Paus Bryde | |
---|---|
![]() | |
Balaenoptera brydei | |
![]() | |
Balaenoptera edeni | |
Pengelasan saintifik ![]() | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Haiwan |
Filum: | Chordata |
Kelas: | Mammalia |
Infraorder: | Cetacea |
Keluarga: | Balaenopteridae |
Genus: | Balaenoptera |
Spesies kompleks: | kelumpuk paus Bryde |
Spesies | |
| |
![]() | |
Taburan paus Bryde |
Paus Bryde (Jawi: ڤاءوس بريدي) atau kelumpuk paus Bryde mungkin terdiri daripada tiga atau empat spesies rorkual. Ia disebut "kelumpuk atau kompleks" kerana pengelasannya masih kabur lantaran kekurangan maklumat dan kajian. Paus Bryde biasa (Balaenoptera brydei, Olsen, 1913) adalah jenis besar yang terdapat di perairan sederhana dan tropika dunia, sedangkan paus Eden[a] atau Sittang (Balaenoptera edeni, Anderson, 1879) pula jenis kecil yang mungkin hanya ada di Hindi-Pasifik.[3] Selain itu, jenis B. brydei yang lebih kecil di luar pantai selatan Afrika dan jenis lain di Hindi-Pasifik juga berbeza berdasarkan bentuk tengkorak, secara kelompok ia dirujuk sebagai paus Bryde Hindi-Pasifik.
Paus Omura (B. omurai, Wada et al. 2003) yang dihuraikan baru-baru ini, sebelumnya dianggap merupakan paus Bryde jenis kerdil, tetapi kini ia diterima sebagai spesies berbeza. Paus Rice (B. ricei) yang mendiami Teluk Mexico, pula pernah dianggap sebagai populasi terpisah paus Bryde, namun pada 2021, ia telah dihuraikan sebagai spesies berbeza.
Penamaan
B. brydei mendapat nama am dan spesifiknya daripada Johan Bryde, konsul Norway di Afrika Selatan, yang telah membantu mendirikan stesen perburuan paus pertama di negara itu, sedangkan B. edeni mendapat nama am dan spesifik dari Tuan Ashley Eden, bekas Pesuruhjaya Tinggi Burma. Paus Sittang pula merujuk kepada lokaliti tip spesiesnya. Paus ini juga dikenali sebagai luulumbo oleh orang Kadazan di Sabah.[4]
Taksonomi
Paus Bryde dihuraikan buat pertama kali pada 1878, berdasarkan sebuah spesimen yang dinamai Balaenoptera edeni yang didapati terdampar di pantai Myanmar. Rupa paus Bryde amat serupa dengan paus sei dan hampir sama besar. Paus Bryde kelihatan terdiri daripada dua spesies, dengan kekeliruan antara dua. Pada 1913, paus yang terdapat berhampiran pantai Afrika Selatan dinamai Balaenoptera brydei sempena Johan Bryde, konsul Norway serta perintis industri pemburuan paus di Afrika Selatan semasa awal dekad 1900-an.
Menjelang dekad 1950-an, terdapat anggapan bahawa ada hanya satu spesies tunggal yang kemudian dikenali sebagai B. edeni tetapi mengekalkan nama "paus Bryde" sebagai nama am kerana nama pertama yang dicadangkan selalu diutamakan. Bagaimanapun, kajian genetik terkini menunjukkan kewujudan dua spesies yang berasingan:
- Paus Bryde, Balaenoptera brydei, dengan taburan tropika dan separa tropika di seluruh dunia, yang tumbuh sehingga 26 tan serta 15 meter panjang.
- Paus Eden (Balaenoptera edeni ) yang didapati di perairan pantai lautan-lautan India timur dan Pasifik barat.
Paus Bryde berbeza dari segi bentuknya. Sebelum ini, lima jenis berlainan telah dikenal pasti, termasuk sekurang-kurangnya dua jenis yang lebih kecil dan yang hidup lebih dekat dengan pantai. Ujian DNA menunjukkan bahawa spesies kerdil di Asia Tenggara yang baru disahkan adalah tidak sama dengan paus kecil yang didapati di Karibia dan kelihatan hampir serupa. Walaupun demikian, kedua-dua spesies ini masih digolongkan bersama-sama atas alasan pemudahan taksonomi. Merumitkan lagi, terdapat juga bentuk-bentuk pertengahan antara paus Bryde dengan paus sei, merujuk kepada paus Omura, Balaenoptera omurai.
Ciri-ciri fizikal
Secara amnya, paus Bryde mempunyai kepala yang sangat lebar dan pendek, dengan antara 40 hingga 70 alur ventral, serta mata yang agak besar. Ia adalah paus balin dan terbilang unik kerana mempunyai tiga rabung memanjang di kepalanya, dari hujung muncung ke lubang hembus; rorkual-rorkual lain hanya mempunyai satu rabung.
Menurut Tabung Alam Sedunia, mamalia ini mempunyai lipatan atau alur pada leher dan dadanya yang membolehkan mulutnya kembang ketika dipenuhi air. Paus ini mempunyai lubang hembus kembar dengan satu pelindung deburan yang rendah di hadapan. Ia tidak bergigi tetapi mempunyai dua baris plat balin.
Siripnya yang tajam dan melengkung dengan ketara mudah dilihat apabila paus Bryde timbul. Siripnya kecil dan sempit, dengan ekornya yang bertakuk dan lebar tidak pernah memecahkan permukaan air ketika ia timbul.
Warna paus Bryde berubah-ubah, dengan bahagian belakang umumnya berwarna kelabu tua atau biru sehingga hitam. Bahagian ventral berwarna putih-kuning muda dan beransur-ansur menjadi ungu kekelabu-kelabuan menuju ke perut. Sesetengah paus mempunyai bintik-bintik kelabu keputih-putihan yang mungkin merupakan parut, akibat serangan parasit atau yu.
Kelakuan
Paus Bryde ini kecil jika dibandingkan dengan piawai rorkual (tidak lebih 25 tan), dan lebih suka akan kawasan perairan bersuhu tropika dan sederhana daripada laut-laut kutub yang sering didiami oleh paus-paus lain dalam keluarga yang sama. Paus Bryde adalah paus pesisiran dan bukan paus laut terbuka. Walaupun paus ini mengekalkan plat-plat balin yang mencirikan paus balin dengan menggunakannya untuk menapis hidupan seni dari air, makanan paus Bryde terdiri hampir keseluruhannya daripada ikan-ikan, khususnya bilis dan hering.
Pembiakan
Paus Bryde dipercayai membiak pada sepanjang tahun dan tempoh buntingnya dianggarkan selama 12 bulan. Anak paus ini berukuran sekitar 4 m panjang ketika dilahirkan, dengan berat sehingga 1,000 kg.
Taburan
Paus ini banyak didapati di seluruh perairan tropika dan subtropika, dengan suatu spesies kerdil yang lebih kecil didapati di kawasan Pasifik Barat serta Asia Tenggara tropika.
Pemuliharaan
Paus Bryde disenaraikan sebagai Kekurangan Data oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN). Ia juga disenaraikan dalam Lampiran I bagi Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Fauna dan Flora Liar (CITES) yang melarang sebarang perdagangan antarabangsa untuk paus ini.
Catatan
- ^ juga paus edeni
Rujukan
- ^ Cooke, J.G.; Brownell Jr.; R.L. (2018). "Balaenoptera edeni". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2018: e.T2476A50349178. doi:10.2305/IUCN.UK.2018-1.RLTS.T2476A50349178.en.
- ^ "Appendices | CITES". cites.org. Dicapai pada 2022-01-14.
- ^ "Bryde's Whales, Balaenoptera edeni". The MarineBio.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 September 2017. Dicapai pada 2015-02-03.
- ^ "JABATAN HIDUPAN LIAR SABAH" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2011-11-11. Dicapai pada 2013-01-10.
Lihat juga
Pautan luar
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Paus Bryde. |
![]() |
Wikispesies mempunyai maklumat berkaitan dengan Paus Bryde |
- National Audubon Society Guide to Marine Mammals of the World, Reeves, Stewart, Clapham dan Powell, 2002, ISBN 0-375-41141-0
- Whales & Dolphins Guide to the Biology and Behaviour of Cetaceans, Maurizio Wurtz dan Nadia Repetto. ISBN 1-84037-043-2
- Encyclopedia of Marine Mammals, editor-editor Perrin, Wursig dan Thewissen, ISBN 0-12-551340-2
- Whales, Dolphins and Porpoises, Carwardine (1995, cetak kembali 2000), ISBN 978-0-7513-2781-6