Logo semasa Redmi sejak 2025 | |
Manu Kumar Jain, Naib Presiden dan Pengarah Urusan Xiaomi India (kiri), Katrina Kaif (tengah) di acara promosi Redmi Y1. | |
| Nama asli | 红米 |
|---|---|
| Nama rumi | Hóng mǐ (nasi merah dalam Mandarin) |
| Jenis/bentuk sah | Smartphone model series, jenama, perusahaan |
| Ditubuhkan | Julai 2013 |
| Keluaran | Telefon pintar, fon kepala, power bank, komputer riba, Set televisyen |
| Pemilik | |
| Syarikat induk | Xiaomi |
| Tapak web | www |
| sunting · sunting di Wikidata | |
Redmi (digayakan dalam huruf besar sebagai REDMI) ialah jenama subsidiari yang dimiliki oleh syarikat elektronik China, Xiaomi. Ia mula-mula dilancarkan pada Julai 2013 sebagai barisan telefon pintar bajet, dan menjadi sub-jenama Xiaomi yang berasingan pada tahun 2019. Tujuan pemisahan ini adalah untuk mengambil alih peranti peringkat permulaan dan pertengahan yang pada asalnya dikeluarkan oleh jenama Xiaomi, sementara jenama Xiaomi sendiri mengeluarkan telefon Xiaomi (dahulunya dikenali sebagai Mi) bagi julat atas dan perdana (flagship).
Telefon Redmi menggunakan antara muka pengguna MIUI atau HyperOS oleh Xiaomi yang berasaskan sistem Android. Model-modelnya dibahagikan kepada tiga kategori: Redmi untuk peringkat asas, Redmi Note untuk peringkat pertengahan, dan Redmi K sebagai model utama (flagship). Pada tahun 2022, satu siri model asas ultra-murah dikenali sebagai Redmi A telah diperkenalkan, dengan beberapa model menggunakan Android Go dan tidak mempunyai antara muka MIUI atau HyperOS. Siri Redmi K hanya dijual di China dan dijenamakan semula sebagai Poco F untuk pasaran global terpilih.
Perbezaan paling ketara daripada telefon pintar Xiaomi yang lain ialah Redmi menggunakan komponen yang kurang mahal, yang membolehkan harganya lebih rendah sambil mengekalkan spesifikasi yang lebih maju. Pada Ogos 2014, The Wall Street Journal melaporkan bahawa pada suku kedua tahun fiskal 2014, Xiaomi mempunyai bahagian pasaran telefon pintar sebanyak 14% di China;[1] jualan Redmi disebut sebagai faktor penyumbang ke arah kedudukan ini.[1]
Sejarah
2013
Telefon Redmi yang pertama, iaitu Redmi 1, yang dikeluarkan di China pada tahun 2013, mula-mula dilancarkan di laman web Xiaomi, dengan jualan kepada pengguna bermula pada 12 Julai 2013. Telefon ini dikeluarkan di peringkat antarabangsa di bawah jenama Redmi pada awal tahun 2014.[2][3]
2014
Pada 13 Mac 2014, Redmi mengumumkan bahawa telefon mereka telah habis dijual di Singapura sahaja, hanya lapan minit[4] selepas mula ditawarkan untuk dibeli di laman web Xiaomi. Kritikan mengenai pelancaran telefon Redmi termasuklah anggapan bahawa syarikat tersebut mungkin memperbesar-besarkan jualan mereka dengan melancarkan peranti dalam kumpulan yang kecil, yang menyebabkan ia cepat habis dijual.[5]
Pada 4 Ogos, The Wall Street Journal melaporkan bahawa dalam pasaran telefon pintar China, Xiaomi mengatasi Samsung pada suku kedua tahun fiskal 2014 dengan 14% bahagian pasaran dalam kedudukan penghantaran telefon pintar, manakala Samsung mempunyai 12% bahagian pasaran dalam tempoh masa yang sama.[1] Yulong dan Lenovo kedua-duanya mempunyai 12% bahagian pasaran pada masa ini.[1] Jualan Redmi dikaitkan sebagai penyumbang kepada peningkatan kedudukan penghantaran Xiaomi dalam pasaran telefon pintar.[1] Sebaliknya, pada suku pertama 2014, Xiaomi memegang 10.7% bahagian pasaran.[1]
2015
Redmi Note 3 dilancarkan pada 24 November 2015; tidak seperti pendahulunya, ia tidak mempunyai bateri yang boleh ditukar pengguna atau slot microSD. Ia menggunakan MediaTek Helio X10 Octa-core 2.0 GHz Cortex-A53 SOC dengan GPU PowerVR G6200. Varian Snapdragon telefon, dikeluarkan lewat tahun yang sama, adalah berdasarkan Snapdragon 650 dan mempunyai sokongan microSD.
2016
Pada Julai 2016, pelakon Liu Shishi, Wu Xiubo dan Liu Haoran menjadi duta pertama siri Redmi di China.[6] Redmi Pro telah muncul sebagai barisan Pro dalam siri Redmi.
Pada Ogos 2016, Xiaomi telah melancarkan Redmi Note 4, dikuasakan oleh pemproses teras deka MediaTek MT6797 Helio X20 yang mencatatkan kelajuan 2.1 GHz. Peranti ini mempunyai 2 GB RAM dan 16 GB storan dalaman. Ia mempunyai paparan HD Penuh 5.5-inci dan kamera belakang 13 MP dan kamera hadapan 5 MP. Juga, ia beroperasi menggunakan Android 6.0 Marshmallow dan dikuasakan oleh bateri 4,100 mAh.[7]
Pada bulan November, Xiaomi telah melancarkan telefon bajet baharunya, Redmi 4. Ia menampilkan badan polikarbonat, sokongan dwi-SIM (dual-SIM) dan beroperasi menggunakan MIUI 8 yang berasaskan Android 6.0.1 Marshmallow. Redmi 4 mempunyai paparan 5 inci dengan resolusi 720x1280 piksel, dikuasakan oleh pemproses lapan teras (octa-core) 1.4 GHz, dan mempunyai 2 GB RAM.[8]
2017
Pada Januari 2017, Xiaomi Redmi Note 4x berasaskan Qualcomm Snapdragon 625 Chipset menjadi pelancaran besar pertama syarikat pada tahun tersebut. Ini adalah versi yang ditingkatkan daripada Redmi Note 4 yang dikeluarkan sebelum ini, yang berasaskan pada cip pemprosesan (chipset) MediaTek Helio X20. Peranti ini dikenali sebagai Redmi Note 4X di kawasan-kawasan di mana Redmi Note 4 yang asal tidak dilancarkan.
Pada bulan Disember, Xiaomi memperkenalkan Redmi 5 dan 5 Plus. Kedua-dua telefon ini merupakan peranti pertama dalam siri Redmi yang menggunakan nisbah aspek skrin 18:9. Pelancaran di Kesatuan Eropah (EU) ditetapkan pada Januari 2018, dengan harga ditetapkan pada €170 untuk Redmi 5 dan €215 untuk Redmi 5 Plus.
2018
Pada Februari 2018, Xiaomi melancarkan Redmi Note 5 dan Note 5 Pro. Ia adalah telefon pertama daripada Xiaomi yang menampilkan pengecaman muka.
Pada bulan Mei, Xiaomi melancarkan Redmi S2, juga dikenali sebagai Redmi Y2 untuk pasaran India.
Pada bulan Jun, Xiaomi melancarkan Redmi 6, 6A dan 6 Pro. Redmi 6 Pro ialah telefon pertama dalam siri Redmi dengan takuk serupa dengan iPhone X dan nisbah aspek skrin 19:9.
Pada bulan September, Xiaomi melancarkan Redmi Note 6 Pro. Ia adalah telefon pertama dalam siri Redmi dengan empat kamera (dua kamera di hadapan dan dua kamera di belakang) dan dibina menggunakan siri 6000.
2019
Pada Januari 2019, Xiaomi secara rasmi mengumumkan Redmi sebagai sub-jenama berasingan, berbeza daripada Xiaomi.[9]
Pada Januari 2019, Redmi melancarkan Redmi Note 7 dan Note 7 Pro dengan kamera 48 MP, menjadi antara model paling laris dengan lebih 20 juta unit terjual dalam tujuh bulan. Seterusnya, pada bulan Mei, Redmi memperkenalkan Redmi K20 dan K20 Pro (Mi 9T) sebagai model flagship, bersama Redmi 7A sebagai model bajet. Redmi Note 8, Note 8 Pro, Redmi 8, dan 8A turut dilancarkan kemudian pada tahun sama.
Selepas menjadi sub-jenama Xiaomi, Redmi mengembangkan fokusnya daripada telefon pintar kepada produk lain seperti TV pintar, komputer riba, dan peralatan rumah pintar.
2020
Pada tahun 2020, Redmi memperkenalkan pelbagai produk baharu yang menonjol dalam segmen telefon pintar dan elektronik pengguna. Awal tahun tersebut, Redmi melancarkan Redmi K30 5G, telefon 5G pertama keluarannya yang menggunakan cip Snapdragon 765G dan skrin LCD 120 Hz.
Seterusnya pada bulan Mac, syarikat itu memperkenalkan Redmi Note 9 Pro dan Note 9 Pro Max di India dengan cip Snapdragon 720G, masing-masing menampilkan kamera utama 48 MP dan 64 MP serta sokongan pengecasan pantas. Model-model ini turut dijenamakan semula untuk pasaran global sebagai Redmi Note 9S dan Note 9 Pro. Pada bulan Mac juga, Redmi melancarkan Redmi K30 Pro yang dikuasakan oleh cip Snapdragon 865, dilengkapi kamera Sony IMX686 64 MP serta pelbagai pilihan RAM dan storan berprestasi tinggi. Syarikat itu turut memperkenalkan Redmi TV MAX 98”, televisyen skrin besar dengan harga kompetitif.
Kemudian pada bulan Mei, Redmi memperkenalkan siri Redmi 10X yang terdiri daripada model 10X Pro 5G, 10X 5G, dan 10X 4G, masing-masing menggunakan cip MediaTek Dimensity 820 dan Helio G85. Pada masa yang sama, Redmi turut melancarkan TV siri X serta komputer riba berasaskan cip Ryzen, menandakan pengembangan jenama itu ke dalam pelbagai kategori teknologi pengguna.
2021
Pada suku kedua (Q2) tahun 2021, syarikat itu mengatasi Apple sebagai jenama telefon pintar kedua terbesar di peringkat global, dan ia turut mengalahkan Samsung sebagai pengeluar telefon terbesar di Eropah.[10]
2022
Pada 6 September 2022, Redmi melancarkan telefon pintar Redmi A1 dan beroperasi menggunakan Android 12.[11]
2023
Pada tahun 2023, Xiaomi melancarkan barisan baharu Redmi, iaitu siri Redmi Note 12, secara global pada 23 Mac 2023. Siri ini mempunyai tiga varian: Redmi Note 12, Redmi Note 12 Pro, dan Redmi Note 12 Pro+. Ini merupakan kali pertama telefon pintar Redmi menampilkan kamera 200 MP dan didatangkan dengan pengecasan pantas 120 W (pada model Redmi Note 12 Pro+[12]). Semua peranti disertakan dengan MIUI 13 berdasarkan Android 12, kemudian menerima kemas kini untuk MIUI 14 berdasarkan Android 13.[13] Xiaomi kemudiannya turut mengeluarkan satu lagi varian untuk siri ini, Redmi Note 12 Turbo pada 28 Mac, yang menampilkan pemproses Snapdragon 7+ Gen2. Pada November 2023, ia melancarkan siri Redmi 13C dan Redmi Note 13 di China.
2024
Siri Redmi Note 13 telah dilancarkan secara global pada 4 Januari 2024. Terdapat lima varian tersedia – Redmi Note 13, Note 13 Pro, Note 13 5G, Note 13 Pro 5G, dan Redmi Note 13 Pro+. Kesemua lima peranti keluar dengan MIUI 14 berdasarkan Android 13, dengan peningkatan kini tersedia kepada HyperOS, perombakan UI Xiaomi.[14]
Pada November 2024, pemain tenis meja China, Fan Zhendong, telah menjadi duta jenama (champion ambassador) bagi jenama Redmi di China.[15] Siri Redmi K80 telah dikeluarkan pada 27 November, dengan jualan melebihi 660,000 unit pada hari pertama, sekali gus memecahkan rekod jualan pertama bagi siri Redmi K.[16][17]
Perisian tegar telefon Redmi
Kebanyakan telefon Android, termasuk Redmi dan jenama lain keluaran Xiaomi, mempunyai perisian tegar yang boleh dikemas kini untuk mengubah suai ciri, menambah fungsi baharu, membetulkan ralat, dan meningkatkan keselamatan. Kemas kini perisian tegar ini selalunya boleh dilakukan secara automatik melalui "over-the-air" (OTA), di mana versi terkini boleh dimuat turun dan dipasang terus. Selain itu, terdapat juga perisian tegar alternatif khusus bagi model tertentu yang dibangunkan oleh pembangun bebas dan dikatakan mempunyai kelebihan berbanding perisian asal; salah satunya adalah LineageOS, yang menyokong pelbagai model telefon Xiaomi.[18] Komuniti Xiaomi Eropah khususnya menyediakan perisian tegar berasaskan Xiaomi HyperOS untuk pelbagai model Xiaomi. Ia dibangunkan dengan kerjasama Xiaomi, berasaskan perisian tegar yang telah diubah suai secara meluas daripada model versi China, dan dikatakan menawarkan pelbagai kelebihan.[19]
Peristiwa berkaitan
Kebocoran maklumat/data
Arahan telah dikeluarkan oleh Tentera Udara India (Indian Air Force - IAF) bahawa anggota tenteranya dan ahli keluarga mereka tidak boleh menggunakan telefon pintar Xiaomi Redmi 1S berikutan dakwaan kebocoran maklumat. Hal ini kerana timbulnya tuduhan bahawa data daripada telefon pintar tersebut dipindahkan ke pelayan (server) syarikat di China.[20]
Syarikat penyelesaian keselamatan, F-Secure, telah mendapati bahawa selain daripada nama pengguna, nombor telefon, dan nombor IMEI pengguna, nombor-nombor dalam buku alamat (address book) serta mesej-mesej juga semuanya dipindahkan ke pelayan (server) Xiaomi di Beijing.
Pelancaran Redmi Note 2
Selepas tamatnya majlis pelancaran Redmi Note 2, platform Cina JD.com (Jingdong) telah menambah teks promosi pada penerangan produk mereka, seperti "Skrin Sharp" dan "Kamera Samsung" (manakala Xiaomi Mall dan platform lain menggunakan poster asal). Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, komponen berkaitan bagi telefon tersebut dibekalkan oleh beberapa pengeluar bersama (contohnya, pengeluar skrin menggunakan Tianma dan AUO). Sebahagian pengguna yang telah membeli telefon tersebut menuduh Xiaomi melakukan "penipuan kualiti" (menjual barang kualiti rendah sebagai kualiti tinggi) dan menjalankan pengiklanan palsu.
Penggunaan slogan
Sebelum pelancaran Redmi Pro, Xiaomi di China menggunakan slogan promosi "sepuluh teras dwi-kepala batang" ("十核双茎头", shí hé shuāng jīng tóu) untuk menggembar-gemburkan telefon itu, merujuk kepada dua ciri utamanya melalui homofon, iaitu "sepuluh teras" dan "dwi-kamera" (dwilensa). Bagaimanapun, slogan itu serta-merta mendapat kritikan daripada beberapa netizen yang menuduhnya sebagai kesat dan sensasi ("Dwi-kepala batang" ialah sejenis mainan seks wanita). Selepas itu, Xiaomi mengubah suai slogan dan video promosi.
Promosi/periklanan tidak tepat
Syarikat Xiaomi mencetuskan perbincangan pengguna apabila menggunakan parameter yang tidak benar pada halaman promosi Redmi Note 5, iaitu memaparkan antara muka (port) Type-C (walaupun ilustrasi yang salah itu segera ditarik balik dan digantikan dengan rajah yang betul) dan sokongan yang tidak tepat untuk Telekom 4G+ (China Telecom). Berikutan aduan daripada pengguna, pihak rasmi mengubah suai parameter yang salah itu tanpa sebarang penjelasan. Sebelum ini, selepas pelancaran Redmi 5, halaman promosi dalam taliannya juga mempunyai pernyataan yang salah mengenai lokasi port badan telefon, sebelum ia kemudian digantikan dengan rajah yang betul.
Rujukan
- ^ a b c d e f Dou, Eva. "Xiaomi Overtakes Samsung in China Smartphone Market". WSJ (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-11-02.
- ^ "Xiaomi kicks off global expansion with new Redmi brand". Android Authority (dalam bahasa Inggeris). 2014-02-12. Dicapai pada 2025-11-02.
- ^ Low, Aloysius. "Xiaomi Redmi review: Ultra-budget Android Redmi shines for Asia". CNET (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-11-02.
- ^ "Xiaomi Singapore Sold 5,000 Redmi Phones in 8 Minutes and 4 Seconds". HardwareZone Singapore (dalam bahasa Inggeris). 2014-03-13. Dicapai pada 2025-11-02.
- ^ "5,000 Redmi sold out in 8 minutes". AsiaOne (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-11-02.
- ^ "Xiaomi unveils three ambassadors of Redmi series in China". GSM Insider (dalam bahasa Inggeris). 2016-07-11. Dicapai pada 2025-11-02.
- ^ "Spesifikasi dan harga Xiaomi Redmi Note 4 di Malaysia". TechNave BM. 2016-08-26. Dicapai pada 2025-11-02.
- ^ "Xiaomi Redmi 4 Price in Malaysia & Specs". TechNave. Dicapai pada 2025-11-02.
- ^ Waring, Joseph (2019-01-11). "Xiaomi spins off Redmi as sub-brand". Mobile World Live (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-11-03.
- ^ Rox, Ricci (2021-08-26). "Xiaomi dominates the 2021 China Mobile Awards thanks to the impressive Mi 11, Redmi Note 10, and Redmi K40 series". Notebookcheck (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-11-03.
- ^ Team, GSMArena. "Xiaomi Redmi A1 - Full phone specifications". GSMArena.com. Dicapai pada 2025-11-03.
- ^ "Redmi Note 12 Pro+ 5G | Xiaomi Global". Xiaomi (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-11-03.
- ^ "Redmi Note 12 Specs - Xiaomi Global". Mi Global Home (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-11-03.
- ^ "Redmi Note 13 series is "HyperOS-ready", Xiaomi confirms". FE Tech Bytes (dalam bahasa Inggeris). 2024-01-04. Dicapai pada 2025-11-03.
- ^ "划重点:K80 大满贯双旗舰,已在全平台开售 REDMI 新十年最强作品,从性能到体验,全面升档 快来听听 REDMI 冠军大使@樊振东 怎么说". Weibo (dalam bahasa Cina). 28 November 2024. Dicapai pada 4 Disember 2024.
- ^ "K80 大满贯双旗舰新品发布会,一图看全! K80 Pro,当红不让的大满贯旗舰,¥3699起 K80,挑战 3000 元内最强旗舰,¥2499起 K80 Pro 冠军版,科技与速度的巅峰之作,¥4999。". Weibo (dalam bahasa Cina). 27 November 2024. Dicapai pada 4 Disember 2024.
- ^ "K80 大满贯双旗舰 发布即开售,1天突破66万台 刷新K系列首销纪录。". Weibo (dalam bahasa Cina). 29 November 2024. Dicapai pada 4 Disember 2024.
- ^ "Devices | LineageOS Wiki". wiki.lineageos.org. Dicapai pada 2025-11-03.
- ^ "Unofficial Xiaomi European Community | MIUI ROM Since 2010". Unofficial Xiaomi European Community | MIUI ROM Since 2010 (dalam bahasa Inggeris). 2025-11-03. Dicapai pada 2025-11-03.
- ^ "Mathrubhumi Technology - ഷവോമി ഫോണ് ഉപയോഗിക്കരുതെന്ന് വ്യോമസേനയുടെ നിര്ദേശം , Mobile, മൊബൈല്". www.mathrubhumi.com (dalam bahasa Malayalam). Dicapai pada 2025-11-03.









