| Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli | |
|---|---|
| Alamat | |
| Jalan Hospital Bandar Jeli, 17600 Jeli, Kelantan Darul Naim | |
| Maklumat | |
| Jenis sekolah | Sekolah menengah kebangsaan, Sekolah kerajaan |
| Moto | WE ARE THE BEST |
| Nombor sekolah | 6099440244 |
| Kod sekolah | DEA9002 |
| Pengerusi PIBG | En. Azizi bin Loman |
| Pengetua | Pn. Hajah Fazuliana binti Yusuf |
| GPK Pentadbiran dan Akademik | Pn. Norhazalita binti Mamat |
| Penolong Kanan Hal Ehwal Murid | En. Suzariman bin Ismail |
| Penolong Kanan Kokurikulum | Pn. Izuani binti Arifin |
Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli (Jawi: سكوله منڠه كبڠسأن جلي) atau ringkasnya SMK Jeli, merupakan sebuah sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Jalan Hospital, Bandar Jeli, 17600 Jeli, Kelantan. Sekolah ini terletak berhampiran Hospital Jeli.
Pada tahun 2009, SMK Jeli mempunyai seramai 581 pelajar lelaki dan 601 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1,182 orang. Sekolah ini dikendalikan oleh 80 orang guru.[1]
Sejarah SMK Jeli
Penubuhan dan Awal Operasi (1986–1990)
Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli (SMK Jeli) telah dirasmikan pada tahun 1986. Pada waktu itu, jumlah pelajar adalah seramai 258 orang, terdiri daripada 152 pelajar lelaki dan 106 pelajar perempuan. Tenaga pengajar pula terdiri daripada 13 orang guru (11 lelaki dan 2 perempuan). Sekolah ini memulakan pengambilan pelajar tingkatan satu dan dua yang sebahagiannya berasal dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Lanas, memandangkan ketika itu tiada sekolah menengah di Bandar Jeli.
Secara fizikal, SMK Jeli bermula dengan dua blok bangunan dua tingkat yang mengandungi lapan buah kelas. Dalam usaha menampung pertambahan pelajar, empat kelas tambahan telah dibina secara gotong-royong pada tahun 1987. Pada masa itu, kakitangan sokongan hanya terdiri daripada tiga orang iaitu seorang kerani rendah, seorang pembantu pejabat, dan seorang pembantu makmal.
Perkembangan Infrastruktur (1991–2000)
SMK Jeli mula menempa sejarah apabila peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran) pertama diadakan pada tahun 1987, yang kemudiannya dikenali sebagai PMR. Tingkatan empat mula diperkenalkan pada tahun 1991 dan peperiksaan SPM pertama dilaksanakan pada tahun 1992. Sebelum itu, pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat perlu bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Lanas.
Pada bulan Oktober 1997, SMK Jeli menerima sumbangan sebanyak 21 unit komputer daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan sebagai usaha memperkasa penggunaan teknologi maklumat dalam pendidikan.
Kemajuan dan Pembangunan Terkini
Menjelang tahun 2011, SMK Jeli telah menyambut Jubli Perak sempena ulang tahun ke-25 penubuhannya. Dalam tempoh tersebut, sekolah ini telah berjaya melahirkan ramai alumni yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan menjawat pelbagai jawatan penting di sektor awam dan swasta.
Kini, SMK Jeli terletak di kawasan strategik berhampiran Bukit Jeli, di atas tanah seluas 27 ekar. Bilangan pelajarnya telah meningkat kepada 1,015 orang dengan sokongan 76 orang guru serta 15 orang staf sokongan.
Fasiliti dan Kemudahan
SMK Jeli kini dilengkapi dengan beberapa blok bangunan iaitu tiga blok empat tingkat, satu blok tiga tingkat, dan dua blok dua tingkat yang menempatkan keseluruhan 35 bilik darjah.
Sekolah ini juga mempunyai kemudahan pendidikan dan sokongan yang lengkap, antaranya:
- Lapan makmal sains
- Lima bengkel Kemahiran Hidup
- Sebuah bilik lukisan
- Sebuah Pusat Sumber berhawa dingin
- Bilik guru dan pejabat berhawa dingin
- Bilik bimbingan dan kaunseling
- Bilik peperiksaan dan bilik rawatan
- Makmal komputer
- Sebuah dewan besar (Dewan Anjung Bestari)
- Sebuah padang sekolah
- Surau dan asrama
- Sebuah bilik latihan untuk pelajar aliran Sains Sukan (siap pada 2024)
SMK Jeli turut menerima sokongan padu daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, agensi-agensi kerajaan, dan komuniti setempat. Antaranya, Dato’ Seri Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Jeli, yang telah banyak menyumbang dalam usaha menaik taraf prasarana dan kecemerlangan sekolah ini.
Dengan kemudahan moden dan suasana pembelajaran yang kondusif, SMK Jeli terus komited dalam melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.
Pencapaian
Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli telah meraih pelbagai pencapaian di peringkat negeri, kebangsaan, dan antarabangsa, sekaligus membuktikan komitmen sekolah terhadap kecemerlangan menyeluruh.
Tahun 2024
Pada tahun 2024, Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli telah mencatat pelbagai kejayaan membanggakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa:
- Anugerah Agrotek Madani 2024 - SMK Jeli telah meraih tempat ketiga dalam Anugerah Agrotek Madani 2024 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah kategori Sekolah Menengah Kebangsaan. Sebagai pengiktirafan, sekolah menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.00. Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan pelajar dan guru dalam memajukan program agrotek di sekolah.
- Water Rocket Challenge – Karnival STEM Peringkat Kebangsaan 2024 - Pasukan Roket Air SMK Jeli telah berjaya meraih tempat kelima dalam pertandingan Water Rocket Challenge sempena Karnival STEM Peringkat Kebangsaan 2024. Pencapaian ini hasil daripada dedikasi tinggi pasukan pelajar serta bimbingan guru, dan diharapkan menjadi inspirasi dalam memperkukuh minat terhadap sains dan teknologi.
- International Folklore and Music Competition Prague 2024 - Nur Syafawati Damia binti Safwan, pelajar SMK Jeli, telah mengharumkan nama sekolah di peringkat antarabangsa dengan meraih tempat pertama (Laureate 1) dalam kategori Vocal Duet of Excellent Group di pertandingan International Folklore and Music Competition Prague 2024, yang berlangsung di Prague, Republik Czech. Kejayaan ini membuktikan kebolehan pelajar SMK Jeli untuk bersaing di peringkat dunia.
Alamat
- Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli (SMKJELI),
- Jalan Hospital,
- 17600, Jeli,
- Kelantan, Malaysia
- Telefon = 6099440244
- E-mail = dea9002@moe.edu.my









