Rencana ini mungkin perlu diwikikan untuk memenuhi mutu piawaian Wikipedia. |
Rencana ini tidak memetik apa-apa sumber atau rujukan. |
Kampung Sungai Haji Dorani merupakan sebuah kampung yang terletak di Sungai Besar, dalam Selangor, iaitu sebuah negeri di Malaysia.
Sejarah
Kampung Sungai Haji Dorani mula diteroka oleh penduduk awal pada zaman pemerintahan British sekitar tahun 1910. Penduduk terawal terdiri daripada suku kaum Jawa dan Melayu.
Penerokaan awal lebih tertumpu di kawasan berhampiran pantai Selat Melaka kerana kemudahan perhubungan air dengan kampung-kampung lain seperti Kampung Panchang Bedena, Kampung Sekendi, Kampung Baru, dan Kampung Sepintas—antara kampung terawal yang diteroka di Daerah Sabak Bernam.
Peneroka suku kaum Jawa yang sudah terbiasa dengan kerja-kerja pemugaran tanah semasa di negara Indonesia, lebih cenderung membuka tanah untuk dijadikan sawah padi, di mana kedudukannya agak jauh ke darat, manakala suku kaum Melayu pula kekal membuka kebun kelapa berhampiran pantai Laut Selat Melaka, selain mencari nafkah menjadi nelayan.
Seorang tokoh yang dikenali sebagai Haji Dorani dipercayai memainkan peranan penting sebagai ketua yang disegani kerana beliau berjaya menyemai sikap gotong-royong dalam kalangan penduduk dan mewujudkan kehidupan bermasyarakat yang harmoni, walaupun terdiri daripada suku kaum yang berbeza. Selain itu, Haji Dorani juga dihormati kerana pengetahuan agamanya.
Atas saranan beliau dan sokongan penduduk, anak sungai kecil di kampung tersebut diperluas dan dibersihkan untuk dijadikan pengkalan nelayan. Dengan itu, perahu dan tongkang nelayan, termasuk milik kaum Cina, dapat berlindung daripada ribut di hulu sungai ketika musim gelora di laut.
Kesuburan tanah dan keharmonian penduduk menarik lebih ramai peneroka luar menetap di sini. Mereka turut bersetuju menamakan kampung ini sebagai Sungai Haji Dorani.
Selepas pendaratan Jepun pada tahun 1941, lebih ramai kaum Cina mula berhijrah ke Sungai Haji Dorani. Mereka mendirikan kedai papan beratap daun nipah atau zing untuk menjual keperluan harian, sekaligus mewujudkan sebuah pekan kecil yang dikenali sebagai Pekan Sungai Haji Dorani. Beberapa bangunan kedai ini masih kekal hingga hari ini, dan kaum Cina kini menjadi sebahagian daripada komuniti tetap di kampung ini.
Dengan pertambahan penduduk, pembangunan turut berlaku di kampung ini. Pelbagai institusi pendidikan seperti Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Rendah Agama, dan Sekolah Agama Menengah telah didirikan. Selain itu, kemudahan masyarakat seperti surau, masjid, dan balai raya turut dibangunkan untuk memenuhi keperluan penduduk.
Hari ini, Kampung Sungai Haji Dorani meliputi kawasan seluas 1,660.84 ekar dengan populasi seramai 2,042 orang; 1,972 Melayu, 67 Cina, dan 3 India. Sebanyak 79% penduduk bekerja sebagai petani yang menanam padi, kelapa, atau kelapa sawit, manakala selebihnya bekerja sebagai nelayan, usahawan kecil dan sederhana, serta kakitangan kerajaan.[1]
Terdapat juga generasi pewaris peneroka awal masih wujud hingga kini, termasuk Haji Haris bin Maulana yang berusia sekitar 90 tahun, mengekalkan warisan dan sejarah kampung ini. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan keampunan kepada semua peneroka awal kampng Sungai Haji Dorani.yang telah meninggal dunia. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Kemudahan Asas.[2]
Tempat beribadat berdekatan
- Masjid An-Nur, Sungai Haji Dorani
- Surau Al-Saadah
- Surau Khairiah Watoniah
- Surau Biru
Institusi pendidikan berdekatan
- Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Dorani
- Sekolah Rendah Agama Sungai Haji Dorani
- Ma'ahad Tahfiz Darul Qodiriah
- Sekolah Agama Menengah Sungai Haji Dorani
Poskod
Rujukan
- ^ Binti Ramele, Rohaslinda (2013). "A Study on Traditional Javanese-Malay Kampung Structure, Culture and Community Activities in Kampung Sungai Haji Dorani, Selangor, Malaysia". The Asian Conference on Asian Studies 2013 Official Conference Proceedings. doi:10.22492/2187-4735.20130142.
- ^ a b "Kampung Sungai Haji Durani · 45300 Sungai Besar, Selangor, Malaysia". Kampung Sungai Haji Durani · 45300 Sungai Besar, Selangor, Malaysia. Dicapai pada 2024-10-17.