The Fabulous Cats | |
|---|---|
The Fabulous Cats pada tahun 2013. Dari kiri ke kanan: Hairool, Afif, Zizi dan Cat Farish | |
| Maklumat latar belakang | |
| Juga dikenali sebagai | TFC |
| Asal | Kuala Lumpur, Malaysia |
| Genre | |
| Tahun aktif | 2006–2015 |
| Syarikat rakaman |
|
| Kegiatan berkaitan |
|
| Bekas anggota |
|
| Pautan berkaitan | |
| Pautan lain | |
| sunting · sunting di Wikidata | |
The Fabulous Cats (singkatan; TFC) ialah sebuah kumpulan hip-hop Malaysia yang mula dibentuk di Kuala Lumpur pada 2006. Ia diasaskan Cat Farish sebagai sebuah kumpulan projek solonya setelah meninggalkan Ruffedge pada ketika itu. Kumpulan itu pada awalnya dibarisi oleh Cat Farish bersama Adeep, Ellie dan DJ Sumo. Sepanjang hampir sedekad berkecimpung dalam arena muzik, mereka berjaya menerbitkan sebanyak tiga buah album studio dan beberapa buah single. Namun, kumpulan ini sering kali berdepan dengan pertukaran ahli, terutamanya ahli wanita mereka.[1]
Sejarah
2006–2007: Awal pembentukan dan permulaan kerjaya
Bagi melengkapkan barisan ahli, Cat Farish (Farish Ramli) mula menarik dan merekrut penyanyi Singapura, Adeep (Abdul Mutalib Nahar) dari kumpulan 2D (pernah menganggotai Fabulous Forte' dan Aikanika). Mereka yang bergerak secara duo pada awalnya berasakan bahawa TFC seolah-olah tidak lengkap dan mampu bergerak jauh tanpa kehadiran seorang vokalis wanita, lalu menarik Ellie (Shenthy Feliziana Sudirman) dari Singapura yang ketika itu baru berusia belasan tahun (juga pernah menganggotai Aikanika bersama Adeep). Kemudian, Cat merekrut turntablis, DJ Sumo (Luqman Nor Hakim Sulaiman) yang merupakan anak didik kepada turntablis Pop Shuvit, DJ Uno. Setelah itu, mereka mula melancarkan lagu single sulung mereka berjudul "Gila-Gila Bola" yang menjadi lagu tema untuk Piala Dunia FIFA 2006. Pada tahun yang sama juga, mereka merakamkan single "Papa Jahat".
Fantastik, pengunduran Ellie, penyertaan & pengunduran Alya dan "Papa Jahat" menjadi kontroversi
| |||||
| Masalah mendengarkan ? Sila lihat bantuan media. | |||||
Setelah hampir setahun bergerak secara bebas, Cat Presents Production milik Cat Farish akhirnya mengikat perjanjian bersama Luncai Emas secara rasmi. The Fabulous Cats menjadi artis hip-hop pertama bernaung di bawah syarikat milik Dato' M. Nasir itu. Seterusnya, mereka merakamkan album sulung, Fantastik pada tahun 2007 dan single "Papa Jahat" turut dimuatkan bersama lagu "Rimas", "Fantastik", "Macam Itu Ini", "Pengganti Air Mata," "Bila-Bila Katakan", "Damai" dan "Dari Sinar Mata" (lagu asal Bumiputra Rockers) yang digubah semula dalam rentak ska dan reggae. Ia melibatkan artis undangan seperti Phlowtron, Sedozen, Pot Amir, Fothree, dan Kamal.
Pada awal 2007, Ellie memilih untuk mengundurkan diri setelah mengetahui bahawa Cat mengumumkan Alya (Noor Hasliah Abu Hasan) sebagai ahli wanita yang baharu di suatu program hiburan televisyen sewaktu beliau berada di Singapura. Disebabkan itu, semua lagu yang pernah dirakamkan olehnya telah ditarik semula dari semua media elektronik kerana tidak mahu menimbulkan isu.

Dari kiri: Adeep, Alya, DJ Sumo dan Cat Farish.
| |||||
| Masalah mendengarkan ? Sila lihat bantuan media. | |||||
Alya yang ketika itu bernaung di bawah label EMI mula merakamkan semula keseluruhan album tersebut dengan gaya vokal dan lenggok yang berbeza atas bimbingan Cat Farish. Ini sekaligus menguji kemampuannya dalam menyampaikan lagu-lagu dari nuansa muzik seperti hip-hop, R&B, reggae, reggaeton dan 80's pop serta swing. Album tersebut dirilis secara rasmi pada tahun yang sama dan diterbitkan di bawah label Cats Presents bersama The Firmzz Entertainment dan diedarkan oleh EMI. Lagu hits seperti "Rimas" telah tercalon dalam carta Muzik Muzik dan mara ke Separuh Akhir Muzik Muzik 23.
Single "Papa Jahat" juga menerima putaran meluas di stesen radio seluruh negara dan menduduki tangga teratas di Carta Hot FM 30 dan Hitz FM. Walau bagaimanapun, judulnya terpaksa ditukar kepada "Papa..." sebelum album dirilis berikutan 'digam' oleh stesen penyiaran milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia kerana liriknya yang dikatakan agak kontroversi iaitu menyindir kaum bapa, malah turut menjadi perbincangan di Parlimen Malaysia.[2][3][4]
Pada pertengahan 2007, Alya yang hanya beberapa bulan bersama The Fabulous Cats memilih untuk mengundurkan diri. Ia berpunca apabila Cat memintanya untuk meninggalkan kumpulan atas sebab-sebab yang menimbulkan perselisihan faham. Alya yang tidak mahu memanjangkan isu terpaksa akur akan permintaan tersebut, seterusnya bergerak secara solo kembali. Setelah itu, tempatnya diambil alih oleh Ochi (Yosi Hertiana) dari Indonesia untuk sementara waktu.
Farhana menyertai kumpulan
Pada Ogos 2007, setelah kehilangan penyanyi wanita terdahulu, Cat mengundang rakan lamanya, Pedd Farhana (Siti Rafidah Razali) dari kugiran indie, Malokai Gruv untuk menggalas tugas sebagai penyanyi gantian bagi menjayakan persembahan jelajah filem Impak Maksima. Pada Disember 2007, beliau diajukan pertanyaan sama ada ingin menyertai kumpulan sepenuh masa ataupun sebaliknya. Farhana yang ketika itu melihat besar peluang untuknya menjenamakan semula The Fabulous Cats lalu bersetuju dan diterima sebagai ahli tetap secara rasmi. Dalam masa yang sama, beliau masih tetap memberi komitmen terhadap kugiran lamanya dan sejak daripada itu, beliau mula berhenti kerja untuk memberi sepenuh komitmen untuk TFC. Dari sisi lain, Farhana selain penyanyi, beliau merupakan seorang penulis lagu, pelukis, penulis dan pereka fesyen. Beliau juga pernah menganggotai kugiran ska punk, Oddstar13 dari tahun 1999 dan menjadi penyanyi gantian untuk Gerhana Skacinta pada 2002.
2008: Hyperkosmik

Dari kiri: DJ Sumo, Adeep, Farhana dan Cat Farish.
| |||||
| Masalah mendengarkan ? Sila lihat bantuan media. | |||||
Pada awal 2008, mereka menandatangani kontrak selama setahun bersama label rakaman, Metadome Sdn. Bhd. dengan harapan setiap gerak kerja mereka akan menjadi lebih mudah dan teratur. Sebelum itu, pihak syarikat tersebut tertarik terhadap bakat mereka dalam menghasilkan muzik yang unik sejak dari awal.
Seterusnya, mereka mula merakamkan album kedua, Hyperkosmik dan dijangka siap pada Mac 2008. Konsepnya masih sama seperti album terdahulu dengan mematangkan lagi isi kandungan lagu, terutamanya dari segi penulisan lirik. Pada 11 Ogos 2008, Hyperkosmik dirilis secara rasmi dan mula dipasarkan dalam bentuk fizikal dan melalui muat turun digital yang memuatkan 10 hasil idea kreatif mereka. Antara single hits yang dipertaruhkan seperti "Bawa Ku Terbang", "Slot Akasia", "Ratu Novella" dan "Lari". Album tersebut turut menampilkan pemuzik-pemuzik undangan seperti Kombatt (The Pilgrims), Xema, DJ Fuzz dan Soul I.D. Selain itu, turut melibatkan para pemuzik undangan lain seperti Edrie Hashim, Fauzi Samin, Rejab Md Dali (Gerhana Skacinta), Shah Slam, Ujang Exists, Faizal "Lok Yu" Uzir dan Kelly Rahman.
Salah satu runut daripada album tersebut, iaitu "Lepas" dipilih menjadi lagu tema bagi drama bersiri Ezora arahan Ahmad Idham yang ditayangkan di TV3 bermula Mei hingga Ogos 2008. Ia digubah semula dengan susunan muzik yang agak berbeza agar bersesuaian dengan tema drama itu. Runut gubahan semula itu turut dimuatkan ke dalam album yang mana judulnya ditukar kepada "Lepaskan".
Penggambaran muzik video "Bawa Ku Terbang" dan "Slot Akasia" dilakukan sekitar pertengahan hingga penghujung 2008. Penggambaran muzik video "Bawa Ku Terbang" dilakukan di Background Studio di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya dan mendapat tajaan sepenuhnya oleh Firefly Airlines, dirilis pada 19 Januari 2009. "Slot Akasia" pula menjalani penggambaran di panggung Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, dirilis pada 21 Januari 2009 dan menjadi lagu tema untuk teater Impak Maksima: The Musical. Adeep dan Farhana turut membintangi teater muzikal tersebut sementara Cat menjadi pengarah muzik dan dibantu oleh DJ Sumo.[5] Kedua-dua muzik video itu diarahkan oleh pengarah filem dan video muzik, Ghaz Abu Bakar di bawah produksi miliknya, The Media Hustler.
2009–2010: Pengunduran DJ Sumo dan Farhana, penyertaan Wangi & Zizi serta penglibatan dalam layar perak
Pada 13 Februari 2009, Wangi (Wangi Julianda Indra Meida) yang berasal dari Bandung, Indonesia telah diterima secara rasmi menjadi ahli wanita yang kedua selepas melalui sesi uji bakat yang diadakan oleh Cat di Jakarta. Pemilihan tersebut dibuat setelah selesai menguji bakat seramai lapan peserta wanita sambil dibantu oleh rakan-rakannya di sana. Wangi juga berpengalaman dalam bermain muzik bersama sebuah kugirannya iaitu Lite Da Moon. Sebelum menyertai TFC secara rasmi, Wangi merakamkan vokal tambahan pada lagu "Bawa Ku Terbang" untuk versi Indonesia.
Pada penghujung Februari 2009, DJ Sumo mengundurkan diri untuk sementara waktu kerana mahu membuat persiapan perkahwinannya dan berkhidmat sebagai cef di KopiCat Cafe milik Cat Farish di Bandar Baru Bangi. Tidak lama selepas itu, beliau terpaksa mengundurkan diri secara rasmi kerana masalah keluarga dan kerja. Sumo juga memberitahu yang beliau terpaksa mencari pekerjaan tetap untuk menampung pembiayaan rawatan ibunya yang baru menjalani pembedahan. Beliau kemudian bekerja di sebuah restoran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepenuh masa sebagai cef dan meninggalkan KopiCat Cafe. Beliau membuka sebuah restorannya sendiri yang diberi nama Restoran Kayu Manis di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi selang beberapa bulan kemudian.
Pada April 2009, Farhana memutuskan untuk menarik diri dari kumpulan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan mahu meneruskan perniagaan keluarganya, di samping melebarkan karier dalam bidang peragaan. Keputusan tersebut dibuat selepas berbincang dengan pihak pengurusan Metadome mengenai pengundurannya.[6]
Cat dan Adeep yang ketika itu sedang menonton persembahan Akademi Fantasia (musim 7) menyasarkan Zizi (Nur Fazelah Mad Tahil) untuk menjadi pengganti Farhana jika tersingkir. Secara kebetulan, rezeki Zizi tidak menyebelahinya apabila tersingkir pada minggu keempat persembahan. Tidak lama kemudian, Zizi yang dari Sabah itu diundang untuk menyertai TFC dan menjadi anggota secara rasmi pada Jun dan mengikat kontrak selama 15 bulan.[7] Cat berkata, pemilihan Zizi adalah kerana dia mempunyai karakter penyanyi rock dan suara serak-serak basah.[8]
Pada 11 Februari 2010, single "Cinta Kosmik" mula dirilis secara rasmi yang menggabungkan genre hip-hop, R&B dan elektropop. Muzik videonya pula merupakan idea daripada pengarahnya, Ghaz Abu Bakar dengan menampilkan elemen dan ciri-ciri futuristik dan retro. Di samping itu, lagu itu turut tercalon dan mara ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 25 dan muzik videonya tercalon dalam Anugerah Shout! 2010 kategori Music Video. Dalam tahun yang sama, mereka merilis single yang bertajuk "Pergilah Ayu" dan menjadi lagu tema bagi drama bersiri Syah Jihan yang ditayangkan pada Mei hingga Jun 2010 di saluran TV3.
Mereka turut melebarkan sayap ke dalam bidang lakonan dengan membintangi filem Cuti-Cuti Cinta arahan Ahmad Idham yang ditayangkan pada Oktober 2010 terbitan Metrowealth Pictures. Mereka menggalas watak sebagai Encik Mahmood (Cat Farish), Maliqurrahman (Adeep), Kris Dayana (Wangi) dan Faustina (Zizi). Filem itu ditunjangi pelakon utama seperti Farid Kamil dan Nora Danish.[9]
2011–2012: Pengunduran Wangi dan Adeep, penambahan ahli gantian, penyertaan Hairool dan Afif
Pada tahun 2011, Wangi mengundurkan diri dan terbang pulang ke Indonesia kerana ingin melanjutkan pengajiannya di Universitas Padjadjaran, Bandung.[10] Sebelum itu, beliau pernah muncul dengan single terbaru, "Lara" yang menjadi lagu tema bagi filem cereka sains, Mantera (2012).
Pada Ogos 2011, Adeep yang pernah berhasrat untuk bersara sejak sekian lama pula mengundurkan diri dari kumpulan dan membuat keputusan untuk melibatkan diri dengan aktiviti dakwah. Cat menghormati dan gembira dengan perubahan Adeep tetapi memilih untuk enggan mengganggu urusan peribadinya selepas itu.[11] Dua tahun kemudian, beliau menyertai kumpulan nasyid, The Muhibbain yang turut dianggotai oleh Erwan Muhibbain dan Almawlid.
Pada April 2012, Cat mula mengambil dua ahli gantian sementara yang dikenali sebagai Afiq (Afiq Ramazan) dan DJ Krates. Setelah itu, DJ Krates digantikan dengan Hairool (Mohd Hairool Awang Materang) dari Kuching, Sarawak yang dihubungi melalui media sosial Facebook selepas Cat menonton video nyanyiannya. Hairool mula menyertai pada November 2012. Kemudian, Cat merekrut seorang lagi ahli lelaki baharu bagi menggantikan Afiq, iaitu Afif (Ahmad Alif Afif Tirmizie) yang merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia musim 9 dan menyertai TFC secara rasmi pada Disember 2012.
2013–2015: "Sebulatnya", Fabulousity dan pembubaran kumpulan
Pada 18 Julai 2013, mereka tampil dengan single dan video muzik terbaru, "Sebulatnya" di bawah label Nova Music setelah dua tahun menyepi. Lagu tersebut telah dicipta seawal tahun 2011 lagi, namun proses menyiapkan lagu itu terpaksa ditangguhkan kerana beberapa anggota TFC kerap bertukar ganti.[12][13] Penggambaran muzik videonya dilakukan di Balai Polis Kelana Jaya dan di tempat letak kereta Zenith Corporate Park, Kelana Jaya. LOULpop Studio merupakan tenaga produksi untuk penggambaran klip video itu dan ia diarahkan oleh Khairul Hazwan. Single tersebut terpilih menjadi lagu tema bagi drama bersiri Epilog Cinta Khirana yang ditayangkan di TV3. "Sebulatnya" menjadi lagu pertama yang tidak menampilkan rap dan menjadi single mereka yang terakhir. Lagu itu tercalon dalam Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM25) kategori Lagu Hip-Hop Terbaik.[14]
Album ketiga The Fabulous Cats, Fabulousity terbitan Cat Presents dan Metadome (Alibi Music) telah dirilis secara rasmi pada November 2013 yang mana ia menghimpunkan single-single yang pernah dikeluarkan dari 2009 hingga 2012. Antara single tersebut seperti "Cinta Kosmik", "Pergilah Ayu", "Muncul Kamu", Suka Suka, "Terbaik Untukmu" dan "Bila Kita Lupa Sujud" serta "Bawa Ku Terbang" versi Indonesia yang dirakam ketika Adeep, Farhana dan Wangi masih menjadi anggota kumpulan. Turut menampilkan kugiran undangan dari Indonesia, Andra And the Backbone yang membawakan lagu "Tak Ada Yang Bisa" secara duet. Sementara Afif dan Hairool tidak terlibat dalam pembikinan album tersebut.
Pada 2014, penyanyi dan pelakon, Isyariana dari kumpulan Hanarose diundang menjadi penyanyi gantian selama setahun.[15][16]
Pada awal Januari 2015, Cat Farish mengumumkan bahawa The Fabulous Cats telah dibubarkan serta-merta setelah sembilan tahun penubuhannya. Pembubaran tersebut adalah disebabkan beliau sebenarnya sudah bosan melihat anggota kumpulannya bersilih ganti dan pernah berkata pada Zizi untuk membubarkannya. Selain itu, Cat mahu menumpukan kembali terhadap kumpulan lamanya, Ruffedge dan menyatukan setiap anggota yang sekian lama berpecah. Di samping itu, beliau juga fokus memberikan komitmen kepada kumpulan baharunya, Tiga Swagger yang ditubuhkan sejak 2014. Setelah berpecahnya ahli kumpulan, Hairool membawa haluannya sendiri, manakala Zizi dan Afif menyertai kumpulan Nukilan yang ditubuhkan oleh Malique yang mana Zizi menggunapakai nama "Kirana", manakala Afif pula dengan nama "Kelana". Kumpulan itu turut dianggotai seorang lagi ahli iaitu Agenda (Lukmanul Hakim) yang kini lebih dikenali sebagai Kmy Kmo.
Gaya muzik dan pengaruh
The Fabulous Cats telah digambarkan sebagai hip-hop, R&B dan pop. Ia turut menggabungkan pelbagai genre muzik lain seperti ska, reggae, reggaeton, elektropop, disko, rock, funk, soul dan opera. Muzik The Fabulous Cats mempunyai seakan-akan irama pop Jepun tapi dengan irama rap yang minimum.
Kumpulan itu menjadikan Black Eyed Peas sebagai pengaruh dan landasan utama. Ini disebutkan oleh Adeep yang mengatakan bahawa di Malaysia ketika itu belum pernah lagi ada mana-mana kumpulan muzik dengan pengaruh Black Eyed Peas. The Fabulous Cats mengambil pendekatan ini dengan tampilan imej yang lebih bersahaja.[7]
Kemunculan semula
Pada Ogos 2023, Ruffedge telah mengadakan konsert jelajah siri keempat mereka, Ruffera: That Moment in Time di Kuala Lumpur, yang mana Cat Farish mengundang Farhana bagi menjayakan persembahan The Fabulous Cats selaku kemunculan istimewa.[17][18] Bagaimanapun, Adeep tidak turut bersama mengadakan persembahan kerana diminta oleh Cat untuk berada di bahagian penonton dan tempatnya digantikan oleh seorang pempengaruh media sosial, Reyzal Yazmi. Pada malam itu, The Fabulous Cats menyampaikan lagu-lagu hits seperti "Bawa Ku Terbang", "Rimas" dan 'Papa Jahat".
Pada Julai 2025, Cat Farish ketika ditemubual di Dol's Podcast telah mengatakan bahawa The Fabulous Cats akan kembali semula dan bakal mengadakan konsert sulung, namun tarikhnya tidak dinyatakan.[4]
Ahli kumpulan
Bekas ahli
- Cat Farish – vokal, rap (2006–2015)
- Adeep – vokal (2006–2011)
- DJ Sumo – turntablis (2006–2009)
- Ellie – vokal (2006–2007)
- Alya – vokal (2007)
- Farhana – vokal (2007–2009)
- Wangi – vokal (2009–2011)
- Zizi – vokal (2009–2015)
- Hairool – vokal (2012–2015)
- Afif (AF9) – vokal (2012–2015)
Ahli gantian
- Ochi – vokal (2007)
- Afiq – vokal (2012)
- DJ Krates – turntablis (2012)
- Isyariana – vokal (2014)
Garis masa
Nota: Adeep dan Wangi tampil dalam album ketiga. Album ketiga menampilkan lagu-lagu single yang dirakam dari 2009 hingga 2012. Afif dan Hairool tidak merakamkan album ketiga.

Diskografi
Album studio
- Fantastik (2007)
- Hyperkosmik (2008)
- Fabulousity (2013)
Single
| Lagu | Album | Tahun/tarikh dilancarkan |
|---|---|---|
| "Gila-Gila Bola" (Single khas untuk Piala Dunia FIFA 2006) | Single tanpa album | 2006 |
| "Fantastik" | Fantastik | 2007 |
| "Macam Itu Ini" (duet bersama Phlowtron) | ||
| "Papa Jahat" | ||
| "Rimas" | ||
| "Bila-Bila Katakan" | ||
| "Ola Ole" | Hyperkosmik | 2008 |
| "Ratu Novella" | ||
| "Lari" (bersama Kombatt) | ||
| "Bawa Ku Terbang" | 19 Januari 2009 | |
| "Slot Akasia" | 21 Januari 2009 | |
| "Cinta Kosmik" | Fabulousity | 1 Februari 2010 |
| "Pergilah Ayu" | 2010 | |
| "Riuhnya Beraya" | Hey.. Pening Raya | 26 Ogos 2010 |
| "Terbaik Untukmu" | Fabulousity | 2011 |
| "Muncul Kamu" | 11 Mac 2011 | |
| "Bila Kita Lupa Sujud" | ||
| "Suka Suka" | 10 Januari 2012 | |
| "Sebulatnya" | Single tanpa album | 18 Julai 2013 |
Filemografi
Filem
| Tahun | Filem | Catatan |
|---|---|---|
| 2010 | Cuti-Cuti Cinta | Filem pertama |
Anugerah dan pencalonan
| Tahun | Anugerah | Pencalonan | Kategori | Keputusan |
|---|---|---|---|---|
| 2009 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-22 | The Fabulous Cats | Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular | Tercalon |
| 2010 | Anugerah Shout! 2010 | "Cinta Kosmik" | Music Video | Tercalon |
| 2014 | Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) | "Sebulatnya" | Lagu Hip-Hop Terbaik | Tercalon |
Rujukan
- ^ The Fabulous Cats: Rombak ahli kumpulan oleh Harian Metro. Dicapai pada 25 Julai 2013.
- ^ Lirik lagu Papa Jahat timbulkan perdebatan Diarkibkan 2017-10-08 di Wayback Machine Utusan Malaysia (8 Mei 2007). Dicapai pada 8 Oktober 2017.
- ^ 'Papa Jahat' Yang Baik - Dulu, Kini Dan Selamanya oleh New Malaysia Herald. Dicapai pada 19 Oktober 2025.
- ^ a b "Lagu Papa Jahat Jadi Fenomena | Cerita Sebenar Dari Cat Farish" oleh Dol's Podcast di Podscan. Dicapai pada 8 Oktober 2025.
- ^ The Fabulous Cats fokus kepada Muzikal Impak Maksima oleh mStar Online. Dicapai pada 15 Oktober 2025.
- ^ Farhana Keluar Dari The Fabulous Cats oleh Budiey. Dicapai pada 12 October 2025.
- ^ a b Terpaling Podcast: Episod 10 - Raplah Sangat oleh RTMklik. Dicapai pada 23 Ogos 2025.
- ^ Zizi AF7 Vokalis Terbaru The Fabulous Cats. oleh mStar. Dicapai pada 15 Oktober 2025
- ^ Cuti-Cuti Cinta (2010). Dicapai pada 14 Oktober 2025.
- ^ Wangi Keluar Dari The Fabulous Cats oleh mStar. Dicapai pada 18 Oktober 2025.
- ^ Adeep Keluar Fabulous Cats Untuk Berdakwah oleh mStar Online. Dicapai pada 25 Ogos 2011.
- ^ The Fabulous Cats Kembali Segar Dengan Anggota Baru oleh Budiey. Dicapai pada 12 Oktober 2025
- ^ The Fabulous Cats Bangkit Dengan "Sebulatnya" oleh OhBulan!. Dicapai pada 12 Oktober 2025.
- ^ Keputusan Penuh AIM20 oleh Munsyeed. Dicapai pada 18 Oktober 2025.
- ^ Isyariana Enggan Hanyut Digelar Klon Agnes Monica oleh Berita Harian. Dicapai pada 12 Oktober 2025.
- ^ Rezeki Isyariana oleh Harian Metro. Dicapai pada 12 Oktober 2025
- ^ Erti Persahabatan oleh Harian Metro. Dicapai pada 6 Oktober 2025
- ^ Ruffedge Berada Dalam Kelas Tersendiri oleh Berita Harian. Dicapai pada 6 Oktober 2025.










