Perkahwinan Rahsia | |
---|---|
![]() | |
Pengarah | Hsu Chiao Meng A. R. Tompel (penolong pengarah) |
Penulis | A. R. Tompel |
Dihasilkan oleh | Hsu Chiao Meng Ong Keng Huat |
Dibintangi | S. Kadarisman Aini Hayati Daeng Idris |
Sinematografi | Hitam-putih |
Syarikat penerbitan | Nusantara Film Productions |
Diedarkan oleh | Shaw Brothers |
Tarikh tayangan | 1951 |
Negara | Malaya (Malaysia & Singapura) |
Bahasa | Melayu |
Filem Perkahwinan Rahsia merupakan sebuah filem Melayu bercorak komedi romantik yang diterbitkan di Singapura yang ketika itu merupakan sebahagian dari Malaya pada tahun 1951. Filem Perkahwinan Rahsia diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna.
Pengarah
Filem Perkahwinan Rahsia diarah oleh pengarah Hsu Chiao Meng dan ditayangkan pada 1951.
Plot
Sukardi, seorang pemuda yang panjang akal. Dia mengutus surat dan meminta kirim wang $1000 ringgit dari pakciknya, seorang saudagar di Indonesia dengan alasan untuk berkahwin, tetapi niat sebenarnya ialah untuk melangsaikan hutang. Namun masalah muncul selepas beberapa bulan, apabila pakciknya yang disertai makcik dan jururawat peribadi mereka, datang ke Singapura untuk berubat. Mereka berasa hairan Sukardi menjemput mereka tanpa kehadiran isterinya.
Dia memberi alasan isterinya sedang hamil dan perlu berehat. Pakciknya menyuruh Sukardi dan isteri datang ke majlis jamuan bersama para saudagar pada malam esok. Dia juga menyatakan berita gembira bahawa setelah Sukardi berkahwin, dia bakal dilantik sebagai pengurus di cawangan Singapura, dan seterusnya mewarisi harta pusakanya kerana mereka tidak mempunyai anak.
Dalam masa yang sama, Sukardi telah jatuh hati dengan Zahariah, seorang jururawat peribadi yang berasal dari Jakarta. Dia juga sedang mencari akal bagaimana untuk mendapatkan seorang wanita yang sanggup menyamar sebagai isterinya.
Rakan Sukardi, Ramsir seorang penganggur, sering dimarahi isterinya, Zubaidah kerana menipu tentang kekayaannya. Sukardi membuat keputusan bertandang ke rumah sewa mereka dan memberi idea agar Zubaidah menyamar sebagai isterinya ke acara jamuan hanya untuk beberapa jam. Ini dianggap untuk membalas budi kerana pernikahan Ramsir dan Zubaidah dahulu ditaja dengan wang dari Sukardi. Pada awalnya, Zubaidah menolak rancangan ini, namun menukar fikiran apabila mengetahui Ramsir akan ditawarkan kerja sebagai penolong pengurus dan dia pula sebagai kerani sekiranya rancangan mereka berjaya.
Pada malam hari jamuan berlangsung, Rusinah, seorang penyanyi terkenal juga turut dijemput untuk memeriahkan majlis sebagai penyanyi undangan. Sebelum majilis bermula, dia sempat berbual seketika dengan pakcik dan Sukardi. Selepas mengetahui Sukardi bakal menjadi pewaris harta, Rusinah mula merancang untuk memikatnya. Pada masa yang sama, Sukardi pula mengambil peluang berjumpa dengan Zahariah secara senyap-senyap untuk meluahkan perasaan. Zahariah tersipu malu tetapi tetap menolak kerana tidak mahu melayan suami orang.
Jamuan berjalan dengan lancar tetapi hujan turun dengan lebatnya. Rancangan penyamaran Sukardi makin tunggang-langgang. Pakciknya meminta semua tetamu untuk bermalam di sana kerana hari telah pun lewat malam dan hujan masih belum reda.
Sukardi dan Zubaidah terpaksa akur dan masuk ke bilik tidur, namun Sukardi diusir keluar secara kelakar. Dengan tiba-tiba, Ramsir pula muncul melalui tingkap bilik kerana risaukan keadaan isterinya. Sukardi akhirnya mengalah dan membuat keputusan untuk tidur di ruangan kaki lima. Malang untuk Sukardi, pakciknya keluar dari bilik dan ingin melalui ruangan itu. Sukardi dengan lantas meluru ke bilik Rusinah akibat panik terlihat pakciknya. Rusinah mengambil peluang ini untuk meluahkan perasaan tetapi ditolak mentah-mentah oleh Sukardi dengan alasan sudah berkahwin.
Sukardi yang kembali ke kaki lima untuk persiapan tidur, kemudiannya ternampak seorang wanita keluar ke beranda dan mengikutinya. Menyangka itu adalah Zahariah yang sedang termenung, dia menegurnya dari belakang dan menceritakan hal sebenar supaya Zahariah tidak salah faham, tetapi sekali lagi nasib malang untuk Sukardi, wanita itu sebenarnya ialah Rusinah dan Rusinah memeras ugut sejumlah wang agar rahsia tersebut tidak dibocorkan ke pakcik.
Sukardi bersetuju untuk membayar Rusinah secara ansuran.
Setelah beberapa ketika, Zahariah ingin pulang ke Jakarta dan Sukardi diarah oleh pakciknya untuk membeli tiket kapal terbang. Dia datang mengambil tiket penerbangan di pejabat Sukardi. Ketika di sana, Sukardi, Ramsir dan Zubaidah mengambil peluang cuba untuk menjelaskan apa yang terjadi. Zahariah akhirnya mempercayai penjelasan mereka dan yakin dengan niat ikhlas Sukardi. Dia langsung membatalkan hasrat pulang dan bersetuju dengan lamaran Sukardi. Perkahwinan mereka dilangsungkan secara rahsia. Sukardi membuat cerita kononnya Zahariah mendapat kerja di Singapura dan tidak jadi pulang ke Jakarta.
Zahariah bersedih kerana perkahwinannya cuma disaksikan dua orang (Ramsir & Zubaidah), dan inginkan majlis yang gemilang. Dia juga sedih kerana terpaksa menyembunyikan status sebagai isteri. Sukardi menasihatinya agar bersabar kerana dia yakin pengakhiran yang baik akan datang untuk mereka berdua. Setelah Sukardi dikurniakan anak, pakcik dan makcik membuat lagi acara jamuan untuk meraikannya. Sekali lagi Zubaidah terpaksa menyamar sebagai isteri. Zahariah makin marah dengan situasi ini. Kini dia terpaksa menyembunyikan status sebagai ibu dan isteri.
Dia akhirnya memberi kata dua kepada Sukardi, berterus terang dengan pakciknya ataupun berpisah. Zubaidah pula sudah bosan menipu ketika disuruh menyusukan bayi, akhirnya menceritakan keadaan sebenar kepada pakcik. Rusinah juga yang marah kerana bayaran penuh belum diterima, turut bertindak membocorkan semuanya kepada pakcik.
Apabila mengetahui hal sebenar, pakcik seorang yang memahami dan lembut hati, bertindak untuk mendamaikan suasana dan menasihati agar semua pihak saling bermaafan.
Pelakon
Pelakon utama
- S. Kadarisman sebagai Sukardi
- Aini Hayati sebagai Zahariah
Pelakon pembantu
- Daeng Idris sebagai pakcik
- Rokiah Hanafi sebagai Rusinah
- S. Naning sebagai Ramsir
- Supenah sebagai Zubaidah
- Mak Dara sebagai tuan rumah
Penampilan khas
- Saloma sebagai penyanyi pancaragam
- Rokiah Wan Dah sebagai penyanyi undangan
Trivia
- Filem ini satu-satunya filem terbitan Nusantara Film Productions yang tidak hilang.
- Filem ini juga satu-satunya filem lakonan Rokiah Hanafi a.k.a Rokiah Wan Dah yang tidak hilang. Beliau pernah berlakon dalam 3 filem iaitu:
- Seruan Merdeka (1947)
- Pisau Berachun (1948)
- Perkahwinan Rahsia (1951)
- Filem ini diolah semula oleh penulis A. R. Tompel menjadi filem Anak Bapak