| 新关仔角 (Cina) | |
| Diselenggarakan oleh | Majlis Bandaraya Pulau Pinang |
|---|---|
| Lokasi | George Town |
| Koordinat | 5°26′12″N 100°18′45″E / 5.436564°N 100.312556°E |
| Akhir Barat |
|
| Akhir Timur |
|
| Pembinaan | |
| Pembukaan rasmi | 1934 |
PERSIARAN GURNEY Gurney Drive10250 P. PINANG![]() | |

Persiaran Gurney ialah sebuah promenad pesisir pantai yang terkenal dalam bandar raya George Town di negeri Pulau Pinang, Malaysia. Jalan ini juga masyhur dengan makanan jalanan yang boleh didapati di medan selera pesisirnya dan pernah disenaraikan sebagai salah satu daripada 25 jalan terbaik di dunia untuk dilawati oleh majalah pelancongan Australia, The Traveler.[1][2] Selain itu, Persiaran Gurney juga telah menjadi sebahagian daripada Daerah Pusat Perniagaan (CBD) George Town berikutan pertumbuhan pesat hartanah komersial dan pusat beli-belah.[3]
Sebelum ini dikenali sebagai New Coast Road, jalan ini telah siap dibina pada tahun 1936 di sepanjang kawasan yang ketika itu dikenali sebagai North Beach dan dinamakan semula pada tahun 1952 sempena Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu (1950–1951) yang telah dibunuh oleh gerila Parti Komunis Malaya semasa Darurat Tanah Melayu.[4]
Sepanjang tahun-tahun berikutnya, pantai di sepanjang Persiaran Gurney telah banyak terhakis akibat hakisan pantai. Projek penambakan tanah di kawasan Seri Tanjong Pinang telah membalikkan proses hakisan ini, menyebabkan pemendapan lumpur dan kelodak di pesisir Gurney Drive. Anak pokok bakau telah tumbuh di kawasan lumpur ini, yang kini menjadi habitat bagi burung seperti burung cangak dan ikan belacak.
Pesisir pantai di luar Persiaran Gurney kini telah ditambak untuk pembinaan taman rekreasi awam yang dinamakan Teluk Gurney (Gurney Bay). Fasa pertama Teluk Gurney telah dibuka pada tahun 2024.[5]
Sejarah



Persiaran Gurney dibina di atas tanah tambakan dari Teluk Ayer Rajah, sebuah teluk yang dahulunya wujud di antara George Town dan Tanjung Tokong. Hasrat untuk membina jalan pesisir pantai telah dirancang seawal tahun 1930 sebagai lanjutan kepada Jalan Sultan Ahmad Shah (dahulu Northam Road). Sebanyak 510 ela (470 m) Persiaran Gurney pertama telah siap dibina pada tahun 1934 dan ketika itu ia dikenali sebagai "North Beach".
Persiaran Gurney pada asalnya dinamakan New Coast Road. Ia kemudiannya dinamakan semula kepada Gurney Drive sebagai penghormatan kepada Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu yang telah dibunuh oleh gerila komunis di Pahang pada tahun 1951.
Namun begitu, beberapa tahun kemudian, berlaku perdebatan tentang penamaan semula Gurney Drive. Cadangan dikemukakan agar nama jalan itu ditukar kepada Merdeka Drive memandangkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu semakin hampir ketika itu.[6] Sebagai ganti kepada penamaan semula itu, sebuah patung kepala Sir Henry Gurney dicadangkan untuk dibina. Pesuruhjaya Majlis Perbandaran yang menentang penamaan semula itu menulis surat terus kepada isteri Gurney, yang dikatakan menerima perubahan itu dengan tabah dan malah menawarkan bantuan untuk pembinaan patung tersebut. Seorang pengukir di London, David McFall, menawarkan untuk membuat patung tersebut dengan harga $4,500.
Apabila Jawatankuasa Kewangan Majlis Perbandaran meneliti peruntukan $6,000 bagi patung tersebut, mereka akhirnya memutuskan bukan sahaja untuk menangguhkan pembinaan patung itu, malah mengekalkan nama Gurney Drive.
Pada tahun 1962, sebahagian Persiaran Gurney telah ditanam dengan pokok rhu.[6] Seorang ahli majlis mencadangkan agar nama jalan ditukar kepada "Casuarina Drive" atau "Pantai Casuarina". Namun cadangan itu tidak dilaksanakan, dan bahagian yang ditanam pokok rhu kekal sebagai kawasan yang rendang di sepanjang persiaran laut itu.
Persiaran Gurney dahulunya merupakan pantai berpasir di mana orang ramai boleh mengutip kulit siput seperti siput remis yang banyak terdapat pada masa itu. Air lautnya bersih dan tidak tercemar, menjadikannya lokasi untuk perlumbaan perahu naga dari tahun 1960-an hingga 1980-an. Pada masa itu, orang ramai boleh berenang di laut, dan nelayan akan kembali ke pantai dengan hasil tangkapan seperti ikan dan ketam tapak sulaiman.[6]
Namun, kemeriahan dan kejernihan air laut itu kini telah banyak hilang. Projek tambakan Seri Tanjung Pinang yang berhampiran dengan Tanjung Tokong telah menyebabkan pemendapan lumpur dan kelodak di sepanjang Persiaran Gurney, membolehkan pokok bakau tumbuh di sepanjang pantainya. Terdapat cadangan agar kawasan itu yang sebelum ini diperuntukkan untuk projek Lebuh Raya Luar Bandar Pulau Pinang yang kini digantung dan ditambak untuk taman rekreasi atau dibiarkan menjadi hutan bakau.
Persiaran Gurney juga menempatkan banyak rumah pra-perang yang terkenal, banglo kolonial dan Kompleks Kolej General, yang dahulunya digunakan untuk melatih paderi Katolik dari Thailand, India, China, Jepun dan Myanmar.[6]
Selain itu, dua pusat beli-belah terkenal iaitu Gurney Plaza dan Gurney Paragon serta banyak hotel dan kondominium bertingkat tinggi terletak di sepanjang Persiaran Gurney.[6] Pada tahun 2016, kerja tambakan di luar pesisir Gurney Drive dimulakan sebagai sebahagian daripada pembinaan Teluk Gurney, sebuah taman rekreasi awam yang dikonsepkan sebagai "destinasi tepi laut ikonik baharu Pulau Pinang".[7] Fasa pertama Teluk Gurney telah dibuka kepada orang awam pada tahun 2024.[5]
Mercu tanda


Kawasan ini dahulunya menempatkan banglo mewah di tepi pantai, yang kini telah digabungkan ke dalam reka bentuk kondominium mewah. Di hujung Jalan Pangkor di Persiaran Gurney terletaknya rumah agam milik Kapitan Cina Chung Thye Phin, anak kepada Kapitan Cina Chung Keng Quee, yang kini diduduki oleh kondominium One Persiaran Gurney.
Walaupun Persiaran Gurney menempatkan beberapa pencakar langit moden di Pulau Pinang, terdapat juga banglo era kolonial yang masih berdiri megah. Salah satu daripadanya ialah Rumah Agam Loke. Di Persiaran Gurney juga terdapat Novisiat St Joseph, yang kini menjadi sebahagian daripada Gurney Paragon.[8]
Pusat beli-belah
- Gurney Plaza
- Gurney Paragon
- Gurney Walk
Makanan
Medan Selera Persiaran Gurney merupakan antara tempat makan tempatan terbesar dan paling terkenal di Pulau Pinang. Ia telah dipindahkan beberapa kali dan kini terletak di hujung utara Persiaran Gurney, berhampiran bulatan Gurney, di antara Sunrise Tower dan Gurney Plaza. Medan selera ini telah wujud sejak awal tahun 1970-an, dan barangkali merupakan lokasi paling terkenal bagi pelawat ke Pulau Pinang untuk menikmati juadah penjaja tempatan.
Dari masa ke masa, harga makanan di medan selera ini telah meningkat berbanding dengan kedai kopi lain di Pulau Pinang, disebabkan oleh popularitinya dalam kalangan pelawat luar dan kesan komersialisasi.[9] Antara makanan yang dijual termasuk kuetiau goreng, Mi Hokkien, jiu hoo eng chye (bayam dengan sotong), sup kuetiau, lok lok, mi goreng, mi Jawa, mi rebus, pasembur, rojak, satay, dadih soya (douhua) dan banyak lagi.[10][11] Medan selera ini mempunyai bahagian halal dan tidak halal yang berasingan.
Kondominium

- Gurney Villa Condominium
- Gurney Park Condominium
- Gurney Beach Condominium
- Gurney Palace Condominium
- 1 Persiaran Gurney
- 8 Gurney
- 11 Persiaran Gurney
- Gurney Paragon
- Acadia
- Desa Mas
- Millennium Tower
- Silverton
- The Regency
- Sunrise SOHO
- Sunrise Tower
- Setia V Residences
- Marriott Residences Penang
- H Residences
Hotel
- Hotel Evergreen Laurel
- G Hotel Gurney
- G Hotel Kelawai
- Ascott Gurney Pulau Pinang
- Marriott Residences Penang
Rujukan
- ^ "Gurney Drive listed among best streets to visit around the world". www.thesundaily.my (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2017-03-22.
- ^ Kim, Soo (2017-03-20). "The 25 streets around the world every traveller needs to visit". Traveller (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2017-03-22.
- ^ "Penang DAP rep: Put all projects in Gurney Drive on hold". 2015-05-22. Dicapai pada 2016-11-27.
- ^ "The story of Penang's Gurney Drive" (dalam bahasa Inggeris). 2007-07-24.
- ^ a b Opalyn Mok (4 Februari 2024). "Penang's Gurney Bay (Phase One) finally open to the public today (VIDEO)". Malay Mail. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Februari 2024. Dicapai pada 4 Februari 2024.
- ^ a b c d e "Beach along Gurney Drive just a Memory".
- ^ "Gurney Wharf, Penang's new waterfront park-in-the-city". 23 Februari 2016. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Disember 2023. Dicapai pada 10 April 2017.
- ^ "Old gem in new mall - Nation | The Star Online". www.thestar.com.my. Dicapai pada 2017-05-16.
- ^ "Gurney Drive Hawker Centre". Time Out Penang (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2017-05-16.
- ^ "Top 10 Things to Eat at Gurney Drive Penang - HungryGoWhere Malaysia" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2017-05-16.
- ^ "Gurney Drive". Tourism Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 May 2014. Dicapai pada 22 May 2014.
Pautan luar
| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Persiaran Gurney |
- Pinang Persiaran Gurney, Pulau Pinang Tourism Malaysia









