Datuk Haji Ahmad Badawi Abdullah J.M.N. (Kehormat), P.P.M. | |
---|---|
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bagi Bertam | |
Dalam jawatan 1974–1977 | |
Didahului oleh | Konstituensi baharu |
Digantikan oleh | Abdul Rahman Abbas |
Ahli Dewan Negara Malaysia | |
Dalam jawatan 1962–1968 | |
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bagi Kepala Batas | |
Dalam jawatan 1959–1974 | |
Didahului oleh | Konstituensi baharu |
Digantikan oleh | Konstituensi dibubar |
Maklumat peribadi | |
Lahir | Syuib Ali, Makkah, Arab Saudi | 13 Oktober 1907
Mati | 7 Mei 1977 | (umur 69)
Parti politik | UMNO (1946-1977) Parti Islam Se-Malaysia (1951-1954, keanggotaan serentak) |
Pasangan | Kailan binti Hassan Kwantung |
Anak | 4 (Abdullah, Muhammad Tahir, Ibrahim, Aminah) |
Kediaman | Kepala Batas, Pulau Pinang |
Pekerjaan | Ahli politik, ulama |
Haji Ahmad Badawi Abdullah (13 Oktober 1907 – 7 Mei 1977) atau nama sebenar, Haji Ahmad bin Abdullah merupakan seorang ulamak dan ahli politik Malaysia kelahiran Makkah al-Mukarramah, Arab Saudi. Beliau merupakan antara pengasas Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS), dan menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS yang pertama. Walau bagaimanapun, beliau memilih untuk kekal bersama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), selepas PAS memansuhkan sistem dwi-keahlian. Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepala Batas dan Bertam, Pulau Pinang. Beliau juga pernah dilantik sebagai ahli Dewan Negara pada tahun 1964 hingga 1968.[1]
Anaknya iaitu Abdullah bin Ahmad Badawi merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-5.
Latar belakang
Haji Ahmad Badawi dilahirkan di Syuib Ali, Mekah pada 13 Oktober 1907. Ayah beliau, Sheikh Abdullah Fahim bin Ibrahim bin Tahir bin Kamaruddin al-Fathani adalah seorang ulamak besar di Mekah, sebelum menubuhkan Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah di Kepala Batas pada 1926, menjadi Mudir Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar (1932-1948) dan menjadi Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai sejak 1951. Dengan latar belakang keluarganya yang merupakan generasi ulamak-ulamak terkenal, Haji Ahmad Badawi berpeluang mengikuti pengajian agama dengan ulamak-ulamak Mekah sehingga 1920.
Haji Ahmad Badawi mendirikan rumahtangga bersama Kailan binti Hassan Kwantung dan dikurniakan 4 orang anak. Anaknya, Abdullah Ahmad Badawi adalah bekas Perdana Menteri Malaysia Kelima (2003-2008), manakala Ibrahim Ahmad Badawi adalah seorang ahli perniagaan terkenal dengan jenama “Brahim’s.” Dua orang lagi ialah Mohammad Tahir Ahmad Badawi dan Aminah Ahmad Badawi.
Pendidikan
Beliau kemudian belajar di Sekolah Arab Limbongan Kapal, Alor Setar ketika ayahnya mengajar di sekolah itu yang kini dikenali sebagai Maktab Mahmud antara 1920 hingga 1926. Pada akhir 1927, beliau telah kembali semula ke Mekah untuk belajar di sana selama 10 musim haji. Antara guru utama beliau di Mekah ialah Sheikh Syed Mohamad Amin. Beliau terkenal sebagai seorang pelajar yang aktif di Mekah sehingga digelar “Badwi” oleh rakan-rakannya. Beliau bergiat aktif dalam sukan dan mengasaskan kelab bola sepak al-Wahdah, iaitu kelab yang terkenal sekarang di Arab Saudi. Beliau juga aktif dalam Persatuan Melayu Hijaz yang satu ketika pernah dipimpin oleh Pak Yusof Rawa, di samping turut bergerak untuk membebaskan Palestin melalui badan “al-Badawi.”
Penglibatan dalam politik
Setelah 10 tahun berada di Tanah Suci kerana menuntut ilmu, pada 1938, beliau telah pulang ke Kepala Batas untuk memimpin Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah yang ditinggalkan ayahnya kerana memimpin Madrasah Idrisiah sejak 1935.
Terlibat dalam UMNO
Selepas Perang Dunia Kedua berakhir pada 1945, sebagai guru agama di Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah dan imam di Masjid Jamek Kepala Batas, beliau mula terlibat dalam politik dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai (PMSP) sebagai Ketua Pemuda. Pada 11 Mei 1946, PMSP telah bergabung menubuhkan UMNO, sekali gus membawa Haji Ahmad Badawi ke dalam UMNO dan menjadi Ketua UMNO Seberang Perai (1946-1950). Ketika Pergerakan Pemuda UMNO diasaskan pada 1949, Haji Ahmad Badawi dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaya (1949-1956), selain turut menduduki Jawatankuasa Kerja Agung UMNO (1952-1964).
Menubuhkan PAS
Sebagai pemimpin UMNO, Haji Ahmad Badawi telah menghadiri Persidangan Alim Ulamak Malaya Pertama di Muar pada 20-21 Februari 1950 dan Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951 yang membawa kepada penubuhan Pertubuhan Ulamak Malaya. Pada persidangan Pertubuhan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kechil (Butterworth) pada 24 November 1951, Haji Ahmad Badawi selaku Ahli Jawatankuasa Sambutan telah mengeluarkan “Manifesto al-Badawi: Ulamak ke Jalan Allah.”
Dalam persidangan ini, nama Pertubuhan Ulamak Malaya ditukar kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) dan Haji Ahmad Badawi terpilih sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS sesi pertama. Sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, pada 23 Mac 1952, beliau telah mengusulkan supaya PAS menubuhkan sebuah “Dewan Pemuda Islam” untuk menggerakkan pemuda-pemuda ahli PAS. Usul ini diluluskan pada 3 April 1952 dan Haji Ahmad Badawi dilantik menjadi Ketua Dewan Pemuda Islam.
Selain memainkan peranan utama menubuhkan Dewan Pemuda PAS, Haji Ahmad Badawi juga bertanggungjawab membawa PAS menyokong Konvensyen Kebangsaan (National Convention) tajaan UMNO-MCA pada 26 September 1953 dan menjadikan Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah yang dimudirinya sebagai Pejabat Agung PAS (1953-1954).
Memilih kekal bersama UMNO
Memandangkan berlakunya krisis disiplin parti dalam PAS ketika ini kerana kebanyakan pimpinan PAS menganggotai lebih dari satu parti, pada 14 Ogos 1954, PAS telah menetapkan supaya pimpinannya tidak boleh menjadi ahli parti lain serentak, yang menyebabkan Haji Ahmad Badawi memilih untuk kekal bersama UMNO. Sejak itu, Haji Ahmad Badawi telah meninggalkan PAS ketika masih berjawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.
Dalam UMNO, Haji Ahmad Badawi memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang (1957-1959), Ketua UMNO Seberang Perai / Kepala Batas (1950-1977) dan Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang (1975-1977). Beliau turut berperanan sebagai ADUN Kepala Batas (1959-1974), Ahli Dewan Negara (1962-1968),[2] ADUN Bertam (1974-1977), EXCO Kanan Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam (1969-1977) dan pernah memangku jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang pada 1975. Di samping itu, beliau turut aktif dalam kepemimpunan masjid di Kepala Batas, mentadbir Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah dan memimpin badan-badan pentadbiran beberapa sekolah di sekitar Kepala Batas.
Pilihan raya
Tahun | Kawasan | Calon | Undi | Lawan | Undi | Majoriti |
---|---|---|---|---|---|---|
1959 | DUN Kepala Batas, Seberang Perai | Haji Ahmad Badawi Abdullah (Perikatan) | 3,969 | Haji Ahmad Abdullah | 1,569 | 2,400 |
1964 | DUN Kepala Batas, Seberang Perai | Haji Ahmad Badawi Abdullah (Perikatan) | 4,531 | Haji Yusof Abdullah Rawa (PAS) | 1,562 | 2,969 |
Khaw Boon Pin (UDP) | 524 | |||||
Omar Mohamed Yusoff (PRM) | 457 | |||||
1969 | DUN Kepala Batas, Pulau Pinang | Haji Ahmad Badawi Abdullah (Perikatan) | 3,858 | Yahya Hassan (PAS) | 2,938 | |
Abdul Mulok Abu Bakar (Gerakan) | 955 | |||||
1974 | DUN Bertam, Pulau Pinang | Haji Ahmad Badawi Abdullah (Perikatan) | MTB |
Anugerah dan pengiktirafan
- Malaysia
- Pingat Peringatan Malaysia - Perak (P.P.M.) - 1965
- Johan Mangku Negara (J.M.N.) Kehormat - 1977 - pengurniaan secara anumerta
Meninggal dunia
Setelah 70 tahun berkhidmat, Datuk Ustaz Haji Ahmad Badawi bin Haji Abdullah Fahim telah kembali ke rahmatullah pada 7 Mei 1977 semasa masih menjadi ADUN Bertam[5]. Abdul Rahman Abbas menggantikan beliau selepas memenangi pilihanraya kecil[6].
Baca lagi
Rujukan
- ^ Mohd Fadli Ghani (10 Mei 2017). "Biografi PAS – Ustaz Haji Ahmad Badawi : Pengasas Pemuda PAS". Berita PAS. Dicapai pada 23 Jun 2020.
- ^ "Assembly Elects A Senator". The Straits Times. 27 September 1962. m/s. 6. Dicapai pada 23 Jun 2020. Cite has empty unknown parameter:
|dead-url=
(bantuan) - ^ http://studentsrepo.um.edu.my/385/10/APPENDIX.pdf
- ^ "Malaysia General Election 1964 - Penang State Assembly". Singapore-elections. Dicapai pada 23 Jun 2020.
- ^ Chamil Wariya (2004). Abdullah Ahmad Badawi: perjalanan politik PM ke-5. Kuala Lumpur: Utusan Publications. m/s. 95. ISBN 9676115347.
- ^ Choong Kwee Kim (14 Januari 2007). "Missing the simple pleasures". The Star. Dicapai pada 24 Jun 2020. Cite has empty unknown parameter:
|dead-url=
(bantuan)
- Bekas anggota Parti Islam Se-Malaysia
- Anggota Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
- Orang dari Pulau Pinang
- Kelahiran 1907
- Kematian 1977
- ADUN Pulau Pinang
- Anak ahli politik Malaysia
- Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia pertama
- Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia ke-2
- Tuan guru pondok di Malaysia
- Ketua Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia
- Orang Malaysia berketurunan Arab
- Orang Malaysia berketurunan Yaman
- Orang Malaysia berketurunan Melayu
- Keluarga Abdullah Ahmad Badawi