Dr. Rushdi | |
---|---|
Pengarah | P. Ramlee |
Penulis |
|
Lakon layar | P. Ramlee |
Cerita oleh | Omar Rojik |
Dibintangi | P. Ramlee Sarimah Sophia Ibrahim |
Sinematografi | Yew Wah |
Disunting oleh | Johari Ibrahim |
Muzik oleh | P. Ramlee |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Shaw Organisation |
Tarikh tayangan | 1970 |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Dr. Rushdi merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Malaysia pada tahun 1970. Filem Dr. Rushdi diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna.
Filem Dr. Rushdi diarahkan oleh P. Ramlee dan turut dibintangi oleh beberapa pelakon. Filem ini unik kerana ia bergenre neo-noir dan mengambil inspirasi daripada filem-filem Barat arahan Alfred Hitchcock.
Sinopsis
Dr. Rushdi, seorang doktor yang berjaya, sering pulang lewat ke rumah kerana sibuk di klinik. Ini menyebabkan isterinya, Maryana (Sophia Ibrahim), berasa terabai. Maryana yang dahagakan kasih sayang akhirnya menjalinkan hubungan sulit dengan Ruzaiman (Ismail Mahmud), seorang lelaki yang mengambil kesempatan atas kerentanannya. Hubungan terlarang ini terbongkar apabila rakan Dr. Rushdi, Jeff (Ibrahim Joned), memberitahu bahawa Maryana dan Ruzaiman berada di Pacific Hotel. Hancur hati, Dr. Rushdi cuba membunuh diri tetapi dihalang oleh Muliani (Sarimah), jururawat di kliniknya, yang meluahkan cintanya kepada Dr. Rushdi.
Dr. Rushdi akhirnya meninggalkan rumah dan tinggal bersama Muliani di rumah pangsanya. Dia menceraikan Maryana serta menukar nama pewaris insurans hayatnya bernilai RM500,000 daripada Maryana kepada Muliani. Mengetahui perkara ini, Ruzaiman menyebarkan fitnah untuk merosakkan reputasi Dr. Rushdi. Fitnah tersebut menyebabkan Dr. Rushdi kehilangan pesakit dan kehormatan. Tidak lama kemudian, Karto, orang gaji sahabatnya Alimin (Ed Osmera), mengajak Dr. Rushdi ke rumah Alimin, di mana dia menemui Alimin yang telah membunuh diri. Dr. Rushdi menggunakan peluang ini untuk memalsukan kematiannya dengan meninggalkan keretanya bersama mayat Alimin dan barang peribadinya.
Selepas kematiannya disahkan, Maryana dan Ruzaiman cuba menuntut insurans Dr. Rushdi. Namun, syarikat insurans memaklumkan bahawa pewarisnya telah ditukar kepada Muliani. Ruzaiman yang marah akhirnya meninggalkan Maryana. Muliani menerima wang insurans tersebut dan terus tinggal bersama Dr. Rushdi di rumah Alimin.
Dua tahun kemudian, Muliani mula bosan tinggal di rumah dan memutuskan untuk bekerja di sebuah kelab malam. Di sana, dia bertemu dengan Ruzaiman, yang kini menyamar sebagai Firdaus dari Sabah. Ruzaiman mengikuti Muliani ke rumah dan mendapati Dr. Rushdi masih hidup. Bersama kumpulannya, Gagak Hitam, Ruzaiman memeras ugut Dr. Rushdi untuk membayar RM250,000 sebagai penutup mulut. Salah seorang ahli kumpulan mencadangkan agar Ruzaiman mengambil Muliani sebagai isteri. Dr. Rushdi bersetuju, dengan syarat rahsianya tidak dibocorkan.
Sebagai tanda jaminan, Ruzaiman menghantar kumpulannya ke satu rompakan besar tetapi memaklumkan rancangan mereka kepada polis, menyebabkan kumpulan tersebut dibunuh. Dr. Rushdi menyerahkan Muliani kepada Ruzaiman tetapi memperdayanya dengan berpura-pura membunuh diri. Ketika Ruzaiman tidak bersenjata, Dr. Rushdi membunuhnya dan kembali bersama Muliani.
Dr. Rushdi dan Muliani kemudian pergi ke rumah Maryana. Di bilik Maryana, Dr. Rushdi mendapati dia sedang berasmara dengan Jeff. Marah dengan pengkhianatan ini, Dr. Rushdi membunuh kedua-duanya. Dia kemudiannya melarikan diri, meninggalkan Muliani dalam tangisan. Hingga kini, tiada siapa tahu di mana Dr. Rushdi berada.
Barisan pelakon
- P. Ramlee sebagai Dr. Rushdi
- Sarimah sebagai Muliani, jururawat di Klinik Dr. Rushdi
- Sophia Ibrahim sebagai Mariana, isteri Dr. Rushdi
- Ed Osmera sebagai Peguam Alimin, sahabat Dr. Rushdi
- Ismail Mahmud sebagai Ruzaiman, Firdaus dan Ketua Kumpulan Gagak Hitam
- Ibrahim Joned sebagai Muhammad Zafir / Jeff, sahabat Dr. Rushdi dan seorang penerbit suratkhabar
- Ali Rahman sebagai Osman Siraj
- Noor Azizah sebagai Karmila, isteri Peguam Alimin
- Idris Hashim sebagai Senator Alauddin, ayah Peguam Alimin
- Tony Azman sebagai Lambak, ahli Kumpulan Gagak Hitam
- Wan Harun
- Tamam Idris
- Abdullah Ismail
- Norlia Ghani
- Noran Nordin
- Latiff Borgiba
- Yusof Bujang sebagai Wak Karto
- Ahmad Dadida sebagai Yatim, Pengurus Kelab Malam
- Saloma sebagai Penyanyi Undangan dalam pesta di rumah Ruzaiman
- Ramli Abu Bakar sebagai Pembaca Berita
Gaya Bahasa
Berbeza dengan filem-filem P. Ramlee sebelumnya yang bersifat komedi dan menggunakan bahasa baku, gaya bahasa digunakan filem ini mirip seperti sebutan Bahasa Melayu era moden, di mana sebutan untuk huruf A tidak lagi terhad kepada sebutan baku. P. Ramlee juga berani menggunakan Bahasa Inggeris yang diselang seli dengan dialog Bahasa Melayu sama seperti skrip-skrip drama, filem Melayu era moden 90an dan 2000an.
Unsur Seks
Filem ini berani menampilkan unsur-unsur seks seperti isteri yang dahagakan belaian seorang suami, si suami merangsang isteri untuk berasmara, bilamana ada babak pelakon perempuan menukar pakaian menampakkan pakaian dalam tanpa tapisan, pelakon wanita terang-terangan memakai pakaian dalam selepas ditangkap khalwat. Itu adalah sesuatu yang sangat tabu dalam filem Melayu. Filem ini mungkin kurang popular untuk segenap lapisan usia tetapi ianya satu masterpiece untuk mengangkat permasalahan-permasalahan rumahtangga yang dihadapi zaman itu.
Tapi sayang, untuk tontonan di TV dan yang dimuat naik ke laman video seperti YouTube, adegan-adegan itu sudah dipotong. Penulis bernasib baik kerana secara tidak sengaja tertonton filem ini yang ditayangkan di Astro pada tahun 2004.
Informasi
Judul filem ini diberikan oleh P. Ramlee sempena nama anak lelaki kepada pengurus peribadi beliau Ramli Kechik bersama aktres komedi Norlia Ghani iaitu aktor terkenal Rusdi Ramli yang baru berusia 1 tahun ketika filem ini ditayangkan. Rusdi mula menceburi bidang lakonan pada tahun 1989.