Muhd Kamil Ibrahim | |
|---|---|
| Kelahiran | Muhd Kamil bin Ibrahim 19 Mei 1964 |
| Meninggal dunia | 14 Januari 2025 (umur 60) |
| Dikebumikan | Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor, Malaysia |
| Pekerjaan | Penulis, pensyarah, ahli akademik |
| Pasangan | Raudzah Roslan (Roza) |
| Anak-anak |
|
Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim (19 Mei 1964 – 14 Januari 2025) ialah seorang penulis, pensyarah, penyelidik prolifik dan ahli akademik kelahiran Malaysia. Beliau pernah menjadi pensyarah perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Malaysia, dan seterusnya di Universiti Taibah, Madinah, Arab Saudi, serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Malaysia.
Beliau mendapat pendidikan menengah di MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan, kemudian meneruskan pengajian di Universiti Teknologi MARA, Malaysia, dalam Diploma Lanjutan Perakaunan, seterusnya mendapat Sarjana Perakaunan di Universiti Dundee, Scotland, dan mendapat ijazah doktor falsafah dalam perakaunan di Universiti Kolej Wales, United Kingdom.
Beliau telah menghasilkan lebih 500 artikel yang disiarkan di dalam pelbagai bentuk media massa dan jurnal akademik[1]. Antara penulisan beliau yang diterbitkan dalam bentuk buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman telah menjadi fenomena dan pernah menduduki carta jualan buku paling laris[2].
Latar belakang
Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim dilahirkan di Kampung Bintang, Besut, Terengganu pada 19 Mei 1964[3].
Ketika di sekolah rendah, beliau berjaya menamatkan pelajaran dalam tempoh lima tahun dan muncul sebagai pelajar terbaik. Begitu juga sewaktu mengikuti program diploma dan sarjana muda dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi MARA, beliau berjaya bergelar sebagai pelajar terbaik dan kedua terbaik.
Beliau berjaya menghabiskan pengajian di peringkat sarjana sebulan lebih awal. Manakala semasa melanjutkan pelajaran ijazah doktor falsafah, beliau berjaya tamatkan dalam tempoh 32 bulan.
Beliau telah bertemu jodoh pada usia 25 tahun dengan Raudzah Roslan (Roza) yang juga merupakan seorang pensyarah dan penulis, hasil perkahwinan itu beliau dan pasangan telah dikurniakan empat orang cahaya mata, dua orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan.
Kerjaya
Kerjaya beliau bermula sebagai seorang pensyarah di Universiti Teknologi MARA. Sekitar tahun 2005, pada usia 39 tahun, beliau berjaya mendapat kenaikan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C, ia merupakan rekod pelantikan termuda dalam sejarah UiTM ketika itu.
Setelah berkhidmat lebih daripada 24 tahun di Universiti Teknologi MARA, beliau berhijrah ke Madinah selama 3 tahun dan bekerja sebagai pensyarah di Universiti Taibah selama tempoh tersebut, akhirnya beliau kembali ke Malaysia dan berkhidmat di Universiti Kuala Lumpur sebagai pensyarah perakaunan di Sekolah Perniagaan UniKL, Keramat, Kuala Lumpur, Malaysia.
Penulisan
- Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman: PTS Islamika, 2009.
- Karya Terakhir: Galeri Ilmu, 2022.
- Meniti Masa Berbaki, 2019,bersama Roza Roslan
- Didik Anak Cemerlang, 2019
- Beri Dua Minit, 2019
- Kita Tidak Berdosa, 2018
- Au Revoir, 2018, bersama Mazliham Mohd Su'ud
- Nota Pasca Haji, 2018, bersama Roza Roslan
- Di Sebalik Tembok Yahudi: Ada Damai Di Al-Aqsa, 2017, bersama Roza Roslan
- Penawar Kehidupan, 2017, bersama Fazimah Hayati
- Selamat Pengantin Baharu: Raikan Cinta, 2017, bersama Roza Roslan
- Detik Itu... DIA Menguji Kita, 2016, bersama Noraini Bahari
- Rumah Sakit, 2016
- Bahagia Berganda, 2016, bersama Mohd Zaini Ariff
- #Take 5 @ Prof. Kamil: 200 Bahasa Hati Menyuntik Motivasi, 2015, disusun oleh Zuraimi Ismail
- Hadiah Buat Anak: Impian Satu Doa, 2015
- Merenung Diri - Buat Masa Berbaki, 2015, bersamaMohd Zaini Mohd Ariff
- Hadiah Buat Sahabat: Dua Wajah Dua Minda, 2015, bersama Darma Mohammad
- Bila Hati Berkata ...Biar Hati Terasa, 2015, bersama Bonda Nor
- Nota dari Madinah, 2014, bersama Roza Roslan
- Bersamamu Di Firdaus, 2014
- Usahawan Akhirat, 2014, bersama Mohd Zaini Mohd Ariff
- Travelog Haji Mengusik Hati, 2013, bersama Roza Roslan
- Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar, 2013
- Ilmu Kehidupan: Ringkas tapi Signifikan, 2013, bersama Mohd Zaini Mohd Ariff, Sabtu M. Ali dan Roza Roslan
- Bersyukur Saat Diuji, 2012
- Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok, 2009
- Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman, 2007
- PhD Kecil Tapi Signifikan
- Ibrahim Shah Menyingkap Pengurusan Universiti, bersama Nasrudin Mohammed
- Internet Business Reporting (IBR) Practices, 2011, bersama Siti Rosmaini Mohd Hanafi
- 50 Tip Motivasi Haji & Umrah, 2011, bersama Roza Roslan
- Ceritalah...DIA Ada di Sisi, bersama Mohd Zaini Mohd Ariff
Rujukan
- ^ Nazrinda A. Samah (Dec 13, 2019). "Program Bicara Karya Bersama Penulis Prolifik Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim". UTM Library. Dicapai pada 12 Jun 2022.
- ^ Nurul Zafirah Zakaria dan Firuz Akhtar Lubis (2021). "Abstrak jurnal Tazkirah al-Nafs seorang pengembara ahli akademik dalam Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman karya Muhd Kamil Ibrahim". ARISE. Dicapai pada 12 Jun 2022.
- ^ "Muhd Kamil Ibrahim". Goodreads. Dicapai pada 12 Jun 2022.








