| Sebahagian dari siri mengenai | 
| Digital | 
|---|
|  | Rencana ini mempunyai beberapa isu. Sila bantu memperbaikinya atau bincangkan isu-isu tersebut di dalam laman perbincangan rencana ini. 
 
 
 | 
Ekonomi istana atau ekonomi pengagihan semula[1] ialah satu sistem organisasi ekonomi yang mana sebahagian besar harta mengalir ke dalam kawalan satu pentadbiran sepusat, iaitu istana, dan dari situ keluar kepada populasi umum. Seterusnya, populasi tersebut mungkin dibenarkan mempunyai sumber pendapatan sendiri tetapi bergantung kuat pada kekayaan yang diagihkan oleh istana. Ia tradisionalnya dijustifikasikan atas prinsip bahawa istana paling mampu mengagihkan kekayaan dengan cekap untuk manfaat masyarakat.[2][3] Ekonomi kuil (atau ekonomi negara-kuil) ialah konsep yang serupa.
Konsep pengagihan ekonomi sekurang-kurangnya setua firaun-firaun mula muncul. Ahli antropologi telah mencatat banyak sistem sedemikian, daripada masyarakat puak yang terlibat dalam ekonomi sara diri berbagai jenis kepada tamadun-tamadun kompleks, seperti Empayar Inca, yang memperuntukkan segmen-segmen ekonomi kepada kampung-kampung tertentu. Pokok idea ini ialah satu pentadbiran sepusat merancang pengeluaran, menugaskan elemen-elemen populasi untuk melaksanakannya, mengumpul barang dan perkhidmatan yang dihasilkan, dan mengagihkannya semula kepada pengeluar.[perlu rujukan]
Ekonomi istana ialah jenis sistem pengagihan yang khusus yang mana segala aktiviti ekonomi tamadun itu dijalankan di atau berhampiran premis kompleks pentadbiran sepusat, yakni istana raja mutlak, atau kumpulan pendeta jika dalam versi yang berasaskan kuil. Pentadbiran istana berfungsi untuk membekalkan pengeluar dengan barang modal untuk pengeluaran barangan dan perkhidmatan lanjut, yang dianggap sebagai harta raja. Biasanya ini bukan usaha altruistik. Istana utamanya berminat dengan penghasilan modal, yang kemudian boleh dibelanjakan seperti yang dikehendaki oleh pemerintah. Sebahagian mungkin menjadi modal pemasaran, untuk dijual atau ditukar untuk laba, atau sebahagian mungkin dilaburkan semula dalam pusat-pusat tambahan, termasuk kemudahan pengeluaran tambahan, peperangan (aktiviti ekonomi yang dijangka akan memberi keuntungan), pakatan yang menguntungkan, armada, dan penguasaan laut.
Dalam sistem-sistem istana purba, pengeluar biasanya sebahagian daripada modal kerja. Daripada tertinggi hingga terendah, mereka terikat kepada ekonomi istana oleh ikatan perhambaan tidak sukarela, mahupun naungan atau langganan. Sebarang pelaburan dalam peperangan dijangka membawa pulangan rampasan dan tawanan, yang menjadi sebahagian daripada pembiayaan kompleks istana. Istana bertanggungjawab untuk menanggung perbelanjaan pengeluar. Ia perlu menyediakan makanan, pakaian, dan tempat tinggal, yang sering dilakukan di dalam premisnya.
Etimologi


Benang yang membawa kepada penggunaan istilah semasa ini datang daripada kajian istana-istana tamadun Minos dan Mycenae, yang masing-masing berkembang dalam Zaman Gangsa Akhir di Crete dan tanah besar Yunani. Istilah ekonomi istana bermula sebagai label untuk aktiviti ekonomi satu-satu istana, yang mempunyai kawasan yang sangat besar untuk penyimpanan hasil pertanian. Sebagai contoh, Sir Arthur Evans akan merujuk kepada ekonomi istana, bermaksud ekonomi istana Knossos.[perlu rujukan] Yang lain mengikut beliau, tanpa meneroka sepenuhnya jenis ekonomi apa itu.
Pada 1956, Ventris dan Chadwick menerbitkan idea yang telah mereka pertimbangkan sebelum ini:[4]
Tidak ada bukti dalam loh tentang apa-apa yang menghampiri mata wang. Setiap komoditi disenaraikan secara berasingan, dan tidak pernah ada tanda kesetaraan antara satu unit dengan yang lain.
Pada masa yang sama, M. Finley telah menyedari bukti pengagihan semula dalam loh-loh dan cuba memahami bagaimana itu boleh berlaku dalam zaman sebelum mata wang tersebut. Dalam The World of Odysseus, beliau menyatakan bahawa kebanyakan pengagihan adalah internal:[5]
Semua kerja pengeluaran, pembenihan dan penuaian dan pengisaran dan tenunan, malah memburu dan merampas, walaupun dilakukan oleh satu-satu individu, dilaksanakan bagi pihak seisi rumah tangga ... dan dari pusat ia diagihkan semula ...
Finley selanjutnya membuat hipotesis bahawa memberi hadiah, "mekanisme pengorganisasian asas di kalangan banyak orang-orang primitif,"[6] telah berkembang menjadi sistem pertukaran, tanpa harga, dan bergantung pada penilaian ad hoc oleh penukar:
Tindakan memberi ... sentiasanya separuh pertama dalam tindakan timbal balik, separuh kedua ialah balasan hadiah.
Pemerhatian Finley diterima serta-merta dan hampir sejagat[oleh siapa?]; bagaimanapun, beberapa keraguan berkembang sejak beberapa dekad selepas itu. Kapal-kapal Mycenae dihantar dari kompleks istana penuh dengan seramik, minyak, pewangi dan barangan lain seolah-olah ia eksport untuk dijual, bukan pemberian hadiah.[perlu rujukan]
Seperti ahli arkeologi lain pada masa itu, Ventris tidak menggunakan istilah ekonomi istana untuk apa-apa yang lebih daripada ekonomi harian istana, namun Ventris dan Chadwick ada menyatakan "persamaan dalam saiz dan organisasi istana diraja" Nuzi, Alalakh dan Ugarit.[7] Begitu juga, Finley pada akhir 1950-an tidak memanggil sistem beliau ekonomi istana. Status perkataan itu berubah menjelang 1960, apabila ahli-ahli teori sejarah telah menggabungkan kedua-duanya.[8]
Siapa yang pertamanya tidak jelas tetapi calon terbaik ialah Karl Polanyi[Menurut siapa?], ahli tipologi ekonomi, kemudian menjelang akhir hayatnya dan di kemuncak kerjaya beliau. Beliau menyokong kerja Finley dan melanjutkannya. Dalam kompendium 1960, City Invincible,[9] ditulis sebelum 1958, beliau mengingat Ventris menyatakan bahawa mata wang tiada dalam loh-loh: "Michael Ventris ... telah menegaskan ketiadaan wang dalam ekonomi istana Yunani Mycenae." Ventris sendiri tidak merujuk Yunani Mycenae sebagai ekonomi istana, menjadikan parafrasa Finley sebagai contoh awal penggunaan ini. Berikutan ini, banyak ahli teori mula menggunakan istilah tersebut. Grahame Clark (1961) menulis tentang "ekonomi istana diperkenalkan dari Crete ..."[10] Chester Starr (1961) berkata[11] "Tukang-tukang dan petani sebahagian besarnya dimasukkan dalam ekonomi istana di bawah kawalan diraja, ..." Leonard R. Palmer (1963)[12] ada merujuk "ekonomi istana yang sangat terpusat" Knossos dan Pylos.
Menjelang 1965, konsep ekonomi istana digunakan secara meluas kepada tamadun Aegean dan Timur Dekat dan Tengah Zaman Gangsa Akhir.[perlu rujukan] Ia menjadi begitu mantap sehingga kemudiannya digunakan untuk jenis sistem ekonomi moden. Walau bagaimanapun, terdapat pantang larang yang ketara. Chadwick, yang mewarisi kerja dan tradisi Ventris, dalam The Mycenae World (1976), secara ketara tidak merujuk kepada ekonomi istana. Sebaliknya beliau mencadangkan soalan-soalan, seperti[13]
... tidak begitu jelas betapa kecilnya istana boleh jadi ... Apa yang boleh kita simpulkan daripada bangunan-bangunan istana adalah terdapatnya pusat-pusat pentadbiran ... setiap pusat pentadbiran membayangkan adanya seorang pentadbir, sama ada dia itu seorang raja bebas, penguasa berautonomi separa, atau baron tempatan ...
Ini membayangkan bahawa model ekonomi istana mungkin terlalu mudah, meramalkan trend semasa. Halstead merumuskan forum yang dimulakan oleh Nakassis dan lain-lain sebagai[14]
Istilah 'pengagihan semula' telah digunakan dengan pelbagai makna dalam konteks Zaman Gangsa Aegean dan oleh itu mengaburkan daripada menerangkan kemunculan dan fungsi ekonomi politik.
Zaman Gangsa Mediterranean dan Timur Tengah
Tamadun Crete
Crete Minos Pertengahan
Seawal Zaman Gangsa Pertengahan, kira-kira separuh pertama alaf ke-2 SM, Mediterranean timur didominasi oleh tamadun yang dinamakan Minos oleh penemunya, Sir Arthur Evans, yang menggali Istana Knossos, yang beliau namakan Istana Minos. Tamadun ini maritim, armadanya mengagumkan, petempatannya terutamanya berada di pesisir, dan operasinya kebanyakannya aman. Terdapat legenda, seperti Theseus dan Minotaur, yang menunjukkan bahawa semacam ufti dikumpulkan oleh Crete dari lokasi-lokasi luar negeri, tetapi sejarah legendanya jauh berbeza dengan peperangan dan pejuang-pejuang tanah besar.
Evolusi struktur-struktur istana, jika itu yang mereka ada, bermula di Crete dalam tempoh Minos Pertengahan (MP) Zaman Gangsa Pertengahan. Permulaan yang Shaw panggil "tiga yang besar" – Knossos, Phaestos, Malia – bertarikh ke MPI, tetapi yang lain bermula dalam MPII. Hubungan antara semua pengasasannya masih tidak diketahui, tetapi satu tindakan pengasasan kini perlu diketepikan.[15]
Jenis sistem ekonomi yang lazim di Crete dan mungkin di mana-mana pengaruh Crete mencapai banyak didokumentasikan dalam beratus-ratus loh yang ditemui di pelbagai lokasi di Crete. Satu-satunya rintangan kepada pembacaannya ialah sistem tulisannya, Linear A, yang menghalang dokumen ini dibaca dan maklumat yang ia kandungi diasimilasi. Akibatnya, tiada apa yang diketahui tentang ekonomi melainkan apa yang boleh disimpulkan daripada arkeologi atau dengan membuat persamaan berisiko kepada maklumat yang dibentangkan dalam dokumen-dokumen Zaman Gangsa Akhir, yang boleh dibaca. Hakikat bahawa orang Minos, seperti Evans memanggil mereka tanpa pengetahuan nama sebenar mereka, mungkin mempunyai ekonomi istana adalah spekulasi semata-mata.
Crete Minos Lewat
Ekonomi Tamadun Minos bergantung pada penanaman gandum, zaitun, anggur dan produk-produk lain dan juga menyokong beberapa industri seperti tekstil, tembikar dan kerja logam. Beberapa industri pembuatan berpusat di istana-istana. Hasil daripada tanah pertanian sekitarnya dikumpulkan, direkodkan dan disimpan di istana seperti yang dilihat pada sebilangan besar bilik penyimpanan dan pithoi (balang penyimpanan) yang ditemui. Istana-istananya nampaknya mempunyai satu tahap kawalan terhadap perdagangan luar negara. Penemuan loh-loh Linear A dan Linear B, menyenaraikan komoditi di kawasan arkib Istana Knossos, mencadangkan wujudnya sebuah birokrasi yang sangat teratur dan sistem penyimpanan rekod yang mengawal semua produk masuk dan keluar.
Lokasi lain
Ekonomi istana di Mesir purba, Mesopotamia, Anatolia, dan Levant semakin berkurangan pada Zaman Gangsa Akhir, digantikan oleh ekonomi pasaran primitif yang diketuai oleh pedagang-pedagang swasta atau pegawai yang memiliki perniagaan persendirian sampingan.[perlu rujukan] Pengekalan terakhir dan epitome sistem istana ialah Yunani Mycenae yang musnah sepenuhnya semasa keruntuhan Zaman Gangsa dan Zaman Gelap Yunani berikutnya.
Asia
Model mandala untuk menyatakan corak kuasa politik yang tersebar dalam sejarah awal Asia Tenggara, berasal daripada O. W. Wolters 1982, tidak membincangkan isu ekonomi. Berikutan misi Siam ejen British John Crawfurd pada 1822, jurnalnya memerikan sebuah "ekonomi istana" yang beliau sandarkan pada ketamakan. Misi itu ditangguhkan di pelabuhan Pak Nam sehingga beliau memberikan sejumlah hadiah yang memuaskan kepada istana, yang berakhir dengan soal siasat yang sangat terperinci berkenaan hadiah seekor kuda, yang Crawfurd anggap "hanyalah contoh baik kurang sopan dan tamaknya yang kami dapati begitu mencirikan Istana Siam dan para pegawainya, pada setiap soalan yang serupa".[16] Situasi ini memulakan perubahan kepada ekonomi pasaran dengan Perjanjian Bowring, dirundingkan oleh penyokong perdagangan bebas Sir John Bowring dengan Raja Mongkut yang memodenkan Siam, ditandatangani pada 18 April 1855.
Lihat juga
Nota
- ^ Lukas de Blois; R.J. van der Spek (1997). An Introduction to the Ancient World. Diterjemahkan oleh Mellor, Susan. Routledge. m/s. 56–60. ISBN 0415127734.
- ^ Blake, Emma; Knapp, A. Bernard, penyunting (2005). "The Archaeology of Mediterranean Prehistory". Blackwell Publishing. m/s. 275, 287.
- ^ Connor, Andrew James (2006). Temples as Economic Agents in Early Roman Egypt: The Case of Tebtunis and Soknopaiou Nesos. University of Cincinnati. m/s. 355–56.
- ^ Chadwick 1973, halaman 198.
- ^ Finley 1979, halaman 62.
- ^ Finley 1979, halaman 64.
- ^ Chadwick 1973, halaman 106.
- ^ Nakassis, Dimitri (2010), "Reevaluating Staple and Wealth Finance at Mycenaean Pylos", dalam Pullen, D. J. (penyunting), Political Economies of the Aegean Bronze Age, Oxford: Oxbow Books, m/s. 127
- ^ Polanyi, Karl, "On the Comparative Treatment of Economic Institution in Antiquity with Illustrations from Athens, Mycenae, and Alalakh", dalam Kraeling, Carl Hermann; Adams, Robert McCormick (penyunting), City invincible: a Symposium on Urbanization and Cultural Development in the Ancient Near East held at the Oriental Institute of the University of Chicago, December 4–7, 1958, Chicago: University of Chicago Press, m/s. 329–50
- ^ Clark, Grahame (1961). World prehistory, an outline. Cambridge [Eng.]: University Press. m/s. 148.
- ^ Starr, Chester G (1961). The origins of Greek civilization: 1100–650 B.C. New York. m/s. 48.
- ^ Palmer, Leonard R (1963). The interpretation of Mycenaean Greek texts. Oxford: Clarendon.
- ^ Chadwick, John (1976). The Mycenaean World. Cambridge; London; New York; Melbourne: Cambridge University Press. m/s. 70. ISBN 9780521290371.
- ^ Halstead, Paul (2011). "Redistribution in Aegean Palatial Societies: Terminology, Scale, and Significance" (PDF). American Journal of Archaeology. 115: 229–35. doi:10.3764/aja.115.2.229.
- ^ Shaw, Joseph W (2006). Kommos: a Minoan harbor town and Greek sanctuary in Southern Crete. Athens: American School of Classical Studies at Athens. m/s. 119.
- ^ Crawfurd, John (21 August 2006) [1830]. "Ch. V. – Rapacity of the court.". Journal of an embassy from the Governor-general of India to the courts of Siam and Cochin China. 1 (ed. second). London: H. Colburn and R. Bentley. m/s. 115–16. OCLC 03452414.
Rujukan
- Chadwick, John (1973). Documents in Mycenaean Greek (ed. 1st, 2nd). Cambridge: at the University Press.
- Finley, Moses I. (1979). The World of Odysseus (ed. 2nd). New York: Penguin Books. ISBN 9780140205701.
- Bendall, Lisa Maria (2007). Economics of religion in the Mycenaean world: resources dedicated to religion in the Mycenaean palace economy (ed. 1st). Oxford: Oxford University School of Archaeology.
- Rencana yang mungkin mengandungi penyelidikan asli dari Jun 2024
- Semua rencana dengan kenyataan tidak bersumber
- Semua rencana dengan kenyataan tidak bersumber dari Jun 2021
- Semua rencana dengan kenyataan tidak bersumber dari Ogos 2024
- Rencana yang menggunakan frasa perkataan usang yang spesifik dari Ogos 2024
- All articles with specifically marked weasel-worded phrases
- Articles with specifically marked weasel-worded phrases dari Ogos 2024
- Semua rencana dengan kenyataan tidak bersumber dari April 2015
- Sejarah ekonomi
- Sistem ekonomi









