Nama dahulu | Utusan Melayu Press Limited (1939–1967) |
---|---|
Jenis/bentuk sah | Swasta |
Industri | Penerbitan dan percetakan |
Ditubuhkan | 29 Mei 1939 |
Dibubarkan | 10 Oktober 2019 |
Nasib | Dibubarkan (saham Dilof dijual kepada Aurora Mulia) |
Ibu pejabat | No. 44, Jalan Lima, Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur |
Tokoh penting |
|
Bilangan kakitangan | 862 (sehingga Oktober 2019) |
Anak syarikat | |
Tapak web | www |
sunting · sunting di Wikidata |
Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (menjalankan perniagaan sebagai Kumpulan Utusan) ialah konglomerat penerbitan dan percetakan akhbar Malaysia. Ia telah diperbadankan pada tahun 1939 di Singapura sebagai Utusan Melayu Press Limited. Utusan terkenal dengan akhbar perdananya, Utusan Malaysia dan akhbar kembarnya, Kosmo!. Ia juga merupakan penganjur Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Syarikat ini dibubarkan pada 10 Oktober 2019 berikutan masalah kewangan yang berterusan.
Sejarah
Sejarah Kumpulan Utusan bermula dengan penerbitan akhbar pertamanya, Utusan Melayu yang dilancarkan pada 29 Mei 1939. Dengan menggunakan tulisan Jawi, akhbar ini dicetak di Singapura dan memenuhi kehendak para pembaca yang celik Jawi di Tanah Melayu jajahan British. Pada tahun yang sama edisi Ahad, Utusan Zaman, telah diterbitkan. Utusan Melayu dan Utusan Zaman berada di barisan hadapan pembangunan intelek-intelek nasionalis Melayu yang kemudiannya telah melahirkan kepemimpinan politik yang berkesedaran tentang persediaan untuk mencapai kemerdekaan.
Pada Februari 1958, lima bulan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, ibu pejabat Utusan Melayu telah dipindahkan ke ibu negara Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Kumpulan Utusan telah memperkukuhkan kedudukannya dan terus memainkan peranan utama sebagai penyumbang aktif dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik Tanah Melayu, yang pada tahun 1963 diperluaskan untuk merangkumi wilayah yang lebih besar untuk menubuhkan negara Malaysia.
Pada tahun 1967, Kumpulan Utusan telah diperbadankan sebagai sebuah syarikat awam berhad di bawah Akta Syarikat 1965, bernama Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Sejak itu, Kumpulan Utusan telah berkembang maju dengan amat pesat sehingga mencapai puncaknya dengan penyenaraian di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1994. Meskipun telah mencapai kejayaan yang cemerlang, Kumpulan Utusan masih tidak berpuas hati. Pada tahun 1996, Utusan telah menceburi dunia multimedia dengan menubuhkan Utusan Multimedia Sdn. Bhd., yang tidak lama kemudian disusuli dengan pelancaran Utusan Online, akhbar dalam talian yang terulung di Malaysia dalam bentuk teks dan visual yang penuh dan lengkap.
Dunia multimedia juga telah membuka gerbang perniagaan baru bagi Kumpulan Utusan. Pada tahun 1997, Kumpulan ini menjadi penyedia perkhidmatan internet melalui penubuhan Jaring. Usaha ini telah menggalakkan pembentukan intranet Kumpulan Utusan sendiri dan penubuhan Net Space Learning Sdn. Bhd., sebuah syarikat pendidikan multimedia.
Dengan lebih daripada dua puluh buah syarikat di bawah naungannya yang terlibat dalam pelbagai perniagaan, dari penerbitan hingga ke pengurusan sistem komputer, Kumpulan Utusan kini cukup bersedia untuk menjadi gerbang masuk kepada peluang perniagaan bagi para pelabur tempatan dan antarabangsa yang berhasrat mengeksploitasi sepenuhnya tujahan Malaysia yang laju ke dalam era maklumat. Utusan mengendalikan aktiviti percetakan di kilangnya yang terletak di Bandar Baru Bangi, Prai, Kuala Terengganu dan Johor Bahru.
Operasi perniagaan Kumpulan Utusan menjadi kritikal selepas pilihan raya umum ke-14 apabila edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! semakin merudum. Kumpulan ini turut kehilangan sasaran pendapatan pengiklanan RM4 juta sebulan menyebabkan aliran tunai Utusan semakin tenat.[1][2]
Pada Disember 2018, Anak syarikat milik penuh Utusan, Mediamony Sdn Bhd, melupuskan pejabat kedai lima tingkat di Petaling Jaya dengan harga RM7 juta kepada Eden Resources Sdn Bhd, ia bertujuan untuk digunakan sebahagiannya untuk membiayai keperluan modal kerja untuk membiayai operasi harian, termasuk pembayaran kepada pemiutang, perbelanjaan pentadbiran dan perbelanjaan operasi lain.[3][4]
Utusan pada 30 Ogos 2019 mengumumkan telah dinyahsenarai daripada Papan Utama Bursa Malaysia selepas tidak memfailkan rayuan terhadap penggantungan itu dan kemudiannya menyekat sahamnya dari bursa tempatan. Syarikat itu telah diberikan notis oleh Bursa Malaysia Securities Bhd pada 20 Ogos bagi penggantungan dan belian perdagangan saham.[5][6][7]
Pada 7 Oktober 2019, Kumpulan Utusan telah melupuskan 70% peratus kepentingan dalam anak syarikatnya, Dilof Sdn. Bhd. dan menjualnya kepada Aurora Mulia, syarikat yang berkaitan dengan hartawan, Syed Mokhtar Al-Bukhary. Akibatnya, dua akhbar terbitan Utusan, Utusan Malaysia dan Kosmo! menamatkan operasinya pada 9 Oktober dan pada hari yang sama, Kumpulan Utusan menamatkan operasi perniagaannya dengan tarikh akhir bekerja bagi kakitangan pada tarikh sama dan tarikh akhir perkhidmatan ialah pada 31 Oktober.[8][9][10]
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ialah hadiah kesusasteraan yang dianjurkan oleh Utusan. Pertama kali diadakan pada 1985, Hadiah ini memberi penelitian khusus kepada karya kreatif yang diterbitkan dalam ruangan sastera pelbagai bahan cetakan terbitan Kumpulan Utusan termasuk majalah dan akhbar mingguan. Ia dibahagikan kepada empat kategori: Cerpen, Puisi, Novel Remaja dan Kajian & Rencana Sastera.[11]
Anak syarikat
- Utusan Karya – penerbitan majalah
- Utusan Publications & Distributors – penerbitan dan pengedaran bahan bercetak
- Utusan Airtime – pemasaran pengiklanan TV dan radio
- Dilof (kini Media Mulia) – pemegang permit percetakan untuk akhbar terbitan Kumpulan Utusan
Selepas Penutupan
Selain daripada permit penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo! yang diambil alih oleh Media Mulia Sdn. Bhd. beberapa portal berita dalam talian baru juga telah mula tumbuh. Selepas penawaran skim pemisahan sukarela (VSS) dan selepas syarikat induk Utusan Melayu (M) Bhd ditutup, ramai dalam kalangan bekas editor dan wartawan Kumpulan Utusan meneruskan perjuangan "Suara Keramat" mereka dengan menubuhkan portal-portal berita mereka sendiri.
Antaranya termasuklah BebasNews[12], UtusanTV, KitaReporters dan DagangNews.
Portal berita MalaysiaGazette juga diasaskan oleh bekas kakitangan Kumpulan Utusan, tetapi ia bermula lebih awal iaitu pada 1 Ogos 2013.
Lihat juga
- New Straits Times Press — pesaing utama Kumpulan Utusan
Rujukan
- ^ Surin Murugiah (9 Oktober 2019). "Utusan Melayu ceases operations". The Edge Markets. Dicapai pada 10 Oktober 2019.
- ^ Hidayah Hairom (9 Oktober 2019). "Utusan Melayu sah henti operasi hari ini". Sinar Harian. Dicapai pada 10 Oktober 2019.
- ^ "Utusan disposes office building in PJ for RM7mil". New Straits Times. 4 Disember 2018. Dicapai pada 29 Ogos 2019.
- ^ "Anak syarikat Utusan jual bangunan kedai pejabat". Berita Harian. 4 Disember 2018. Dicapai pada 29 Ogos 2019.
- ^ "Utusan to delist today after 25 years". The Malaysian Reserve. 30 Ogos 2019. Dicapai pada 30 Ogos 2019.
- ^ "Utusan Malaysia publisher to be delisted tomorrow". New Straits Times. 30 Ogos 2019. Dicapai pada 29 Ogos 2019.
- ^ "Utusan to delist from Bursa Malaysia on Aug 30". The Malay Mail. 30 Ogos 2019. Dicapai pada 29 Ogos 2019.
- ^ "Utusan Group ceases operations, staff told to vacate offices by 1pm Wednesday (Oct 9)". The Star. 9 October 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 October 2019. Dicapai pada 9 October 2019.
- ^ "End of the road for Utusan". Free Malaysia Today. 9 October 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 October 2019. Dicapai pada 9 October 2019.
- ^ "Utusan Melayu henti operasi perniagaan". Utusan Malaysia. 9 October 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-10-09. Dicapai pada 9 October 2019.
- ^ "Hadiah Sastera Kumpulan Utusan". Goodreads. Dicapai pada 19 Julai 2017.
- ^ Bernama (17 Disember 2018). "Bekas wartawan Utusan Melayu tubuh portal bebasnews.my". Free Malaysia Today. Dicapai pada 5 September 2024.