Dalam bahasa Semitik, konsonan penegas (Jawi: کونسونن ڤنݢس) ialah bunyi konsonan khas yang dibezakan daripada bunyi biasa kerana mempunyai cara sebutan tambahan (artikulasi sekunder). Dahulu, dan kadangkala sekarang, bunyi-bunyi ini berbeza daripada konsonan obstruen bersuara atau tidak bersuara. Dalam bahasa Semitik tertentu, konsonan-konsonan penegas ini boleh dilafazkan sebagai uvular, farinks, velar atau ejektif, atau dengan menggetarkan pita suara ataupun tidak.
Contohnya, dalam bahasa Arab, penegasan melibatkan penarikan bahagian belakang lidah, yang kadangkala dinamakan sebagai velarisasi atau farinksalisasi, bergantung pada bahagian mana yang ditarik. Istilah ini juga digunakan, walaupun tidak begitu banyak, untuk menggambarkan konsonan-konsonan dalam bahasa-bahasa Afro-Asiatik lain, yang mana bunyi-bunyi itu biasanya disebut konsonan ejektif, implosif atau farinks.
Dalam kajian Semitik, konsonan penegas biasanya ditranskripsikan dengan meletakkan titik di bawah konsonan biasa yang paling dekat dalam abjad Latin. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian: konsonan penegas asal k berkembang menjadi /q/ dalam kebanyakan bahasa Semitik; secara teknikalnya, ia tidak lagi menjadi versi tegas k dan telah menjadi konsonan yang berbeza, oleh itu biasanya ditranskripsikan sebagai q (bukannya ḳ).
Dalam bahasa Arab, konsonan penegas berbeza dalam sebutan fonetik daripada dialek ke dialek, tetapi biasanya dilafazkan sebagai konsonan farinks. Dalam bahasa Semitik Habsyah dan bahasa Arab Selatan Moden, ia dilafazkan sebagai konsonan ejektif. Walaupun bunyi ini tidak semestinya mempunyai apa-apa sifat fonetik yang sama, kebanyakannya berasal daripada sumber yang sama.
Lima fonem "tegas" sedemikian direkonstruksi untuk Semitik Purba:
| Semitik Purba | Ibrani | Aram | Arab | ||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Penerangan fonem | AFA | Trans. | Nama huruf/fonem | AFA | Trans. | ||
| Ejektif gusian | [tʼ] | ṭ | Tet ט | Tet ט | Ṭāʼ ط | [tˤ] | ṭ |
| Geseran ejektif gigian | [θʼ] | ṯ̣ | Tsadi צ | Ẓāʾ ظ | [ðˤ] | ẓ atau ḏ̣ | |
| Geseran ejektif gusian atau letusan ejektif gusian | [tsʼ]/[sʼ] | ṣ | Ṣade צ | Ṣād ص | [sˤ] | ṣ | |
| Geseran sisian ejektif gusian atau letusan sisian ejektif gusian | [ɬʼ]/[tɬʼ] | ṣ́ | Ayin ע | Ḍād ض | [dˤ][nota 1] | ḍ | |
| Ejektif velar | [kʼ] | ḳ | Qof ק | Qof ק | Qāf ق | [q][nota 2] | q |
Satu lagi konsonan bibiran tegas *ṗ wujud dalam beberapa bahasa Semitik, tetapi tidak jelas sama ada ia satu fonem dalam Semitik Purba.
- Bahasa Semitik Habsyah klasik Geʽez adalah unik antara bahasa-bahasa Semitik kerana membezakan ketiga-tiga /p/, /f/, dan /pʼ/. Walaupun /p/ dan /pʼ/ kebanyakannya wujud dalam kata pinjaman (terutama daripada Yunani), terdapat banyak kejadian lain yang asal usulnya kurang jelas (seperti hepʼä 'pukul', häppälä 'basuh pakaian').[3]
- Menurut Hetzron, Ibrani mendapat[bila?] fonem konsonan bibiran tegas ṗ untuk mewakili /p/ tidak berhembus daripada Parsi dan Yunani; fonem ini tidak dibuktikan wujud dalam ortografi Ibrani.[4]
Bahasa Ibrani Moden Israel umum dan Malta merupakan pengecualian penting dalam bahasa Semitik kerana ketiadaan konsonan penegas. Dalam kedua-dua bahasa ini, ia telah hilang di bawah pengaruh bahasa Indo-Eropah (terutamanya Yiddish dan Sicily, masing-masing, walaupun bahasa lain juga mungkin pernah ada pengaruh).
- Dalam bahasa Ibrani, huruf tsadi (daripada Semitik Purba ṯ̣, ṣ, ṣ́) tetap dibezakan, tetapi telah digantikan dengan letusan tak farinks /ts/. Konsonan penegas ḳ telah digabungkan dengan konsonan biasa k dalam posisi tidak lenisi, tetapi tetap berbeza dalam posisi selepas vokal, sedangkan konsonan biasanya menjadi /x/ (dari segi fonetik, ia adalah [χ]), sementara konsonan penegas asal tidak berubah. Konsonan Semitik ṭ telah sepenuhnya digabungkan dengan konsonan biasa t.
- Dalam bahasa Malta, hanya konsonan penegas ḳ (dieja q) masih berbeza. Ia masih dilafazkan sebagai hentian uvular [q] di beberapa kampung tetapi selain itu telah berkembang menjadi hentian konsonan glotis [ʔ]. Semua konsonan penegas lain telah digabungkan menjadi konsonan biasa. Walau bagaimanapun, ia masih boleh dicam berdasarkan perkembangan-perkembangan vokal khas yang dicetuskan sebelum konsonan-konsonan tersebut bergabung: bandingkan sejf ('pedang', daripada Arab سَيْف sayf) dengan sajf ('musim panas', dari Arab صَيْف ṣayf). Konsonan penegas ṣ menghalang a daripada dinaikkan kepada e seperti yang berlaku dengan konsonan biasa s.
Nota
- ^ Dalam sejarah, konsonan tegas /dˤ/ disebut sebagai [ɮˤ], atau mungkin [d͡ɮˤ][1]—apa pun, bunyi ini sangat luar biasa. Orang Arab zaman pertengahan bahkan menamakan bahasa mereka لغة الضاد lughat al-ḍād 'bahasa Ḍād' (nama huruf yang digunakan untuk bunyi ini), mempercayai bunyi ini unik kepada bahasa mereka, walaupun ia juga wujud dalam bahasa Mehri. Ia terpelihara dalam kalangan penutur tua dalam beberapa dialek terpencil.[2]
- ^ Dalam beberapa dialek Arab, terutamanya di Hijaz dan Najd, konsonan tegas [kʼ] berkembang menjadi [ɡ] biasa dan bukannya [q]. Bentuk sebutan ini agak lama dan mungkin telah wujud pada permulaan penaklukan Islam.
Rujukan
- ^ Ferguson, Charles (1959), "The Arabic Koine", Language, 35 (4): 630, doi:10.2307/410601, JSTOR 410601
- ^ Al-Azraqi, Munira (2019). "Delateralisation in Arabic and Mehri". Dialectologia. 23: 1–23.
- ^ Woodard, Roger D. (2008). Woodard, Roger D. (penyunting). The Ancient Languages of Asia Minor. Cambridge University Press. m/s. 219. doi:10.1017/CBO9780511486845. ISBN 978-0-521-68496-5.
- ^ Hetzron, Robert (1997). The Semitic languages. Routledge. m/s. 147. ISBN 9780415412667.








