Mesir purba (Mesir: km.t) merupakan satu buaian tamadun yang tertumpu di hilir Sungai Nil di Timur Laut Afrika. Ia terbit daripada Mesir prasejarah sekitar tahun 3150 SM (mengikut kronologi Mesir konvensional), apabila Mesir Hulu dan Hilir disatukan oleh Menes, yang dipercayai oleh majoriti ahli Egiptologi sebagai orang yang sama dengan Narmer. Sejarah Mesir purba merangkumi tempoh-tempoh kerajaan stabil yang diselang-seli dengan "Zaman Perantaraan" yang begitu goyah. Kerajaan-kerajaan stabil ini berada dalam salah satu daripada tiga tempoh: Kerajaan Lama pada Zaman Gangsa Awal; Kerajaan Pertengahan pada Zaman Gangsa Pertengahan; atau Kerajaan Baru pada Zaman Gangsa Akhir.
Kemuncak kuasa Mesir purba dicapai semasa Kerajaan Baru, yang meluaskan pemerintahannya ke sebahagian besar Nubia dan sebahagian besar Levant. Selepas tempoh ini, Mesir perlahan-lahan memasuki era kemerosotan. Sepanjang sejarahnya, ia telah diserang atau ditakluki oleh beberapa tamadun asing, termasuk Hyksos, Kush, Assyria, Parsi, dan yang paling ketara, Yunani dan kemudian Rom. Persoalan bila Mesir purba tamat tidak disepakati: sama ada dengan berakhirnya Zaman Akhir semasa Perang Alexander Agung pada 332 SM atau dengan berakhirnya Kerajaan Ptolemaik yang diperintah Yunani semasa Rom menakluk Mesir pada 30 SM. Pada 642 M, penaklukan Mesir oleh Arab menamatkan tempoh seribu tahun Zaman Yunani-Rom di rantau ini.
Kejayaan tamadun Mesir purba sebahagiannya datang daripada keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan Sungai Nil untuk pertanian. Banjir Nil yang boleh diramal dan pengairan terkawal di lembah suburnya menghasilkan hasil tanaman yang begitu banyak. Ia menyokong populasi yang lebih padat, seterusnya pembangunan sosial dan budaya yang ketara. Dengan sumber yang mencukupi, pentadbiran pun menaja pelombongan mineral-mineral di lembah dan kawasan gurun sekitarnya, pembangunan awal sistem penulisan sendiri, organisasi projek pembinaan dan pertanian kolektif, perdagangan dengan tamadun lain, dan tentera untuk menegaskan dominasi Mesir di seluruh Timur Dekat. Yang memotivasikan dan mengatur aktiviti-aktiviti ini ialah birokrasi jurutulis-jurutulis elit, ketua-ketua agama, dan pentadbir di bawah kawalan firaun yang memerintah, yang memastikan kerjasama dan perpaduan rakyat Mesir dalam konteks sistem kepercayaan agama yang rumit.
Antara banyak pencapaian Mesir purba ialah: teknik-teknik
kuari, ukur, dan pembinaan yang menyokong pembinaan
piramid,
kuil, dan
obelisk yang besar; sistem
matematik; sistem
perubatan praktikal dan berkesan; sistem pengairan dan teknik pengeluaran pertanian; kapal papan pertama yang diketahui;
faience Mesir dan teknologi
kaca; bentuk baharu
kesusasteraan; dan
perjanjian damai terawal yang diketahui, yang diratifikasikan dengan
Empayar Het yang berpusat di
Anatolia.
Kesenian dan
seni binanya banyak ditiru dan
barangan antikuitinya dibawa untuk dikaji, dikagumi, atau direbutkan di seluruh pelosok dunia. Begitu juga, runtuhan monumen-monumennya menginspirasikan imaginasi pelancong dan penulis selama ribuan tahun. Rasa hormat baharu Eropah dan Mesir terhadap barangan purba dan penggalian yang bermula dengan serius pada
zaman moden awal telah membawa kepada banyak penyiasatan saintifik tentang Mesir purba dan masyarakatnya, serta penghargaan yang lebih besar terhadap warisan budayanya.