Seribu Wajah Dr. Mahathir: Satu Penghargaan Kepada Seorang Negarawan ialah sebuah pameran foto yang diadakan di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur pada tahun 2003 bagi menghargai jasa dan kepimpinan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Mahathir Mohamad.[1]
Pameran ini mempamerkan 1,031 keping gambar yang merakamkan perjalanan kepimpinan Mahathir selama 22 tahun, termasuk detik-detik rasmi, lawatan kerja, serta interaksi beliau bersama rakyat.[1] Pameran yang dianjurkan oleh media Malaysia terdiri dari akhbar, stesen televisyen, Jabatan Penerangan dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).[2]
Majlis perasmian pameran ini disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 6 Oktober 2003, dan turut dihadiri oleh Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Timbalan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, serta Menteri Penerangan ketika itu Mohd Khalil Yaakob.[1]
Pameran ini dibuka kepada orang ramai selama dua bulan sehingga 6 Disember 2003.[1]
Ciri-ciri pameran
- Pameran ini menampilkan potret-potret Mahathir dalam bentuk "art canvas" yang dicetak secara digital dengan kualiti tinggi.[1]
- Pelbagai aksi dan ekspresi Mahathir dipaparkan, termasuk gambar beliau bersama rakyat, pemimpin luar negara, dan ahli keluarga.[1]
- Khalil Yaakob menyifatkan pameran ini sebagai bukti bahawa Mahathir ialah seorang pemimpin yang "mesra media".[1]
- Pameran ini turut dikunjungi oleh isteri-isteri pemimpin negara Islam yang berada di Malaysia sempena Sidang Kemuncak Ke-10 OIC. Rombongan tersebut diketuai oleh Siti Hasmah Mohd Ali dan Endon Mahmood, serta disertai oleh Semra Sezer (isteri Presiden Turki), Sehba Musharraf (isteri Presiden Pakistan), Sarah Ali (isteri Presiden Pertama Uganda) dan Dawlat Taj Elsir Hashim (isteri Menteri Luar Sudan).[3]
- Sehingga 3 November, lebih 60,000 orang telah mengunjungi pameran tersebut sejak dibuka.[4]
Rujukan
- ^ a b c d e f g "Banyak foto Dr Mahathir ditempah". Berita Harian. 2003-10-07.
- ^ "Seri Paduka rasmi pameran Seribu Wajah PM" (PDF). Utusan Malaysia. 2003-10-07.
- ^ "Isteri pemimpin saksi pameran Seribu Wajah Dr. Mahathir" (PDF). Utusan Malaysia. 2003-10-18.
- ^ "Lebih 60,000 kunjungi pameran foto Dr Mahathir". Berita Harian. 2003-11-03.