Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah | |
---|---|
![]() Gambar Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah (duduk di bahagian tengah) bersama para bangsawan Riau-Lingga yang diambil pada tahun 1867 | |
Sultan Riau-Lingga | |
Pemerintahan | 7 Oktober 1857 – 17 September 1883 |
Didahului oleh | Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah |
Diikuti oleh | Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah |
Keputeraan | Tengku Sulaiman ibni Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah (tarikh dan tempat kelahiran tidak diketahui) |
Kemangkatan | 17 September 1883 Istana Kota Baru, Daik, Lingga |
Pemakaman | 17 September 1883 Makam Diraja, Bukit Cengkeh, Daik, Lingga |
Pasangan | Raja Perak binti Yang Dipertuan Muda Raja Ali |
Anakanda | 1. Tengku Putri Maimunah 2. Tengku Wuk 3. Tengku Tengah 4. Tengku Andak 5. Tengku Kechil |
Wangsa | Wangsa Bendahara |
Ayahanda | Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah |
Bonda | Inche Ayu Buruk |
Agama | Sunni Islam |
Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah ibni Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah ialah Sultan Riau-Lingga ke-4 dari tahun 1857 hingga tahun 1883. Baginda dipilih oleh Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Haji Abdullah dengan persetujuan Belanda untuk menggantikan anakanda saudaranya, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah yang telah diturunkan daripada takhta Kesultanan Riau-Lingga oleh Belanda.
Selepas baginda ditabalkan sebagai Sultan Riau-Lingga, baginda dan Yang Dipertuan Muda Raja Haji Abdullah telah menandatangani Perjanjian 1 Disember 1857 dengan Belanda di mana antara syarat perjanjian tersebut ialah Kesultanan Riau-Lingga mengakui ketuanan Belanda dan pelantikan Sultan Riau-Lingga, Tengku Besar Riau-Lingga dan Yang Dipertuan Muda Riau perlu mendapat persetujuan Belanda.
Ekonomi
Semasa zaman pemerintahan Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah, baginda meningkatkan ekonomi tempatan dengan menggalakkan penanaman padi dan penyediaan candu. Baginda juga memiliki armada kecil untuk mempromosikan hubungan perdagangan. Baginda memperkenalkan sagu dari Kepulauan Maluku kepada penduduk tempatan, di mana baginda percaya bahawa sagu adalah tanaman yang lebih baik daripada beras sebagai makanan ruji, kerana padi hanya boleh dituai sekali setahun. Daik kemudian menjadi pusat perdagangan serantau yang menarik pedagang dari China, Celebes, Borneo, Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Pagar Ruyung, Jawa, Siak dan Pahang.
Kemakmuran Daik telah menyebabkan Belanda berasa bimbang kerana mereka takut dengan kemungkinan bahawa Kesultanan Riau-Lingga akan mengumpulkan bekalan makanan, senjata dan pasukan tentera yang mencukupi untuk mengalahkan mereka. Disebabkan kebimbangan ini, Belanda telah melantik seorang Timbalan Residen untuk ditempatkan di Tanjung Buton, sebuah pelabuhan berhampiran Pulau Mepar, terletak 6 kilometer dari pusat pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga di Riau.
Perjanjian 1 Disember 1857
Pada 1 Disember 1857, Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah dan Yang Dipertuan Muda Raja Haji Abdullah telah menandatangani perjanjian dengan Residen Belanda di Riau, Frederick Nicholas Johannes, dan Timbalan Residen, Herman Thedore Frederick Karel William Van Der Wal. Istiadat menandatangani perjanjian tersebut diadakan di Istana Yang Dipertuan Muda Riau di Pulau Penyengat, Riau.
Antara syarat dalam perjanjian tersebut ialah:[1]
- Kesultanan Riau-Lingga mengakui ketuanan Belanda
- Persetujuan Belanda diperlukan dalam urusan pelantikan Sultan Riau-Lingga
- Bakal Sultan Riau-Lingga perlu mendapatkan persetujuan Belanda dalam urusan pelantikan Tengku Besar Riau-Lingga (pewaris takhta Kesultanan Riau-Lingga)
- Bakal Sultan Riau-Lingga perlu membuat perjanjian sumpah setia secara bertulis kepada Raja Belanda dan Gabenor Jeneral Belanda di Betawi sebelum ditabalkan secara rasmi
- Kedudukan Yang Dipertuan Muda Riau dikukuhkan lagi dengan peranannya sebagai Mangkubumi yang menjadi Raja Muda
- Keturunan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar diutamakan dalam pemilihan bakal Yang Dipertuan Muda Riau
- Sultan Riau-Lingga perlu menyerahkan urusan pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga kepada Yang Dipertuan Muda Riau dan baginda tidak boleh bermuafakat dengan pihak lain mengenai urusan tersebut serta melarang pihak lain daripada campur tangan dalam urusan tersebut atau berunding dengan baginda tanpa pengetahuan Yang Dipertuan Muda Riau
Dengan termeterainya perjanjian tersebut, kedaulatan Kesultanan Riau-Lingga telah diserahkan secara rasmi kepada Belanda dan peranan Bendahara Johor, yang juga Raja Bendahara Pahang, dalam Kesultanan Riau-Lingga telah dihapuskan.[2]
Raja Bendahara Pahang, Bendahara Tun Mutahir terpaksa menerima hakikat bahawa Kesultanan Johor Lama tidak boleh diselamatkan lagi.[3] Beliau membuat keputusan untuk menumpukan perhatiannya kepada Pahang kerana Kesultanan Riau-Lingga tidak lagi menjadi tanggungjawabnya.[4] Beliau juga mengisytiharkan bahawa Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah bukan Sultan Johor yang sah dan berdaulat berdasarkan perjanjian tersebut.[5]
Mangkat
Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah telah mangkat di Daik, Lingga pada 17 September 1883 dan dimakamkan di Makam Diraja yang terletak di Bukit Cengkeh, Daik, Lingga.
Lihat juga
- Kesultanan Riau-Lingga
- Sultan Riau-Lingga
- Yang Dipertuan Muda Riau
- Kesultanan Johor Lama
- Sultan Johor
Rujukan
- Buyong Adil (2020). Sejarah Johor (Edisi Semakan). Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 9789834922405.
- (Tun) Suzana (Tun) Othman (2007). Perang Bendahara Pahang 1857–63. Karisma Publications. ISBN 978-983-195-282-5.
- Suzana Haji Othman (2018). Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 9789834611538.
Nota kaki
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 265
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 266-268
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 280
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 281
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 282 & 289
Pautan luar
Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah Tarikh kemangkatan: 17 September 1883
| ||
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah |
Sultan Riau-Lingga 7 Oktober 1857 – 17 September 1883 |
Diikuti oleh: Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah |