Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah | |
---|---|
![]() | |
Sultan Riau-Lingga | |
Pemerintahan | 13 Oktober 1883 – 10 Februari 1911 |
Didahului oleh | Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah |
Diikuti oleh | Tiada (Kesultanan Riau-Lingga dibubarkan oleh Belanda pada tahun 1911) |
Keputeraan | Raja Abdul Rahman ibni Yang Dipertuan Muda Raja Muhammad Yusuf 1851 Pulau Penyengat, Riau |
Kemangkatan | 28 Disember 1930 Teluk Belanga, Singapura |
Pemakaman | 28 Disember 1930 Keramat Bukit Kasita, Kampung Bahru Road, Singapura |
Pasangan | 1. Inche Dayang 2. Inche Nur 3. Sharifah Aisyah 4. Tengku Jahara binti Tengku Embung Usman ibni Sultan Muhammad II Muazzam Shah 5. Inche Ainun-nisa (Ainon) binti Abdullah 6. Inche Aminah (Mina) binti Abdullah |
Anakanda | 1. Tengku Haji Osman 2. Tengku Ismail 3. Tengku Omar 4. Tengku Abbas 5. Tengku Haji Muhammad Zain 6. Tengku Padang Salmah 7. Tengku Dalam Embong 8. Tengku Hajah Aisyah |
Wangsa | Wangsa Yang Dipertuan Muda |
Ayahanda | Yang Dipertuan Muda Raja Muhammad Yusuf |
Bonda | Tengku Embung Fatimah binti Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah |
Agama | Sunni Islam |
Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah ibni Yang Dipertuan Muda Raja Muhammad Yusuf (1851 – 28 Disember 1930) ialah Sultan Riau-Lingga ke-5 dan terakhir dari tahun 1883 hingga tahun 1911. Baginda merupakan satu-satunya Sultan Riau-Lingga daripada Wangsa Yang Dipertuan Muda.
Disebabkan baginda berani menentang Belanda tanpa menggunakan kekerasan dan baginda berani menolak permintaan Belanda untuk mengurangkan kuasanya, pada 10 Februari 1911, Belanda membubarkan Kesultanan Riau-Lingga semasa baginda berada di Daik, Lingga untuk melakukan Mandi Safar. Selepas itu, baginda dan keluarganya terpaksa berpindah ke Singapura dan baginda kemudian mangkat di sana pada tahun 1930.
Pertabalan
Selepas Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah mangkat pada 17 September 1883, para pembesar Bugis dan Melayu memilih Tengku Embung Fatimah untuk memangku urusan pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga. Hampir sebulan kemudian, pada 13 Oktober 1883, Tengku Embung Fatimah menyerahkan takhta Kesultanan Riau-Lingga kepada anakandanya, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah.
Selepas kemangkatan Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Muhammad Yusuf, yang merupakan suami Tengku Embung Fatimah dan ayahanda Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah, pada tahun 1899, jawatan Yang Dipertuan Muda Riau disatukan dengan jawatan Sultan Riau-Lingga.
Pada tahun 1885, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah dihadiahkan tiga buah gendang perak bersepuh emas daripada Gabenor Jeneral Belanda di Batavia (kini Jakarta). Gendang tersebut dibuat di Jawa dan melengkapi alat nobat baginda[1]
Kebangkitan nasionalisme

Globalisasi pada abad ke-19 membuka peluang baru kepada Kesultanan Riau-Lingga. Kedudukannya yang terletak hanya 40 batu dari Singapura membentuk keadaan politiknya, memberi peluang kepada orang Melayu Riau untuk membiasakan diri mereka dengan idea-idea baru dari Timur Tengah. Pembukaan Terusan Suez menandakan bahawa perjalanan ke Mekah melalui Pelabuhan Said, Mesir dan Singapura boleh mengambil masa tidak lebih daripada dua minggu dan dengan itu, bandar-bandar tersebut menjadi pelabuhan utama untuk haji.[2]
Mendapat ilham daripada pengalaman dan kemajuan intelektual yang dicapai di Timur Tengah dan dipengaruhi oleh persaudaraan Pan-Islamisme, golongan cendekiawan Melayu Riau menubuhkan Roesidijah Klub Riouw (Rusydiah Klub Riau) pada tahun 1895. Pertubuhan ini ditubuhkan untuk membangunkan keperluan agama, budaya dan intelektual untuk Kesultanan Riau-Lingga tetapi lama-kelamaan pertubuhan ini mula menentang pemerintahan Belanda dalam Kesultanan Riau-Lingga.[3]
Pada zaman tersebut, kesedaran tentang kepentingan watan (tanah air) dan kewajipan rakyat terhadap tanah kelahirannya mula meningkat dalam kalangan bangsawan dan pemerintah. Untuk menubuhkan watan, negeri mesti merdeka dan berdaulat, jauh sekali daripada kesultanan yang dikuasai oleh Belanda. Selain itu, penguasaan Barat dalam kesultanan secara perlahan-lahan menghakis jati diri Melayu-Islam.
Menjelang awal abad ke-20, Roesidijah Klub Riouw (Rusydiah Klub Riau) telah menjadi alat politik untuk bangkit menentang kuasa penjajah dengan Raja Muhammad Thahir dan Raja Ali Kelana bertindak sebagai tulang belakangnya. Misi diplomatik telah dihantar ke Empayar Uthmaniyah oleh Raja Ali Kelana, diiringi oleh ulama terkenal kelahiran Patani, Syeikh Wan Ahmad Fatani, pada tahun 1883, 1895 dan pada tahun 1905 untuk membebaskan Kesultanan Riau-Lingga. Pejabat Tanah Jajahan Belanda di Tanjung Pinang melabelkan pertubuhan itu sebagai versetpartai (perkataan Belanda yang bermaksud parti berhaluan kiri). Pertubuhan itu juga mendapat sokongan penting daripada Mohakamah (Badan Kehakiman Melayu) dan Dewan Kerajaan (Badan Pemerintahan Kesultanan). Pertubuhan tersebut memantau dan meneliti setiap langkah yang diambil oleh Residen Belanda dalam urusan pemerintahan kesultanan dan tindakan yang diambil oleh pertubuhan tersebut menimbulkan kemarahan Belanda.

Gerakan tersebut merupakan satu bentuk Nasionalisme Melayu awal. Langkah-langkah penentangan pasif dan tanpa kekerasan telah digunapakai oleh gerakan tersebut. Kaedah utama pergerakan itu ialah mengadakan boikot secara simbolik. Belanda kemudian melabelkan gerakan itu sebagai leidelek verset (perkataan Belanda yang bermaksud penentangan pasif) dan tindakan pasif seperti mengabaikan pengibaran bendera Belanda menimbulkan kemarahan Raad van Indie (Dewan Hindia Timur Belanda) yang berpangkalan di Batavia dan Penasihat Hal Ehwal Anak Negeri, Christiaan Snouck Hurgronje. Dalam surat geheim (perkataan Belanda yang bermaksud rahsia) 660/G bertarikh 7 Mei 1904 kepada Dewan Hindia Timur Belanda, Hurgronje mencadangkan agar Kesultanan Riau-Lingga dan Roesidijah Klub Riouw (Rusydiah Klub Riau) dihapuskan seperti penentangan dalam Perang Aceh sebelumnya. Hurgronje menyokong cadangannya dengan beberapa hujah iaitu antaranya sejak tahun 1902, ahli-ahli Roesidijah Klub Riouw (Rusydiah Klub Riau) akan berkumpul di sekeliling istana diraja dan enggan mengibarkan bendera Belanda di atas kapal kesultanan. Residen Belanda di Riau, A.L. Van Hasselt menasihati Gabenor Hindia Timur Belanda bahawa Sultan Riau-Lingga adalah penentang Belanda dan penyokong kumpulan verzetparty tegar. Kemudian, pada 1 Januari 1903, Residen Belanda mendapati bahawa bendera Belanda tidak dikibarkan semasa lawatannya ke istana diraja. Dalam laporannya kepada gabenor, beliau menulis; “nampaknya baginda (Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah) bertindak seolah-olah baginda seorang raja yang berdaulat dan baginda mengibarkan benderanya sendiri”. Berdasarkan beberapa rekod dalam Arkib Negara Indonesia, terdapat beberapa laporan bahawa Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah kemudian memohon maaf kepada gabenor berhubung "insiden bendera".
Dalam jawapannya kepada surat geheim bernombor 1036/G dan bertarikh 9 Ogos 1904, Dewan Hindia Timur Belanda bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Hurgronje dan membenarkan tindakan diambil terhadap pertubuhan nasionalis itu. Namun begitu, nasihat yang diberikan kepada Sultan Riau-Lingga ialah menjadi orang pertama yang mengemukakan tindakan ketenteraan terhadap kesultanan dan pertubuhan. Dewan Hindia Timur Belanda itu juga menasihati Residen Belanda di Riau supaya tidak mengadakan perjanjian sebelum mencapai kata sepakat dengan Kesultanan Riau-Lingga.
Pembubaran Kesultanan Riau-Lingga oleh Belanda

Pada 18 Mei 1905, Belanda menuntut perjanjian baru dengan Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah di mana Belanda ingin mengurangkan kuasa Kesultanan Riau-Lingga, mewajibkan bendera Belanda dikibarkan lebih tinggi daripada bendera Riau-Lingga, dan menetapkan bahawa pegawai-pegawai Belanda harus diberikan penghormatan tertinggi dalam Kesultanan Riau-Lingga. Perjanjian itu seterusnya menyatakan bahawa Kesultanan Riau-Lingga hanya sekadar achazat (perkataan Belanda yang bermaksud pinjaman) daripada Kerajaan Belanda. Perjanjian itu dibuat kerana pelantikan Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah sebagai Sultan Riau-Lingga telah diadakan tanpa persetujuan Belanda dan baginda juga jelas menentang pemerintahan penjajah.[4]
Belanda mendesak Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah untuk menandatangani perjanjian tersebut, tetapi setelah berunding dengan para kerabat dan pembesar negeri iaitu Engku Kelana, Raja Ali, Raja Hitam dan yang lain, baginda menolak dan membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah rejimen tentera di bawah pimpinan pemangku raja, Tengku Umar. Semasa lawatan Residen Belanda ke Pulau Penyengat, baginda kemudian, bertindak sendirian dan tanpa persetujuan Belanda, menjemput pemerintah Reteh, Gaung dan Mandah, membuatkan Residen Belanda berasa seperti sedang dikepung oleh Kesultanan Riau-Lingga. Ahli-ahli Roesidijah Klub Riouw (Rusydiah Klub Riau), terutamanya ahli-ahli kumpulan pemerintahan, dengan itu dapat memujuk baginda, yang pernah menyokong pemerintahan Belanda, secara perlahan-lahan untuk bertindak menentang kehendak penjajah.

Keputusan berani yang ditunjukkan oleh Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah dan para pembesar Kesultanan Riau-Lingga tidak disenangi oleh Belanda. Menurut jurnal yang disimpan oleh Syahbandar (Penguasa Pelabuhan), keputusan baginda mengecewakan Residen Belanda, G.F Bruijn Kops yang menyatakan “mereka menggunakan sultan untuk menentang (Belanda), maka tindak balas (oleh Belanda) akan diambil”.
Pada pagi 10 Februari 1911, ketika Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah dan para pegawai istana berada di Daik untuk melakukan Mandi Safar (upacara penyucian), kapal perang tentera laut Belanda dari Jawa dan bot torpedo dari Koetai dan Tromp berlabuh di Pulau Penyengat dan menghantar ratusan askar peribumi (marechausse dalam bahasa Belanda) untuk mengepung istana diraja. Selepas itu, pegawai Belanda, K.M. Voematra dari Tanjung Pinang tiba di ibu pejabat Roesidijah Klub Riouw (Rusydiah Klub Riau) untuk mengumumkan pemecatan Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah.[5] Setelah surat pemecatan itu dibacakan oleh pegawai Belanda, beliau menyifatkan putera mahkota dan ahli-ahli Roesidijah Klub Riouw (Rusydiah Klub Riau) yang lain sebagai “orang berniat bermusuhan dengan Sri Padoeka Gouvenrnement Hindia Nederland”.
Belanda kemudian merampas alat kebesaran diraja Kesultanan Riau-Lingga,[6] dan untuk mengelakkan rampasan oleh Belanda, banyak bangunan kesultanan sengaja dirobohkan oleh kerabat diraja kesultanan sendiri. Perpindahan besar-besaran rakyat dan pegawai Kesultanan Riau-Lingga ke Johor dan Singapura kemudian berlaku. Untuk mengelakkan keganasan dan kematian rakyat di Pulau Penyengat, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah dan para pembesarnya membuat keputusan untuk tidak melawan tentera Belanda. Baginda dan Tengku Ampuan (Permaisuri) meninggalkan Pulau Penyengat dan berlayar ke Singapura dengan menaiki kapal diraja Sri Daik manakala Putera Mahkota Raja Ali Kelana, Khalid Hitam dan gerakan penentangan di Bukit Bahjah menyusul beberapa hari kemudian. Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah yang digulingkan terpaksa hidup dalam buangan di Singapura.
Kemangkatan
Selepas Belanda membubarkan Kesultanan Riau-Lingga pada tahun 1911, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah dan keluarganya terpaksa hidup dalam buangan di Singapura. Baginda kemudian mangkat di sana pada tahun 1930 dan dimakamkan di Keramat Bukit Kasita, Kampung Bahru Road, Singapura.[7]
Galeri
-
Sultan Riau-Lingga terakhir, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah
-
Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah bersama para pemerintah lain (sekitar tahun 1880)
-
Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah bersama Residen Belanda di Riau. (1890–1910)
-
Surat khabar The Straits Times bertarikh 11 Disember 1947 yang memaparkan gambar Almarhum Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah (kanan) dan gambar cucundanya, Tengku Ibrahim (kiri)
Lihat juga
- Kesultanan Riau-Lingga
- Sultan Riau-Lingga
- Yang Dipertuan Muda Riau
- Kesultanan Johor Lama
- Sultan Johor
Rujukan
- ^ Tengku Muda Muhammad (Oktober 1968). "The Silver Nobat of Trengganu". Malaysia in History. Persatuan Sejarah Malaysia. 12 (1): 30–32.
- ^ "Meneroka Peran Cendekiawan Kerajaan Riau-Lingga dalam Menentang Belanda (2)" (dalam bahasa Indonesia). Batam: Batampos.co.id. 4 November 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 November 2014. Dicapai pada 22 March 2015.
- ^ "Verzeparty dan Lydelyk Verzet: Perdirian Roesidijah (Club) Riouw 1890-an -1991" (dalam bahasa Indonesia). Tanjung Pinang: Tanjungpinangpos.co.id. 2 March 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 22 March 2015.
- ^ "Sejarah Kerajaan Riau-Lingga Kepulauan Riau" (dalam bahasa Indonesia). Tanjung Pinang: Balai Pelestarian Nilai Budaya Tanjung Pinang, Ministry of Education and Culture. 8 June 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 10 March 2015.
- ^ "Meneroka Peran Cendekiawan Kerajaan Riau-Lingga dalam Menentang Belanda (3)" (dalam bahasa Indonesia). Batam: Batampos.co.id. 4 November 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 28 March 2015.
- ^ "Riau-Lingga dan politik kontrak belanda 1905-1911/" (dalam bahasa Indonesia). Tanjung Pinang: TanjungPinangPos. 6 July 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 April 2015. Dicapai pada 13 April 2015.
- ^ A vestige of 16th Century Singapura?
Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah Tarikh keputeraan: 1851 Tarikh kemangkatan: 28 Disember 1930
| ||
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah |
Sultan Riau-Lingga 13 Oktober 1883 – 10 Februari 1911 |
Diikuti oleh: Tiada Kesultanan Riau-Lingga dibubarkan oleh Belanda pada tahun 1911 |