Pada 27 February 2020, Perdana Menteri Interim Malaysia Mahathir Mohamad mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion yang ditunjangi tiga strategi utama bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak COVID-19 ketika ini dapat ditangani dengan berkesan.[1] Mahathir berkata, kerajaan juga akan melaksanakan beberapa strategi dan rancangan bagi memastikan ekonomi negara di landasan yang mampan.[2]
Ini adalah pakej rangsangan berkaitan krisis kesihatan global yang kedua bagi Mahathir selepas 2003 apabila beliau sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia pada masa itu membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani kesan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) ke atas ekonomi.[2]
Pakej Rangsangan Ekonomi itu diumumkan seperti yang dijadualkan walaupun negara menghadapi kemelut politik susulan cubaan mengatur semula landskap politik negara yang mengakibatkan kerajaan pusat Pakatan Harapan hilang kuasa.[3]
Pada 11 Mac, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan melancarkan semula PKE 2020. Beliau juga berkata kerajaan Perikatan Nasional akan meneliti sama ada pakej dilancarkan bagi mengurangi kesan ekonomi kepada negara susulan penularan wabak Covid-19 itu dapat betul-betul memberi manfaat kepada semua pihak yang terjejas.[4]
Rujukan
- ^ "Kerajaan umum Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 berjumlah RM20 bilion". Astro Awani. 2020-02-27.
- ^ a b HM, Bisnes (2020-02-27). "RM20 bilion bantu rangsang ekonomi [METROTV]". Harian Metro.
- ^ "Kerajaan suntik RM20 bilion rancakkan ekonomi". www.utusanborneo.com.my. 2020-02-27.
- ^ Rahman, Norlaile Abd (2020-03-11). "Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 dilancar semula, mungkin lebih besar". MalaysiaGazette (dalam bahasa Inggeris).