![]() |
Inteam | |
---|---|
![]() Dari kiri: Hisyam, Hazamin, Suhaimi, Syah & Rahim | |
Maklumat latar belakang | |
Juga dikenali sebagai | In-Team (2000-2005) |
Asal | ![]() |
Genre | Nasyid |
Tahun aktif | 2000-kini |
Diskografi | Lihat: Inteam discography (en) ![]() ![]() |
Syarikat rakaman | Hijjaz Records (2000-2005) Inteam Records (2005-kini) Label Edaran: NAR Records (2000-2003) EMI Music Malaysia (2003-07) Warner Music Malaysia (2008-14) Sony Music Malaysia (2015-19) Universal Music Malaysia (2020-kini) |
Anggota semasa |
|
Bekas anggota | Suhaimi Saad (2000-2006) (meninggal dunia pada 15 November 2023)
|
Pautan berkaitan | |
Pautan lain | ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() |
sunting · sunting di Wikidata![]() |
Inteam (dahulu In-Team) merupakan sebuah kumpulan nasyid Malaysia. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu nasyid dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Inteam diperkenalkan menerusi lagu "Kasih Kekasih" sekitar tahun 2000 di bawah pengurusan Hijjaz Records. Kumpulan ini juga seangkatan dengan kumpulan UNIC, Aeman dan Mestica yang juga bernaung di bawah label yang sama.
Perjalanan Karier
1998 : Sejarah Awal
Kumpulan In-Team telah ditubuhkan pada tahun 1998 oleh beberapa orang mahasiswa yang ketika itu baru sahaja menjejakkan kaki di Pusat Matrikulasi UIA Kampus Lembah Pantai dan antara barisan terawal In-Team pada ketika itu ialah Syah, Hazamin, Izzat Mahadi (bekas anggota kumpulan Mirwana), Akmal (kini anggota Mirwana) serta beberapa orang lagi mahasiswa dari fakulti kejuruteraan dan undang-undang. Nama In-Team telah dicadangkan oleh sahabat mereka, Kamaruzaman atau KZ yang dahulunya merupakan anggota kumpulan Suara SMAKL yang turut melahirkan kumpulan nasyid NowSeeHeart. Pada masa yang sama, terdapat sebuah lagi kumpulan nasyid utama di UIA iaitu kumpulan Husaini di kumpulan ini merupakan kumpulan nasyid yang mewakili kampus secara rasmi. Seperti In-Team, Husaini juga mempunyai anggota yang ramai antaranya Hisyam, Rahim, Ariffin (kemudian menyertai Hijjaz) dan Amin Idris (kini pengacara & motivator). Pada ketika itu, industri nasyid sangat meriah dan mendapat tempat di hati peminat dengan kemunculan beberapa kumpulan nasyid ternama seperti Brothers, NowSeeHeart, Raihan, Hijjaz, Rabbani, Saujana dan lain-lain lagi. Hal ini meniupkan lagi semangat mereka untuk menjadi artis nasyid yang terkenal seperti sifu-sifu mereka.
Perjalanan seni kumpulan In-Team bermula apabila mereka telah diundang untuk membuat persembahan-persembahan di dalam dan luar kampus di mana salah satunya ialah persembahan pembukaan di sekolah lama Hazamin iaitu Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan di Temerloh, Pahang. Pada malam itu kumpulan Hijjaz turut sebagai tetamu VIP dan membuat persembahan di sekolah yang sama. Selain itu, mereka turut membuat persembahan dalam konsert "KAWAN" di dalam kampus mereka yang mana konsert ini turut dihadiri oleh kumpulan Hijjaz. Konsert itu ternyata membawa nama In-Team dalam arus perdana apabila kumpulan Hijjaz telah memanggil mereka ke sesi ujibakat untuk menjadi artis rakaman Hijjaz Music Entertainment (HME). In-Team yang pada ketika itu dianggotai Syah, Hazamin, Ariffin, Masnawi dan Fakhri telah mempersembahkan bakat mereka dengan baik dan berjaya menambat hati anggota Hijjaz untuk diserap sebagai ahli keluarga HME. Bagaimanapun, In-Team tidak terus menandatangani kontrak untuk menghasilkan album, sebaliknya mereka menimba ilmu nasyid dengan Hijjaz terlebih dahulu selama setahun. Dalam tempoh itulah mereka mengikuti Hijjaz setiap kali kumpulan itu membuat persembahan pentas di seluruh Malaysia dan selalunya In-Team akan menjadi penyanyi latar bagi kumpulan tersebut. Dalam masa yang sama, In-Team turut diamanahkan oleh Hijjaz untuk menjadi penyanyi latar untuk album sulung kumpulan nasyid kanak-kanak iaitu Aeman yang juga artis naungan pertama Hijjaz Music Entertainment.
1999-2000 : Senarai Akhir In-Team, Album Kasih Kekasih & Respon Peminat
Menjadi lumrah bagi mana-mana kumpulan nasyid yang bergiat aktif di universiti, In-Team juga mengalami pertukaran anggota. Faktor komitmen dan keserasian telah menyebabkan Ariffin, Masnawi & Fakhri mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjuangan bersama In-Team. Bagi Syah & Hazamin pula, mereka telah mencari 2 anggota gantian untuk melengkapkan senarai akhir In-Team dengan dibantu oleh pihak pengurusan Hijjaz Music Entertainment. Akhirnya, In-Team berhasil mendapatkan dua anggota baharu iaitu Hisyam yang merupakan salah seorang kenalan mereka dari kumpulan Husaini serta seorang pelajar jurusan Bahasa Arab UIA bernama Suhaimi yang juga kenalan Hazamin ketika zaman persekolahan dahulu. Dengan penyertaan Hisyam dan Suhaimi, maka In-Team secara rasminya menandatangani kontrak sebagai artis rakaman Hijjaz Music Entertainment dan telah memulakan sesi rakaman selain menjadi penyanyi latar untuk kumpulan Hijjaz setiap kali kumpulan tersebut mengadakan persembahan pentas di seluruh Malaysia.
Pada tahun 2000, In-Team telah melahirkan album studio pertama mereka yang diberi judul Kasih Kekasih, terbitan Hijjaz Music Entertainment dengan kerjasama NAR Records sebagai pengedar album. Album ini telah memperkenalkan nama In-Team dalam industri muzik tanah air apabila single utama mereka, Kasih Kekasih mula mendapat tempat di hati peminat seterusnya mencatatkan jualan melebihi 80,000 unit. Kejayaan album ini turut melayakkan mereka untuk mendapat anugerah platinum daripada Hijjaz Records.
Dengan hitnya lagu Kasih Kekasih ini, ia sedikit sebanyak mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai. Kebanyakannya menerima baik lagu tersebut kerana mengandungi nilai-nilai positif yang boleh diambil. Namun, ada juga yang memandangnya dari sisi negatif kerana berpendapat lagu ini akan menggalakkan lagi orang ramai untuk menjalinkan cinta pada usia yang muda sehinggakan In-Team pernah ditegah dari menyanyikan lagu tersebut setiap kali mereka mengadakan persembahan pentas di dalam UIA. Lama-kelamaan, kontroversi itu semakin pudar dan orang ramai mula menerima baik lagu tersebut setelah memahami lirik dan intipati lagu tersebut.
2001 : Impian Kasih
Setelah setahun In-Team menghasilkan album pertama, mereka muncul pula dengan album kedua yang berjudul Impian Kasih pada tahun 2001 di bawah terbitan Hijjaz Music Entertainment dengan NAR Records masih lagi bertindak sebagai pengedar album. Album ini telah menaikkan lagi nama In-Team dalam industri dengan beberapa lagu hit mereka antaranya Impian Kasih, Insan Taqwa, Hembusan Kasturi, Selamatkan Dunia dan sebuah lagu srikandi bertajuk Rabiatul Adawiyah. Sebuah lagu ciptaan Suhaimi In-Team bersama gurunya, Ustaz Khairul iaitu Lilin Seorang Guru turut dimuatkan dalam album ini.
Pada waktu ini, Hijjaz dan NAR Records telah mengeluarkan peruntukan yang besar dalam penghasilan album kedua setelah melihat kejayaan album Kasih Kekasih. Dengan kelebihan tersebut, In-Team kelihatan agak kehadapan dari segi penghasilan album dengan kemudahan studio rakaman yang lebih canggih sekaligus mempamerkan kualiti bunyi yang lebih baik. Di samping itu, susunan muzik In-Team juga menjadi lebih mantap & kreatif berbanding sebelumnya hasil khidmat beberapa pemuzik profesional seperti Along, Musa dan Ujang dari kumpulan Exists dan ramai lagi.
2002-2003 : Ujian Pertama In-Team, Debut Rahim & Album Damba Kasih
Dikala In-Team sedang giat mempromosikan album kedua mereka, ahli-ahli In-Team sudahpun berada di tahun kedua pengajian dan jadual mereka juga semakin padat dari hari ke hari. Hal ini sedikit sebanyak menyebabkan jadual mereka mula berlainan terutamanya Hisyam yang pada ketika itu hendak menghabiskan pengajiannya dengan lebih awal daripada tempoh pengajian yang ditetapkan. Anggota In-Team yang lain sememangnya memahami keadaan Hisyam pada ketika itu namun tidak bagi pihak pengurusan. Kesibukan tersebut telah menimbulkan ketegangan antara Hisyam dengan pihak pengurusan, tambahan pula Hisyam merasakan bahawa bayaran yang diterima oleh beliau dan rakan-rakannya tidak setimpal dengan persembahan pentas yang diterima setiap bulan.
Konflik ini menjadi parah apabila Hisyam direhatkan oleh pihak pengurusan dalam satu tempoh yang tidak jelas menyebabkan karier In-Team sedikit terganggu ketika itu. Biarpun Hisyam ada mengajak rakan-rakannya untuk mencari syarikat rakaman lain untuk meneruskan karier mereka, namun Syah, Hazamin & Suhaimi merasakan bahawa masih banyak perkara yang mereka perlu pelajari bersama Hijjaz Records sebelum mengambil keputusan untuk bergerak sendiri. Atas faktor tersebut, In-Team memilih untuk kekal bersama pihak pengurusan dan secara tidak langsung, Hisyam tidak lagi bersama In-Team. Pada masa yang sama, In-Team bersama artis Hijjaz Music Entertainment yang lain iaitu UNIC dan Ae-man tampil dengan sebuah album kompilasi yang berjudul Nur Kasih di mana album tersebut menghimpunkan lagu-lagu hit dari ketiga-tiga kumpulan tersebut. Album kompilasi ini turut menampilkan sebuah lagu baharu In-Team pada ketika itu iaitu Nur Kasih, ciptaan Munif Hijjaz di mana rakaman lagu ini hanya menampilkan tiga anggota sahaja iaitu Syah, Hazamin dan Suhaimi. Lagu ini ternyata mudah mendapat tempat di hati peminat sekaligus menjadikan ianya lagu In-Team yang paling "berhantu" sehingga kini.
Keluarnya Hisyam daripada In-Team meninggalkan lompong yang agak besar serta mengejutkan ramai pihak di kala nama mereka berada di puncak. Untuk menutup kelompongan tersebut, Syah & Hazamin telah membawa masuk Abdul Rahim untuk melengkapkan kembali barisan anggota In-Team. Bersama Abdul Rahim, In-Team kemudiannya melahirkan album studio ketiga berjudul Damba Kasih pada tahun 2003 di bawah terbitan Hijjaz Music Entertaiment dengan NAR Records kekal sebagai pengedar album. Album ini menampilkan banyak lagu hit seperti Damba Kasih, Sentuhanmu, Bisikan Nurani dan sebuah lagu srikandi berjudul Ratu Syahadah. Lagu Nur Kasih yang terkandung dalam album kompilasi Nur Kasih sebelum itu juga dimasukkan semula ke dalam album Damba Kasih di trek kelapan (trek pertama di muka dua atau "Side B" untuk versi kaset).
2004 : In-Team '04
Berikutan kejayaan album ketiga mereka, In-Team tidak lagi menoleh ke belakang dengan menghasilkan material untuk album mereka yang seterusnya. Hijjaz Records ternyata tidak kedekut untuk mengeluarkan bajet yang lebih besar untuk menghasilkan album keempat In-Team, malah pada ketika ini juga Hijjaz Records telah menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat rakaman antarabangsa yang terkemuka iaitu EMI setelah kontrak edaran album bersama NAR Records tamat pada tahun sebelumnya.
Pada tahun 2004, lahirlah album keempat In-Team yang mula menampakkan beberapa kelainan berbanding tiga album sebelumnya. Album ini diberi judul In-Team '04 dan tidak lagi menggunakan perkataan "kasih" seperti album-album sebelumnya. Kelainan ini juga kelihatan jelas dari segi susunan muzik dalam setiap lagu di mana mereka turut mencuba elemen "world music" dalam lagu bertajuk Az-Ziarah yang juga sebuah lagu Arab lama nyanyian Habib Asasi dari negara Yaman. Selain itu, album ini hanya memuatkan 10 buah lagu sahaja dan tiada lagi "narration" sepertimana yang terkandung dalam tiga album sebelumnya.
Album ini diberi nama In-Team '04 kerana album ini merupakan album studio In-Team yang keempat, dikeluarkan pada tahun 2004 dan dianggotai oleh 4 orang. Album ini juga merupakan antara album terbitan Hijjaz Records yang terawal diedarkan oleh EMI selain album See You Di IPT (UNIC) dan Sendu Sendawa (Mestica). Antara lagu hit dalam album ini ialah Setanggi Syurga, Kasihku Abadi, Kalimah Cinta dan sebuah lagu srikandi yang berjudul Halimatus Saadiah. Salah satu lagu dalam album ini iaitu Keredhaan-Mu dicipta oleh Hazamin bersama rakan sebiliknya di UIA dahulu iaitu Zamre Khan. Album In-Team '04 merupakan album terakhir In-Team di bawah Hijjaz Records sebelum mereka mula bergerak sendiri pada tahun 2005.
2005-2006 : Pengunduran Suhaimi, In-Team Kepada Inteam & Album Tiada Lagi Kasih
Pada tahun 2004, kumpulan In-Team telah meminta keizinan daripada Hijjaz Records untuk menguruskan kerjaya seni mereka sendiri tanpa bantuan staf-staf Hijjaz Records dan pada masa yang sama telah menubuhkan syarikat mereka sendiri iaitu In Team Edutainment. Pada mulanya, mereka menggunakan salah sebuah bilik di rumah sewa Hazamin sebagai pejabat In Team Edutainment memandangkan Hazamin telahpun mendirikan rumah tangga sejak 2002 dan mempunyai seorang anak pada waktu itu. Sebelum kontrak mereka dengan Hijjaz Records tamat, In-Team sempat muncul dengan lagu Kerana Cinta bersama kumpulan Mestica yang juga bernaung di bawah label yang sama.
Pada tahun 2005, seperti kebiasaannya anggota kumpulan Hijjaz meminta In-Team untuk sekali lagi menyambung kontrak bersama Hijjaz Records. Namun pada ketika itu, anggota In-Team menolak secara baik tawaran tersebut kerana merasakan sudah tiba masanya untuk mereka bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana syarikat rakaman. Keputusan ini ternyata mengecewakan anggota-anggota Hijjaz dan merasakan In-Team seolah-olah mula lupa diri, namun hakikatnya In-Team juga ingin mencontohi kejayaan Hijjaz dengan cara mereka sendiri. Konflik yang berlaku ini telah mendorong kepada penjenamaan semula In-Team menjadi Inteam demi mengelakkan sebarang isu yang timbul antara mereka dengan Hijjaz Records sambil menyatakan bahawa mereka terinspirasi oleh kejayaan guru-guru mereka setiap kali wartawan mengajukan pertanyaan kepada mereka mengenai Hijjaz. Namun di kala mereka memulakan langkah untuk bergerak sendiri, Suhaimi mula berbelah bahagi kerana dirinya masih lagi menyayangi anggota-anggota Hijjaz dan tidak bersedia lagi untuk meninggalkan Hijjaz Records. Setelah pertimbangan dibuat, Suhaimi mengambil keputusan untuk menyambung kontrak bersama Hijjaz Records dan menganggap beliau sudah tidak lagi sehaluan dengan Inteam.
Pada masa yang sama, In Team Edutainment secara rasminya dinaik taraf menjadi Inteam Records Sdn. Bhd. dan telah mempunyai beberapa orang pekerja dengan sebahagiannya merupakan sahabat Inteam di UIA. Dengan tertubuhnya Inteam Records, Inteam telah memulakan usaha untuk menghasilkan album mereka sendiri dan mula mendapatkan khidmat rakan-rakan dalam arena nasyid untuk penciptaan dan penyusunan lagu antaranya Abu Bakar Raihan (lagu Cintailah Ilahi), Fadzli Fareast (lagu Segenggam Tabah), Akmal Mirwana (lagu Tanpa-Mu) dan juga Frizdan (lagu Pemergianmu). Selain itu, Inteam juga berkolaborasi bersama artis-artis nasyid lain seperti Nazrey Johani menerusi lagu Kehidupan dan Muaz Dzulkefly menerusi lagu Selawat Badrul 'Ain. Inteam juga telah mengetengahkan lagu ciptaan mereka sendiri dalam album ini, antaranya Senandung Budi ciptaan Rahim, Stand Together ciptaan Syah dan Taman Firdausi ciptaan Hazamin.
Setelah hampir setahun memerah keringat, akhirnya Inteam berjaya menghasilkan album kelima yang berjudul Tiada Lagi Kasih pada tahun 2006, yang juga album pertama di bawah penerbitan mereka sendiri iaitu Inteam Records serta menjalin kerjasama dengan EMI sebagai pengedar album. Album ini mengembalikan semula identiti album-album Inteam yang terdahulu di mana album ini mengandungi 2 narration oleh Ustaz Dinie Juri. Album ini menunjukkan kemampuan mereka dalam menghasilkan album mereka sendiri dan seterusnya menaikkan nama mereka ke peringkat yang lebih tinggi dalam arena seni.
2007-2013 : Bergabung Dengan Bekas Anggota
Pada tahun 2007, Inteam sekali lagi menghasilkan album studio dan judul albumnya kali ini ialah Nur Insani. Album ini merupakan album pertama Inteam yang berkonsepkan jalan cerita di mana lagu-lagu yang terkandung dalam album ini disusun mengikut permulaan hidup manusia dari lahir sehinggalah meninggal dunia. Album ini juga merupakan album pertama Inteam yang menampilkan salah seorang bekas anggotanya iaitu Hisyam yang telahpun mengecapi kejayaanya bersama kumpulan DeHearty.
Dua tahun selepas itu, Inteam telah menghasilkan album ketujuh yang berjudul Allahu Rabbi. Album yang diedarkan oleh Warner Music Malaysia ini boleh dianggap sebagai album yang istimewa kerana mereka telah menjemput Hisyam dan Suhaimi, menjadikan album ini mendapat sambutan yang luar biasa dalam kalangan peminat. Album ini turut mengubah nasib kumpulan Inteam itu sendiri apabila mereka berjaya merangkul anugerah menerusi lagu "Dia Muhammad" dan album Allahu Rabbi dalam AIM ke-17 yang berlangsung pada tahun 2010. Lagu "Dia Muhammad" diiktiraf sebagai Lagu Nasyid Terbaik manakala album Allahu Rabbi diangkat sebagai Album Nasyid Terbaik pada malam tersebut yang berlangsung pada 2 Mei 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Pada tahun 2013, Inteam sekali lagi mengundang Hisyam dan Suhaimi dalam album kelapan iaitu Iman & Aman. Album ini terkenal dengan lagu Iftar ciptaan Syah.
2014-Kini : Ujian Getir Syah, Kembalinya Hisyam Bersama Inteam & Pemergian Suhaimi
Sekitar tahun 2014, dunia nasyid telah dikejutkan dengan berita yang menyedihkan di mana penyanyi utama Inteam, Syah telah terkena jangkitan kuman di paru-paru yang menyebabkan beliau mengalami batuk yang amat teruk di samping mengalami penyusutan berat badan yang sangat drastik. Keadaan menjadi lebih genting apabila keadaan kesihatan Syah semakin menurun dan mula tidak sedarkan diri dan ketika itulah timbul khabar angin yang mengatakan bahawa harapan beliau untuk hidup semakin tipis. Keadaan ini telah menimbulkan keresahan dua anggota Inteam yang lain iaitu Hazamin dan Rahim di mana mereka berasa sangat sedih dan buntu memikirkan sahabat mereka. Namun dengan izin Allah, keajaiban telah berlaku di mana Syah sembuh seperti sediakala berkat usaha para doktor dan juga doa dari orang sekeliling. Namun begitu, Hazamin dan Rahim meminta Syah untuk berehat seketika daripada aktiviti seni dan pada ketika itulah mereka memanggil Hisyam untuk bersama mereka menjayakan persembahan-persembahan di institusi-institusi pengajian di dalam dan luar negara.
Pada tahun 2015, Inteam telah mengumumkan bahawa mereka kembali berempat dengan kemasukan semula Hisyam sebagai anggota tetap. Dengan kembalinya Hisyam, Inteam telah menghasilkan sebuah album kompilasi iaitu Miracle Hits Inteam, di mana album ini menghimpunkan semula lagu-lagu hit Inteam dari album Kasih Kekasih sehingga album Iman & Aman. Album ini turut menampilkan single terbaru mereka berjudul #suratcinta yang menceritakan tentang Al-Quran. Single ini diterima dengan sangat baik oleh para peminat.
Pada tahun 2018, Inteam telah terpilih untuk menyertai Gema Gegar Vaganza 2 anjuran Astro. Mereka berjaya mara ke pusingan akhir dan mendapat tempat keempat. Selepas penyertaan tersebut, mereka muncul dengan single terbaharu mereka berjudul Dia, ciptaan Harry Khalifah dan lirik oleh Syah Inteam. Single ini turut diserikan lagi dengan penampilan pasangan pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama anak mereka di dalam video klip.
Pada tahun 2020, Inteam telah melancarkan single baharu mereka iaitu Wanita ciptaan sepenuhnya oleh Hisyam Ahmad dan menampilkan seorang instafamous terkenal iaitu Aisyah Hijanah. Kemudian pada 12 Disember 2020, Inteam telah mengadakan Konsert Inteam 20 Tahun sempena tahun ke-20 Inteam berada dalam industri muzik tanah air. Konsert yang mendapat dana daripada Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi Geran Dana Kandungan Digital (DKD) ini berlangsung dengan meriah sekali di mana mereka turut menjemput beberapa artis terkenal tanah air seperti Hijjaz, UNIC, Fitri Haris, Suffian Amrin, Khai Bahar, Lah Ahmad, Ikhwan Fatanna dan juga kumpulan Exists.
Pada 15 November 2023, Inteam menerima khabar duka apabila sahabat mereka yang juga bekas anggota Inteam, Suhaimi Saad telah kembali ke rahmatullah di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada jam 7.40 petang akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. Pemergian Suhaimi ternyata mengejutkan ramai pihak terutamanya para peminat dan juga penggiat seni yang sering mengikuti perkembangan beliau.
Anggota Kumpulan
Anggota Terkini
- Muhammad Hazamin bin Harun (Hazamin, Amin) - Pengasas kumpulan In-Team bersama Syah sejak awal penubuhannya pada tahun 1998 sehingga kini. Berasal dari Temerloh, Pahang.
- Mohd Syahril bin Abdul Khalid (Syah) - Pengasas kumpulan In-Team bersama Hazamin sejak awal penubuhannya pada tahun 1998 sehingga kini. Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.
- Abdul Rahim bin Osman (Rahim) - Menganggotai In-Team pada tahun 2002 menggantikan Hisyam Ahmad, seterusnya kekal bersama Inteam sehingga kini. Berasal dari Segamat, Johor.
- Hisyam bin Ahmad (Hisyam, Syam) - Mula menganggotai In-Team pada tahun 2000 sebelum meninggalkan kumpulan tersebut pada tahun 2002. Kembali melengkapkan Inteam pada tahun 2015, seterusnya kekal bersama Inteam sehingga kini. Berasal dari Keramat, Kuala Lumpur.
Bekas Anggota
- Mohd Suhaimi bin Saad (Suhaimi Saad) - Mula menganggotai In-Team pada tahun 2000 sebelum bergerak secara solo pada tahun 2005. Berasal dari Triang, Pahang. Telah kembali ke rahmatullah pada 15 November 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Garis Masa

Diskografi
Album Studio
Tahun | Judul Album | Penerbit | Label | Edaran | Jualan |
---|---|---|---|---|---|
2000 | Kasih Kekasih | Hijjaz | Hijjaz Music Entertainment | NAR Records | 80,000 unit |
2001 | Impian Kasih | Hijjaz | Hijjaz Music Entertainment | NAR Records | 50,000 unit |
2002 | Damba Kasih | Hijjaz | Hijjaz Records | NAR Records | 50,000 unit |
2004 | In-Team '04 | Hijjaz | Hijjaz Records | EMI | |
2006 | Tiada Lagi Kasih | Inteam | Inteam Records | EMI | |
2007 | Nur Insani (menampilkan Hisyam) | Inteam | Inteam Records | EMI | |
2009 | Allahu Rabbi (menampilkan Hisyam & Suhaimi) | Inteam | Inteam Records | Warner Music | |
2010 | Nur Muhammad (menampilkan Hisyam, Suhaimi & kumpulan UNIQUE) | Inteam | Inteam Records | Warner Music | |
2013 | Iman & Aman (menampilkan Hisyam & Suhaimi) | Inteam | Inteam Records | Warner Music | |
2017 | Zikir Hati | Inteam | Inteam Records | Inteam Records | |
2024 | Zikir Hati 2 | Inteam | Inteam Records | Inteam Records |
Single
Tahun | Judul Lagu | Komposer | Penulis Lirik | Label | Album (jika ada) |
---|---|---|---|---|---|
2005 | Kerana Cinta (bersama Mestica) | Putra Aiman | Lukhman S | Hijjaz Records |
|
2015 | #suratcinta | Abu Yusuf Al-Menara | Shaykh Hamza Yusuf | Inteam Records |
|
2016 | Jangan Menghina (featuring Alif Satar) | Sallam | Khalid Hassan | Inteam Records | Inteam 20 Tahun |
2017 | Ya Rabbi Ya (featuring Adik Viral) | DJ Fuzz | Inteam Records | Inteam 20 Tahun | |
2018 | Dia | Harry Khalifah | Syah Inteam | Inteam Records | Inteam 20 Tahun |
2019 | Pemergianmu 1440H | Frizdan | Frizdan | Inteam Records | Inteam 20 Tahun |
2020 | |||||
I Love Muhammad (with Jae Deen) | Joshua Asare | Joshua Asare | Deen Starz Entertainment/Inteam Records | Inteam 20 Tahun | |
Setanggi Syurga 2020 (featuring Khai Bahar) | Isman Isam (Manis Helma) | Ito Lara | Inteam Records | Inteam 20 Tahun | |
Wanita | Hisyam Ahmad | Hisyam Ahmad | Inteam Records | Inteam 20 Tahun | |
Terima Kasih (featuring Ikhwan Fatanna) | Ikhwan Fatanna & Wan Saleh | Ikhwan Fatanna | Inteam Records | Inteam 20 Tahun | |
Ittaqullah | Yasin Sulaiman | Inteam Records | |||
2021 | |||||
Mencari Sinar (feat. Sam Bunkface) | Allahyarham Ahmadi Hassan | Allahyarham Ahmadi Hassan | Smiley River Online | ||
Al-Quds Lana | Ibrahim Al-Ahmad | Ibrahim Al-Ahmad/Fedtri Yahya | My Aqsa Defenders/Inteam Records |
Album Kompilasi Inteam & Album Lain Yang Melibatkan Inteam
Tahun | Judul Album | Penerbit | Label | Edaran | Jualan |
---|---|---|---|---|---|
2002 | Semulia Ramadhan Seindah Lebaran | Hijjaz | Hijjaz Records | NAR Records | |
2002 | Best Of In-Team | Hijjaz | Hijjaz Records | NAR Records | |
2002 | Nur Kasih | Hijjaz | Hijjaz Records | NAR Records | |
2002 | Junjungan Mulia 3 | Warner Music | |||
2004 | Kalimah Cinta | Hijjaz | Hijjaz Records | EMI | |
2004 | Habibullah | Hijjaz | Hijjaz Records | EMI | |
2004 | Sirah Junjungan | Warner Music | |||
2005 | Nur Kasih 2 | Hijjaz | Hijjaz Records | EMI | |
2005 | Kalimah Cinta 2 | Hijjaz | Hijjaz Records | EMI | |
2005 | Memori Gemilang | Hijjaz | Hijjaz Records | EMI | |
2005 | Nasyid No. 1 | Hijjaz | Hijjaz Records | EMI | |
2006 | Habibullah (Platinum Edition) | Hijjaz | Hijjaz Records | EMI | |
2007 | Riwayat Agung | Hijjaz | Hijjaz Records | EMI | |
2008 | Salamun Salam | Inteam | Inteam Records | EMI | |
2010 | Nasyid Hits | Inteam | Inteam Records | Warner Music | |
2010 | Love Allah Love Rasul (International Edition) | Inteam | Inteam Records | Inteam Records | |
2010 | Inteam Kembara Sedekad | Inteam | Inteam Records | Warner Music | |
2016 | Miracle Hits Inteam | Inteam | Inteam Records | Sony Music | |
2018 | The Best Of In-Team | Hijjaz | Hijjaz Records | Rusa Music | |
2020 | Inteam 20 Tahun (CD Eksklusif) | Inteam | Inteam Records & Universal Music Malaysia | Inteam Records |
Anugerah dan pencalonan
Kumpulan In-Team ini mempunyai pencapaian yang bagus dari segi penciptaan albumnya iaitu peningkatan penarikan lagu kepada pendengar dari setiap ciptaan album ke album yang lain.
Kesemua album mereka telah mencapai Anugerah Platinum iaitu melebihi 25,000 unit. Album pertama mereka, Kasih Kekasih sahaja telah terjual sebanyak 80,000 unit.
Mereka juga telah menubuhkan syarikat In-Team Edutainment[1], kini dikenali sebagai Inteam Records Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat milik penuh Inteam. Setelah mereka menamatkan kontrak bersama Hijjaz Records Sdn. Bhd. (HRSB), mereka telah merapatkan perkataan "Inteam" dengan membuang tanda sempang pada perkataan asalnya, "In-Team". Mereka juga telah mengeluarkan album yang berjudul Tiada Lagi Kasih pada tahun 2006 sebagai produk pertama Inteam di bawah pengurusan yang baharu. Album baharu ini dijangka mampu membuktikan kemampuan Inteam bergerak tanpa perlu tunjuk ajar lagi.
Kumpulan ini sekali lagi membuktikan kematangan dalam penghasilan album dan lagu, apabila album "Allahu Rabbi" dinobatkan sebagai Album Nasyid Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM 17). Kemengan ini merupakan anugerah AIM yang pertama dimenangi oleh mereka setelah beberapa kali tercalon dalam kategori yang sama. Selain itu, kumpulan Inteam juga turut membawa pulang satu lagi trofi apabila lagu ciptaan Frizdan, "Dia Muhammad" turut diangkat sebagai Lagu Nasyid Terbaik AIM 17. Mereka juga turut membuktikan bahawa kualiti vokal semakin meningkat apabila lagu "Allahu Rabbi" turut tercalon dalam kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu. Namun, mereka tewas kepada pasangan duet, Datuk Siti Nurhaliza & Krisdayanti menerusi lagu "Amarah".
Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) | ||||
---|---|---|---|---|
Tahun | Kategori | Karya Tercalon | Album / Material | Keputusan |
2001 (AIM8) | Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Album | Kasih Kekasih | Tercalon | |
Album Nasyid Terbaik | Tercalon | |||
2005 (AIM12) | Album Nasyid Terbaik | In-Team ‘04 | Tercalon | |
2009 (AIM16) | Lagu Nasyid Terbaik | "Kemuliaan Al-Quran" | Kemuliaan Al-Quran | Tercalon |
2010 (AIM17) | Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu | "Allahu Rabbi" | Allahu Rabbi | Tercalon |
Lagu Nasyid Terbaik | Tercalon | |||
"Dia Muhammad" | Menang | |||
Lagu Terbaik | Tercalon | |||
Album Nasyid Terbaik | Menang | |||
Album Terbaik | Tercalon | |||
2011 (AIM18) | Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu | "Salamun Salam 2" | Tercalon | |
Lagu Nasyid Terbaik | "Bebas Palestin" (bersama Rabbani, Saujana & NowSeeHeart) | Tercalon | ||
2013 (AIM20) | Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu | "Syafaatmu" | Iman & Aman | Tercalon |
Lagu Nasyid Terbaik | "Zikir Susah Senang" | Tercalon |
Trivia
- Selepas lebih 20 tahun berada dalam industri, Inteam sememangnya boleh berbangga kerana setiap daripada mereka berjaya dalam bidang masing-masing. Kemantapan vokal setiap anggota Inteam menjadikan mereka antara kumpulan nasyid yang kekal utuh sehingga kini.
- Inteam kini merupakan sebuah nama yang besar di mana mereka mempunyai syarikat rakaman sendiri iaitu Inteam Records. Syarikat yang telah ditubuhkan pada tahun 2005 itu kini menjual pelbagai jenis barangan seperti album, buku-buku ilmiah, cenderamata, produk berasaskan makanan sunnah dan banyak lagi.
- Sebelum Hisyam dan Suhaimi menyertai In-Team, Rahim pernah dilamar oleh Syah dan Hazamin untuk menyertai In-Team pada peringkat awal. Namun Rahim tidak dapat menyertainya kerana beliau telah berpindah ke UIA Gombak (kampus induk) satu semester lebih awal daripada anggota In-Team yang lain.
- Selepas keluar dari In-Team pada tahun 2002, Hisyam Ahmad kemudiannya menubuhkan kumpulan nasyid baharu iaitu DeHearty pada tahun 2004. Kumpulan DeHearty yang bernaung di bawah label NAR Records ini terkenal dengan beberapa lagu hit, antaranya Di Hati, Inspirasi Hati, Siti Zulaikha, Abu Bakar As-Siddiq dan Permata Yang Dicari. Biarpun kumpulan ini tidak lagi aktif, lagu-lagu DeHearty masih diingati peminat nasyid sehingga kini.
- Single terbaru Inteam pada tahun 2020, Wanita ciptaan sepenuhnya oleh Hisyam Ahmad sebenarnya adalah lagu lama beliau bersama kumpulan DeHearty yang dikeluarkan pada tahun 2005 menerusi album Insan Istimewa.
- Hazamin yang dilahirkan pada 7 November 1980 mempunyai saudara kembar perempuan yang bernama Siti Hazrin.
- Suhaimi yang meninggalkan In-Team pada tahun 2005 untuk kekal bersama Hijjaz Records telah bertemu jodoh dengan Nordiana Mohd Naim atau Ina Naim yang juga artis naungan Hijjaz Records. Ina Naim sebelum ini pernah bertunang dengan juara Akademi Fantasia musim ke-3 iaitu Mawi.