Tulisan Kerinchi, Kerinchung atau Rencong merupakan salah satu tulisan kuno yang pernah digunakan secara meluas terutamanya di pulau Sumatera (seperti di Aceh, Kerinci, Bengkulu, Minangkabau, Palembang dan Lampung) dan sebahagian kecil di Sulawesi[1]. Nama Rencong berasal daripada perkataan Melayu yang bermaksud 'serong', merujuk kepada bentuk hurufnya yang condong[2].
Asal-usul tulisan ini adalah daripada sistem tulisan Pallava, yang menyebar ke Asia Tenggara melalui kegiatan perdagangan, keagamaan (Hindu-Buddha), dan pengaruh kerajaan maritim Srivijaya pada abad ke-7 hingga ke-13 masihi[3]. Ia digunakan untuk menulis bahasa-bahasa tempatan seperti Bahasa Melayu Lama, Bahasa Aceh, Bahasa Rejang dan lain-lain dialek serumpun[4]. Namun, tulian Rencong bukan salinan langsung daripada Pallava, tetapi berkembang melalui penyesuaian dengan budaya masyarakat tempatan dan sedikit sebanyak dipengaruhi oleh tulisan Kawi dari Jawa serta selatan Sumatera[5].
Tulisan Rencong dipercayai digunakan secara meluas semasa zaman Srivijaya (dengan pelbagai versi dan gaya penulisan mengikut daerah) dan terus digunakan di kawasan pedalaman Sumatera sehingga era kemasukan Islam. Pada akhir abad ke-18 dan permulaan abad ke-19, penggunaan tulisan Rencong mula terhakis dan beransur pupus akibat kedatangan dan penerimaan tulisan Jawi (huruf Arab)[6] yang menjadi sistem persuratan utama Bahasa Melayu Klasik, terutamanya di kawasan persisiran yang lebih terbuka kepada pengaruh luar.
Tulisan Rencong ialah antara warisan literasi tertua di Asia Tenggara. Ia menjadi bukti bahawa masyarakat pada masa itu sudah celik huruf dan mampu menulis lama sebelum datangnya pengaruh Arab-Islam ke kawasan ini. Kini, tulisan Rencong masih dikaji oleh ahli epigrafi dan arkeologi, dan menjadi lambang kebanggaan identiti masyarakat Aceh dan Rejang di pulau Sumatera. Malah, ada usaha untuk mengajarkannya semula di sekolah-sekolah khusus di Jambi, Indonesia[7] sebagai warisan budaya tempatan yang harus dipupuk dan dipelihara.
Penggunaan
Pada zaman purba, tulisan Recong telah digunakan sebagai medium untuk menulis surat-menyurat, catatan peribadi dan dokumen rasmi tempatan seperti catatan sejarah dan hukum adat. Ia juga penting dalam konteks keagamaan di mana jampi, doa, dan teks keagamaan Hindu-Buddha dicatat menggunakan aksara ini[6]. Terdapat banyak manuskrip Rencong ditemui terselamat dan salah satunya adalah Naskah Tanjung Tanah yang merupakan kitab undang-undang pada zaman kerajaan Malayu pada abad ke-14. Naskah yang ditulis di istana Dharmasraya ini menggunakan aksara Rencong pada 2 halaman terakhirnya dan adalah naskah Melayu yang tertua.
Terdapat banyak versi tulisan Rencong yang telah digunakan mengikut kawasan dan daerah, contohnya - Rencong Aceh (Rencong Jawoë), Rencong Rejang (Ka-Ga-Nga), Rencong Lampung (Had Lampung) dan Rencong Kerinci[8].
Kajian juga mendapati tulisan Rencong banyak ditemukan tertulis pada bahan-bahan alami berikut seperti:
- Manuskrip: Di atas kulit kayu, kepingan buluh, dan helaian daun-daun (pokok palma contohnya).
- Inskripsi: Diukir pada tiang batu, tanduk haiwan, kepingan-kepingan logam dan di atas ketulan batu-batu (batu bersurat).
Cara Menulis

Tulisan Rencong ini terdiri daripada tanda baca bagi suku kata berikut (diberikan dengan bunyi a):
| ka, ga, nga, ta, da, na, pa, ba, ma, |
| ca, ja, nya, sa, ra, la, ya, wa, ha, a, |
| mba, ngga, nda, nja |
Selain itu, huruf yang ditandakan dengan tanda titik atau sengkang yang terletak di bawah, atas ataupun di sebelah huruf tersebut asalnya akan tetap dibunyikan jika tidak dinyatakan berbunyi a adalah penanda untuk dibaca sebagai huruf lain seperti huruf vokal e, i, o, u, ai, au, ataupun bermakna huruf tersebut adalah pangkal suku kata seperti -ng atau -h.
Huruf-huruf ini boleh dicantumkan bersama-sama untuk menghasilkan suku kata Bahasa Melayu yang difahami. Tanda selepas huruf na, jika dicantumkan dengan tanda baca u dan -ng akan dibaca dengan bunyi nung.
Terdapat juga tanda berhenti atau tanda mati yang disebut sebagai tanda bunuh yang dituliskan secara jelas pada huruf vokal a yang ditambah; contohnya huruf ka dicantumkan dengan tanda bunuh akan menjadi -k.
Karya Kesusasteraan
- Uli Kozok (2005). Aksara Melayu Pra-Islam. Sastera Melayu Merentas Sepadan (Sastra Melayu Lintas Daerah), In E. Sedyawati dan A. Ikram, Jakarta: Balai Pustaka.
- A. L. van Hasselt (1881). Karya dan Bahasa Kesusasteraan di Sumatera Tengah (De talen en letterkunde van Midden-Sumatra), E. J. Brill, Leiden
- M. A. Jaspan (1964). Kesusateraan Tempatan di Selatan Sumatera: Teks Ka-Ga-Nga Rejang (Folk literature of South Sumatra: Redjang Ka-Ga-Nga texts), Universiti Kebangsaan Australia, Canberra
- P. Voorhoeve (1970). Dokumen Kerinci dalam Sumbangan Bahasa, Etnologi dan Tanah 126, No: 4 ("Kerintji documents", In: Bijdragen tot de Taal-, Land- en Volkenkunde 126, No: 4), Leiden, ms. 369-399 (online beschikbaar)
- L. C. Westenenk (1922). Tulisan Rencong. II. disingkap penggunaannya dalam landskap Kerinci dalam Majalah Bahasa India, Tanah dan Etnologi 61 ("Rèntjong-schrift. II. beschreven hoorns in het landschap Krintji" in Tijdschrift voor Indische Taal-, Land-, en Volkenkunde 61), Batavia, Albrecht en co./'s-Gravenhage, M. Nijhoff
Lihat juga
Rujukan
- ^ Maulana, Ridwan (2020-09-14). Aksara-aksara di Nusantara: Seri Ensiklopedia (dalam bahasa Indonesia). Samudra Biru.
- ^ dkk, Bastian Gultom (2023-12-28). TRADISI BUDAYA JAMBI (dalam bahasa Indonesia). CV Brimedia Global. ISBN 978-623-8055-90-6.
- ^ Zoetmulder, P.J. 1974. Kalangwan: A Survey of Old Javanese Literature. Leiden, The Netherlands: Brill.
- ^ Kozok, Uli. 2006. Kitab undang-undang Tanjung Tanah: Naskah Melayu yang tertua. Jakarta: Yayasan Pustaka Obor Indonesia.
- ^ Casparis, J.G. 1975. Indonesian Palaeography: A History of Writing in Indonesia from the Beginnings to C. A.D. 1500.
- ^ a b Mohamad Zain, Shaharir (2003). "Penyebaran orang rumpun Melayu pra-Islam dan perkembangan tulisan bahasa melayu". SARI: Jurnal Alam dan Tamadun Melayu. 21: 129–149.
- ^ Agency, ANTARA News. "Aksara "Incung" akan dijadikan muatan lokal di sekolah". ANTARA News Jambi. Dicapai pada 2025-10-26.
- ^ Kozok, Uli (2016-05-13). 14th Century Malay Code of Laws (dalam bahasa Inggeris). Flipside Digital Content Company Inc. ISBN 978-981-4620-49-9.
Pautan luar
- (Inggeris) http://www.bahasa-malaysia-simple-fun.com/ancient-writings.html
- (Inggeris) http://www.omniglot.com/writing/redjang.htm
Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah dengan templat tunas yang lebih spesifik.








