
Vyasatirtha (IAST:Vyāsatirtha_ —juga dikenali sebagai Vyasaraya—merupakan wali, ahli falsafah Hindu, sarjana, pakar polemik, penyair dan juga seorang pentadbir yang cekap dalam empayar Vijayanagara.
Kehidupan Awal
Kelahiran dan Pendidikan Awal
Dilahirkan pada tahun 1447 Masihi sebagai anak kepada Ramacarya (Ballanna) dan Laksmidevi (Akkamma) di Abbūr (Bannur) dalam daerah Mysore, Karnataka. Nama asalnya ialah Yatiraja.
Dalam tradisi Madhva, Vyasatirtha dianggap sebagai amsha (penjelmaan sebahagian) Prahlada.
Menurut Vyasayogicharita, pasangan tersebut yang tidak mempunyai anak telah mendekati seorang orang alim bernama Brahmanya Tirtha, yang kemudian mengurniakan mereka anugerah untuk mendapat tiga orang anak, dengan syarat bahawa anak kedua—yang kelak dikenali sebagai Yatiraja—perlu diserahkan kepadanya. Setelah Yatiraja menjalani upanayana (upacara pelantikan sebagai pelajar), Brahmanya Tirtha mengambil alih penjagaan beliau.
Kehidupan Rahib
Brahmanya amat terkesan dengan kecerdasan luar biasa kanak-kanak itu dan berhasrat untuk menahbiskannya sebagai seorang sannyasi. Namun, Yatiraja yang menjangka hasrat tersebut telah melarikan diri dari pertapaan. Ketika berehat di bawah sepohon pokok, beliau mendapat satu penglihatan tentang Tuhan Vishnu, yang menyerunya supaya kembali. Yatiraja menurut perintah tersebut, dan mengambil ikrar rahib dan mengambil nama baru Vyasatirtha. Menurut pakar Indologi, B.N.K. Sharma, ketika ini Vyasatirtha dianggarkan berumur sekitar 16 tahun.
Selepas kewafatan Brahmanya Tirtha dalam kebuluran besar pada tahun 1475–1476, Vyasatirtha menggantikan beliau sebagai ketua biara di Abbur pada tahun 1478.[1] Beliau kemudiannya berangkat ke Kanchipuram, yang ketika itu merupakan pusat pembelajaran sastera agama di India Selatan, untuk mendalami enam aliran falsafah ortodoks: Vedanta, Samkhya, Nyaya, Mimamsa, Vaisheshika dan Yoga. Sharma berpendapat bahawa pendidikan yang diterima di Kanchipuram menjadikan Vyasatirtha mahir dalam selok-belok dan kehalusan ajaran Advaita, Vishistadvaita, Navya Nyaya, serta aliran-aliran pemikiran lain.
Setelah menamatkan pengajian di Kanchipuram, Vyasatirtha pergi ke Mulbagal untuk mempelajari falsafah Dvaita di bawah bimbingan Sripadaraja, yang kemudian dianggapnya sebagai guru utama. Selepas lima hingga enam tahun pengajian, beliau dihantar oleh Sripadaraja ke istana kerajaan Vijayanagara untuk berkhidmat di bawah pemerintahan Saluva Narasimha Deva Raya.[2]
Beliau telah mengembara ke seluruh negara dan membina reputasi sebagai sarjana agung yang tiada tandingan dalam perdebatan falsafah.
Sumber Sejarah
Maklumat mengenai Vyasatirtha diperoleh daripada biografi beliau yang ditulis oleh penyair Somanatha Kavi bertajuk Vyasayogicharita serta daripada bukti-bukti inskripsi. Lagu-lagu karangan Purandara Dasa dan kisah-kisah tradisional turut memberikan gambaran penting mengenai kehidupan beliau. Walaupun Vyasayogicharita merupakan sebuah karya hagiografi, berbeza dengan karya-karya seumpamanya, ia bebas daripada unsur-unsur tokok tambah seperti kisah mukjizat, dan beberapa dakwaan dalam karya tersebut dapat disahkan melalui bukti inskripsi.
Somanatha menyebut di akhir teks bahawa biografi tersebut telah diperakui oleh Vyasatirtha sendiri, yang menunjukkan bahawa karya itu bersifat sezaman. Sesetengah sarjana mengesahkan ketulenan teks ini berdasarkan dakwaan bahawa Somanatha merupakan seorang pengikut Smartha dan oleh itu bebas daripada kecenderungan sektarian. Namun, terdapat juga sarjana lain yang mempersoalkan dakwaan ini kerana ketiadaan bukti yang mencukupi.
Pembangunan Agama Hindu
Beliau mengatur ritual di kuil-kuil Tirumala Tirupati selama dua belas tahun sebelum menyerahkannya kepada pewaris keturunan para pendeta kuil itu.
Beliau telah mendirikan 732 arca Maruti (Hanuman) di pelbagai tempat di seluruh negara.
Matha (biara) yang beliau dirikan di Sosale dalam daerah Mysore masih wujud hingga kini.
Sumbangan dalam Falsafah Hindu
Karya-karya terkenalnya dalam falsafah Dvaita Vedanta ialah: Nyayamrita, Tarkatandava dan Tatparyacandrika.
Karya Nyayamruta beliau telah mencetuskan kegemparan dalam kalangan pengikut Advaita di seluruh negara, sehingga memerlukan sanggahan oleh Madhusudhana Saraswati melalui karyanya Advaitasiddhi.
Atas sumbangannya kepada aliran pemikiran Dvaita, beliau, bersama Madhva dan Jayatirtha, dianggap sebagai tiga mahaguru agung Dvaita (munitraya). Cendekiawan Surendranath Dasgupta mencatatkan bahawa, “Kehebatan logik dan ketajaman pemikiran dialektik yang ditampilkan oleh Vyasa Tirtha hampir tiada tandingan dalam seluruh bidang pemikiran India.
Sumbangan dalam Muzik Hindu
Beliau turut menggubah banyak lagu pujian (Kirtana) dalam bahasa Kannada dengan nama pena Srikrishna. Antara karya beliau yang terkenal termasuk Krishna Nee Begane, Dasarendare Purandara, Krishna Krishna Endu, Olaga Sulabhavo, dan banyak lagi.
Purandara Dasa (1484–1564 M) dan Kanaka Dasa (1508–1606 M), dua ahli penyair suci dan pemuzik tersohor Karnataka, adalah murid-murid beliau.[3]
Sumbangan Politik
Vyasatirtha merupakan rajaguru (penasihat rohani diraja) kepada lima generasi raja-raja Vijayanagar. Dikatakan bahawa beliau telah menyelamatkan Raja Krishnadevaraya (1488–1529 M) daripada kuhyayoga, suatu saat astrologi yang sangat malang dan berbahaya bagi pemerintah.
Dari segi politik, Vyasatirtha bertanggungjawab terhadap pembangunan sistem pengairan di kampung-kampung seperti Bettakonda, serta penubuhan beberapa buah kuil Vayu di wilayah-wilayah baharu yang ditakluki antara Bengaluru dan Mysore, bagi meredakan pemberontakan serta memudahkan proses penyatuan kawasan tersebut ke dalam Empayar.
Rujukan
- ^ Sharma, B.N.K (2000) [1961]. History of Dvaita school of Vedanta and its Literature. Vol. 2 (3rd ed.). Bombay: Motilal Banarasidass. ISBN 81-208-1575-0.
- ^ Jackson, William (2000). Holy People of the World: A Cross-cultural Encyclopaedia. ABC-CLIO. ISBN 978-1-57607-355-1.
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism