Fikree Aznan | |
|---|---|
| Kelahiran | Mohd Fikree Najib bin Aznan 16 November 1990 |
| Pendidikan | Sekolah Menengah Teknik Langkawi, Kedah (Kursus Katering)
Diploma Kulinari di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di University of Gloucestershire, United Kingdom [kini] |
| Pekerjaan | Cef selebriti, pengacara, pelakon, personaliti media |
| Tahun aktif | 2010–kini |
| Televisyen | Pengacara CJ Wow Shop (juga dikenali sebagai WOWSHOP) |
| Saudara | Hairi Safwan (abang) |
| Anugerah | Best Male Show Host (WOWSHOP) - 2018, Outstanding Contributions to the Culinary and Tourism Industries The ASEAN Food & Travel Awards - 2025 |
Mohd Fikree Najib Aznan (lahir 16 November 1990) ialah seorang Cef selebriti, pengacara, pelakon, personaliti media sosial Malaysia.[1] Beliau merupakan anak ke-lima dan merupakan adik kepada pelakon Hairi Safwan.
Pendidikan
Cef Fikree Aznan menerima pendidikan menengah di Sekolah Menengah Teknik Langkawi, Kedah, di mana beliau telah menerima anugerah Pelajar Cemerlang pada tahun 2007.
Beliau telah melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Kulinari di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang. Sepanjang tempoh pengajian, beliau menunjukkan komitmen yang cemerlang dan telah menerima Anugerah Naib Canselor pada tahun 2011 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik terbaik dalam kalangan graduan.
Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di University of Gloucestershire, United Kingdom. Pengajian ini bertujuan memperkukuh ilmu dalam bidang pengurusan perniagaan, strategi jenama dan keusahawanan selaras dengan aspirasi beliau untuk memperluas kepimpinan serta pengaruh profesional dalam industri kulinari di peringkat nasional dan antarabangsa.
Kerjaya
Minat beliau terhadap dunia kulinari bermula sejak usia muda dan dikembangkan secara profesional apabila terlibat dalam rancangan MasterChef Malaysia Musim Pertama (2011) dan MasterChef Malaysia Musim ke-2 (2012) sebagai anggota pasukan penyedia bahan makanan (food preparation team) bagi para peserta program. Pengalaman awal ini telah membuka ruang kepada beliau untuk mendalami seni penyediaan makanan serta memahami operasi dapur berskala besar dalam penggambaran televisyen.
Sebagai seorang cef selebriti yang dikenali dengan gaya masakan tradisional, moden dan kreatif, Cef Fikree telah mengendalikan pelbagai rancangan televisyen popular seperti Chef Adik (RTM), Hello Bro... Tolong Masak (ASTRO), Dapur Panas (TV3), Hero Oven (TV3), Aroma Tradisi (TV3), Perang Ketukar (TV Okey), 5 Star Hunter bersama GrabFood (iQIYI ), Star vs Food Malaysia (ASTRO), serta Fikree’s Kitchen (WowShop).
Selain aktif di kaca televisyen, beliau juga merupakan antara pengacara bagi platform membeli-belah dalam talian CJ WOW Shop sejak tahun 2016 hingga kini di mana beliau dikenali dengan gaya penyampaian yang mesra, kreatif dan berinformasi.
Di peringkat profesional, Chef Fikree turut menjadi ahli kepada pertubuhan gastronomi antarabangsa Confrérie de la Chaîne des Rôtisseurs, Malaysia.
Cef Fikree Aznan turut mempunyai latar belakang dalam bidang lakonan dan seni persembahan. Beliau mula melibatkan diri dalam teater seawal usia 10 tahun sebelum beralih kepada lakonan televisyen pada tahun 2015. Sejak itu, beliau telah membintangi beberapa produksi televisyen dan program hiburan tempatan yang memperlihatkan versatiliti serta bakat semula jadinya di layar kaca. Antara karya yang pernah dibintanginya termasuk drama Hantu Botox (TV3, 2015) bersama pelakon Nur Risteena, drama Tukar-Tukar Menu (TV3, 2017) bersama Izreen Azminda, serta drama bersiri Ramadan dan Hamdan (TV3, 2018) bersama barisan pelakon terkenal seperti Vanidah Imran, Ropie, Azlee Senario dan Ucop Cecupak.
Penglibatan aktif beliau dalam dunia lakonan bukan sahaja memperluas potensi kerjaya sebagai figura awam, malah memperkukuh keupayaannya dalam pengacaraan , menjadikan Chef Fikree sebagai personaliti yang serba boleh dalam dunia kulinari dan hiburan.
Rujukan
- ^ Azalea Azuar (19 Julai 2019). "Malaysian food — to fuse or not to fuse?". The Malaysian Reserve. Dicapai pada 21 April 2019.
Pautan luar
- Fikree Aznan di Facebook
- Fikree Aznan di X
- Fikree Aznan di Instagram








