


Kemalangan lalu lintas, yang juga dikenali sebagai kemalangan/perlanggaran kenderaan bermotor, berlaku apabila sesebuah kenderaan berlanggar dengan kenderaan lain, pejalan kaki, haiwan, serpihan jalan raya, atau halangan lain yang bergerak atau pegun, seperti pokok, tiang, atau bangunan. Perlanggaran lalu lintas selalunya mengakibatkan kecederaan, hilang upaya, kematian, dan kerosakan harta benda, serta kos kewangan kepada masyarakat dan individu yang terlibat. Dari segi statistik, pengangkutan jalan raya adalah situasi paling berbahaya yang dihadapi orang ramai setiap hari, namun angka korban akibat insiden sebegini kurang mendapat perhatian media berbanding jenis tragedi lain yang kurang kerap berlaku.[1] Justeru, terdapat sesetengah perlanggaran seperti serangan rempuhan kenderaan yang disengajakan, kemalangan yang diatur, pembunuhan kenderaan (vehicular homicide), ataupun bunuh diri kenderaan (vehicular suicide).
Beberapa faktor menyumbang kepada risiko perlanggaran, termasuk reka bentuk kenderaan, kelajuan operasi, reka bentuk jalan, cuaca, persekitaran jalan, kemahiran memandu, gangguan akibat alkohol atau dadah, dan tingkah laku, terutamanya pemanduan secara agresif, pemanduan sambil leka (terganggu), memandu melebihi had laju, dan perlumbaan jalanan.
Sejarah
Kematian pertama yang direkodkan di dunia akibat kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan bermotor berlaku pada 31 Ogos 1869.[2] Seorang saintis dari Ireland bernama Mary Ward meninggal dunia apabila beliau terjatuh dari kereta wap milik sepupunya dan dilanggar oleh kenderaan tersebut.[note 1]
Kesan kesihatan
Fizikal

Sejumlah kecederaan fizikal sering kali boleh disebabkan oleh trauma daya tumpul akibat perlanggaran, bermula dari lebam dan kontusi hingga kecederaan fizikal yang dahsyat (contohnya, lumpuh), henti jantung traumatik atau bukan traumatik, dan kematian. Di Amerika Syarikat, CDC menganggarkan bahawa kira-kira 100 orang maut dalam kemalangan kenderaan bermotor setiap hari.[3] Manakala di Malaysia, mengikut statistik PDRM, jumlah kemalangan yang melibatkan kereta ialah sebanyak 14,500+ setahun.[4]
Psikologi
Berikutan perlanggaran, trauma psikologi berpanjangan mungkin berlaku.[5] Isu-isu ini boleh menyebabkan mereka yang pernah terlibat dalam kemalangan takut untuk memandu lagi. Dalam sesetengah kes, trauma psikologi boleh menjejaskan kehidupan individu, menyebabkan kesukaran untuk pergi bekerja, menghadiri sekolah, atau melaksanakan tanggungjawab keluarga.[6]
Pencegahan
Semasa memandu
Kemalangan lalu lintas merupakan perkara yang tidak dijangka. Disebabkan itu, pemandu hendaklah pandu dengan cermat agar tiada kemalangan lagi di jalan raya. Berikut merupakan pencegahan kemalangan lalu lintas:
Elakkan memandu sambil menggunakan telefon pintar[7]

Ini sering berlaku disebabkan penggunaan telefon pintar boleh menjejaskan tumpuan semasa memandu dan boleh mengakibatkan kemalangan. Juga, ia menyalahi undang-undang bagi sesetengah negara. Negara seperti Portugal dan Jepun adalah tidak sah menggunakan telefon dalam semua keadaan.
Elakkan memandu laju[7]
Kelajuan adalah punca utama kemalangan jalan raya. Ini kerana, memandu laju untuk jangka masa yang lama mampu memakan banyak tenaga pemandu, menyebabkan mudah berasa letih dan mengantuk, serta tidak dapat bertindak balas dengan cepat kepada pengguna jalan raya lain atau keadaan jalan raya yang boleh mengakibatkan kemalangan yang serius dan juga membawa maut. Oleh itu, pemandu perlulah memandu dalam had laju agar tiada kemalangan berlaku.
Jangan langgar lampu merah[7]
Ini adalah kesilapan yang sering berlaku di persimpangan jalan raya dan juga mengakibatkan kemalangan yang serius kepada pemandu, pemandu lain, ataupun pejalan kaki. Oleh itu, pemandu perlulah mematuhi peraturan lalu lintas dan berhenti di lampu merah untuk memastikan keselamatan orang lain.
Jangan minum alkohol sebelum memandu (bagi bukan Islam)[7]

Memandu dalam keadaan mabuk bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi ia juga boleh membahayakan orang lain ataupun pemandu. Jika pemandu tersebut minum (bagi bukan Islam), disarankan untuk pemandu itu menyuruh rakan atau sesiapa sahaja yang belum mabuk untuk membantu anda memandu. Jangan sesekali memandu selepas meminum minuman beralkohol.
Jangan memandu dalam keadaan letih[7]
Apabila seseorang letih, tumpuannya berkurangan dan refleksnya lebih perlahan di jalan raya dan akan mengakibatkan kemalangan yang serius dan membawa maut. Ini sering berlaku apabila selesai berkerja dengan banyak dan juga memandu pada waktu gelap. Oleh itu, jika berasa mengantuk semasa memandu, sila parkir kenderaan di tempat yang selamat dan berehat seketika.
Perhatikan keadaan jalan raya[7]


Jalan berlubang menjadi punca kemalangan kenderaan. Haiwan yang melintasi (seperti, kucing dsb) juga perlu diperhatikan agar tidak melanggari nya. Justeru, berhati-hati juga apabila nampak pejalan kaki dan penunggang basikal/motosikal di tepi atau tengah jalan.
Berhati-hati ketika memandu dalam keadaan cuaca[7]

Cuaca buruk, seperti hujan ribut, boleh mengurangkan jarak penglihatan dan melemahkan cengkaman jalan, jadi lebih berhati-hati, perlahankan kenderaan dan jaga jarak yang selamat dari kenderaan lain. Di kawasan ribut salji juga (di kawasan sejuk) perlu memandu secara perlahan kerana lantai jalan yang berkemungkinan licin.
Menjaga kenderaan[7]
Pastikan aksesori kenderaan dan kenderaan tersebut berada dalam keadaan baik, seperti tekanan tayar yang betul dan pastikan lampu kenderaan berfungsi dengan baik.
Keselamatan diri
Untuk keselamatan, sila memakai tali pinggang keledar. Ketidak gunaan tali pinggang keledar dianggap menyumbang kepada kira-kira 50% daripada semua kematian akibat kemalangan lalu lintas.[8]
Nota
- ^ Walaupun beberapa sumber menegaskan Mary Ward sebagai orang pertama yang terbunuh oleh kenderaan bermotor, perlanggaran maut melibatkan kereta wap pada Julai 1834 mendahului kematian Ward. Dalam kejadian pada tahun 1834 itu, sebuah kereta wap yang dibina oleh John Scott Russell dan mengendalikan perkhidmatan pengangkutan awam antara Glasgow dan Paisley telah terbalik, menyebabkan letupan dandang yang membunuh empat atau lima penumpang serta mencederakan yang lain. Kereta Russell terdiri daripada enjin wap yang menarik tender penumpang dan bahan api gabungan; perlanggaran Mary Ward mungkin boleh dicirikan sebagai kematian pertama yang melibatkan kenderaan dalam bentuk kereta motor kontemporari, di mana enjin dipasang dan penumpang menunggang pada kerangka yang sama.
Rujukan
- ^ Peden, M. M.; Organization, World Health (2004-03-23). World Report on Road Traffic Injury Prevention (dalam bahasa Inggeris). World Health Organization. ISBN 978-92-4-156260-7.
- ^ "Mary Ward 1827-1869". www.offalyhistory.com. Dicapai pada 2025-11-05.
- ^ CDC (2024-05-10). "Transportation Safety". Transportation Safety (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-11-05.
- ^ "Facebook". www.facebook.com. Dicapai pada 2025-11-05.
- ^ "The shocking truth about road trauma - Academy of Science". science.org.au. Dicapai pada 2025-11-05.
- ^ BUTLER, DENNIS J.; MOFFIC, H. STEVEN; TURKAL, NICK W. (1999-08-01). "Post-traumatic Stress Reactions Following Motor Vehicle Accidents". American Family Physician (dalam bahasa Inggeris). 60 (2).
- ^ a b c d e f g h Ezany, Aqmal (2024-06-12). "Jangan Buat 10 Perkara Ini Untuk Elak Kemalangan". BJAK (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-11-05.
- ^ Klauer, Sheila G.; Doerzaph, Zachary R. (31 July 2025). "Motor Vehicle Crash Prevention". New England Journal of Medicine. 393 (5): 479–486. doi:10.1056/NEJMra2216360. PMID 40742261 Check
|pmid=value (bantuan).








