Ideogram atau ideograf (daripada Yunani idéa 'idea' + gráphō 'menulis') ialah simbol yang digunakan dalam sesuatu sistem tulisan untuk memperlihatkan idea atau konsep dalam sesuatu bahasa.[1] (Ideogram berbeza dengan fonogram, yang memperlihatkan bunyi pertuturan dan oleh itu tidak terikat dengan sebarang bahasa tertentu.[2]) Sesetengah ideogram sifatnya lebih sembarangan daripada yang lain: ada yang hanya memiliki makna jika suatu konvensi sudah ditentukan; yang lain nampak lebih seperti apa yang ia sepatutnya wakili. Ideogram yang mewakili objek fizikal dengan menggambarkannya secara visual dipanggil piktogram.[3][4]
- Angka dan simbol matematik ialah ideogram, contohnya ⟨1⟩ 'satu', ⟨2⟩ 'dua', ⟨+⟩ 'tambah', dan ⟨=⟩ 'sama dengan'.
- Ampersan ⟨&⟩ digunakan dalam banyak bahasa untuk mewakili perkataan dan, asalnya gabungan berligatur untuk perkataan Latin et.
- Contoh tipografik lain termasuk ⟨§⟩ 'seksyen', ⟨€⟩ 'euro', ⟨£⟩ 'paun sterling', dan ⟨©⟩ 'hak cipta'.
Istilah
Logogram
Ideogram tidak boleh disamakan dengan logogram. Logoram mewakili morfem tertentu dalam sesuatu bahasa. Dalam erti kata yang luas, ideogram boleh menjadi sebahagian daripada sistem tulisan lain, seperti contoh di atas dalam sistem tulisan fonetik Bahasa Inggeris—sambil boleh menunjukkan idea yang sama dalam beberapa bahasa kerana ia tidak terikat pada satu perkataan lisan. Sesuatu ideograf juga mungkin boleh dibaca dengan lebih daripada satu cara. Contohnya, aksara Cina tertentu seperti ⟨中⟩ 'tengah' masih dianggap logogram, tetapi juga boleh dipanggil ideograf kerana asal-usul dan bentuk rupanya.
Piktogram dan indikatif
Piktogram, bergantung pada takrifannya, ialah ideogram yang mewakili sesuatu idea sama ada melalui rupa ikonik yang menyerupai perkara yang dirujuk,[3] atau secara lebih umum menggambarkan atau melukiskannya secara visual.[4] Dalam sistem pra-tulisan, piktogram biasanya terdiri daripada kebanyakan simbol yang ada. Penggunaannya juga boleh diperluaskan melalui prinsip rebus: contohnya, simbol bergambar Dongba tanpa anotasi Geba tidak boleh mewakili bahasa Naxi, tetapi digunakan sebagai mnemonik untuk pembacaan sastera lisan. Sesetengah sistem juga menggunakan indikatif, iaitu simbol yang menunjukkan konsep abstrak. Kadangkala, perkataan ideogram digunakan khusus untuk merujuk kepada indikatif, berbeza daripada piktogram.[5]


Perkataan ideogram pada zaman dahulu sering digunakan untuk menggambarkan hieroglif Mesir, tulisan pepaku Sumeria, dan aksara Cina. simbol-simbol ini mewakili unsur semantik dalam sesuatu bahasa, bukan idea asasnya secara langsung—penggunaannya biasanya memerlukan pengetahuan tentang bahasa pertuturan tertentu. Sarjana moden kini menyebut simbol-simbol ini sebagai logogram, dan umumnya elak memanggilnya ideogram. Kebanyakan logogram mengandungi unsur yang mewakili sebutan perkataan yang sepadan dalam bahasa itu, selalunya melalui prinsip rebus. Sistem-sistem kemudian menggunakan simbol terpilih untuk mewakili bunyi bahasa, seperti penyesuaian logogram untuk ʾālep 'lembu' sebagai huruf alef mewakili hentian glotis awal. Walau bagaimanapun, sesetengah logogram masih menggambarkan makna morfem yang diwakili secara visual. Piktogram berbentuk seperti objek yang dirujuk oleh perkataan itu, seperti ikon lembu yang menandakan perkataan Semitik ʾālep 'lembu'. Logogram lain pula mewakili makna melalui teknik yang lebih abstrak.
Banyak hieroglif Mesir dan tulisan pepaku boleh digunakan sama ada secara logografik atau fonetik. Contohnya, dingir Sumeria ⟨𒀭⟩ boleh mewakili perkataan diĝir 'dewa', dewa An atau perkataan an 'langit'.[6] Dalam bahasa Akkadia, graf ⟨⟩ boleh mewakili akar il- 'dewa', perkataan šamu 'langit', atau suku kata an.
Walaupun aksara Cina umumnya berfungsi sebagai logogram, tiga daripada enam kelas dalam pengelasan tradisionalnya Liushu berasal daripada ideograf (atau semantograf), kerana ia tidak mempunyai komponen fonetik:
- Piktogram (象形 xiàngxíng) umumnya antara aksara tertua, dengan bentuk yang wujud sejak abad ke-12 SM. Umumnya, apabila sistem tulisan berevolusi, bentuk piktograf menjadi kurang menyerupai rupa sebenar objek, sehingga maknanya tidak lagi dapat diteka dengan mudah. Contoh, ⟨田⟩ 'ladang', dan ⟨心⟩ 'jantung'.
- Indikatif (指事字 zhǐshìzì) seperti ⟨上⟩ 'atas' dan ⟨下⟩ 'bawah', atau angka seperti ⟨三⟩ 'tiga'.
- Gabungan ideografik (会意字 huìyìzì) mempunyai makna yang terbentuk daripada beberapa aksara lain, seperti ⟨明⟩ 'terang', gabungan ⟨日⟩ 'matahari' dan ⟨月⟩ 'bulan', atau ⟨休⟩ 'rehat', gabungan ⟨人⟩ 'orang' dan ⟨木⟩ 'pokok'. Dengan perkembangan kefahaman tentang fonologi Cina Kuno pada separuh kedua abad ke-20, ramai penyelidik berpendapat bahawa etimologi kebanyakan aksara yang dahulunya dianggap gabungan ideograf sebenarnya mengandungi unsur fonetik.[7]
Contoh ideogram ialah piktogram DOT, iaitu koleksi 50 simbol yang dibangunkan pada tahun 1970-an oleh American Institute of Graphic Arts atas permintaan Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat.[8] Pada mulanya digunakan untuk menandakan lapangan terbang, sistem ini kemudiannya tersebar dengan lebih meluas.
Tanda tulen
Banyak ideogram hanya mewakili idea melalui konvensi. Contohnya, oktagon merah hanya membawa makna 'berhenti' hanya kerana kaitan umum dan pengukuhan makna itu dari semasa ke semasa. Dalam bidang semiotik, ini termasuk dalam jenis tanda tulen, istilah yang juga merangkumi simbol menggunakan media bukan grafik. Analisis moden terhadap aksara Cina menunjukkan bahawa tanda tulen sudah wujud sejak awal sistem itu sendiri, dengan contoh ketara termasuk angka yang mewakili nombor lebih besar daripada empat, seperti ⟨五⟩ 'lima', dan ⟨八⟩ 'lapan'. Tanda-tanda ini tidak menunjukkan apa-apa tentang kuantiti yang diwakili secara visual atau fonetik, hanya secara konvensi.
Jenis
Tatatanda matematik
Simbol matematik ialah sejenis ideogram.[9]
Sejarah
Apabila sistem tulisan sebenar muncul daripada sistem ideogram tulen, masyarakat kemudian yang mempunyai tulisan fonetik sering terdorong oleh kaitan semula jadi antara gambar, rajah, dan logogram—walaupun akhirnya tidak menyedari dimensi fonetik yang penting pada logogram tersebut. Penutur Yunani mula kerap melawat Mesir pada abad ke-7 SM.[10] Penulis Yunani Kuno umumnya menyangka bahawa sistem tulisan Mesir adalah sepenuhnya ideografik. Menurut tradisi, Yunani telah memperoleh keupayaan untuk menulis, antara lain, daripada orang Mesir melalui Pythagoras (s. 570 – s. 495 SM), yang secara langsung diajar bentuk "pengajaran simbolik" mereka yang senyap.[11] Bermula dengan Plato (428–347 SM), tanggapan hieroglif sebagai ideogram berakar dalam pandangan falsafah yang lebih luas bahawa kebanyakan bahasa hanyalah gambaran realiti yang tidak sempurna dan mengelirukan. Pandangan Plato melibatkan kewujudan dunia bentuk yang berasingan secara ontologis, tetapi muridnya, Aristotle (384–322 SM), sebaliknya melihat bentuk itu sebagai abstrak yang sama dalam minda setiap orang.[12] Bagi kedua-duanya, ideografi ialah gambaran yang lebih sempurna tentang bentuk-bentuk yang dimiliki oleh orang Mesir. Rangka kerja Aristotelian ini menjadi asas konsep bahasa di dunia Mediterranean hingga ke zaman pertengahan.[13]
Menurut teori klasik, kerana ideograf mencerminkan bentuk secara langsung, ia dianggap sebagai satu-satunya "bahasa sebenar",[14] mempunyai keupayaan unik untuk menyampaikan kebijaksanaan rahsia kepada pembaca.[15] Kemahiran membaca hieroglif Mesir telah hilang pada zaman purba akhir, dalam konteks proses peyunanian dan pengkristianan di negara itu. Namun, pandangan tradisional bahawa perubahan ini memaksa pengabaian tulisan hieroglif telah ditolak oleh penyelidikan moden.[16][17]
Eropah hanya menjadi benar-benar mengenali tulisan Cina menjelang akhir abad ke-16, dan pada mulanya mengaitkan sistem itu dengan kerangka ideografi yang sedia ada, yang sebahagiannya dipengaruhi oleh hieroglif Mesir.[18] Akhirnya, Jean-François Champollion berjaya memecahkan kod hieroglif pada tahun 1823 datang daripada pemahamannya bahawa hieroglif mewakili bahasa pertuturan Mesir, bukannya semata-mata ideografik. Kefahaman Champollion ini sebahagiannya berpunca daripada pengetahuannya tentang kerja ahli sinologi Perancis, Jean-Pierre Abel-Rémusat, mengenai fanqie, yang menunjukkan bahawa aksara Cina sering digunakan untuk menulis bunyi, dan bukan hanya idea.[19]
Bahasa sejagat yang dicadangkan
Diinspirasikan oleh konsep ideografi ini, beberapa percubaan telah dibuat untuk mereka bentuk bahasa tulisan sejagat—iaitu ideografi yang tafsirannya dapat difahami oleh semua orang tanpa mengira bahasa yang mereka tuturkan. Cadangan awal dibuat pada tahun 1668 oleh John Wilkins dalam An Essay Towards a Real Character, and a Philosophical Language. Lebih baru-baru ini, Blissymbols direka oleh Charles K. Bliss pada 1949, dan kini merangkumi lebih 2,000 graf.[20]
Lihat juga
Rujukan
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Ideogram |
Petikan
- ^ Hornby, Albert Sydney (1989). "ideograph". Dalam Cowie, Anthony Paul (penyunting). Oxford Advanced Learners Dictionary. Oxford University Press. m/s. 616. ISBN 0-19-431136-8.
- ^ Robertson (2004), m/s. 25–27, 38.
- ^ a b Robertson (2004), m/s. 25–27.
- ^ a b pictography di Encyclopædia Britannica
- ^ Ramsey, S. Robert (1987). The Languages of China. Princeton University Press. m/s. 266. ISBN 978-0-691-01468-5.
- ^ Michalowski, Piotr (2008). "Sumerian". Dalam Woodard, Roger D. (penyunting). The Ancient Languages of Mesopotamia, Egypt and Aksum. Cambridge University Press. m/s. 6–46. ISBN 978-0-521-68497-2. p. 12.
- ^ Boltz, William (1994). The origin and early development of the Chinese writing system. American Oriental Society. m/s. 67–72, 149. ISBN 978-0-940490-78-9.
- ^ "Sumber". American Institute of Graphic Arts. Dicapai pada 2024-03-07.
- ^ Rotman, Brian (2000). Mathematics as Sign: Writing, Imagining, Counting. Stanford University Press. ISBN 978-0-8047-3684-8.
- ^ Westerfeld (2019), m/s. 23.
- ^ O'Neill (2016), m/s. 43–45.
- ^ O'Neill (2016), m/s. 32–34.
- ^ Westerfeld (2019), p. 18; O'Neill (2016), pp. 18–20.
- ^ O'Neill (2016), m/s. 38–40.
- ^ O'Neill (2016), m/s. 18–20, 32–34, 46–50.
- ^ Westerfeld (2019), m/s. 32.
- ^ Houston, Stephen; Baines, John; Cooper, Jerrold (2003). "Last Writing: Script Obsolescence in Egypt, Mesopotamia, and Mesoamerica". Comparative Studies in Society and History. Cambridge University Press. 45 (3): 441–444. doi:10.1017/S0010417503000227. ISSN 0010-4175. JSTOR 3879458.
- ^ O'Neill (2016), m/s. 1.
- ^ O'Neill (2016), m/s. 5–6.
- ^ Unger (2003), m/s. 13–16.
Karya dipetik
- Coulmas, Florian (2003). Writing Systems: An Introduction to Their Linguistic Analysis. Cambridge University Press. ISBN 978-0-521-78217-3.
- DeFrancis, John (1986). The Chinese Language: Fact and Fantasy. Honolulu: University of Hawaiʻi Press. ISBN 978-0-8248-1068-9.
- Hannas, William C. (1997). Asia's Orthographic Dilemma. Honolulu: University of Hawaiʻi Press. ISBN 978-0-8248-1892-0.
- Houston, Stephen D. (2004). The First Writing: Script Invention as History and Process. Cambridge University Press. ISBN 0-521-83861-4.
- Robertson, John S. "The possibility and actuality of writing". In Houston (2004), pp. 16–38.
- Unger, James Marshall (2003). Ideogram: Chinese Characters and the Myth of Disembodied Meaning. Honolulu: University of Hawaiʻi Press. ISBN 978-0-8248-2656-7.
- O'Neill, Timothy Michael (2016). Ideography and Chinese Language Theory: A History (dalam bahasa Inggeris). De Gruyter. ISBN 978-3-11-045923-4.
- Westerfeld, Jennifer Taylor (2019). Egyptian Hieroglyphs in the Late Antique Imagination. Philadelphia: University of Pennsylvania Press. ISBN 978-0-8122-5157-9.
Bacaan lanjut
- DeFrancis, John (1984). "The Ideographic Myth". The Chinese Language: Fact and Fantasy. University of Hawaiʻi Press. Dicapai pada 2024-02-29 – melalui pinyin.info.