Kama (Sanskrit: काम, IAST: kāma) ialah konsep kesenangan, kenikmatan dan keinginan dalam agama Hindu, Buddha, Jain dan Sikh. Ia juga boleh merujuk kepada "keinginan, hasrat, kerinduan" dalam kesusasteraan Hindu, Buddha, Jain, dan Sikh.[1]
Salah satu perkataan yang paling banyak digunakan dalam kesusasteraan falsafah-agama dan juga mitologi ialah kama, yang mempunyai tiga makna: a) keinginan secara umum; b) dewa cinta, dewa nafsu; c) nafsu berahi.
Kama sebagai keinginan secara umum boleh menjadi baik atau buruk. Keinginan yang baik, seperti keinginan untuk mencapai moksha (pembebasan), boleh mengangkat rohani seseorang, manakala keinginan yang buruk menjadi penghalang besar dalam perjalanan kerohanian.
Kama sebagai nafsu berahi telah dianggap sebagai salah satu daripada empat purushartha atau matlamat utama kehidupan yang patut diusahakan.[2] Oleh kerana pembiakan dilihat sebagai salah satu tanggungjawab suci bagi pasangan yang telah berkahwin, kama diberikan kedudukan yang dihormati. Namun begitu, ia harus sentiasa berada dalam batas yang ditentukan oleh dharma atau kebenaran seperti yang dihuraikan dalam kitab-kitab suci. Pelanggaran terhadap batas ini dikecam dengan keras dan hukuman juga telah ditetapkan.
Namun, istilah ini juga digunakan dalam erti teknikal untuk merujuk kepada sebarang bentuk kenikmatan deria, tarikan emosi atau keseronokan estetik yang dialami dalam kaitan dengan seni, tarian, muzik, lukisan, arca, dan alam semula jadi.[3]
Dalam kesusasteraan kontemporari, kama sering digunakan untuk merujuk kepada keinginan seksual dan kerinduan emosi,[4] tetapi konsep kuno ini lebih luas, dan secara amnya merujuk kepada sebarang keinginan, hasrat, nafsu, kenikmatan atau keseronokan terhadap seni dan keindahan, kenikmatan hidup, kasih sayang, cinta dan hubungan, serta kenikmatan cinta sama ada dengan atau tanpa konotasi seksual.[5]
Kama dalam Purushartha
Dalam pemikiran Hindu, kama adalah salah satu daripada tiga elemen trivarga dan merupakan salah satu daripada empat Purushartha, iaitu empat domain usaha manusia yang bermanfaat. Dalam agama Hindu, ia dianggap sebagai matlamat penting dan sihat dalam kehidupan manusia untuk mengejar kama tanpa mengabaikan tiga Purushartha yang lain: Dharma (kehidupan yang beretika, bermoral dan berbudi), Artha (keperluan material, keselamatan pendapatan, sumber kehidupan), dan Moksha (pembebasan, kelepasan, kesedaran diri).
Dewa Kama
Dewa Kama juga dikenali sebagai Manmatha, Madana, Kandarpa dan Ananga, adalah anak kepada Brahma. Apabila Brahma memberinya anugerah kuasa untuk memperdaya seluruh dunia dengan nafsu, dia berani menggunakan kuasa itu terhadap Brahma sendiri! Maka Brahma telah menyumpahnya menjadi abu dibakar oleh mata ketiga Shiva. Namun, atas rayuan isterinya Rati, Siva telah menghidupkannya semula.
Karya-karya ikonografi menggambarkan Kama sebagai seorang pemuda tampan dengan busur yang diperbuat daripada tebu dan lima anak panah yang dihiasi bunga. Dia ditemani oleh dua isterinya, Rati dan Trisha, dan menunggang burung kakaktua. Benderanya adalah makara, iaitu buaya mitos.
Dalam Agama Buddha dan Jain
Dalam agama Buddha dan Jain, kama harus diatasi untuk mencapai matlamat pembebasan daripada kelahiran semula. Namun begitu, walaupun kama dianggap sebagai halangan bagi para sami dan rahib Buddha dan Jain, ia diakui sebagai bidang kegiatan yang sah bagi golongan awam.
Rujukan
- ^ Monier Williams, काम, kāma Archived 2017-10-19 at the Wayback Machine Monier-Williams Sanskrit English Dictionary, pp 271, see 3rd column
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
- ^ R. Prasad (2008), History of Science, Philosophy and Culture in Indian Civilization, Volume 12, Part 1, ISBN 978-8180695445, pp 249-270
- ^ James Lochtefeld (2002), The Illustrated Encyclopedia of Hinduism, Volume 1, Rosen Publishing, New York, ISBN 0-8239-2287-1, page 340.
- ^ Lorin Roche. "Love-Kama". Archived from the original on 20 April 2017. Retrieved 15 July 2011.