Nothing to Hide 2.0 diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Shah Alam, Selangor, Malaysia pada 13 Ogos 2017. Forum itu, yang dianjurkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dihadiri kira-kira 600 orang. Ia sepatutnya menjadi forum bersemuka di antara bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang berusia 92 tahun, dan Perdana Menteri Najib Razak. Najib telah dijemput menghadiri forum itu tetapi tidak hadir.[1]
Mahathir, seorang pengkritik paling lantang terhadap Najib, adalah pengerusi PPBM. Beliau telah menggesa Najib supaya meletak jawatan berhubung skandal berjuta-juta dolar melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah dana pelaburan milik negara. Kerajaan menyatakan bahawa ia tidak menemui sebarang kesalahan jenayah di 1MDB dan Najib menafikan dakwaan penyelewengan wang.[1]
Keadaan semakin tegang apabila secara tiba-tiba kasut dan selipar dibaling ke arah Mahathir. Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, suar turut dilempar dan jatuh hampir dengan pentas utama forum berkenaan, sebelum keadaan menjadi huru-hara apabila beberapa objek dilemparkan sehingga hampir terkena Mahathir, selain petugas media yang berada berhampiran. Keadaan itu menimbulkan panik sehingga hadirin berlari ke luar dewan untuk menyelamatkan diri. Sesi berkenaan dihentikan serta-merta manakala Mahathir serta beberapa pemimpin pembangkang diiringi keluar meninggalkan dewan. Beberapa orang turut dilaporkan cedera ketika kekecohan berlaku.[2] Mahathir dan isteri Siti Hasmah Mohd Ali disahkan berada dalam keadaan baik dan selamat.[3]
Polis sudah menahan 13 suspek dan akan memanggil penganjur program Nothing To Hide 2.0 untuk membantu siasatan berhubung kekecohan. Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata polis sudah memulakan siasatan kes itu dan menegaskan bahawa aspek keselamatan adalah di bawah tanggungjawab penganjur.[4]
Rujukan
- ^ a b Sherman, Ray (2017-08-15). "Pemimpin Pembangkang, Penganalisis Malaysia Bimbang Dengan Keganasan Politik". BenarNews Malaysia.
- ^ Hussin, Khairul Azran (2017-08-13). "Forum Nothing to Hide 2.0 kecoh". Berita Harian (dalam bahasa Inggeris).
- ^ "Nothing to Hide 2.0: Tun M dan Siti Hasmah selamat, dalam keadaan baik". Astro Awani. 2017-08-13.
- ^ "Polis panggil Armada PPBM bantu siasatan kekecohan Nothing To Hide 2.0 - Khalid". Astro Awani. 2017-08-16.