Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin | |
---|---|
Alamat | |
Jalan Damai, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang Jalan Damai, Bukit Mertajam BUKIT MERTAJAM Malaysia | |
Maklumat | |
Jenis sekolah | Sekolah Berasrama Penuh |
Autoriti pendidikan | SEBERANG PERAI TENGAH |
Nombor sekolah | 604-5305636 |
Kod sekolah | PEE0051 |
Pengetua | AHMAD SHAHABUDDIN BIN ISMAIL |
Kali terakhir dikemaskinikan: 25/05/2021 |
Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS) merupakan sebuah sekolah berasrama penuh di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan juga merupakan sekolah berasrama penuh yang pertama di negeri tersebut.[1]
Sejarah
Sekolah ini yang pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang (SMSPP- telah diguna semenjak 1973, tetapi telah digunapakai oleh Sekolah Menengah Sains Pasir Putih), telah ditubuhkan pada tahun 1973.[2] Disebabkan bangunan sekolah masih dalam proses pembinaan, maka pelajar-pelajar sekolah ini telah ditumpangkan di beberapa buah sekolah lain iaitu Sekolah Menengah Penang Free (Tingkatan Empat – Lelaki), Sekolah Menengah Perempuan St. George (Tingkatan Empat – Perempuan) dan Sekolah Menengah Kampung Bahru (Tingkatan Satu – Lelaki dan Perempuan). Setelah bangunan sekolah siap sepenuhnya pada awal 1974, barulah pelajar-pelajar dipindahkan ke sekolah ini.
Pada masa ini sekolah ditadbir urus oleh Encik Harun bin Hassan sehingga 1 Februari 1974.
Pembinaan bangunan SMSTSSS bermula sejak penghujung tahun 1972 lagi. Ia dibina atas bekas kawasan ladang getah (Ladang Getah Alma) seluas 30.2 ekar dengan perbelanjaan kira-kira RM 2.3 juta. Dalam Rancangan Malaysia Keempat, sebanyak RM 5 juta lagi telah diperuntukkan untuk sekolah ini bagi kerja-kerja pembinaan bangunan tambahan dan pembelian tanah seluas 19.9 ekar, bagi membolehkan ia berkembang sesuai sebagai sebuah sekolah berasrama penuh. Pada 14 Januari 1974, barulah bangunan-bangunan sekolah siap dibina dan diserahkan secara rasmi kepada pihak pentadbir sekolah oleh Jabatan Kerja Raya.
Pengambilan pelajar-pelajar bermula pada awal tahun 1973. Mereka merupakan pelajar-pelajar perintis sekolah ini yang berasal dari negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, N.Sembilan, Pahang, Melaka, Selangor dan Sabah. Jumlah pelajar perintis ini adalah kira-kira 380 orang. Sementara guru-guru yang ditugaskan sejumlah 19 orang. Pada tahun 1974, jumlah pelajar telah bertambah menjadi 615 orang iaitu dengan kemasukan pelajar-pelajar Tingkatan Satu dan Empat yang baru. Serentak dengan itu juga bilangan guru juga turut bertambah menjadi 43 orang.
Pada tahun 1975, barulah sekolah ini mempunyai pelajar-pelajar dari semua tingkatan bermula dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Enam Rendah dengan jumlah seramai 752 orang pelajar dan dibantu oleh 45 orang guru.
Pada tahun 1977, SMSTSSS mula menempatkan pelajar-pelajar Matrikulasi Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang seramai 101 orang. Dengan itu juga, SMSTSSS tidak lagi menawarkan kelas Tingkatan Enam kepada pelajar-pelajarnya. Mulai 1996, SMSTSSS juga telah memulakan aliran teknikal iaitu dengan menawarkan mata pelajaran Teknologi Kejuruteraan dan Lukisan Kejuruteraan. Dalam tahun yang sama juga, mata pelajaran Bahasa Perancis mula diperkenalkan kepada pelajar-pelajar Tingkatan Satu.
Pada 2 April 1982, tepat jam 4.30 petang, bermulalah satu lagi detik yang cukup bersejarah bagi sekolah ini kerana saat itu telah berlangsungnya upacara perasmian pembukaan sekolah ini serta penukaran nama barunya iaitu Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang kepada Sekolah Tun Syed Sheh Shahabudin. Upacara tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Sulaiman bin Haji Daud, Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu.
Pada tahun 1995 , perkataan sains telah ditambah kepada nama sekolah ini manjadi Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin seperti yang dikenali sekarang ini. Pada 11 Mei 1997, sebuah persatuan bekas-bekas pelajar SMSPP, STSSS dan SMSTSSS telah ditubuhkan secara rasminya (ALSPEN).
Senarai Pengetua
NAMA PENGETUA | MULA | HINGGA |
1.Marmuji bin Koso | 2 Feb 1974 | 14 Ogos 1976 |
2.Tuan Haji Mohd. Arif bin Rahmat | 15 Ogos 1976 | 15 Julai 1982 |
3.Tuan Haji Halim bin Othman | 16 Julai 1982 | 30 Nov 1990 |
4.Tuan Haji Wan Min bin Wan Din | 1 Disember 1990 | 15 Disember 1994 |
5.Tuan Haji Zainuddin bin Haji Abdul Kadir | 16 Disember 1994 | 15 November 1995 |
6.Tuan Haji Ngazizan bin Haji Din | 16 November 1995 | 31 Disember 1998 |
7.Encik Ibrahim bin Mohamad | 1 Februari 1999 | 31 Disember 2004 |
8.Dr Haji Umar bin Man | Feb 2005 | Julai 2006 |
9.Encik Baharuddin bin Osman | 16 September 2006 | 15 April 2009 |
10.Tuan Haji Mohd Noor bin Yusof | 16 April 2009 | 28 Februari 2011 |
11.Tuan Haji Jamaludin bin Yaacob | 1 Mac 2011 | 15 Julai 2017 |
12.Ustaz Ishak bin Harun | 3 Disember 2018 | 21 Februari 2021 |
13.Encik Jasmi bin Md Isa | 24 Mei 2021 | 30 September 2021 |
14.Encik Ahmad Shabuddin bin Ismail | 1 November 2021 | SEKARANG |
Bendera
Gambar-gambar, buku-buku dan simbol-simbol sains yang terdapat pada lencana ini. melambangkan keprihatinan guru-guru dan para pelajar sekolah ini dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bidang sains dan teknologi
Warna 'maroon' yang terdapat pada bendera sekolah ini melambangkan keberanian dan kegigihan semangat dan usaha seluruh warga sekolah ini. bagi memajukan Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Saedin dalam semua lapangan baik bidang akademik mahupun ko-kurikulum.
Lencana sekolah diletakkan di tengah-tengah bendera sekolah ini bagi melambangkan rasa sanjungan, cinta dan sayang seluruh warga Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Saedin terhadap sekolah ini sebagai satu institusi pendidikan.
Lagu SMSTSSS
Kami penuntut putera puteri
harapan ibu pertiwi
Bersatu hati satu tujuan
Ilmu asas kemajuan
Pada sekolah kami
Bersumpah taat setia tekun
Berusaha bersopan
Santun berbudi mulia
Namamu kekal sentiasa
Oh Tuhan berilah rahmatmu
Yakin berusaha berilmu
Moga cita murni kami
Hidup berjaya berbakti
Pada sekolah kami
Bersumpah taat setia tekun
Berusaha bersopan
Santun berbudi mulia
Namamu kekal sentiasa
Lencana
lencana atau logo asal (gambar atas sebelah kiri) adalah hasil gabungan idea Tuan Haji Marmuji bin Koso (Pengetua pertama) dan Cikgu Haji Mansor bin Hambali (Guru Sains Paduan) pada tahun 1974. Idea mentah diperoleh melalui lukisan pelajar semasa pertandingan mencipta logo sekolah pada waktu itu.
1974 merupakan tahun lencana asal dilancarkan ketika SMS PP mula beroperasi di Bukit Mertajam, namun kerja tanah dan penubuhan sekolah adalah tahun 1973.
Oleh itu lencana yang terkini (gambar bawah) menggunakan tahun 1973 bersempena dengan tahun penubuhan sekolah.
Maksud Lencana Sekolah
- Pokok pinang dan gelombang air biru putih melambangkan sekolah terletak di Pulau Pinang,
- 4 bulatan bermaksud putaran atom, molekul bagi diamond,
- Penunu Bunsen dan ‘gears’ mewakili sains dan teknologi
- buku mewakili pendidikan.
- ilmu asas kemajuan merupakan tagline sekolah.
- maroon dan putih pula dimasukkan kerana ia merupakan warna rasmi sekolah.
Asrama
- Asrama Tun Syed terdiri daripada 4 blok (Blok A, B, C dan D)
- 2 blok Asrama Putera (ASPURA) dan 2 blok Asrama Puteri (ASPURI)
- Tun Syed mengamalkan pertandingan sistem rumah di mana rumah Delima,Mutiara,Nilam dan Zamrud bersaing dalam merebut gelaran juara sistem rumah setiap tahun
Alumni yang menyerlah
- Datuk Haji Mohammad bin Mentek, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
- Professor Jafri Malin Abdullah FASc,Professor Sains Otak dan Minda , Jabatan Neurosains,Universiti Sains Malaysia
- Dato' Haji Abdul Halim Hussain, mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. (73-75)
- Professor Dato' Mohamad Isa Abd. Majid. Director, Institute of Pharmaceuticals and Nutraceuticals, Universiti Sains Malaysia. (73-77)
- Dr Nungsari Ahmad Radhi, Executive Director, Head of Research and Investment Strategy, Khazanah Nasional, Mantan Ahli Parlimen Balik Pulau, Columnist. (73-77)
- Mustaqim Abdullah, Pemuzik Professional (97-01)
- Muzamir Abu Bakar, Director, Asia Aero Technic (86-90)
Pautan luar
- Laman Rasmi Tun Syed
- Instagram Rasmi Tun Syed
- Youtube Channel Tun Syed
- Briged Bestari Tun Syed
- Badar Tun Syed
- Koperasi Tun Syed
- ^ "SEKOLAH BERASRAMA PENUH PULAU PINANG". Bernama (dalam bahasa Malay). 23 Mac 1972. Dicapai pada 19 November 2024.CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ "SEKOLAH MENENGAH SAINS BERASRAMA PENUH YANG PERTAMA DI NEGERI PULAU PINANG TELAH MEMULAKAN PENGGAL PERSEKOLAHAN". Bernama (dalam bahasa Malay). 27 Januari 1974. Dicapai pada 19 November 2024.CS1 maint: unrecognized language (link)