Nama alternatif | Abousir |
---|---|
Lokasi | Kegabenoran Iskandariah, Mesir |
Wilayah | Iskandariah |
Koordinat | 30°56′46.2″N 29°31′7.3″E / 30.946167°N 29.518694°E |
Jenis | Penempatan, Kuil |
Sejarah | |
Pembina | Ptolemy II, Ptolemy IV |
Diasaskan | 280 – 270 SM |
Zaman | Mesir Ptolemaik |
Taposiris Magna, juga dikenali sebagai Tapusir Magna, ialah sebuah bandar yang diasaskan oleh Firaun Ptolemy II Philadelphus antara tahun 280 dan 270 SM. Namanya bermaksud "makam agung Osiris", yang dikaitkan oleh Plutarch dengan sebuah kuil Mesir di bandar tersebut.
Selepas Alexander Agung menakluki Mesir pada tahun 332 SM dan mengasaskan Iskandariah, bandar Taposiris Magna menjadi pusat untuk perayaan keagamaan Khoiak. Kerajaan Ptolemy, dinasti Mesir yang terakhir, diasaskan selepas ini, sebagai sebuah negeri Yunani semasa Tempoh Helenistik ini yang tamat dengna kemangkatan Cleopatra VII pada tahun 30 SM.[1][2] Napoleon tiba di Mesir pada tahun 1798 dan para saintis Perancis kemudiannya menjalankan tinjauan seni bina bandar tersebut yang diterbitkan dalam Description de l'Égypte.
Pada abad ke-20, penggalian tapak tersebut dimulakan di bawah seorang Itali, Evaristo Breccia.[3] Callisthenes menyatakan bahawa Alexander Agung melawat bandar tersebut dalam perjalanannya ke Oasis Siwa, yang memberikan keyakinan kepada teori bahawa mesti ada sebuah bandar di sana pada zaman Helenistik.[4]
Peranan dalam perdagangan
Bandar ini terletak di cabang Tasik Mariout yang dahulu boleh dilayari tetapi kini telah kering. Saiz tasik tersebut meningkatkan kemungkinan bahawa pelabuhan itu ada peranan dalam perdagangan antara Mesir dengan Libya. Pedagang dari barat mungkin menaiki pengangkutan air ke pelabuhan itu kemudian mengikuti jalan kafilah. Barang dagangan dari Libya juga mungkin dihantar dengan bot ke Taposiris dan diangkut ke bandar-bandar pedalaman Mesir,[4] walau bagaimanapun teori ini ada dikritik.[5] Wain yang dihasilkan di bahagian Mesir ini terkenal pada zaman purba.[6]
Kuil dan menara


Di atas rabung Taenia—jajaran batu kapur yang memisahkan laut dari Tasik Maerotis—terdapatnya dua tugu purba yang dipulihkan sebahagiannya pada tahun 1930-an. Salah satunya ialah sebuah menara yang digunakan sebagai panduan dalam pembinaan semula rumah api Iskandariah dan yang lagi satu ialah sisa-sisa kuil Osiris yang dipercayai merupakan tempat persemadian terakhir Cleopatra.[7]
Dalam kajian paling ilmiah mengenai menara tersebut yang dijalankan pada 1974, "Menara Abusir" disimpulkan pasti bukannya rumah api ataupun menara pemerhati. Ia mungkin dibina semasa pemerintahan Ptolemaik selepas rumah api Pharos dibina dan hanyalah sebuah tugu pengebumian.[8]
Struktur berhampiran lain

Kedua-dua bangunan jenis persendirian dan awam telah ditemui di kawasan sekitarnya bersama-sama dengan tangki air dan gereja. Nekropolisnya menunjukkan pelbagai gaya pengebumian dari sarkofagus atau piramid ke tiang atau nisan. Penempatan purba ini diduduki dari abad kedua SM hingga abad ketujuh Masihi.[9]
Pada tahun 2022, sebuah terowong di bawah kuil Mesir purba ini ditemui pada kedalaman 20 meter. Terowong itu setinggi 2 meter dan panjang 1,305 meter dan ia mengangkut air kepada beribu-ribu penduduk. Ia replika tepat Terowong Eupalinos di Yunani yang juga mengangkut air.[10]
Penggalian terkini
Pelbagai ahli arkeologi telah bekerja di tapak tersebut sejak 1998.[3][11] Pada tahun 2010, ahli arkeologi menemui sebuah patung granit besar seorang raja Ptolemaik yang tidak berkepala dan pintu asal ke sebuah kuil yang didedikasikan untuk dewa Osiris. Patung itu dihasilkan dengan gambaran tradisional purba seorang raja Mesir yang memakai kolar dan kain kilt. Menurut Dr. Zahi Hawass, arca ini mungkin menggambarkan firaun zaman Helenistik Ptolemy IV, yang membina kuil Taposiris Magna. Pasukan itu juga menemui batu-batu dasar daripada batu kapur yang dahulunya melapisi pintu masuk ke kuil tersebut. Salah satu batu ini mempunyai bukti yang menunjukkan bahawa pintu masuk itu dilapisi dengan sederetan patung Sfinks yang serupa dengan yang dari zaman firaun.
Sebuah nekropolis dengan banyak mumia dalam gaya Yunani-Rom ditemui di belakang kuil. Hawass berkata siasatan awal mendedahkan bahawa mumia-mumia ini dikebumikan dengan muka mereka menghadap ke kuil dan beliau menyatakan bahawa ini mencadangkan kuil itu mungkin tempat pengebumian seorang tokoh diraja yang penting, mungkin Cleopatra VII.[12]
Ekspedisi bermula pada tahun 2002 dengan ekspedisi yang dibiayai sendiri. Ia diketuai oleh seorang peguam Dominika, Kathleen Martínez. Beliau telah menemui 27 makam, 20 daripadanya berbentuk seperti sarkofagus berlengkung, sebahagiannya bawah tanah dan sebahagiannya atas tanah. Baki tujuh mempunyai tangga yang membawa ke ruang pengebumian ringkas. Di dalam makam-makam ini, pasukannya menemui sejumlah 10 mumia, 2 daripadanya bersalut emas. Penemuan tanah perkuburan ini menunjukkan bahawa seseorang yang penting, kemungkinan berstatus raja, mungkin dikebumikan di dalam kuil tersebut. Gaya makam-makam yang baru ditemui ini menunjukkan bahawa ia dibina semasa zaman Yunani-Rom. Martinez menyatakan bahawa ekspedisi itu telah menggali keluar sebuah kuil di Taposiris Magna yang didedikasikan untuk dewi Isis dan telah menemui syiling dengan wajah Alexander Agung. Mereka telah menemui beberapa lubang yang dalam di dalam kuil, tiga daripadanya seakan-akan digunakan untuk pengebumian. Kemungkinan lubang-lubang ini makam untuk orang-orang penting. Ketua pasukan percaya bahawa Cleopatra dan Mark Antony mungkin dikebumikan dalam lubang yang serupa dengan yang telah ditemui di dalam kuil tersebut.
Martinez berkata ekspedisi menemui sebuah kepala Cleopatra yang cantik, bersama-sama 22 keping syiling dengan imejnya. Patung dan syiling itu menunjukkan baginda sebagai seorang yang cantik, bercanggah dengan cadangan oleh seorang kurator muzium Inggeris bahawa baginda tidak jelita. Penemuan dari Taposiris ini menunjukkan kejelitaan yang unik. Bercanggah dengan teori lanjut yang lain, ciri-ciri kepala yang diukir itu tidak menunjukkan sebarang ciri yang untuk mencadangkan keturunan dari Afrika Subsahara. Pasukan itu juga menemui banyak azimat, bersama-sama dengan sebuah patung tanpa kepala yang cantik dari Zaman Ptolemaik. Antara penemuan paling menarik ialah topeng unik yang menggambarkan seorang lelaki dengan dagu lekuk, yang ada persamaan dengan potret Mark Antony yang diketahui.
Satu tinjauan radar pada kuil Taposiris Magna, barat Iskandariah, Mesir, telah diselesaikan lebih awal pada 2002 sebagai sebahagian daripada pencarian makam Cleopatra dan Mark Antony. Ekspedisi Majlis Agung Barangan Purba (SCA) yang menggali kuil dan kawasan sekitarnya diketuai oleh Zahi Hawass, yang pada masa itu setiausaha agung SCA, dan Kathleen Martínez, sarjana dari Republik Dominika.[13]
Pada tahun 2012, runtuhan tersebut didapati telah terjejas akibat Pertempuran El Alamein Kedua. Pasukan itu telah menemui beberapa bom yang belum meletup serta mayat-mayat hangus askar Itali dan New Zealand dalam terowongnya.[14] Pada 2013, penggalian dihentikan tetapi Martinez kemudiannya diberi kebenaran untuk meneruskan kerjanya di tapak tersebut.[15]
Dalam sebuah dokumentari televisyen 2015 bertajuk "Cleopatra's Lost Tomb" (ditayangkan Oktober, Channel 4 di UK), Martinez berkata bahawa beliau yakin mereka hampir menemui makam itu di sana, mungkin di sudut tapak di mana dua makam di bawah tanah telah ditemui.[16] Kerja untuk menyiasat makam yang berpotensi itu diharap akan bermula apabila musim menggali rasmi dibuka pada 2016.
Pada 21 Jun 2020, Science Channel mengeluarkan dokumentari dua jam bertajuk "Cleopatra: Sex, Lies, and Secrets" untuk mendedahkan penemuan terkini.[17]
Pada Januari 2021, penyelidik Mesir-Dominika yang diketuai oleh Kathleen Martínez mengumumkan penemuan makam-makam purba yang berusia 2,000 tahun dengan lidah-lidah emas dari zaman Yunani dan Rom. Pasukannya juga menggali azimat daun emas dalam bentuk lidah yang diletakkan untuk bercakap dengan dewa Osiris dalam alam selepas mati. Mumia itu digambarkan dengan rupa-rupa yang berbeza: satu memakai mahkota, dihiasi dengan tanduk dewi Hathor dan imej ular tedung yang mewakili dewi Wadjet di dahi; mumia yang lain digambarkan dengan hiasan bersalut emas mewakili kalung lebar.[18][19][20][21]
Pada tahun 2022, sebuah terowong pengangkut air sepanjang 1,305 meter yang bertarikh dari zaman Ptolemaik dilaporkan ditemui 20 meter di bawah tanah.[22]
Rujukan
- ^ Nardo, Don (2009-03-13). Ancient Greece (dalam bahasa Inggeris). Greenhaven Publishing LLC. m/s. 162. ISBN 978-0-7377-4624-2.
- ^ "Ancient Egypt – Macedonian and Ptolemaic Egypt (332–30 bce)". Encyclopedia Britannica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2020-06-08.
- ^ a b Győző Vörös (2006). Taposiris Magna, 1998-2004: Alexandriai magyar ásatások. American Univ in Cairo Press. m/s. 24. ISBN 978-963-214-886-1. Dicapai pada 8 June 2012.
- ^ a b Kathryn A. Bard (14 May 1999). Encyclopedia of the Archaeology of Ancient Egypt. Routledge. m/s. 927. ISBN 978-0-415-18589-9. Dicapai pada 8 June 2012.
- ^ Dan Richardson (1 March 2003). Rough Guide to Egypt. Rough Guides. m/s. 825. ISBN 978-1-84353-050-3. Dicapai pada 8 June 2012.
- ^ Michel Chauveau (2000). Egypt in the Age of Cleopatra: History and Society Under the Ptolemies. Cornell University Press. m/s. 63. ISBN 978-0-8014-8576-3. Dicapai pada 8 June 2012.
- ^ Eddie Edwards; Edward J. Edwards. The French Ruse. Eddie Edwards. m/s. 171. ISBN 978-1-257-15527-9. Dicapai pada 8 June 2012.
- ^ el Fakharani, Fawzi (1974). "The "Lighthouse" of Abusir in Egypt". Harvard Studies in Classical Philology. 78: 257–272. doi:10.2307/311209. ISSN 0073-0688.
- ^ Alan B. Lloyd (25 May 2010). A Companion to Ancient Egypt: Two Volume Set. John Wiley & Sons. m/s. 351. ISBN 978-1-4443-2006-0. Dicapai pada 8 June 2012.
- ^ "Vast tunnel found beneath ancient Egyptian temple". Live Science. November 7, 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada November 9, 2022.
- ^ "French Mission excavations Taposiris Magna" (dalam bahasa French). taposiris. Dicapai pada 2012-06-10.CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ ANN WUYTS (4 May 2010). "Ptolemaic statue and temple gate discovered at Taposiris Magna". The Independent (dalam bahasa French). London. Diarkibkan daripada yang asal pada October 29, 2011. Dicapai pada 2012-06-10.CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ Zahi Hawass. "Press Release - News from the Temple of Taposiris Magna". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-05-20. Dicapai pada 2012-06-10.
- ^ "Fending off snakes and scorpions, Dominican architect seeks Cleopatra's tomb". 9 August 2013. Dominican Today. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 November 2013. Dicapai pada 10 November 2013.
- ^ "Cleopatra search affected by Egypt crisis". 27 August 2013. Dominican Today. Dicapai pada 10 November 2013.
- ^ "Secrets of Egypt's Valley of the Kings: Series 2 Episode 2". Channel 4.
- ^ "Truth about Cleopatra's death: Resting place may have been found at mysterious site". International Business Times. 11 June 2020.
- ^ Jarus, Owen (1 February 2021). "Mummy with a gold tongue found in Egypt". Live Science (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-06-17.
- ^ "Ancient mummies with golden tongues unearthed in Egypt". BBC News (dalam bahasa Inggeris). 2021-02-02. Dicapai pada 2021-06-17.
- ^ "Photos: Archaeological mission uncovers 16 burial chambers in Alexandrian temple". Egypt Independent (dalam bahasa Inggeris). 2021-01-30. Dicapai pada 2021-06-17.
- ^ Fortin, Jacey (2021-02-03). "Archaeologists Find Mummies With Golden Tongues". The New York Times (dalam bahasa Inggeris). ISSN 0362-4331. Dicapai pada 2021-06-17.
- ^ Jarus, Owen (7 Nov 2022). "Vast tunnel found beneath ancient Egyptian temple". Live Science. Dicapai pada 9 November 2022.