Pasukan besbol kebangsaan Jepun (野球日本代表, Yakyū Nippon Daihyō atau Yakyū Nihon Daihyō), juga dikenali sebagai Samurai Japan (侍ジャパン), merupakan pasukan kebangsaan yang mewakili negara Jepun dalam acara besbol di pentas antarabangsa. Pasukan Jepun telah menjuarai kejohanan World Baseball Classic pada tahun 2006, 2009 dan 2023 serta WBSC Premier12 pada tahun 2019. Pasukan ini kini menghuni tangga pertama dalam ranking dunia oleh Konfederasi Sofbol Besbol Dunia dan dianggap sebagai pasukan gergasi besbol.[1]
Pasukan Jepun telah mengambil bahagian dalam setiap penyertaan di Sukan Olimpik sejak ia mula dipertandingkan pada tahun 1984 walaupun acara besbol tidak diteruskan selepas edisi Sukan Olimpik 2008. Sehingga tahun 2000, pasukan Jepun terdiri daripada pemain-pemain amatur. Sejak Sukan Olimpik 2000, pasukan Jepun terdiri daripada pemain-pemain yang beraksi di Nippon Professional Baseball. Bahkan, pasukan Jepun yang beraksi di World Baseball Classic 2006 juga terdiri daripada pemain-pemain Jepun yang beraksi di Major League Baseball.
Pasukan Jepun telah memenangi kejohanan Classic pada tahun 2006. Kemudian, mereka beraksi di Sukan Olimpik Beijing selepas layak menerusi Kejohanan Besbol Asia pada tahun 2007. Tidak seperti pasukan yang beraksi di WBC, pasukan Jepun di pentas Olimpik terdiri daripada pemain-pemain NPB (termasuk seorang pemain amatur yang didaftarkan ketika kejohanan). Jepun juga telah menamatkan penyertaan di World Baseball Classic 2017 di tempat ketiga.