Maklumat peribadi | |||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Kewarganegaraan | Malaysia | ||||||||||||||||
Lahir | Ayer Itam, Pulau Pinang, Malaysia | 5 November 1973||||||||||||||||
Meninggal | 25 Februari 1994 Kajang, Selangor, Malaysia | (umur 20)||||||||||||||||
Ketinggian | 5 kaki 7 inci (1.70 m) | ||||||||||||||||
Berat badan | 159 paun (72 kg) | ||||||||||||||||
Sukan | |||||||||||||||||
Sukan | Lari pecut | ||||||||||||||||
Acara | 400 meter | ||||||||||||||||
Pencapaian dan pingat | |||||||||||||||||
Rekod peribadi terbaik | 400m: | 52.56 9s||||||||||||||||
Rekod pingat
|
Rabia binti Abdul Salam (5 November 1973 – 25 Februari 1994) merupakan seorang atlet pelari pecut Malaysia. Beliau dikenali pada awal 1990-an sebagai atlet jarak sederhana dalam acara 4x400 meter dan juga digelar sebagai "Bakal Ratu Trek Asia" oleh majalah Dewan Siswa.
Kehidupan awal
Rabia dilahirkan pada 5 November 1973 di Kampung Paya Terubong, Ayer Itam, Pulau Pinang. Bapanya bekerja sebagai buruh di kilang bijih timah, manakala ibunya ialah surirumah. Beliau dilahirkan dengan keadaan sebelah kakinya yang pendek sedikit. Semasa zaman persekolahannya, beliau menjadi bahan ketawa rakan-rakan sekolahnya akibat keadaan kakinya itu. Bapanya, Abdul Salam menempah kasut khas untuk anaknya, dan selepas itu, Rabia dapat berjalan seperti biasa.
Kerjaya sukan
Rabia dipilih sebagai pemenang Anugerah Putera dan Puteri Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia-Milo 1990 pada Jun 1991. Turut menerima anugerah itu ialah pemain hoki negara, Brian Jayhan Siva.[1] Beliau kemudian membuat penampilan terakhir dalam kejohanan rekod 400m Sekolah Asean di Bangkok, Thailand pada 1 hingga 3 Jun tahun yang sama.[2]
Beliau yang dilatih oleh S. Ramachandren, telah membantu Malaysia meraih pingat Sukan SEA di Manila, Filipina (1991) dan Singapura (1993), serta mencatatkan rekod baharu kebangsaan (52.56 saat) bagi acara 400 meter pada Disember 1993 di Manila.
Rekod itu dahulu dipegang oleh rakan sepasukan, Josephine Mary (52.65 saat). Malah, rekod kebangsaan bagi acara 4 x 400 meter (3:35:83) yang dicipta oleh Rabia, Josephine Mary, R. Shanti dan G. Shanti di Singapura pada Jun 1993 masih belum mampu dipecahkan atlet baharu.
Kematian dan siasatan
Beliau dikatakan mati akibat keracunan selepas mengadu sakit perut sebaik sahaja selesai berbuka puasa. Jurulatih peribadinya, C. Ramanathan membawanya ke Hospital Daerah Kajang.[3] Selepas menerima rawatan, beliau disahkan meninggal dunia pada jam 1:15 petang 26 Februari 1994 di usia 20 tahun.[4] Polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai mati mengejut.[5][6]
Keluarga Rabia meluahkan rasa terkejut dengan kenyataan pihak berkuasa bahawa kematian beliau secara mengejut akibat minum minyak kuda.[7] Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Abdul Ghani Othman melahirkan rasa terkejut dan bersedih atas pemergian Rabia. Beliau mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengetahui punca sebenar kematian Rabia.
Sebulan selepas kematian Rabia, mesyuarat khas Majlis Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) menggantung keahlian C. Ramanathan ekoran dakwaan berlakunya kes pencabulan dan meramas buah dada atlet wanita pada tahun 1992. Kementerian Belia dan Sukan menubuhkan jawatankuasa penyiasat untuk menjalankan siasatan kes itu; berikutan pendedahan akhbar The Malay Mail pada 8 Mac 1994. Presiden KOAM, Datuk Mohd Khalid Yunus, mengumumkan bantuan berjumlah RM50,000 serta sebidang tanah tapak rumah yang didiami oleh keluarganya.[8]
Pada 16 April 1994, Ketua Polis Negara Rahim Noor mengesahkan Bukit Aman sudah menerima laporan lengkap bedah siasat daripada pakar patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL). Katanya, polis akan mengemukakan cadangan kepada Peguam Negara supaya siasatan dilakukan di Mahkamah Koroner.
Dalam Penyata Rasmi Parlimen bertarikh 25 April 1994, Ahli Parlimen Kota Setar, Wan Hanafiah Wan Mat Saman meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan adakah penggantungan khidmat Ramanathan mempunyai kaitan dengan kematian Rabia. Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Ismail Said dilaporkan berkata, "Dakwaan terhadap kes Rabia Salam masih lagi dalam pengendalian pihak berkuasa polis".[9] Kemudian pada Mei 1994, polis mencadangkan kepada Pendakwa Raya agar mewujudkan inkues awam terhadap kematian Rabia.[10][11]
Mahkamah Koroner pada 24 September 1994 diberitahu Rabia membuat pengakuan kepada doktor yang merawatnya bahawa dia minum minyak kuda, sehari sebelum kematiannya.[12][13] Kemudian pada Januari 1995, Mahkamah Koroner mengesahkan bahawa Rabia disahkan membunuh diri dan tidak hamil.[14]
Rujukan
- ^ "Brian, Rabia pemenang anugerah". Berita Minggu. 16 Jun 1991. Dicapai pada 5 September 2020.
- ^ "Rabia after Lydia's record" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. 23 Mei 1991. Dicapai pada 28 Disember 2020.
- ^ "Rabia sering sakit perut: Rama". Berita Harian. 28 Februari 1994. Dicapai pada 5 September 2020.
- ^ "Atlit wanita Malaysia mati mengejut". Berita Harian. 27 Februari 1994. m/s. 19.
- ^ Ahmad Suffian (26 Februari 1994). "National athlete Rabia dies in hospital" [Atlet negara Rabia meninggal dunia di hospital] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 5 September 2020.
- ^ V. Anbalagan (21 Mac 1994). "Priority for probe into Rabia's death" [Keutamaan untuk siasatan terhadap kematian Rabia] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 5 September 2020.
- ^ Ahmad Che Doh (10 Mac 1994). "Keluarga Rabia terkejut". Berita Harian. Dicapai pada 5 September 2020.
- ^ Ridzuan Yop (11 Mac 1994). "Keluarga Rabia terima RM50,000". Berita Harian. Dicapai pada 5 September 2020.
- ^ Uthaya Sankar SB (2022), Suvarna Bhumi ISBN 9789671850947
- ^ "Police suggest open inquest into runner Rabia's death" [Polis cadang buka inkues kematian pelari pecut Rabia] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 27 Mei 1994. Dicapai pada 5 September 2020.
- ^ "Family backs Rabia probe" [Keluarga bantu siasatan Rabia] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. 28 Mei 1994. Dicapai pada 5 September 2020.
- ^ "Rabia akui minum minyak kuda: Doktor". Berita Harian. 24 September 1994. Dicapai pada 5 September 2020.
- ^ "Rabia: Siasatan polis bantu semangat atlit". Berita Harian. 20 September 1994. Dicapai pada 5 September 2020.
- ^ "Rabia disah bunuh diri, tidak hamil". Berita Harian. 14 Januari 1995. m/s. 12.
Bacaan lanjut
- Nadiya Othman (8 Jun 2019). "Ada atlet wanita Malaysia mati tapi puncanya dirahsiakan? Ini 4 kes yang ramai tak tahu". Soscili.my.
- Thermesh Velusamy (28 April 2020). "5 inspiring former Malaysian athletes we should all be talking about" [5 bekas atlet Malaysia yang berinspirasi yang perlu diperkatakan] (dalam bahasa Inggeris). Kinta Athletics.
- Shaiful Aiza Ahmad (1994). Rabia Salam: Kematiannya Jadi Misteri. Penerbitan Zihan. ISBN 9839116002.