Konishi Yukinaga | |
|---|---|
| 小西行長 | |
Konishi Yukinaga, digambarkan dalam potret. | |
| Daimyō Higo Selatan | |
| Dalam jawatan 1588–1600 | |
| Didahului oleh | Sassa Narimasa |
| Digantikan oleh | Kato Kiyomasa |
| Maklumat peribadi | |
| Lahir | Yakuro (弥九郎) 1558 Kyoto |
| Meninggal dunia | 6 November 1600 (umur 41–42) Kyoto |
| Pasangan | Justa |
| Ibu bapa |
|
| Saudara | Konishi Yukikage (abang) |
| Perkhidmatan tentera | |
| Kesetiaan | |
| Pangkat | Daimyō |
| Pangkalan | Istana Udo |
| Perang/Pertempuran | Pengepungan Takamatsu Pengepungan Istana Ōta Serangan Shikoku Kempen Kyushu Kempen Korea Pertempuran Sekigahara |
Konishi Yukinaga (小西 行長, baptis dengan nama Portugis Agostinho; 1558 – 6 November 1600) ialah seorang daimyō Jepun yang berkhidmat di bawah Toyotomi Hideyoshi. Dikenali sebagai seorang daimyō Kirishitan (daimyō penganut Kristian), beliau terkenal dengan peranannya sebagai barisan hadapan dalam pencerobohan Jepun ke atas Korea.
Kehidupan awal
Konishi Yukinaga ialah anak kedua kepada seorang saudagar kaya dari Sakai, Konishi Ryūsa. Isteri Ryūsa turut dibaptis dengan nama Magdalena. Yukinaga kemudiannya diangkat sebagai anak oleh seorang saudagar Okayama bernama Totoya Kuroemon. Tarikh sebenar beliau mula menjadi seorang samurai tidak diketahui. Bagaimanapun, beliau menarik perhatian daimyo Okayama, Ukita Naoie.[1]
Terdapat teori bahawa beliau diambil sebagai anak angkat oleh saudagar Okayama bukanlah satu kebetulan, sebaliknya dirancang oleh ayahnya, Ryūsa. Ryūsa sudah pun mempunyai hubungan dengan puak Oda yang merancang untuk menakluk wilayah Chūgoku. Puak Ukita merupakan pemain utama dalam kempen Oda di Chūgoku menentang puak Mōri, yang bakal dipimpin oleh Toyotomi Hideyoshi. Namun begitu, pada masa itu Ukita ialah sekutu Mōri. Yukinaga yang mempunyai hubungan dengan Oda, berperanan sebagai orang perantara antara puak Ukita dan puak Toyotomi, sekali gus memudahkan penyerahan Ukita.[2] Tanpa bantuan puak Ukita, Toyotomi Hideyoshi mungkin menghadapi kesukaran besar. Hideyoshi sangat menghargai bantuan ini kerana beliau menganggap tempoh tersebut sebagai krisis terbesar dalam hidupnya.
Pengkhianatan Ukita Naoie membolehkan pihak Oda mara dengan lancar di wilayah Chūgoku. Mereka dapat menumpaskan pemberontakan Araki Murashige dengan mudah kerana puak Ukita menghalang puak Mōri daripada membantu Araki. Araki Murashige kemudiannya membalas dendam terhadap Konishi sekeluarga dengan menuduh mereka melakukan jenayah palsu. Mereka ditahan sementara tetapi akhirnya berjaya membuktikan bahawa mereka tidak bersalah.[1]
Khidmat di bawah Hideyoshi
Disebabkan latar belakang Toyotomi Hideyoshi yang rendah, beliau tidak mempunyai pembesar warisan, dan ramai samurai enggan berkhidmat di bawahnya. Atas sebab ini, Ryūsa menjadikan seluruh keluarganya berkhidmat dengan Hideyoshi. Malah ibu Yukinaga, Magdalena Wakusa turut berkhidmat kepada isteri Hideyoshi sebagai dayang kanan. Yukinaga sendiri berkhidmat sebagai panglima laut Hideyoshi.[1] Memandangkan hanya segelintir pengikut Oda yang memahami pengangkutan dan pertempuran laut, kerjayanya berkembang pesat. Beliau membawa armadanya menyertai serangan banjir dalam Pengepungan Takamatsu dan Pengepungan Istana Ōta. Beliau juga mengetuai angkatan laut dalam penaklukan Shikoku dan penaklukan Kyushu. Atas jasanya, beliau diberi hak menggunakan nama keluarga Toyotomi. Selepas beliau menumpaskan pemberontakan tempatan di Wilayah Higo, beliau dianugerahkan sebuah kawasan bernilai 250,000 koku di bahagian selatan wilayah tersebut.
Walaupun Yukinaga menentang idea menakluk negara lain, beliau menyertai satu perutusan ke Filipina Sepanyol untuk menawarkan kerjasama dalam kemungkinan serangan bersama ke atas China,[3] dan akhirnya mengetuai pasukan awal Toyotomi Hideyoshi untuk menyerang Korea dalam Perang Tujuh Tahun. Dengan merasakan bahawa penaklukan China adalah mustahil, Yukinaga melancarkan serangan kilat di Korea untuk menangkap raja Joseon dan menamatkan perang melalui diplomasi sebelum ketibaan tentera Ming. Beliau menewaskan Katō Kiyomasa dalam perlumbaan menuju ke kota Seoul. Bagaimanapun, apabila tiba di ibu kota, raja telah melarikan diri, menyebabkan pemburuan berterusan hingga ke Pyongyang.[4]
Semasa berada di Pyongyang, tentera Jepun menghadapi krisis logistik. Yukinaga menghantar abangnya, Yoshichiro, untuk memujuk Hideyoshi supaya meninggalkan niat menakluk Ming dan sebaliknya menerima 5 wilayah Joseon melalui diplomasi. Hideyoshi bersetuju dan mengarahkan jeneral-jeneral lain untuk memantau Yukinaga di Pyongyang.
Walau bagaimanapun, Yukinaga telah ditipu oleh rakan rundingannya, Shen Weijing (沈惟敬), yang menuntut gencatan senjata selama 50 hari.[4] Shen berkata beliau akan kembali ke Beijing untuk mendapatkan kelulusan maharaja terhadap permintaan Yukinaga. Sebenarnya, beliau hanya memanfaatkan masa bagi tentera Ming menyelesaikan pemberontakan Ningxia. Lebih buruk lagi, pihak Cina menangkap seorang pelarian Korea yang merupakan sebahagian daripada rangkaian perisik Yukinaga, dan menyeksanya sehingga mengaku. Rangkaian perisik tersebut terbongkar dan musnah. Akibatnya, Yukinaga hanya mengetahui kemasukan tentera Ming ke Joseon beberapa hari sebelum Pengepungan Pyongyang. Akhirnya, Pyongyang jatuh dan Yukinaga berundur ke Seoul.
Tidak lama kemudian, disebabkan krisis logistik di kedua-dua pihak, Dinasti Ming dan Jepun bersetuju untuk mengadakan rundingan dengan Yukinaga mengetuai proses rundingan. Hideyoshi mengemukakan 7 tuntutan, yang kemudian diringankan menjadi 3 tuntutan (4 wilayah Joseon, seorang putera Korea sebagai tebusan, dan perdagangan ufti dengan Ming). Objektif rundingan ialah menempatkan Jepun di atas Korea dalam sistem ufti China.[5] Bagaimanapun, pihak Cina gagal menyelesaikan isu ini kerana mereka menganggap mereka sedang menang. Lagipun, Jepun yang menuntut keamanan, dan pihak Ming tidak melihat ada alasan untuk memenuhi tuntutan Hideyoshi.
Apabila Yukinaga mendapati pihak Dinasti Ming mengabaikan 3 tuntutan tersebut dan hanya bersedia memberi pengiktirafan kepada Hideyoshi, beliau yang enggan melepaskan perjanjian damai, membiarkan Hideyoshi menjalani upacara pengiktirafan itu tanpa mengetahui bahawa 3 tuntutannya tidak dipenuhi oleh maharaja.[6]
Selepas upacara itu, Hideyoshi berada dalam suasana hati yang baik dan menghantar beberapa utusan kepada wakil-wakil Cina, memberitahu mereka supaya meminta apa sahaja yang mereka mahu. Pihak Cina bertanya bila Jepun akan mengembalikan wilayah Joseon yang telah diduduki. Apabila Hideyoshi mendengar perkara itu, beliau marah. Hideyoshi menggunakan fakta bahawa pihak Korea tidak menghantar seorang putera sebagai tebusan bagi alasan untuk memutuskan gencatan senjata.[7]
Kegagalan ini hampir menyebabkan Yukinaga melakukan seppuku. Namun demikian, Mashita Nagamori berjaya memujuk beliau supaya tidak berbuat demikian.[8] Beliau kemudian pulih dan sekali lagi cuba memujuk Korea menghantar seorang putera bagi mengelakkan perang bermula semula.
Dalam usahamemenangi kepercayaan pihak lawan, beliau membocorkan rahsia ketenteraan kepada pihak Korea melalui Jeneral Kim Ung-seo. Beliau memberitahu pihak Korea mengenai rancangan mobilisasi Jepun. Kim Ung-seo mempercayai sebahagiannya, tetapi terlepas bahagian terpenting iaitu penuaian hasil tanaman bagi meninggalkan tentera Jepun tanpa makanan dan pemindahan orang awam ke kawasan terpencil.
Beliau juga memberitahu pihak Korea tentang lokasi pendaratan Katō Kiyomasa, meminta tentera laut Korea menyerang Kiyomasa. Bagaimanapun, Laksamana Yi Sun-sin menganggap ini sebagai perangkap. Akibatnya, raja Korea memenjarakan dan menyeksa Yi Sun-sin. Jepun menggunakan peluang ini untuk memusnahkan sebahagian besar kapal Korea dalam Pertempuran Chilcheollyang.
Perang bermula semula. Yukinaga bertindak sebagai barisan hadapan Tentera Kiri Jepun semasa Pengepungan Namwon. Beliau mempertahankan Istana Suncheon dan menangkis serangan tentera gabungan Ming China dan Joseon.
Kempen Sekigahara

Selepas kematian Hideyoshi, Yukinaga kembali ke Jepun. Semasa Perang Tujuh Tahun, beliau telah membina persahabatan rapat dengan Ishida Mitsunari, yang juga mahu menghentikan pencerobohan luar Hideyoshi. Para Jesuit menulis bahawa Mitsunari ialah sahabat istimewa Yukinaga. Dalam suratnya sendiri, Mitsunari turut menyebut bahawa beliau sangat rapat dengan Yukinaga.
Yukinaga mempertahankan Mitsunari semasa pertelingkahan beliau dengan tujuh jeneral. Apabila Mitsunari dikenakan tahanan rumah, Yukinaga mahu menemaninya, tetapi Mitsunari menolak. Tokugawa Ieyasu kagum dengan kesetiaan Yukinaga terhadap Mitsunari dan memujinya secara terbuka, "Beliau mempertaruhkan nyawa dan seluruh hartanya untuk membantu rakannya." Selepas itu, Ieyasu berusaha keras untuk mendapatkan persahabatan Yukinaga. Beliau malah mencadangkan agar pewaris Yukinaga berkahwin dengan cucunya. Yukinaga teragak-agak, dan berkata beliau bersedia menjodohkan anaknya dengan cucu Ieyasu jika Ieyasu menghentikan usaha melemahkan kuasa Hideyori.[9]
Kemudian, Yukinaga berkhidmat di bawah Ieyasu untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan Korea. Semasa tempoh ini, beliau menyedari bahawa Ieyasu takut terhadap kuasa asing dan sanggup mengorbankan perdagangan luar jika perlu. Tanpa perdagangan luar, Kristian juga akan diharamkan. Tidak ada tempat untuk Yukinaga dalam kerajaan Tokugawa, dan sebab inilah yang membuatnya tekad untuk menentang Ieyasu.[10]
Beliau membawa 2,000 tenteranya untuk menyertai pihak Ishida Mitsunari semasa Pertempuran Sekigahara, sementara baki tenteranya ditinggalkan di Uto. Jumlah ini kecil berbanding jumlah yang beliau pimpin semasa di Korea. Peranannya sebagai barisan hadapan dalam kempen Korea telah banyak melemahkan kekuatan ketenteraannya. Mitsunari dan Ukita Hideie menambah sekurang-kurangnya 2,000 lagi kepada jumlah itu.
Yukinaga bertempur dengan berani tetapi akhirnya tewas akibat pengkhianatan beberapa daimyo.
Kematian
Beliau melarikan diri ke Gunung Ibuki, tetapi menyedari bahawa beliau tidak dapat melarikan diri. Beliau memberitahu kepada seorang petani untuk menyerahkan dirinya kepada Tokugawa. Petani itu menolak dan mencadangkan supaya beliau melakukan seppuku. Yukinaga berkata beliau tidak akan melakukan seppuku kerana beliau seorang Kristian. Petani tersebut kemudian memaklumkan kepada Takenaka Shigekado untuk menghantarnya ke kem Tentera Timur.
Kuroda Nagamasa mahu memohon pengampunan baginya, tetapi Yukinaga berkata ia tidak diperlukan. Beliau hanya meminta untuk bertemu seorang paderi bagi pengakuan terakhirnya. Namun demikian, permintaan itu tidak diterima oleh Ieyasu.[11]
Beliau dipenggal bersama-sama Ishida Mitsunari dan Ankokuji Ekei.
Penilaian
Yukinaga tidak dinilai dengan wajar di Jepun. Dalam budaya popular Jepun, beliau sering digambarkan sebagai seorang birokrat lemah seperti Ishida Mitsunari. Bagaimanapun, imej ini tidak tepat apabila disemak semula dengan bahan sejarah dari China, Korea atau Eropah. Hal ini demikian kerana berbeza dengan panglima tentera lain, keturunannya tidak dapat menghasilkan mitos ketenteraan untuk membanggakan pencapaiannya disebabkan kekalahannya di Sekigahara dan beliau merupakan ahli agama yang pernah diharamkan.
Walaupun kekalahannya di Pyongyang sering dijadikan contoh ketidakcekapan ketenteraannya, Hideyoshi tidak menyalahkannya atas kekalahan tersebut. Tentear Konishi telah dikerah dan diatasi dari segi persenjataan, jadi keputusan itu boleh dijangka. Pada masa itu, tentera Jepun tidak tahu cara mempertahankan sebuah bandar bertembok seperti Pyongyang, kerana susun atur bandar sedemikian tidak wujud di Jepun. Kemudian, semasa perang di Korea, tentera Jepun membina kubu mereka sendiri dan tidak bergantung pada kubu yang ditawan dari Korea.
Sebagai satu-satunya panglima Jepun yang berhadapan dengan tentera utama Ming seorang diri (tanpa perlindungan kubu Jepun), beliau sangat dihormati oleh jeneral-jeneral Cina, kerana sukar untuk berundur tanpa dihancurkan selepas tewas kepada pasukan yang jelas lebih unggul. Jeneral Ming, Yang Yuan kemudiannya dengan berat hati memujinya sebagai seorang yang sangat berbakat.[12] Apabila tentera Ming menyerang Katō Kiyomasa di Ulsan, langkah-langkah diambil untuk memastikan Yukinaga tidak mengukuhkan posisi Kiyomasa (walaupun disebabkan dendam antara kedua-dua panglima ini, hal itu sukar berlaku) walaupun tentera tidak sedekat panglima Jepun lain di Ulsan, menunjukkan bahawa pihak Ming menganggap beliau sebagai ancaman yang besar.[4]
Yukinaga turut dipuji oleh Oda Nobunaga kerana mempertahankan wilayah Oda di Laut Pedalaman Seto daripada serangan tentera laut Mori,[4] yang agak luar biasa kerana Nobunaga biasanya tidak memberi perhatian kepada protégé Hideyoshi.[13]
Catatan
- ^ a b c Petrucci, Maria Grazia (2005). In the name of the father, the son and the islands of the Gods : a reappraisal of Konishi Ryusa, a merchant, and of Konishi Yukinaga, a Christian samurai, in sixteenth-century Japan (Tesis) (dalam bahasa Inggeris). University of British Columbia. doi:10.14288/1.0092484.
- ^ "肥後入国以前|宇土市公式ウェブサイト". www.city.uto.lg.jp. Dicapai pada 2022-09-14.
- ^ Ollé, Manel (2002). La empresa de china: de la Armada Invencible al Galeón de Manila. Acantilado. ISBN 9788495359858.
- ^ a b c d Zhu, Erdan; 朱尔旦 (2020). Wan li Chaoxian zhan zheng quan shi = The Imjin War 1592-1598 (ed. Di 1 ban). Beijing. ISBN 978-7-5139-3231-8. OCLC 1242583908.
- ^ 鄭, 潔西. "欺瞞か妥協か――壬辰倭乱期の外交交渉" (PDF). Cite journal requires
|journal=(bantuan) - ^ "朝鮮出兵|小西行長の部屋". www.city.uto.lg.jp. Dicapai pada 2022-09-14.
- ^ The East Asian War, 1592-1598 : international relations, violence and memory. James Bryant Lewis. London. 2015. ISBN 978-1-317-66274-7. OCLC 897810515.CS1 maint: others (link)
- ^ "한국고전종합DB". db.itkc.or.kr. Dicapai pada 2022-09-14.
- ^ Jesuit Annual Report - 1599
- ^ "平成28年7月9日開催「よみがえる小西行長公」講演会 第11弾 - 第1部基調講演「戦国大名正室の美しさ」質問および回答" (PDF).
- ^ History of Japan by Luis Frois 1599 - 1601
- ^ "Veritable Records of King Seonjo - 선조실록 101권, 선조 31년 6월 20일 癸酉 3번째기사".
- ^ 大國, 佐島, 眞希, 顕子 (February 2018). "文学・観光・歴史 : 遠藤周作・原城跡・小西行長を中心に". 福岡女学院大学紀要 人文学部編. 28. hdl:11470/681.








