Negara | Qatar |
---|---|
Kawasan siaran | Antarabangsa |
Ibu pejabat | Doha |
Pemilikan | |
Pemilik | Al Jazeera Satellite Network |
Sejarah | |
Dilancarkan | 30 November 1996 |
Al Jazeera (bahasa Arab: الجزيرة), yang bermaksud "Semenanjung" dalam bahasa Arab, ialah saluran berita dan ehwal semasa 24 jam bahasa Arab yang beribu pejabat di Doha, Qatar. Ia kini merupakan antara rangkaian media terbesar Arab di bawah syarikat induk Al Jazeera Satellite Network pemiliki dan pengendali beberapa saluran dedikasi lain seperti Al Jazeera English.
Al Jazeera mendapat perhatian dunia selepas peristiwa serangan 11 September 2001 di New York, Amerika Syarikat apabila ia menayangkan rakaman siaran para pemimpin Al Qaeda seperti Osama bin Laden. Sejak itu, ia banyak menimbulkan perasaan prasangka terutama sekali di kalangan ahli dan para pemimpin politik Amerika Syarikat seperti Donald Rumsfeld. Saluran berkenaan juga banyak menimbulkan kontroversi di kalangan pemimpin dan kerajaan Arab dengan laporan warta berita yang berani dan mencabar.
Kehadiran Al Jazeera secara tidak langsung telah banyak mengubah lanskap dan geopolitik dunia Arab. Ramai bersetuju[nyatakan menurut siapa?] ia banyak menyumbang ke arah kebebasan bersuara di kalangan media Arab, sesuatu yang asing sebelum kemunculan saluran berkenaan.
Sejarah
Sejarah penubuhan Al Jazeera bermula pada tahun 1995 apabila Perbadanan Penyiaran Britain, BBC World Service menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat komunikasi Arab Saudi, Orbit Communications, bagi menubuhkan sebuah saluran berita bahasa Arab untuk saluran syarikat berkenaan. Walau bagaimanapun, kebebasan editorial pintaan BBC diketepikan oleh kerajaan Arab Saudi.
Pada bulan April 1996, BBC menyiarkan sebuah laporan hak asasi manusia di Arab Saudi yang menimbulkan kemarahan kerajaan negara tersebut sekaligus menyebabkan Orbit Communications membatalkan perjanjian siaran. Saluran berkenaan dihentikan setelah beberapa bulan beroperasi. Berikutan itu dan bosan dengan penindasan kebebasan bermedia menyebabkan ramai tenaga kerja BBC World Service menyertai Al Jazeera dan pada 30 November 1996, Al Jazeera memulakan siaran secara rasmi dengan dana sebanyak US$150 juta ehsan Emir Qatar.
Operasi
Pusat operasi utama dan pusat penyiaran Al Jazeera terletak di Doha, Qatar dan disokong oleh lebih 40 jabatan biro berita antarabangsa. Kebanyakan jabatan biro berita Al Jazeera berada di Timur Tengah dan benua Afrika dan Madagascar
Matlamat utama Al Jazeera adalah untuk beroperasi sepenuhnya melalui pendapatan pengiklanan menjelang tahun 2001. Walau bagaimanapun, saluran berkenaan gagal mencapai matlamat tersebut dan Emir Qatar bersetuju untuk terus menyalurkan sumbangan dana dan subsidi bagi membiayai operasi saluran tersebut setiap tahun. Pendapatan utama lain termasuk pengiklanan, yuran langganan, perjanjian penyiaran dengan syarikat lain dan jualan kandungan. Pada tahun 2000, pengiklanan telah menyumbang sebanyak 40% daripada jumlah keseluruhan pendapatan Al Jazeera.
Kontroversi & kritikan
Dunia Arab
Al Jazeera banyak menimbulkan kontroversi di kalangan negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait dan Qatar melalui laporan warta berita dan rancangan terbitan siarannya. Akibatnya, ramai pemberita dan wartawan saluran berkenaan diusir keluar dan dihalang dari negara-negara terlibat. Sebagai contoh, kerajaan Bahrain menuduh Al Jazeera sering berpihak kepada Israel dan menentang negara kecil teluk tersebut. Selain itu, pandangan kontroversi hubungan sukar antara dua negara Lubnan dan Syria dan badan kehakiman di Mesir juga banyak menimbulkan kemarahan pelbagai pihak berkuasa.
Al Jazeera kadangkala mengambil pendekatan yang penuh drastik. Misalnya pada 27 Januari 1999, Al Jazeera secara terbuka mengkritik kerajaan Algeria ketika rancangan siaran langsung The Opposite Direction, menyebabkan kerajaan negara tersebut memotong bekalan tenaga elektrik ke sebahagian besar ibu negara Algeria iaitu Algiers bagi menghalang penduduk tersebut menerima siaran saluran tersebut.
Kini, Al Jazeera dilihat sebagai saluran berita yang bersikap optimis dan lebih menekankan kisah-kisah kemanusian dan hak keamanan masyarakat dunia khususnya di bahagian negara-negara timur tengah. Sebagai contoh, dalam tragedi serangan dan pengepungan kapal-kapal aktivis bantuan ke Gaza edisi Mei-Jun 2010, Al Jazeera dilihat sering mengutamakan hak-hak rakyat Palestin di bumi mereka dan sentiasa melontarkan persoalan tentang kerelevanan penahan hantaran bantuan ke Gaza oleh tentera Israel. Dalam suatu rancangan terbitannya, Inside Iraq, Al Jazeera juga mengetengahkan isu-isu berkaitan kemanusiaan dan hak kehidupan sebenar rakyat Iraq selain mengadakan debat antara pemimpin pro-Amerika dan para pengkritik dalam isu Iraq dan timur tengah.
Dunia barat
Di kalangan dunia barat, media dan kerajaan Amerika Syarikat ialah pengkritik terhebat Al Jazeera yang dituduh sebagai suara dan lidah pengganas. Kesan akibat tuduhan tersebut menyebabkan Jabatan Biro Berita Kabul Al Jazeera dibom pada bulan November 2001 dalam satu serangan udara oleh tentera Amerika Syarikat. Ia mengakibatkan Tariq Ayoub, wartawan saluran berkenaan meninggal dunia dalam serangan udara tersebut. Jurukamera Al Jazeera, Sami Al Hajj ditahan ketika bersinggah di Afghanistan pada bulan Disember 2001 dan kini masih berada dalam tahanan Amerika Syarikat di Kem Delta, Teluk Guantánamo.
Kritikan
Pengkritik Al Jazeera menuduh bahawa sensasi terbitan saluran tersebut disengajakan bagi meningkatkan jumlah penonton saluran berkenaan. Walau bagaimanapun, ramai juga[nyatakan menurut siapa?] yang bersetuju bahawa kehadiran Al Jazeera di kalangan dunia Arab banyak membantu ke arah kebebasan bersuara media Arab, sesuatu yang asing sebelum kemunculan saluran berkenaan.
Rangkaian media Al Jazeera
Al Jazeera Satellite Network ialah pemilik dan pengendali beberapa saluran dedikasi khas selain saluran berita antarabangsa 24 jam bahasa Arab Al Jazeera. Berikut ialah senarai saluran milik dan kendalian Al Jazeera Satellite Network.
Berita & ehwal semasa
| ||
Saluran berita dan ehwal semasa 24 jam bahasa Arab. | Memulakan siaran pada tahun 1996 | www.aljazeera.net |
- Al Jazeera ialah saluran berita dan ehwal semasa 24 jam bahasa Arab yang beribu pejabat di Doha, Qatar. Kini, ia merupakan saluran berita pilihan dunia Arab.
| ||
Saluran berita dan ehwal semasa 24 jam bahasa Inggeris. | Memulakan siaran pada tahun 2006 | english.aljazeera.net |
- Al Jazeera English (AJE) ialah saluran berita dan ehwal semasa bahasa Inggeris 24 jam yang beribu pejabat di Doha, Qatar, saluran pertama dan seumpamanya di dunia yang berpangkalan di Timur Tengah. Dari kedudukan unik tersebut, saluran berkenaan berazam untuk mengimbangi arus media perdana semasa dengan laporan dari dunia membangun ke barat dan dari benua selatan ke utara. Ia juga turut menyediakan ruang kepada suara yang tidak didengari, menggalakkan perbahasan dan mencabar bukti-bukti tanggapan umum. Al Jazeera English menyiarkan rancangan terbitan umum seperti laporan dan analisis warta berita, rancangan umum ehwal semasa dan rencana, temu ramah langsung, berita hiburan, laporan perniagaan dan sukan, melalui laporan yang objektif, tepat dan tidak berat sebelah. Ia juga merupakan rangkaian televisyen definisi tinggi yang pertama di dunia.
| ||
Saluran dedikasi khas politik dan ehwal umum. | Memulakan siaran pada tahun 2005 |
- Al Jazeera Mobasher ialah saluran dedikasi politik dan ehwal umum yang memulakan siaran secara rasmi pada 15 April 2005. Ia ialah saluran seumpamanya di dunia Arab sama seperti saluran BBC Parliament di United Kingdom dan C-SPAN di Amerika Syarikat. Al Jazeera Mobasher menyiarkan persidangan politik dan ehwal umum siaran secara langsung dengan terjemahan sari kata jika perlu tanpa suntingan dan komentari pemberita. Perkataan mobasher bermaksud "Langsung" dalam bahasa Arab.
Dokumentari
- Al Jazeera Documentary Channel
Inforia
| ||
Saluran dedikasi inforia kanak-kanak bahasa Arab. | Memulakan siaran pada tahun 2005 | www.jcctv.net Diarkibkan 2011-05-10 di Wayback Machine |
- Al Jazeera Children's Channel (JCC) ialah saluran dedikasi inforia bahasa Arab kanak-kanak yang berusia 3 hingga 15 tahun. Ia secara rasmi memulakan siaran pada 9 September 2005 dan beribu pejabat di Education City, Doha, Qatar. Sebagai saluran pendidikan dan hiburan, JCC berharap ia dapat membantu proses kedewasaan kanak-kanak melalui cara dan kaedah pembelajaran riang.
Sukan
| ||
Saluran dedikasi sukan bahasa Arab. | Memulakan siaran pada tahun 2003 | aljazeerasport.net |
- Al Jazeera Sports ialah saluran dedikasi sukan bahasa Arab yang beribu pejabat di Education City, Doha, Qatar. Ia bersiaran secara rasmi pada bulan November 2003 dan kini merupakan saluran sukan pilihan penduduk Timur Tengah. Saluran berkenaan mempunyai hak siaran untuk Formula 1, Piala FA Inggeris, Serie A Itali, La Liga Sepanyol, SuperLiga Portugal dan lain-lain.
Capaian
Setelah lebih sedekad lamanya, Al Jazeera kini merupakan saluran berita pilihan ramai penduduk Timur Tengah. Jumlah penonton antarabangsa saluran berkenaan kini menyaingi saluran berita BBC World dengan anggaran 40 hingga 50 juta penonton.
Creative Commons
Pada 13 Januari 2009, Al Jazeera mengeluarkan suatu video dari Gaza di bawah lesen Creative Commons. Lesen menyambut mereka, termasuklah penyiar lain, untuk menggunakan semula video, dengan Al Jazeera yang dihargai. Video-video ini dihoskan di blip.tv, yang membernarkan muat turun senang dan integrasi dengan miro, dan boleh ditontoni di laman Al Jazeera Creative Commons.[1][2][3][4][5][6]
Rujukan
- Sumber internet
- (Bahasa Inggeris) - allied-media.com/aljazeera, 26 Mac 2007.
- ^ Benenson, Fred (2009-01-13). "Al Jazeera Launches Creative Commons Repository". creativecommons.org. Dicapai pada 2009-01-19.
- ^ Steuer, Eric (2009-01-13). "Al Jazeera Announces Launch of Free Footage Under Creative Commons License". creativecommons.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-01-18. Dicapai pada 2009-01-19.
- ^ Cohen, Noam (2009-01-11). "Al Jazeera provides an inside look at Gaza conflict". Herald Tribune. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-01-21. Dicapai pada 2009-01-19.
- ^ "Al Jazeera Announces Launch of Free Footage under Creative Commons License". Al Jazeera Creative Commons Repository. Dicapai pada 2009-01-19.
- ^ Andrews, Robert (2009-11-14). "Al Jazeera Offers Creative Commons Video, Lessig Lends Backing". paidcontent.co.uk. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-25. Dicapai pada 2009-01-19.
- ^ Ito, Joi (2009-01-14). "Al Jazeera Launches Creative Commons Repository". joi.ito.com. Dicapai pada 2009-01-19.
Pautan luar
- (Bahasa Arab) - Laman rasmi Al Jazeera
- (Bahasa Arab) - Laman rasmi Al Jazeera Sports
- (Bahasa Inggeris) - Laman rasmi Al Jazeera Children's Channel Diarkibkan 2007-02-10 di Wayback Machine
- (Bahasa Inggeris) - Laman rasmi Al Jazeera English