Institut Kajian Etnik (KITA-UKM) ialah institut penyelidikan di bawah Universiti Kebangsaan Malaysia. Satu-satunya institut penyelidikan di Malaysia yang sepenuhnya berfokuskan terhadap kajian etnik dan etnisiti.
Jenis | Universiti Awam |
---|---|
Ditubuhkan pada | 2007 |
Dekan | Profesor Emeritus Dato' Dr. Shamsul Amri Baharuddin |
Lokasi | , , |
Kampus | Bandar |
Penggabungan | Universiti Kebangsaan Malaysia |
Latar Belakang
Institut Kajian Etnik (KITA) ditubuhkan secara rasmi pada 8 Oktober 2007 dan melantik Profesor Ulung Dato' Dr. Shamsul Amri Baharuddin sebagai pengarahnya. Beliau masih berkhidmat sebagai pengarah KITA-UKM sehingga hari ini.
KITA merupakan Satu-satunya institut penyelidikan di Malaysia yang sepenuhnya memfokuskan kajian tentang etnik dan etnisiti. Walaupun fokus akademiknya bersifat kajian tematik namun KITA didukung kuat oleh fokus atau orientasi kajian disiplin dan kajian wilayah serta menggalakkan kajian-kajian silang-disiplin (cross-disciplinary) yang melibatkan tiga sektor utama masyarakat iaitu sektor awam, sektor swasta dan sektor komuniti. Hal ini bermakna, KITA-UKM melaksanakan kegiatannya dengan menggunakan pendekatan inclusivist.
Di peringkat global, umum mengetahui bahawa kajian etnik kebanyakannya muncul daripada keadaan atau situasi sosial yang traumatik malah bergelora dengan keganasan. Namun di Malaysia, persoalan yang sering ditanyakan ialah "bagaimana ia mampu mengekalkan hubungan antara etnik yang secara relatifnya lebih stabil dan harmoni?". Usaha pencarian jawapan-jawapan ilmiah kepada soalan-soalan sebegini menjadi motivasi kepada penubuhan KITA.
Dasawarsa ini, apa yang lebih penting ialah berlakunya peningkatan globalisasi dan pergerakan tenaga buruh transnasional dalam skala besar yang menyumbang kepada peningkatan kemajmukan etnik dalam masyarakat di seluruh dunia, seterusnya menyebabkan tercetusnya cabaran konseptual-teoretikal dalam memahami fenomena sosial baharu di peringkat analisis akademik mahupun advokasi sosial dan polisi.
Visi, Misi dan Matlamat
- Visi
- Untuk mengekalkan hubungan intra-etnik dan antara etnik yang inklusif, stabil dan aman dalam kalangan rakyat Malaysia dan luar.
- Misi
- Untuk memupuk dan membina pendekatan-pendekatan inklusif dan strategi dalam menangani cabaran-cabaran kompleks yang melibatkan elemen etnik.
- Matlamat
- Akademik:
- Untuk membangunkan pangkalan data yang komprehensif berkenaan hubungan etnik dan kumpulan minoriti di mana data dikumpul secara langsung dan tidak langsung khususnya dalam Malaysia dan secara perbandingan dengan masyarakat-masyarakat plural yang lain;
- Untuk membina keupayaan profesional, akademik, intelektual, falsafah dalam kalangan kelompok pakar yang mengkhusus dalam bidang hubungan etnik dan minoriti secara jangka panjang;
- Untuk memupuk jaringan akademik dan intelektual serta pertukaran profesional dalam kalangan penyelidik dalam bidang kajian etnik dan minoriti, dari dalam dan luar negara Malaysia.
- Advokasi Awam:
- Menyediakan latihan, kemahiran dan wacana awam melalui perbincangan meja bulat serta perbincangan kumpulan khusus dari kalangan orang awam, kumpulan khusus dan komuniti berkaitan dengan aspek hubungan etnik di Malaysia;
- Memberi akses bahan-bahan berasaskan hasil kajian untuk media massa, hal-hal berkaitan dengan pelbagai isu governans, pertimbangan ekonomi dan sosiopolitik dalam negara ini.
- Akademik: