Pada 18 Oktober 2018, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad membentangkan Kajian separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas 2016-2020 di Dewan Rakyat. Pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-11 2016-2020 yang turut disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen dan radio tempatan itu dibuat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof. Kajian pelan pembangunan itu akan mengandungi pelaksanaan dasar baharu serta dasar sedia ada yang ditambah baik dengan tumpuan utama dijangka menjurus kepada pembangunan infrastruktur untuk kemudahan rakyat.[1]
KSP RMK-11 adalah dokumen dasar pertama yang dibentangkan Mahathir di Dewan Rakyat sejak peralihan kerajaan pada 9 Mei 2018 yang begitu bersejarah.[2]
Sasaran sosio ekonomi yang disemak[3]
- Strategi makroekonomi yang digariskan dalam RMK11 akan diteruskan dengan beberapa penyesuaian.
- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengimbangi objektif pertumbuhan ekonomi dan inisiatif pengukuhan fiskal bagi memastikan pembangunan inklusif yang berterusan tanpa merencatkan prospek pertumbuhan.
- Kajian Separuh Penggal menggariskan enam tonggak dasar untuk menyokong pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan.
- Tonggak-tonggak tersebut adalah: Reformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam; memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat; menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang; memperkasa modal insan dan mempertingkat kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi dalam semua sektor ekonomi.
- Ekonomi Malaysia terus berkembang walaupun pada kadar sederhana, semasa tempoh kajian semula 2016-2017
- Sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) asal disemak semula kepada kadar purata tahunan antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang berterusan.
- Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita dijangka mencecah RM47,720 atau US$11,700 pada 2020, sejajar dengan penyederhanaan inflasi.
- Pertumbuhan eksport kasar dijangka bertahan pada kadar purata tahunan 6.2 peratus, disokong oleh harga komoditi yang kukuh dan permintaan berterusan daripada rakan dagang.
- Rangka Kerja Dasar Industri Nasional 4.0 yang baharu berfungsi sebagai panduan strategik bagi membolehkan transformasi sektor pembuatan.
- Kerajaan mendedahkan insiatif bagi menangani penerima gunaan teknologi rendah dalam kalangan firma perniagaan.
- Pembangunan infrastruktur terus diberikan penekanan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
- Kerajaan akan terus menumpukan kepada pembangunan perusahaan kecil dan sederhana dengan matlamat meningkatkan sumbangan mereka kepada KDNK kepada 41 peratus pada 2020.
- Peranan syarikat milik negara, entiti monopoli akan dikaji semula.
- Jurang perbezaan sosio ekonomi dalam RMK-11 akan terus ditangani oleh kerajaan.
Rujukan
- ^ "PM bentang usul kajian separuh penggal RMK-11 di Parlimen". Berita Harian. 2018-10-18.
- ^ Ahmad, Amin (2018-10-26). "Melihat semula RMK ke-11 dan Belanjawan 2019". Malaysiakini.
- ^ "Sorotan RMK-11 2016-2020". Berita Harian. 2018-10-18.