Mohamad Iskandar | |
---|---|
محمد إسكندر മൊഹമദ് ഇസ്കന്ദാർ | |
![]() Potret Mohamad | |
Pengetua Government English School (kini Kolej Sultan Abdul Hamid) | |
Dalam jawatan 8 Disember 1908 – 1910 | |
Didahului oleh | Jawatan diwujudkan |
Digantikan oleh | Mohamad Salleh |
Maklumat peribadi | |
Lahir | Mohamad bin Iskandar 1 Januari 1881[nota 1] Pulau Prince of Wales, Negeri-Negeri Selat, Tanah Melayu British |
Meninggal dunia | 10 September 1961 Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, Persekutuan Tanah Melayu | (umur 80)
Kewarganegaraan | Tanah Melayu British (1881–1941) Tanah Melayu Jajahan Jepun (1942–1945) Pentadbiran Tentera British Malaya (1945–1946) Malayan Union (1946–1948) Persekutuan Tanah Melayu (1948–1961) |
Pasangan | Jombee, Wan Tempawan Wan Hanapi |
Anak | 9 (termasuk Mahathir) |
Saudara | Tijah Iskandar (adik) Marina Mahathir (cucu) Mokhzani Mahathir (cucu) Mukhriz Mahathir (cucu) Meera Alyanna Mukhriz (cicit) Siti Hasmah Mohamad Ali (menantu) |
Pendidikan | Penang Free School |
Pekerjaan | Guru, pendidik |
Dikenali dengan | Bapa kepada Mahathir Mohamad |
Mohamad bin Iskandar (Jawi: محمد بن إسكندر; Malayalam: മൊഹമദ് ബിൻ ഇസ്കന്ദാർ; 1881 – 10 September 1961) ialah seorang guru dan pendidik Malaysia yang pernah bertugas sebagai pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) pada Disember 1908 hingga 1910. Beliau juga ialah bapa kepada Mahathir Mohamad, iaitu Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 dan ke-7.[1] Beliau merupakan pengasas kepada Kolej Sultan Abdul Hamid dan Sekolah Kebangsaan Iskandar, Kedah.
Kehidupan awal dan pendidikan
Mohamad bin Iskandar lahir pada tahun 1881 di Pulau Prince of Wales, Negeri-Negeri Selat, Tanah Melayu British (kini Malaysia). Bapa beliau, Iskandar Kutty merupakan orang India berketurunan Malayalam yang berasal dari Kerala, India dan datang berhijrah ke Pulau Prince of Wales. Iskandar telah mendirikan rumahtangga dengan seorang gadis Melayu tempatan bernama Siti Hawa yang berasal dari Kesultanan Johor, Tanah Melayu British tetapi menetap di Pulau Prince of Wales. Iskandar telah ditugaskan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) untuk mengajar Bahasa Inggeris di Istana Kedah.
Mohamad mempunyai seorang adik perempuan iaitu Tijah binti Iskandar (lahir sekitar tahun 1883 hingga 1911). Mohamad mendapat pendidikan awal di Penang Free School (PFS). Selepas beliau berjaya menamatkan peperiksaan bagi Sijil Persekolahan, dia mendaftarkan dirinya dalam Normal Class untuk menjadi seorang guru. Kelas ini telah diajar oleh W. E. Maan dan Mohamad telah lulus kelas tersebut pada tahun 1908.[2]
Kerjaya perguruan

Setelah menamatkan pendidikannya di Penang Free School, Mohamad memulakan kerjaya perguruannya sebagai seorang guru di sekolah tersebut. Apabila Government English School (GES) ditubuhkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1908, beliau diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri Kedah melalui Jabatan Pendidikan Negeri Kedah pada ketika itu untuk menjadi pengetuanya yang pertama. Mohamad telah dilantik sebagai pengetua Government English School (kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid) pada 8 Disember 1908. Beliau merupakan pengetua pertama KSAH dan pengetua sekolah berbangsa Melayu pertama dalam sekolah berpendidikan Inggeris dalam sejarah Malaysia. Beliau telah berjaya mengurus dan mentadbir Government English School ini dengan baik dengan penuntutnya seramai 50 orang. Antara tokoh-tokoh negara yang pernah menjadi murid beliau ialah Tunku Abdul Rahman Putra Sultan Abdul Hamid Halim Shah; Perdana Menteri Malaysia ke-1, Tunku Yaakob Sultan Abdul Hamid Halim Shah; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London ke-4 dan Syed Omar Syed Abdullah Shahabuddin; Menteri Besar Kedah ke-3. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya mempunyai sedikit perselisihan faham dengan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.[3] Lantaran peristiwa tersebut, beliau meletakkan jawatannya pada tahun 1910 untuk pergi mengajar di Penang Free School dan beliau digantikan oleh Mohamad Salleh.
Mohamad merupakan pengasas kepada Sekolah Kebangsaan Iskandar, Kedah pada tahun 1957. Nama Sekolah Kebangsaan Iskandar, Kedah adalah diambil sebagai mengenang jasa dan sumbangan beliau yang menjadi pengasas Government English School. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1955 apabila bahagian sekolah rendah Kolej Sultan Abdul Hamid telah diasingkan dari bahagian sekolah menengah disebabkan bilangan murid semakin ramai. Pada tahun 1957, bahagian sekolah rendah ini dikenali dengan rasminya sebagai Sekolah Kebangsaan Iskandar, Kedah sehingga ke hari ini. Sejak itu, Sekolah Kebangsaan Iskandar, Kedah berperanan bagi meneruskan Government English School bagi mendidik murid-murid di sekolah rendah sehingga ke tahun enam. Manakala, murid-murid yang tamat sekolah rendah akan ditempatkan di Government English School bagi menyambung pelajaran menengah sehingga ke tingkatan enam. Tradisi ini diteruskan sehingga sekarang, di mana murid-murid yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan ditempatkan di Government English School.
Pada tahun 1911, Mohamad ditugaskan sebagai Guru Besar di Pekan English School (kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad). Beliau juga pernah mengajar di English College (EC) (kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar). Beliau kemudiannya berkhidmat di Jabatan Audit, Kedah dari tahun 1913 sehingga persaraannya pada tahun 1931.[4]
Kehidupan peribadi
Mohamad telah mendirikan rumah tangga dengan dua orang wanita, iaitu Jombee dan Wan Tempawan binti Wan Hanapi. Beliau dikurniakan sembilan orang anak, tiga orang anak (seorang lelaki dan dua orang perempuan) daripada perkahwinannya dengan isteri pertama, Jombee dan enam orang anak (tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan, termasuk Mahathir) daripada perkahwinannya dengan isteri kedua, Wan Tempawan Wan Hanapi. Nama-nama anaknya ialah Habsah Mohamad, Johora Mohamad, Mahadi Mohamad, Mashahor Mohamad, Murad Mohamad, Mustaffa Mohamad, Omar Mohamad, Rafeah Mohamad dan Mahathir Mohamad.
Kematian
Mohamad telah meninggal dunia pada 10 September 1961 dalam kediamannya di Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, Persekutuan Tanah Melayu.
Legasi
Sekolah
- Sekolah Kebangsaan Iskandar, Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah
Masjid
- Masjid Mohamad Iskandar Wan Tempawan, Jalan Dato Kumbar, Alor Setar, Kedah
Nota
- ^ 1 Januari bukan tarikh sebenar kelahiran Mohamad kerana tiada rekod di Internet mengenai tarikh kelahirannya.
Rujukan
- ^ "Iskandar Kutty menurut Mukhriz Mahathir FC". Malaysia Kini. 31 Julai 2017. Dicapai pada 21 Jun 2025.
- ^ "The Development of English Education in Kota Setar, 1909-1957" (PDF). International Journal of Academic Research in Business & Social Sciences. 25 September 2020. Dicapai pada 21 Jun 2025.
- ^ "Sejarah Kedah Dua Milenia". UUM Press. 2016. Dicapai pada 21 Jun 2025.
- ^ "Mohamad Bin Iskandar". MyKedah.com. 2018. Dicapai pada 21 Jun 2025.