah pada pokok mawar, kerana Ratu Hati membenci mawar putih. Tibanya searakan lagi daun terup, raja-raja dan ratu-ratu, tidak lupa juga Arnab Putih, memasuki taman. Alice kemudian menghadap Raja dan Ratu. Ratu ini sukar dilayan orangnya, dan terkenal dengan ungkapan "Pancung kepalanya!" yang dilaungkannya walaupun sedikit sekali tidak berpuas hati dengan seorang suruhannya. Alice diundang (ataupun dititah) supaya bermain kroket bersama Ratu dan orang-orang suruhannya tetapi permainan mereka cepat menjadi kelam-kabut. Burung flamingo hidup digunakan sebagai kayu pemukul, dan landak kecil sebagai bola. Sekali lagi, Alice bersua dengan Kucing Cheshire. Kemudian, Ratu Hati bertitah supaya Kucing itu dipancung, tetapi pertandanya mengadu akan mustahilnya kerana hanya kepala kucing itu yang kelihatan. Memandangkan kucing itu adalah belaan Duchess, Ratu terpanggil untuk membebaskan Duchess dari penjara untuk menyelesaikan masalah ini.
Bab 9: Kisah Tuntung Palsu
Duchess dibawa ke padang kroket atas permintaan Alice, lalu merenungi pencarian moral di sebalik segala di sekitarnya. Ratu Hati menyuraikan Duchess dengan ugutan hukuman mati. Selepas itu, Alice diperkenalkan kepada Gryphon, yang membawanya untuk berjumpa dengan Tuntung Palsu. Tuntung Palsu amat sedih sungguhpun tiada kedukaan. Ia cuba menceritakan bahawa dia merupakan tuntung yang sebenar sewaktu di bangku sekolah , tetapi dicelah Gryphon supaya mereka boleh bermain bersama.
Bab 10: Kuadril Udang Karang
Tuntung Palsu dan Gryphon menari ikut Kuadril Udang Karang, sementara Alice mengucapkan sajak "'Tis the Voice of the Lobster". Tuntung Palsu menyanyikan lagu "Beautiful Soup" buat mereka, ketika Gryphon mengheret Alice keluar untuk menghadiri perbicaraan.
Bab 11: Siapakah yang Mencuri Tart?
Alice menghadiri perbicaraan Pekak Hati yang dituduh mencuri kuih tart Ratu. Jurinya terdiri daripada beraneka haiwan, termasuklah Bill si Biawak, Arnab Putih menjadi pemain trompet mahkamah, dan hakimnya tak lain tak bukan Raja Hati. Sewaktu prosiding, Alice mendapati dirinya semakin besar. Dormouse memarahi Alice dan menegurnya bahawa dia tidak berhak untuk membesar sebegitu cepat hingga memenuhi ruang. Alice mencemuh tuduhan Dormouse itu sebagai mengarut kerana semua orang membesar dan dia tidak terdaya dengan hal itu. Sementara itu, para saksi di perbicaraan termasuklah Hatter yang memurkakan Raja dengan meluahkan jawapan yang tidak terus kepada persoalan, serta tukang masak Duchess.
Bab 12: Bukti Alice
Alice kemudiannya dipanggil ke depan sebagai saksi. Tanpa sengaja, dia menumbangkan petak juri yang diisi dengan haiwan-haiwan, maka Raja bertitah supaya haiwan-haiwan itu dikembalikan ke tempat duduk masing-masing sebelum perbicaraan bersambung. Raja dan Ratu memerintah Alice supaya keluar dari mahkamah, berlandaskan Peraturan 42 ("Semua orang tingginya melebihi sebatu mesti keluar dari mahkamah"), tetapi Alice mempertikai pengadilan mereka dan enggan pergi, lantas berbalah dengan Raja dan Ratu tentang prosiding yang mengarut ini tanpa berdiam diri. Maka Ratu melaungkan cogan kata "Pancung kepalanya!" tetapi Alice tidak berasa gentar pun, sehingga dia mencaci mereka sebagai sekadar daun terup, sambil dikerumuni oleh para pengawal daun terup. Sehinggalah Alice dibangunkan oleh kakaknya untuk masa minum teh, lantas menyapu setimbun daun dari mukanya. Alice mengundurkan diri dari kakaknya di tebing untuk membayangkan semula segala peristiwa aneh yang menimpanya.
Rujukan
- ^ BBC's Greatest English Books list
- ^ a b Lecercle, Jean-Jacques (1994) Philosophy of nonsense: the intuitions of Victorian nonsense literature Routledge, New York, page 1 and following, ISBN 0-415-07652-8
- ^ a b Schwab, Gabriele (1996) "Chapter 2: Nonsense and Metacommunication: Alice in Wonderland" The mirror and the killer-queen: otherness in literary language Indiana University Press, Bloomington, Indiana, pp. 49–102, ISBN 0-253-33037-8
Pautan luar
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Alice's Adventures in Wonderland. |